31 December 2011

Jalan Pencinta Tuhan









Waktu berjalan tanpa henti. Disulami dengan corak-corak amal nafsi. Amal sendiri-sendiri, amalan yang telah diri lakukan sepanjang nafas ini.


Ku lihat, mereka begitu tegar.


Ku lihat, mereka begitu ampuh di atas jalan dakwahMu.


Lalu ku tilik semua diriku.


Ah,, rupanya terlalu jauh diriku dengan diri mereka.


Ku pandang jalan yang ku tapaki. Sama dengan jalan mereka.


Masih berada di atas jalan-Nya. Alhamdulillah…ku bersyukur.


Namun…apakah masih tetap thabat dan kuat berada di atas jalanNya?


Diri termenung. Bukan menungan kosong. Tetapi mencari-cari diriku yang hakiki.


Dipinjamkan ‘seseorang’ buat menemani jalan perjuangan ini selama 2 tahun. Tetapi ‘dia’ kemudian ‘menghilang’ dari kamus hidupku.


Kaki terasa longlai, hati terasa sangat lemah. Ku sentiasa tertanya-tanya, apakah diri masih kuat hadapi jalan ini seorang diri?


Air jernih menitis. Selalu begini. Akui, tidak dapat menahan air ini dari mengalir. Mungkin kini ku lebih suka seperti ini.


Membiarkan ia terus mengalir tanpa henti. Kerana ia bisa membuatkan jiwaku lebih tenang. Membuatkan ragaku lebih terasa lapang.


Kemudian ku tersedar kembali. Masih ada DIA yang sentiasa setia di sisi. Masih punyai DIA yang tidak pernah sesekali pergi.


Setiap detik dan saat, setiap waktu ku yang berlalu nafas selama yang terpinjam 22 tahun ini, DIA sentiasa setia menemani. Kenapa harus ku bersedih dengan pemergiaan seseorang yang cuma 2 tahun di sisi?


Sedangkan DIA…lebih lama menemani, dalam sunyi, dalam sepi, dalam tawa dan air mata, DIA tidak pernah membiarkanku seorang diri.



"Allah…Engkau terlalu baik kepadaku, namun diriku yang selalu melupaiMu… selalu…Tuhan, ampunilah…ku ingin mencintaiMU sepenuh hatiku..."






p/s pada diri sendiri: “Tahun baru Hijrah, diriku perlu berubah, tidak mahu lagi terus seperti dulu…Tuhan, walau apapun yang telah berlaku, ku akan tetap setia di atas jalan dakwah-Mu.!”


~mari, terus menjadi daieyah dan mujahidah sehingga bertemu di syurgaNya…~




Tuhanku,

Meskipun merasa lelah, ku tidak ingin mengalah.

Meskipun berkali-kali ku rebah,

ku tidak ingin berputus asa dari rahmatMu.

Tuhan,

Ku tahu ini bukti cintamu padaku

Tuhan, ku sedari inilah wadah kasihMu padaku

Teruslah mentarbiyahku

Teruslah mendidik jiwaku

Dengan ujian cintaMu

Kerana ku sedari inilah jalan PencintaMu




Sesungguhnya

Jalan Pencinta Tuhan

Suatu jalan yang penuh dengan pelbagai rencam ujian

Pahit, pedih dan perit, tetapi itulah jalan yang harus ditempuh

Jalan pencinta tuhan

 jalan orang-orang yang sentiasa mencari cinta dan redha Tuhan

Jalan ini adalah jalan pilihan

bukan jalan hukuman

Jalan yang penghujungnya ternanti mahar

 untuk ditukar dengan jannahNya…




~cuma ingin redhaMu sentiasa~

: hikmatul islam
: 01012012
: 1200pm

Segalanya milikMu...






Kau yang menciptakan cinta
Dan Kau jua yang menghampar bahagia
Di ribaanMu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan


Kau yang mengutuskan duka
Dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
Namun padaMu jua diadukan
Pelbagai keresahan dan tangisan


Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyebut namaMu
Terarah segala lontar rasa
Padanya damainya dakapanMu


Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Di segenap ruang rasaku
Telah kau titipkan kekuatan
Oh Tuhanku…






p/s: “Subhanallah…hangatnya terasa kasihMu Ilahi…dalam duka, dalam air mata, Engkau sentiasa setia di sisi…Sungguh, segalanya milikMu Tuhan…hanya padaMu jua daku berserah diri…”



~cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 28122011
: 10.00pm

Cinta-Mu padaku





Di keheningan malam yang sepi.


Duduk termenung seorang diri. Merenung-renung segala yang terjadi. Mengamati segala yang telah menimpa diri.


Semakin direnung-renung, semakin deras air mata menitik.


Semakin direnung-renung, semakin terasa cinta dan kasih Tuhan… ALLAH, betapa Dikau maha pengasih lagi maha penyayang…







Cinta ALLAH.

CintaNya bukan sekadar dengan nikmat-nikmat yang diberikan.

Tetapi cintaNya juga terselindung di balik semua ujian dan dugaan yang datang.

Meskipun ternampak duka, pahit dan perit, tetapi di dalamnya terkandung ‘kemanisan’. KEMANISAN IMAN, bagi mereka yang tetap teguh berpegang kepada Tuhan.


Saat diuji, terasa diri terasa tersangat hina. Sangat lemah dan kerdil. Sungguh, akui dan akur akan keagungan kudratNya. Akui akan kebijaksanaanNYA yang mengatur perjalanan semua kehidupan makhluk.


Tiada satu pun yang tertinggal, tiada satu pun yang terlupa, semuanya berada dalam pengawasan dan jagaanNya. Semuanya berada dalam pandangan dan kekuasaaanNya.


Sungguh, ujian bukan bukan tanda DIA membenci, jauh sekali untuk menghina. Berkali kali ku sematkan kalimah ini di dalam hati. Biarlah DIA ingin terus menguji.


Dengan ujian-ujianNya yang datang tanpa henti inilah yang membuatkan mata hati menjadi celik. Membuatkan hati semakin ingin beriman dengan segala takdiranNya.


Air mata yang mengalir, bukanlah bermakna ku menyesali dan meratapi dengan apa yang terjadi. Tetapi air mata ini air mata bahagia.


Air mata yang terasa sangat terharu dengan segala yang telah DIA berikan. Samada pahit atau luka, samada duka mahupun suka, ku ingin menerima semua apa adanya. Dengan tenang hati, dengan lapang dada.


Subhanallah…cintaNya sentiasa bersemi mengelilingi diri, cintaNya sentiasa membasahi seluruh urat nadi. cintaNya tidak pernah berhenti hadir menghiasi jalan hidupku ini.


Sungguh, hati ini terasa sangat bahagia dengan belaian kasih sayang Tuhan yang sangat pengasih. TuhanKu, walau apapun yang telah terjadi, jadikan hamba tetap bersyukur dan bersyukur kepadaMu…


 “Tuhanku, Engkau tidak pernah jemu mencintai, ku amat malu padamu ya Allah… kerana ku seringkali mengkhianati, kerana seringkali tidak menghargai cintaMu pada diri ini…Tuhan, maafkanlah…sungguh, ku ingin mencintaiMu sepenuh hati dan jiwaku… ku ingin setia mencintaiMu hingga ke akhir nafas ini…ALLAH…maafkanlah andai cintaMu masih tidak ku termiliki…”




Semua berlumba-lumba

Mengingini syahid di jalannya

Inginkan sebuah peninggalan yang paling indah

Inginkan warisan yang terindah

Di mana?

Di sana,

Di syurgaNya…




p/s untuk hati:Ya ALLAH, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu akan cinta-Mu, cinta orang yang menyintai-Mu dan amalan yang membawaku kepada cinta-Mu. Ya ALLAH, jadikan cintaku kepada-Mu lebih daripada cintaku kepada diriku sendiri, keluargaku dan air yang dingin” – Hadis Riwayat Tirmidzi, Hakim, Abu Nu’aim & Abu Qaani’ dari Abi Darda’



~Cuma ingin redha-Mu~

: Hikmatul Islam
: 25122011
: 1111am

20 December 2011

Hampa dengan Natijah Imtihan?








Assalamualaikum wbr…



Salam ketenangan dan kedamaian buat hati-hati yang merasa gundah.


Salam kesabaran buat hati-hati yang merasa kecewa dan berduka.


Salam kesyukuran buat hati-hati yang sentiasa kuat dan tabah.



Alhamdulillah, result sudah terpapar di portal. Mungkin ada yang tersenyum bangga, tidak kurang ramai juga yang berduka. Begitulah adat mengaji, setiap semester pasti akan ada natijahnya setelah berhempas pulas melalui satu-satu semester pengajian.


Natijah Imtihan.


Pastinya, semua orang mengimpikan natijah yang bagus-bagus sahaja. Semua orang sentiasa mengharapkan keputusan yang baik-baik belaka. Tetapi, sedarilah tidak semua impian dan harapan itu dapat dikabulkan oleh yang Maha Esa.


Terasa hampa dengan result imtihan?


Pertamanya, tanyalah secara jujur dengan diri sendiri. Recheck balik dengan sejujurnya, adakah kita sudah berusaha sehabis daya dan bertawakkal dengan sebenar-benarnya? Mungkin kita sudah berusaha study sungguh-sungguh, tetapi kita kurang berdoa, kita lupa untuk bertawakkal kepadaNya.


Jika sudah ternyata sedemikian, tidak perlu terus kecewa dan bersedih. Marilah kita ubah takdir masa depan dengan USAHA yang lebih kuat dan DOA yang lebih banyak kerana itulah janji Tuhan adalah pasti.


Namun, jika kita dah berusaha dan bertawakkal, kemudian kita masih gagal percayalah yang Allah nak sediakan sesuatu yang lebih baik bagi diri kita. Andai kita telah bersungguh-sungguh berusaha dengan terbaik, tetapi masih juga mendapat natijah yang tidak memuaskan hati, masih juga datang bertamu rasa kecewa di hati maka di sinilah kita mesti beriman dengan takdir.



“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan)” (Al-Qamar:49)




Berimanlah dengan takdir, maka kita akan meredhai dan berserah diri untuk segalanya. Akur akan kebijaksanaan ALLAH yang memberikan natijah yang sedemikian rupa kepada kita.


Janganlah mudah melatah dan memberontak, kerana itu tanda tidak bersyukur.


Jangan mudah berputus asa dan terus-terusan tenggelam dalam kekecewaan, kerana itu juga tanda tidak bersyukur.


Saya sendiri akui merasa sedikit kecewa apabila melihat result kali ini. Terasa hampa tidak dapat mempertahankan kejayaan yang lalu. Tetapi, tidak salah jika kita merasa hampa. Tidak salah kita merasa kecewa kerana itulah lumrah perasaan kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina.


Rasa itu ALLAH yang anugerahkan, untuk kita merasainya. Memang pedih, perit dan pahit tetapi di dalamnya itulah terkandung satu kandungan rasa yang cukup ‘manis’, jika kita merasanya dengan rasa ‘hati’.


Rasa hati yang diikat dengan iman dan terarah memikirkan hikmah-hikmahNya. Hati yang sentiasa merenung-renung kekurangan diri lantas ingin terus berusaha memperbaikinya. Hati yang sentiasa ingin bermuhasabah dengan kalam peringatanNya.


Bersabarlah, sesungguhnya kesabaran itu amat baik bagi mereka yang benar-benar dapat bersabar dengan segala ujianNya. Allah sebenarnya ingin memberi kita pahala di atas kesabaran kita yang kecewa dengan keputusan tersebut.



“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan” (az-zumar:10)



Sudah menjadi sunnatullah. Ada ketikanya kita berada di atas, dan ada kalanya kitanya kita akan berada di bawah kerana begitulah adat kehidupan ini. Tidak akan ada insan yang selamanya berada di atas, dan tidak akan ada insan yang selamanya dalam kegagalan.


Gagal bukan beerti kita tewas dan kalah. Gagal juga bukan beerti kita telah menyerah dan semakin melemah. Tetapi gagal adalah satu titik juang kita untuk bangkit semula.







Duhai sahabat-sahabatku sekalian.


Pimpinlah hatimu sendiri. Pujuklah hati dengan ayat-ayat cinta Ilahi. Bersabar dan bersyukurlah. Cekalkan hati. Kita perlu meneruskan hidup ini, walau apapun yang telah terjadi.


Akuilah kuasa dan kudrat kita sebagai hamba yang tersangat lemah kudratNya berbanding yang Esa. Sebagai orang yang beriman, yakin dan percayalah, DIA sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita. Tiada satupun keburukan, kecuali yang baik-baik sahaja.


Akhir tinta, pandanglah ke belakang sebagai iktibar dan pedoman, teruslah melihat ke hadapan untuk membina impian-impian yang indah di sepanjang jalan kehidupan. Kejayaan pasti akan dapat digenggam, andai diri tidak pernah berputus asa dari rahmat Tuhan.


Bersabarlah dengan semua ini maka kalian akan mendapat pahala dan natijah yang cukup baik di sisiNya. Bersyukurlah di atas segalanya, maka itulah sebaik-baik jalinan iman kepada yang Maha Esa!^^, Wallahu’alam..


p/s: “Sesungguhnya, ‘natijah’ di alam sanalah harus sentiasa pastikan mendapat yang TERBAIK. Kerana natijah di dunia ni hanya sementara, tetapi natijah di sana kekal abadi buat selamanya…”

  

“Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang mana ia merupakan penjaga perkaraku. Perbaikilah duniaku yang di dalamnya terdapat kehidupanku. Perbaikilah akhiratku untukku yang di dalamnya terdapat tempat kembaliku. Jadikanlah hidupku sebagai tambahan untukku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah matiku sebagai istirehat untukku dari segala keburukan.” (HR Muslim 4897)


  

~sentiasa mendambakan redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 20122011
: 10.00pm

18 December 2011

Islah Diri: "Kasihi Dan Kasihanilah Hati!"








Tilik dan tilik lagi sekeping hati.



Di dalamnya terkandung semua rasa. Sedih, pilu, syahdu. Gembira, bahagia, cinta. Ujub, riak, sombong. Itu cuma sebahagian rasa, tidak terhitung jumlah rasa dan perasaan yang DIA berikan untuk kita.



Positif mahupun negatif, mahmudah mahupun mazmumah. Hakikatnya, di hati itulah tempat utama segala rasa. Bukan di tangan, bukan di kaki tetapi di hati. Ajaibnya hati, anugerah terindah dari ALLAH buat manusia.



Tetapi sayang…



Tidak ramai yang tahu menjaga hati.


Tidak ramai yang tahu menghargai anugerah hati.


Tidak ramai yang tahu mensyukuri sekeping hati.



Mungkin ada yang tahu, tetapi tidak sedar. Mungkin juga ada yang tidak tahu dan tidak sedar juga.



Kesiannya hati...




 
Hati terus sakit, parah, malahan semakin memberat lukanya…hati menjerit-jerit meminta tolong tetapi sayu kerana tuannya menyedari hatinya sakit, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa…




Masing-masing punyai hati, tetapi tidak mengenali hati sendiri. Tidak pernah belajar untuk mengenali hatinya. Tidak pernah ingin memeriksa kesihatan ‘hatinya’ setiap hari. Pernahkah kita bertanyakan keadaan hati?



‘Sakitkah’ ia? Jika sakit, apa ubatnya?



‘Resahkah’ ia? Jika resah, apa penawarnya?



‘Lalaikah’ ia? Jika lalai, apa caranya?



please..please...cek hati!






Ibrahim bin Adham berkata:



“Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu sebab dia lebih dahulu meihatnya. Tetapi jika sekali dia membuat dosa, ALLAH campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Jika dia bertaubat, hilanglah warna kehitaman tersebut.



Namun, andai dia kembali berbuat dosa dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan itu sehingga sekalian bahagian hatinya menjadi hitam belaka. Waktu itu, maka tidak ada guna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”






“Tuhanku, jangan biarkan hati kami hitam dan gelap sehingga kami menjadi buta dari melihat kebenaranMu…”




Orang yang sentiasa ‘memeriksa’ hatinya sendiri di setiap saat dan ketika maka dia sentiasa memastikan hatinya ‘bersih’, suci, tulus ikhlas hanya kerana ALLAH. Itu yang paling utama. Tindakannya, perlakuannya, akhlak mahupun peribadinya akan sentiasa terarah kepada jalan kebaikan kerana iman di hatinya sentiasa mengingatkan bahawa dia cuma hamba ALLAH, yang diciptakan untuk beribadat semata-mata keranaNya.



Hati yang suci, akan sentiasa takutkan Ilahi. Takut andai hatinya menduakan Ilahi. Takut, andai hati terpesong dari menyembah Ilahi. Bimbang andai pegangan aqidah ‘terpesong’ tanpa disedari.



Hati yang suci, ia akan tetap tenang berada dalam jagaan ar-rahman. Hati yang suci, ia sentiasa mengikhlaskan segalanya-galanya demi meraih redha Tuhan. Ia akan sentiasa mengisinya dengan sifat-sifat mahmudah dan menentang sifat-sifat mazmumah.



Kerana hati, manusia bisa menjadi baik. Kerana hati, manusia juga bisa berubah menjadi jahat.



Berkuasanya hati. Hebatnya hati. Dapat mengubah dan membentuk peribadi dan akhlak diri.



Rasulullah saw bersabda:


“Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus hatinya terlebih dahulu”




Kerana di hati itulah, letaknya iman. Hati yang tidak dikemudi oleh pegangan iman yang ampuh, ia akan sangat mudah tersasar. Sangat mudah menjadi rapuh dan goyah. Mudah juga digoda dan terjerumus di dalam perangkap syaitan.



Di hati itulah jua, kita harus menyedarkan diri tentang hakikat diri. Hakikat diri kita yang cuma sebagai hamba Ilahi. Yang cuma hamba-NYA yang abdi. Yang akan pulang kembali ke negeri abadi.




Di hati itulah, bersemi semaian iman

Di hati itulah, terbina keyakinan kepada Tuhan

Di hati itulah, yang menerbitkan rasa takut dan gerun

dengan pelbagai ayat peringatan

di hati itulah, terbit rasa keinsafan dan kehambaan





Duhai temanku sehati dan seiman denganku…



Sesungguhnya hati, sudah fitrah sifatnya berbolak balik. Tidak tetap, mudah berubah-ubah.



Oleh kerana itu…sentiasalah mengislahkan hatimu, agar ia tidak tempang dari jalan Tuhan. Agar ia tidak berlubang-lubang dengan panahan maksiat yang kita lakukan. Agar ia tidak menjadi hitam dengan dosa-dosa yang kita kerjakan.



Sentiasalah berdoa meminta nur menyinari hatimu, agar ia terus berjalan di atas petunjuk Tuhan. Sentiasalah memenuhi ia dengan peringatan kalimah toyyibah dan zikrullah, agar hati itu tetap tenang dalam jagaan Tuhan.



Di antara doa yang terbaik yang boleh diamalkan untuk menetapkan hati;


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agamaMu dan berbuat taat kepadaMu”



“(Mereka berdoa dengan berkata): “wahai TUHAN kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya” (surah al-imran: 8)




p/s: Akhir kalam, mujahadahlah menjaga hati, harus cermat dan teliti, harus sentiasa berhati-hati. Jika tidak, merugilah diri, meranalah hati. Kasihi dan kasihanilah hatimu sendiri. Jom jaga hati, sentiasa pastikan ia sentiasa teguh mencintai Ilahi! :')






Sukarnya menjaga hati…

 Jika hati tidak berpesan, terus merugilah diri

 Jika hati tidak mengingatkan, terus alpalah diri
 Jika hati tidak mengejutkan, terus lalailah diri

Semua letaknya di hati
Kemudilah hatimu sendiri 
Bimbinglah hati mengikut panduan aqidah dan syariat
Penuhilah ia dengan sinar keimanan
Isilah ia dengan sentiasa mengingati Tuhan
Agar hatimu tidak sepi dan mati
Dan tidak menjadi orang yang rugi…



~Cuma ingin redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 17122011
: 05.00 pm

17 December 2011

DIARI HIKMATUL: “HATI ITU…”




Hati…
Sekeping hati itu
Punya pelbagai rasa
Kadang-kala ia tetap,
Dan selalu pula ia berubah tempat


Hati itu
Anugerah terindah
Tetapi harus sentiasa mujahadah
Sebab ia selalu berubah
Tanya sama hati
Kenapa selalu goyah?
Nanti jawab hati
Kerana dikau selalu melupai ALLAH


Hati itu
Akan bisa sirna
Kelam, kabus dan kian suram
Tanpa siraman zikrullah
Tanpa sinaran ibadah
Tanpa isian tarbiyah
Tiada lagi usrah dan halaqah
Ternyata diri semakin jauh dengan ALLAH…

Oh, sungguh kasihan hati!


Duhai hati yang resah
Duhai hati yang gelisah
Duhai hati yang gundah
Bertenanglah, damailah
Dalam siraman nur iman
Dengan kembali semula kepada Tuhan

Wahai diri
Teruslah perbaiki hati tanpa jemu
Teruslah islahkan hati tanpa lesu
Kerana di hati itu tempatnya iman
Kerana di hati itu tumbuhnya keyakinan
Yang mengingatkan tentang janji Ar-Rahman
Yang menyedarkan diri cuma hamba Tuhan
Dan suatu hari akan pulang…
Sungguh,,
Ingin pulang dengan hati yang tenang…



"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang ridha dan diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Al-Balad: 27-30)





Tuhanku…

Redhailah,

Ampunilah,

Kasihanilah diri ini

Yang sentiasa menzalimi diri sendiri … :’(




p/s: “ALLAHURABBI…sungguh sukar memegang sekeping hati…kemudian tersedar, bukan kita yang memegangnya, tetapi DIA-lah yang memegang hati. Kita cuma mampu berusaha dan bermujahadah, tetapi sentiasa lupa pemilik tetapnya ALLAH. Ya Tuhan, peganglah hati-hati kami, jangan mudah goyah dan rapuh… semoga hati sentiasa tetap teguh di atas jalanMu…hingga akhir nafas ini…amin”







~Cuma ingin redhaMu~

(Coretan rasa)

: hikmatul islam
: 12122011
: 01.30 am

07 December 2011

CERPEN: “MEMILIKI CINTA”










Seusai kami solat Asar berjemaah, Nasuha mendekatiku. Rapat, kemudian diletakkan tanggannya di atas tanganku lalu digenggam.

“Akak….,boleh Su tanyakan sesuatu.?” Nasuha bertanyakan lambat-lambat.

Ya Su, nak tanya pasal apa yer?”

Ku lihat dahinya berkerut, mungkin sedang memikirkan sesuatu atau sedang menyusun ayat untuk bertanyakan soalan yang sekian lama disimpan di benak fikirannya. Nampak wajahnya sedikit resah.

Melihatkan dirinya terdiam seketika, lantas ku ukirkan sebuah senyuman yang cukup manis agar dia merasa lega dan mampu meluahkan segala yang terbuku di hatinya itu.

Akak…”

Kalamnya terhenti sejenak, kemudian dia menyambung.

“Sebenarnya Su malu untuk meluahkan perasaan yang Su rasa nie…juga tidak tahu bagaimana ingin mentafsirkan perasaan ini?”

“Erm…sebenarnya Su merasa sedikit cemburu dengan teman-teman serumah kita. Mereka semua telah berpunya. Tapi Su?”

Ku tatap matanya, nampak sedikit sebak.

“Apakah Su tidak layak untuk mempunyai teman seperti mereka? Su akui Su tidak cantik, tiada rupa jelita seperti Ina, tidak pandai seperti akak, tidak reti untuk bercakap macam Anis dan tiada apapun kelebihan kalau nak dibandingkan dengan semua orang…”

Ku masih lagi diam, tidak mencelah walau sedikit pun. Membiarkan Nasuha meluahkan segala-galanya yang dia rasa.

“Kawan Su cakap, kalau tak cari teman masa nie, pasti kelak Su akan susah untuk jumpa pasangan hidup. Su juga cemburu kerana mereka disayangi dan pasangan mereka begitu mengambil berat telefon tiap-tiap hari bertanyakan khabar. Lihatah Sarah dah bertunang, Kak Husna pula akan berkahwin tidak lama lagi. Betapa bahagianya mereka…”

Sekali lagi ku amati dan tatap dalam-dalam wajahnya. Cuba menilai sebatang tubuh di hadapanku. Ya, dia tidak mempunyai rupa paras yang jelita. Berkulit hitam manis dan sedikit tembam. Tidak pula berhidung mancung seperti teman-teman serumah yang lain.

Namun, dia istimewa sebenarnya. Bagi yang melihat dengan mata hati, bukan melihat dengan mata zahir. Bagi yang menilai dengan iman, pasti akan dapat melihat sinar cahaya di wajahnya.

Nasuha yang berada di hadapanku ini sangat baik orangnya. Lemah lembut dan berbudi bahasa. Dia tidak cerewet dan sikapnya sangat mesra dengan semua orang. Jarang sekali dia naik suara seperti teman serumah yang lain, Nasuha tidak mudah tension dan keluar perkataan yang tidak elok bila berbicara. Dia sangat tenang dan suka pula tersenyum.

Paling ku sukai tentang dirinya, dia rajin solat berjemaah. Meskipun tidak seperti lelaki yang perlu ke masjid untuk solat jemaah, namun Nasuha suka sekali mengajak kami semua solat berjemaah di rumah, di ruang tamu rumah sewa kami yang kecil itu. Jika azan berbunyi, dialah yang paling awal bergegas ke bilik air lalu berwuduk untuk solat di awal waktu.

Apabila satu pertiga malam menjelang, dia tidak segan-segan untuk bangun bertahajud dan bersujud di hadapanNya. Lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan Al-quran tidak pernah lepas di tangannya. Dibawa ke mana sahaja kitab suci yang tersimpan rapi di dalam begnya untuk ditadabbur pada waktu yang terluang.

Subhanallah.! Dia sebenarnya sangat cantik, cantik akhlak dan peribadinya namun kebanyakan lelaki tidak menyedari tentang itu. Benarlah, kebanyakan sang lelaki melihat rupa yang pertama. Walaupun berkali-kali tazkirah dan ceramah yang disampaikan oleh ustaz mahupun syeikh seringkali mengingatkan tentang hadis Nabi saw bahawa agama yang paling utama dalam pemilihan calon isteri, namun wajah dan rupa juga yang menjadi ukuran terlebih dahulu. Kebanyakan lelaki, tetapi tidak semuanya begitu.

Melihatkan Nasuha tidak lagi ingin meneruskan kalamnya dan seperti menunggu pula sebuah jawapan dariku, lalu ku ukirkan kembali senyuman kepadanya sebelum ku memulakan bicara untuk memberikan sebuah jawapan yang terbaik daripada persoalannya itu.

“Nasuha…”

Ku cuba mengaturkan kalam dan bahasa yang paling lembut dan berhikmah. Ingin menyampaikan dakwah sepertimana sifat Baginda saw yang begitu lemah lembut dalam berbicara sehingga menarik hati musuh untuk memeluk Islam. Semuanya perlu berhikmah.

Melihat aku yang masih terdiam, Nasuha menyambung lagi.

“Su bimbang tiada orang yang sudi menerima Su…”

“Nasuha sayang!”

Cepat-cepat aku memotong percakapannya itu. Kali ini, biarlah aku pula yang akan menjelaskannya.

“Akak nak tanya sesuatu, boleh?”

“Kenapa abah Su pilih mak Su dulu?

Dia lantas menjawab,“Erm, abah pilih sebab mak mengaji agama kat pondok.”

“Jadi, abah tidak pilih mak kerana rupa kan? Kalau abah Su nak pilih mak sebab rupa, pastilah dia tidak perlu susah-susah cari calon kat pondok, padahal kat kampung Su sudah tentu ada ramai lagi anak dara yang lain, yang cantik-cantik. Tapi, abah tidak lihat pada rupa semata-mata kan? Tapi, sebab dia melihat pada akhlak dan peribadi mak Su yang sangat cantik sebab itulah dia tertawan.”

Dia mengangguk-angguk. Cuba membenarkan kata-kataku itu.

Ku menyambung lagi.

“Su, jika mak Su pun dilamar orang dan berkahwin jua akhirnya dengan abah Su, maka Su juga insya allah akan temui jodoh suatu hari seperti mak Su. Yakinlah dengan Allah. Yakinlah dengan janji-janjiNya. Tidak perlu kita merasa susah hati dan resah menanti jodoh. Ia ada, telah tersedia tertulis di Luh Mahfuz. Kecuali jodoh itu tidak akan sampai jika kita mati terlebih dahulu menghadapNya.”

“Nasuha sayang, mengertilah. Mereka yang bercouple tu belum tentu akan sampai jodoh di singgahsana. Jika dapat berkahwin pun, ia dibina atas dasar maksiat, jauh dari keberkatan dan keredhaan Allah. Tidak perlu kita merasa cemburu dengan mereka yang disayangi oleh makhluk tetapi kita perlu merasa cemburu dan sedih andai Pencipta makhluk tidak lagi sayang kepada kita lantaran dosa maksiat yang kita lakukan.”

“Allah itu Maha Penyayang. Kita harus merasa bersyukur kerana Allah memilih kita dalam jagaanNya. Tidak membiarkan kita hanyut dan asyik dalam dunia cinta palsu. Inilah bukti Allah sayang kepada kita. Dia juga Maha adil. Kenapa diciptakan kita dengan rupa yang sederhana, tidak cantik jelita seperti yang lain?

Kerana Dia tidak mahu kita lalai dan tenggelam dengan kecantikan yang palsu itu, bimbang kita menyalahkan gunakan kecantikan itu untuk menarik dan meruntuhkan iman lelaki hingga sang lelaki tewas dalam hawa nasfu dan godaan sang wanita”


Nasuha mendengar dengan penuh khusyuk.


“Mungkin sekarang mereka yang berpunya itu terlihat bahagia dan gembira dengan pasangan masing-masing tetapi apakah mereka melihat akibat dan kesannya selepas berumahtangga kelak? Belum tentu mereka dapat sebahagia seperti sekarang kerana telah merasai kebahagiaan sementara itu dengan jalinan ikatan yang tidak sah, yang tidak Allah halalkan buat mereka. Selepas kahwin nanti, Allah akan timpakan bermacam-macam ujian dan dugaan yang hebat sebagai balasan di atas dosa dan maksiat yang mereka lakukan sebelum bernikah.


“Cuba Su tengok dalam berita, terlalu ramai yang berkahwin awal kemudian bercerai-berai dan mereka curang sesama sendiri. Di mana keberkatan dalam rumahtangga tersebut? Sudah hilang dimakan oleh dosa noda yang tangan-tangan mereka sendiri lakukan sebenarnya.”


Aku menarik nafas. Rasa macam sudah panjang tazkirah nie. Bimbang Nasuha jadi semakin pening pula jika terlalu panjang. Lalu ku ingin simpulkan dengan simpulan yang mudah agar dia memahami maksud sebenar yang ku ingin sampaikan padanya.


“Nasuha…yakinlah dengan Allah. Bukan yakin dengan kata-kata akak tetapi yakinlah dengan janji-janjiNya. Perempuan yang baik disediakan untuk lelaki yang baik, begitu juga sebaliknya. Sesungguhnya jodoh Nasuha sudah ada dan sudah tersedia, cuma sekarang dia tak nampak di mata kerana Allah masih menyembunyikannya.”


“Allah sembunyikan?” Dia bertanya dengan suara perlahan.


“Ya. Sekarang Allah sembunyikannya. Bila sampai saat dan waktunya nanti, dia akan datang, memperlihatkan dirinya pada Su dan melamar Su dengan penuh salam penghormatan kerana terlalu hormatkan maruah dan peribadi yang Su miliki. Kerana mengagumi ketinggian agama yang Su pegangi.”


“Sementara menunggu cinta suci itu datang dan memilikinya suatu hari nanti, sekarang Su perlu lebih mempersiapkan diri. Harumkan akhlak dan peribadi. Dekatilah Ilahi, pasti kita tidak akan rugi. Jadilah hambaNya yang terbaik meskipun pangkat solehah itu sangat sukar untuk diperoleh.


Tetapi kita haruslah sentiasa mencuba berusaha mengubah diri kea rah lebih baik. Sesungguhnya sang soleh sentiasa akan mengintai-intai sang solehah untuk dijadikan bidadari dalam hidupnya untuk dibawa pula terbang abadi hingga syurgaNya…”

Ku lihat Nasuha kembali tersenyum. Makin melebar pula senyumannya bila mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulutku. Aku juga turut tersenyum dan bersyukur kerana dia sudah jelas kesemuanya.

Allah…macam skrip yang sudah ditaip-taip pula tatkala ku mengeluarkan setiap patah kata, padahal ku sendiri tidak pernah terlintas untuk berucap seperti itu sebenarnya. DIA lah Tuhan yang Maha Agung yang telah memberikan daku idea dan ilham itu untuk dititipkan pesanan tersebut pada insan ini.

Nasuha menggenggam erat tanganku lalu dicium.

“Terima kasih kak.! Terima kasih sebab dah buat Su sedar akan hakikat semua nie.”

“Insya allah, kita sama-sama doakan ye akan memiliki cinta itu. Cinta abadi dan hakiki berpaksikan redha Ilahi. Amin…”

“Amin ya Rabb.” Dia turut menyambut doaku itu.

Dan ku yakini, malaikat yang bersama-sama dengan kami pada petang itu juga turut sama mengaminkan doa tersebut…



“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri kami dan keturunan kami menjadi penenang hati kami dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan:74)



Sekian, tamat.


p/s: “Duhai muslimah yang dikasihi ALLAH…tidak perlu gusar dan mengeluh andai dirimu masih belum dilamar. Teruslah ‘mensolehahkan’dirimu, teruslah bermujahadah menjadi hambaNya yang terbaik, yakinilah dengan janji-janji Tuhan, jangan pernah berhenti berdoa dan berharap kepadaNya. Yakinilah, suatu hari kelak kamu kan memperoleh imam yang terbaik buatmu, sebaik dan seindah akhlakmu jua.!” :’)



~Cuma ingin redhaMu Tuhan~
: Hikmatul Islam
: 07122011
: 0500 pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...