21 January 2012

Ku ingin setia mencintaimu






 







“Orang yang mencintai, akan dicintai. Dan orang yang dicintai akan paling kerap diuji.”




Ungkapan di atas dituju buat para hati pencari cinta Tuhan. Buat hati-hati yang tidak pernah jemu berusaha untuk mencintaiNya sepenuh hati dan jiwa.



Ternyata, usaha itu tidak sia-sia. Orang yang berusaha dengan sungguh-sungguh, pasti akan bertemu dengan apa yang dicari. Orang yang sentiasa berusaha mencari cinta Ilahi pasti akan bertemu dengan cinta hakiki.



Dan akhirnya, cinta itu berbalas. Allah maha pengasih lagi maha penyayang terhadap hamba-hambaNya. Lalu, Allah telah memilih untuk termasuk dalam golongan hambaNya yang dicintai.



Namun, kenapa semakin dicintai ALLAH, semakin kerap diuji dan diuji?



Kenapa semakin lama semakin diri sentiasa terhidang dengan kesakitan, keperitan dan kesusahan?



Kenapa semakin dicintai ALLAH, semakin Dia menguji rasa hati antara cinta insani dan cinta duniawi?



Iman berhempas pulas berlawanan dengan amukan hawa nafsu. Hati sentiasa perlu bermujahadah dan istiqamah untuk terus berada dalam cintaNya.



Sesungguhnya, cinta Allah tidak mungkin akan sama dengan cinta manusia. Semakin dicintaiNya, semakin DIA ingin menguji sejauh mana bukti kesetiaan kita padaNya.



Cinta Allah tempatnya adalah tempat teragung di dalam hati. Andai cinta lain datang mengisi dan mengganti, pastilah jiwa akan terjerit hiba. Fitrah iman tidak meredhainya.



Ya. Kerana martabat cinta Allah tidak boleh terganti dengan cinta yang lain. Tidak boleh ada dua cinta. Antara cinta Allah dan cinta makhluk, hanya satu sahaja yang akan bertakhta.



Bukan bermaksud menafikan cinta manusia, namun ingatkanlah berkali-kali ke dalam diri, cinta ALLAH tetap yang utama.



Andai cinta insani melebihi cinta Ilahi, maka cinta itu akan menjadi maknawi, bukan hakiki dan abadi.



Cinta yang dialirkan kerana ALLAH ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata manusia, tetapi ikut pandangan Maha Pencipta cinta.



Oleh itu, cubalah mencintai ALLAH sesetia mungkin. Pasti, ternanti di hujung sana nikmat cintaNya yang abadi. Sesungguhnya, cinta ALLAH hanya semata-mata meraih redhaNya cuma...!




Tika nafsu menggantikan tempatnya iman
cahaya pun menjadi kelam
ketenangan kian mengusir hilang
langkah kaki menjadi tempang
diri juga hilang pedoman…
Tuhan,
MendambaMu
MerinduiMu
hadirlah di setiap hela nafasku
Terangilahlah hatiku dengan hidayahMu
Memanggil-manggil namaMu
Kerana ingin setia hanya kepadaMu…





“ Aku cemburu pada bulan yang bermesra denganMu pada malam hari

Aku cemburu pada bintang yang berkelip gemilang di kala mentari menyepi

Aku cemburu pada tumbuhan yang bertasbih padaMu di kala mulutku terkunci

Aku cemburu pada kelawar yang berjaga di saat Engkau turun ke bumi

Aku cemburu pada jiwa yang berdoa padaMu di saat aku sedang bermimpi

Kerana itu aku bangun membersihkan diri

Melangkah kaki menuju padaMu Ilahi

Menadah tangan memohon ampunan dari Rabbul Izzati

Supaya cintaku ini tidak dibawa lari…”

 ~Ibnu Rijal~




p/s: “Allahu allah…semakin inginku mendekatiMu, semakin kerap rasa hati ini teruji…semakin hati ingin mencintaiMu dengan sesungguh hati, semakin kuat Kau menguji dengan cinta insani dan duniawi…Ya tuhanku…jangan kau luputkan rasa hatiku yang ingin sentiasa setia mencintaiMu…meski kadang-kadang hati diusik dengan godaan hawa nafsu dunia, maka ku berlindung dengan rahmat kasihMu…lindungilah, kasihilah dan cintailah diri ini…pertemukan daku dengan pasangan yang jua setia mencintaiMu agar semakin bertambah kekuatan cintaku padaMu Rabbi…amin…”



~Cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 22012012
: 1200 am

Mencintai Ayat-ayat Cinta










Bismilahirrahmanirrahim…



Pagi jumaat hari ini matahari bersinar malu di sebalik mendung awan.



Usai solat subuh, perlahan-lahan ku alunkan kalimah agung Tuhan, bersama-sama kicauan burung yang turut berzikir menyebut namaNya, juga sekalian makhluk lain juga bertasbih kepada Sang Pencipta.



“Alhamdulillah…selautan kesyukuran kepadaMu Ya Ilahi kerana masih bisa bernafas sehingga detik ini…masih diberi peluang untuk terus menjadi hambaMu di sini…”

Doa dipanjatkan dalam desah nafas yang tenang.



Selesai berteleku di atas hamparan sejadah rindu itu hampir setengah jam, pakaian solat disangkut. Kemudian diambil pakaian yang sudah hampir 3 hari tidak berbasuh, memasukkan ke dalam mesin kain yang disediakan.



Sambil itu, ku bersarapan ala kadar dengan roti sandwich dan air milo. Ubat juga tidak lupa untuk ditelan. Kemudian, dapur dikemas. Habis bahagian dapur, ku sapu pula ruangan tamu.



Jam menunjukkan 8.30 pagi. Sebahagian besar penghuni rumah sewa Barokah masih lena diuit mimpi. Kebiasaan hari minggu seperti ini mereka mengambil peluang merehatkan diri setelah hari-hari kuliyah disibukkan dengan kelas dan pelbagai aktiviti yang lain.



Kain di mesin basuh masih berputar. Ku siapkan diri kemudian berwuduk, ingin solat dhuha 2 rakaat. Tidak mahu melepaskan peluang mengetuk pintu rezekiNya yang terbuka luas saat ini.



Masa bergerak terasa amat pantas. Tanpa ku sedari, jam sudah hampir ke 9.30 pagi.



Mesej masuk ke dalam inbox. Ada 2 pesanan dari adik rumah sewa ku. Lalu ku buka kedua-duanya.



“Salam. Kak, ceramah kak maryam ‘finalis Solehah’ start jam 9.15 pagi. Tapi nie belum bermula.”



“Kak, datanglah cepat dah start dah nie.”



Ku lihat jam di dinding, ternyata ku sudah lewat. Pantas ku ambil jubah dan gosok. Setelah siapkan diri dengan bedak ala kadar di pipi, ku susun langkah kaki laju menuju ke dewan utama.



Bermula dari semalam perasmian bagi program “Malam Titian Kasih” anjuran HEWI (KUIN) diadakan selama 2 hari, khusus untuk para mahasiswi tahun satu dan program tersebut hanya untuk muslimat.  Semalam telah diisi dengan pelbagai acara yang menarik serta ceramah. Semuanya hanya untuk pengisian rohani dan pemantapan jati diri seorang muslimah.


Ku tiba di dewan jam 9.45. Slot dari finalis ‘Solehah’ kak yam dah hampir tamat, tak sempat ku lihat penyampaian penuh darinya. Agak kecewa juga dengan keterlewatanku yang menyebabkan terlepas ruang dan peluang.



Majlis berakhir dengan doa rabitah dan salam wida’. Bersemi kuntuman wajah adik-adik yang masih dapat tersenyum meskipun nampak kepenatan mengikuti program sejak dari semalam.



Berakhir majlis, ku atur tapak kaki menuju ke surau. Al-Quran berada kemas dalam genggaman. Hati mengira-ngira bercadang mahu menghafaz surah hafalan sebelum pulang ke rumah sewa.



Semasa kaki melangkah masuk ke dalam surau, telingaku menangkap bunyi suara seorang ikhwan yang melagukan bacaan al-Quran.



Ku duduk perlahan-lahan di suatu sudut. Paling hujung, sambil mengamati suara ikhwan tersebut yang masih mentadabbur al-Quran.



“Subhanallah, merdunya suara yang mengalunkan kalimahMu”, hati berkata-kata keseorangan.



Semakin ku amati bait-bait ayat al-Quran yang dibacanya, semakin syahdu menjentik rasa di sanubari. Hatiku jadi haru seketika, tanpa sedar air mata jadi menitis dengan sendirinya…



Sungguh, mendengar kalamNya terasa sebuah ketenangan dan kedamaian yang tidak dapat diungkapkan dengan bait-bait kata.



Dalam keasyikan mendengar alunan suara merdu itu, tiba-tiba ku teringatkan janjiku untuk bertemu dengan seorang adik usrah.



“Ya Tuhanku…macam mana boleh jadi lupa nak jumpa dia kat dewan tadi…”



Pantas tanganku menaip mesej.



“Salam. Hasanah kat mana nie? Dah balik ke? Boleh kita jumpa kat surau?”



Mesejku berbalas.



“Wassalam. Tak balik lagi kak. Nanti saya pergi ke surau ok.”



Adik usrah ini sebenarnya belum lagi ku jumpa. Belum lagi bertatap mata dengannya. Baru sahaja ku terima amanah sebagai naib naqibah. Jadi, pertemuan ringkas kami hanya untuk saling ta’ruf serba sedikit.



Memandangkan 4 orang yang lain tidak dapat hadir, hanya Hasanah sahaja yang dapat datang ke program tersebut, maka ku ingin positif.



Seketika, muncul dari pintu surau seorang adik yang bertudung labuh putih dan berjubah hitam memandang keliling, matanya mencari-cari orang yang bermesej dengannya sebentar tadi.



Ku angkat wajah yang ditunduk semenjak dari tadi kemudian memandang ke arahnya. Mungkin inilah Hasanah. Lantas ku panggil namanya separuh berbisik, bimbang jika panggilanku menggangu ketenteraman pelajar lain yang berada di dalam surau.



Sambil tersenyum, dia datang ke arah ku lantas tangan kami bertaut. Pipi dicium.



Kami berta’ruf serba sedikit. Saling bertanya latar belakang dan salasilah diri. Senyuman di bibir tidak lekang, kami jadi  cepat mesra biarpun baru berkenalan seketika.



Habis berta’ruf, kami bertukar-tukar pendapat pula.



“Akak, kenapa ambil usuluddin? Tak payah ke? Saya tanya pendapat kebanyakan mereka yang ambil kos nie cakap susah dan berat nak hafal. Sedangakn syariah pula ‘simple’ je.”



Ku ukir senyuman. Kerap benar soalan seperti ini ditanya oleh adik-adik.



Lalu ku terangkan satu persatu. Dari pengalamanku sendiri dan apa yang ku ‘dapat’ sebenarnya dari belajar kos nie. Setelah panjang lebar mendengar peneranganku, dia mengangguk-anggukan kepala, tanda mengerti.



Sekarang giliranku pula yang bertanya kepadanya.



“Hasanah, boleh kongsi dengan akak tips untuk mengingati hafalan Quran? Kenapa ye kadang-kadang susah kita nak ingat balik apa yang kita telah hafaz dahulu. Macam mana cara kita nak sentiasa kekalkan hafalan Quran?”



Ku bertanya kepadanya tanpa sekelumit rasa segan.



Biarpun usia kami berbeza namun adik berusia 19 tahun yang berada di hadapanku ini bagiku bukan calang-calang orang. Bergelar ‘hafizah’ ketika dia berada di tingkatan 5. Berjaya menghabiskan 30 juzuk dalam masa 1 tahun 3 bulan. Manakala kakaknya pula berjaya menghabiskan hafazan dalam masa 7 bulan. Subhanallah…!



Hatiku jadi bertasbih tatkala memandang wajahnya. Putih bersih, bersinar-sinar nur iman, biasan dari hafalan al-Quran. Dia juga nampak tenang dan tawaduk. Sekali lagi bibirku bertasbih. Benar-benar rasa kagum memenuhi ruang hati.



Kagum kepada Pencipta yang Maha Besar, yang memberikan kekuatan kepada hamba-hambaNya untuk menghafaz ayat-ayat cintaNya.



Sungguh, bukan mudah untuk bergelar seorang ‘hafizah’. Dan bukan mudah juga untuk mengingati kalam kitab-Nya yang tersimpan seribu satu rahsia tentang maslahah kehidupan. Petunjuk dan cahaya ke arah yang benar. Mukjizat teragung yang DIA anugerahkan kepada Rasulullah saw dan umat Islam.



“Tips nak hafal al-Quran banyak kak. Antaranya, mula-mula kita baca ayat tersebut banyak kali, baca sahaja dahulu tanpa menghafalnya. Sekurang-kurangnya baca 40 kali ayat tersebut dan dengan sendirinya memori ingatan kita akan mengingatinya.”



“Nak kekalkan hafalan pula adalah dengan cara mengulang dan membacanya setiap hari. Sebaiknya, kita praktikkan di dalam setiap solat fardu.” Hasanah menerangkan satu persatu.



“Kak, al-Quran nie sebenarnya semakin kita mendekatinya, semakin ia merapati kita. Semakin kita mengejarinya, maka seribu kali ia berlari mendapatkan kita. Tidak akan ada alasan susah atau sukar untuk menghafalnya jika diri kita sendiri benar-benar mahukannya.” Hasanah menambah lagi.



Benar, benar, ku mengganguk-angguk tanda bersetuju dengan kalamnya. Teringat satu hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini.”



Ternyata pertemuan yang cuma sejenak masa itu memberikan ‘pulangan’ yang sangat berharga.



Dapat mengutip mutiara ilmu yang begitu mengesani hatiku. Selama ini mungkin ku hanya punyai hasrat untuk menjadi ‘hafizah’ namun sekian lamanya hasrat itu hanya terpendam jauh di sudut ruang hati.



Kini, ku tidak mahu terus lena bermimpi lagi. Akan berusaha sedaya upaya untuk mencintai ayat-ayat cintaNya.!



~sekian, sekadar coretan perkongsian. Salam seindah pagi jumaat, semoga beroleh manfaat~





Rasulullah s.a.w bersabda:


“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”




~Cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 21012012
: 0500 pm

12 January 2012

Belaian kasihMu









Jari-jemari terasa longlai. Badan semakin melemah. Terasa tercungap-cungap dalam desah nafas.


Seketika air jernih tanpa dipinta bergenang di tubir mata. Lantas sepasang pancaidera itu ditutup erat seketika. Menahan rasa dalam sebuah rasa.


Allah... hanya sepatah kalam itu yang mampu terucap. Perkataan lain sudah tidak mampu berkata-kata. Jasad benar-benar hilang daya. Kekuatan fizikal ternyata saat ini semakin lemah dan longlai.


Sakit.


Sesekali, seorang hamba perlu dibelai oleh Sang Pencipta. Dengan belaian kasih sayangNya yang Maha Sempurna.  


Ya. Oleh kerana manusia itu tidak mungkin akan sempurna, segagah manapun ia, sekuat manapun fizikalnya, maka sekelumit rasa yang bernama ‘sakit’ itu harus ia merasainya.



Ibnu Qayyim berkata:


“Kalau manusia itu tidak pernah mendapat ujian dengan sakit dan pedih, maka ia akan menjadi manusia yang ujub dan takbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya menjadi beku. Kerana itu, musibah atau bentuk apapun penyakit adalah rahmat Allah yang diberikan kepadanya dapat membersihkan jiwanya dan menyucikan ibadahnya.


Itulah ubat dan penawar yang diberikan Allah untuk setiap orang yang beriman. Ketika ia menjadi bersih dan suci kerana penyakitnya, maka martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan. Pahalanya pula berlimpah-limpah apabila penyakit yang menimpa dirinya diterimanya dengan redha dan sabar.”



Subhanallah…


Hati yang sebentar tadi merasa resah digamit pula dengan rasa keperitan sakit yang menjalar di semua urat saraf cuba untuk ditenangkan.


Sungguh, saat ini, tika ‘sakit’ mula mengambil alih tempatnya sihat, maka hati akan mudah untuk mengeluh dan mengaduh.


Andai hati tidak dididik dengan ‘iman sabar’, maka sudah tentu jiwa akan terasa untuk memberontak.


Andai hati tidak ingin melihat hikmah-hikmah di balik kesakitan ini, maka sudah tentu jiwa akan mudah digoyahkan oleh hasutan syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk hamba menyalahkan Tuhan.


Dan andai hati tidak dipesan dengan kalam Allah, pastinya diri akan merasa ragu-ragu, keliru dan berputus asa dari rahmat yang Maha Esa.


Sakit sebenarnya adalah teguran dari Allah. Bonus dari Allah.  Belaian dan bukti cinta Allah pada makhlukNya.


DIA tidak mahu diri terus alpa, tidak mahu diri merasa berbangga dengan asyiknya berkata-kata di masa sihat sehingga melupaiNya. Lalu dikirimkan sakit tanda DIA masih peduli kepada hambaNya.


Mungkin juga hubungan denganNya terabai, lantas DIA ingin hambanya mendekatiNya kembali, merapatiNya dengan serapat-rapatnya.


“DIA rindu untuk mendengar rayuan kita. DIA rindu untuk mendengar tangisan kita. Kerana rayuan dan tangisan itu hanya Dia yang maha mengetahui rasa sakit yang dirasa. Di saat manusia lain tidak akan mampu memahami dengan apa jua bahasa sekalipun.”



 Air jernih tidak segan-segan lagi mengalir. Terasa haru dan sebak memenuhi ruang atma jiwa. Mendengarkan pula kalam peringatan dari yang sabda Nabi SAW yang menyebut:

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

(HR. Bukhari-Muslim)



Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”




Ku cermin semula diriku. Cuba bermuhasabah kembali.


Allahu Allah…Cuma sedikit rasa sakit yang Kau berikan ini jika ingin dibandingkan dengan ramai lagi insan-insan di luar sana yang menderita penyakit yang lebih parah.


Yang mungkin saban hari bertemankan air mata menahan perit kesakitan. Yang mungkin penyakitnya jauh lebih kritikal dan serius. Yang mungkin mereka sedang mengira detik-detik waktu ajal datang menjemput di muka pintu.


Alhamdulillah …ku bersyukur padaMu Tuhan.. kerana telah memilihku untuk merasai rasa sakit ini. Kerana telah memilih jasadku untuk menanggung sedikit rasa pedih ini. Walhal sebenarnya ia adalah belaian kasihMu padaku. Sungguh, dalam sakit, hati terasa sangat damai dan bahagia. Dalam pahit, hati terasa lapang dan tenang.


Ajaibnya rasa yang Allah kirimkan kepada orang mukmin. Baru ku merasai manisnya sebuah ‘halawatul iman’, apabila semuanya dikembalikan dan disandarkan semula kepada Tuhan.


Dan sungguh, ku lebih suka memilih diuji dengan kesakitan daripada diuji dengan kelalaian. Kerana sakit itu membuatkan diri menjadi lebih insaf dan bermuhasabah akan hakikat sebuah kematian.


Cuma, mungkin ku sedikit kesal dan kecewa dengan diri sendiri kerana ku tidak punya daya kekuatan untuk lebih mara ke hadapan dalam berjuang di atas sabilNya.


Ibarat di medan perang, mungkin dakulah orang yang paling terkebelakang dalam mengangkat senjata untuk berperang, sedangkan sahabat-sahabat yang lain berada di saf hadapan dengan penuh semangat juang.


Benar… Melihatkan para sahabatku yang begitu tegar berjuang tanpa ada sekelumit keluhan penat dan lelah pada bibir mereka, ku jadi malu sendiri.


Sakit sedikit yang ku rasai ini sehinggakan ku terpaksa meninggalkan kelas ilmu seminggu lamanya. Undangan program juga terpaksa ku tolak. Langkahku mati serta merta.


Terasa benar ku tidak layak bergelar mujahidah. Kerana benar-benar tidak dapat ku bermujahadah dengan sedikit cuma ujian dariNya.


“Ya tuhanku..maafkanlah kerana hamba benar-benar tiada daya di saat itu. Semangat menjadi mudah luntur dek kerana jasad tidak mampu menanggung rasa sakit yang sedikit itu…”  :'(


Seminggu jua ku bermuhasabah. Inilah sebenarnya tarbiyah tanpa henti dariNya. Sungguh, ku tidak pernah ingin berhenti berjuang dari jalan dakwah ini.


Meski ku akui terasa lelah, meski kadang-kadang langkah terasa amat rapuh dan goyah, terasa kaki lebih ingin mundur ke belakang di saat sakit mula bertandang namun seakan datang sebuah bisikan iman pantas menyedarkanku.



“Apapun yang berlaku, dakwah perlu diteruskan. Teruskan berjuang sehingga nafas terakhir dijemput pulang. Pulanglah antara 2 pilihan, syahid ataupun kemenangan!”



Lalu ku sematkan kukuh-kukuh pesanan ini pada hati. Berazam, walauapapun keadaanku ini, ia tidak sesekali akan melunturkan semangatku untuk terus bersama-sama mereka berjuang sehingga ke akhirnya.


Selagi nyawa didakap jasad, selagi itu akan ku kerahkan seluruh tenaga dan jiwaku untuk Islam. Untuk terus bersama-sama orang yang berjuang di atas perjuangan menegakkan agamaNya.


Meski nafas termengah-mengah, kekadang langkahku terhenti sejenak menahan perit rasa di dada, namun ku cuba kuatkan langkah kaki dan semaikan kembali untaian doa kepada Rabbul Izzati.



“Ya Jabbar, berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada hambaMu ini…Meskipun hancur seluruh jasad namun jangan diambil sekeping hati yang ingin tetap thabat untukku terus berjuang di atas jalanMu…ku ingin menyumbangkan tenagaku untuk sabilMu sehabis dayaku, termampuku sehingga akhir nafasku ini…”









p/s: “Haru rasa hati apabila abi dan ummi yang senantiasa risau akan keadaan diriku, jua keluarga tercinta. Buat sahabiah, ukhti dan teman-teman seperjuangan yang tidak pernah jemu-jemu mendoakan kesihatan diri ini dalam diam dan sungguh,, ku dapat rasai keikhlasan ‘hantaran doa’ mereka di saat diriku terlantar lemah tiada daya..

Hanya Allah yang maha tahu ku amat bersyukur dikurniakan insan-insan ini, yang sangat prihatin dan mengambil berat padaku. Mereka tidak jemu-jemu meniupkan kembali semangatku yang hampir hilang. Allah…kuatkan daku untuk terus berdiri bersama-sama mereka yang mencintai jalanMu…!"




~sentiasa megharapkan redhaMu~

: hikmatul islam
: 11012012
: 1100pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...