29 May 2012

Ingin Terus Berjiran Hingga Ke SyurgaNya…




Bersaksi dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
                                                                                                                                                 
Cuti semesterku seperti biasa banyak dihabiskan masa bersama famili tercinta. Tidak ada lagi sibuk berkejaran ke mana-mana program, usrah atau kuliyyah seperti di kampus.

Masa yang ada memang diperuntukkan untuk famili sepenuhnya. Peluang yang jarang-jarang ada bagiku sebagai seorang pelajar, sememangnya terpaksa berpisah jauh dari keluarga lantaran berhijrah ke utara mencari ilmu agama.

Sungguh, dapat duduk-duduk bersama dan bermesra dengan keluarga merupakan suatu rasa nikmat yang sangat bahagia. Dapat menatap wajah ayah dan ummi, kakak, abang dan adik-adik sudah cukup membuatkan hati terasa lapang dan tenang. Apatah lagi ku punyai sebuah famili yang  besar berjumlah 13 orang semuanya. Memang bingit dan meriah.

Namun pulang ke rumah kali ini, barulah ku sedari dan dapat amati keadaan famili sedalamnya. Rupanya bermacam-macam hal yang datang menduga. Andai berada di kampus, tidak dapat ku ikuti semua perkara yang berlaku dalam keluarga lantaran sibuknya tugas sebagai mahasiswi di kampus.

Bukan tidak ku tanyakan khabar mereka, tetapi betapa familiku tidak mahu menceritakan semua perkara tersebut kerana takut fikiranku jadi terganggu dengan masalah yang berlaku. Ku jadi insaf sendiri. Mungkin ku perlu lebih prihatin dan lebih mengambil berat akan hal ehwal usratiku meskipun berhambatan dengan desakan waktu. Tidak boleh menjadikan sibuk sebagai alasan, bukan?






Hati masih lagi rasa terkesan dengan peristiwa petang tadi.  Ini merupakan kali yang ke-4 mereka datang dan memberi amaran yang sama. Kali ini benar-benar abi dan umi terasa hati dengan sikap jiran kami.

Mungkin kerana famili kami berdiam diri setelah 3 kali perkara yang sama berulang, jadi mereka rasakan kami tidak punya hati agaknya.? Yang paling ku kesali, jiranku yang tidak berpuas hati dengan kami tidak datang secara langsung kepada kami, malahan ‘menghantar’ orang lain memberi amaran kepada kami.

Persoalan yang membuatku bingung sekali,, kenapa dia tidak datang sendiri berhadapan dengan kami? Meluahkan sendiri rasa tidak puas hati itu?? Bukan dengan cara begini.

Ku sebenarnya kaget dan sedikit terkejut. Tidak disangka mereka bertindak sampai begini sekali. Bukankah apa-apa perkara yang tidak berpuas hati boleh dibawa berbincang? Tetapi sayang, mereka langsung tidak memberi kami ruang dan peluang. Menutup pintu serapat-rapatnya. Beginikah sikap kita sebagai seorang muslim yang beriman? Ku jadi kebingungan sendirian.

Selama kami diami di sini, hubungan kami baik-baik sahaja. Tiada perbalahan mahupun sengketa. Sedikit pun tiada. Namun tiba-tiba sahaja mereka bertindak seperti ini, membuatkan kami sekeluarga merasa sangat terkilan.

Saat ini cuma rasa terpanggil untukku berkongsi ilmu tentang hal kejiranan. Hak-hak tetangga. Ini bukan luahan untuk mengata kepada sesiapa, tetapi tulisan ini ditulis dengan harapan semoga sampai tulisan ini kepada mereka dan terbuka ‘rasa’ dalam hati mereka. Juga kepada pembaca agar mengambil ihtiman akan tanggungjawab terhadap hak tetangga masing-masing.


 Firman Allah Taala di dalam Surah An-Nisa' ayat 36 yg bermaksud:

"Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mensyirikkanNya dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yg mempunyai hubungan kerabat dan jiran tetangga yg bukan kerabat."






Ku petik pula hadis Baginda saw tentang hak-hak kejiranan:


“Demi Allah tidak beriman, Demi Allah tidak beriman, Demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: ‘Siapakah orang yang tidak beriman itu ya Rasulullah? Rasululah saw menjawab: Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Bukhari dan Muslim)


Sabda Nabi saw lagi:


“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepad Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (HR Muslim)


"Sesiapa yg menyakiti jirannya, maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yg menyakiti aku, maka sesunggunya dia telah menyakiti Allah Taala. Dan sesiapa yg memerangi jirannya, maka sesunggunya dia telah memerangi aku, dan sesiapa yg memerangi aku maka dia telah memerangi Allah." (Hadith Anas, Riwayat Abu As-Syeikh Ibnu Hibban)



Banyak lagi hadis-hadis yang lain tetapi ku kira yang ini sudah cukup untuk membuatkan kita merenungi dan mengamati setiap satu maksud yang ingin Baginda saw sampaikan. Besarnya pesanan Nabi saw jelas menunjukkan kehidupan seorang mukmin tidak akan sempurna pada mata kaca Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik pasti akan menganggu ketenteraman serta keharmonian rukun tetangga.

Kerana apa Nabi saw berpesan sedemikian rupa.? Kerana besarnya hak-hak jiran tetangga ini juga akan menentukan seorang mukmin itu menuju ke syurga mahupun neraka. Kita tidak mungkin dan bisa hidup sendirian dan keseorangan, tidak dapat tidak pasti akan bergaul dengan jiran tetangga dan masyarakat sekelilingnya.

Tetapi begitulah yang terjadi zaman kini. Lebih-lebih lagi tinggal di Bandar. Hilang adat kejiranan dan kebanyakan bersikap materealistik. Bagiku, sikap mementingkan diri sendiri ini mungkin masih bisa kita lenturkan sikap tersebut tetapi andai hadir sifat 'HASAD' dalam hati, maka rosak dan punahlah masyarakat. Kenapa harus hadir rasa cemburu dan dengki kepada kesenangan orang lain? sehinggakan berusaha mencari jalan menjatuhkan sesama saudara tetangga.


Memang ada manusia yang seperti itu. Tidak senang melihat orang senang. Sentiasa mencari jalan untuk menyusahkan dan menyakiti. Dalam diam rupanya ada rancangan yang diaturkan untuk menjatuhkan. Ya Allah! Tolong jangan kita semua ada sikap seperti itu andai kita benar-benar beriman dengan hari akhirat! Takutlah kepada azab yang menanti pedih dariNya kelak.


Sungguh sukar sekali untuk menemui jiran yang soleh. Jiran yang dapat membantu dan menolong kita di akhirat sana. Malahan jiran yang fasik akan semakin memayahkan lagi  penghisaban di hari hisab kelak dengan terabainya hak-hak yang sepatutnya. Nauzubillah…’Tuhan lindungi kami daripada bersifat zalim kepada diri mahupun orang lain…’





Teringat pepatah yang mengatakan:

"Andai orang melempar dengan batu, maka balaslah dengan buah"



Buah apa yang sesuai untuk diberikan sebagai balasan? Lalu menjawablah seorang hamba Allah. Berilah buah yang manis agar dia akan berasa senang bila memakannya, dan berilah buah yang masam agar dia akan mengingati dan perit untuk memakannya lagi. Unik dan menarik jawapannya tetapi mempunyai maksud yang cukup tersirat.

Begitulah ibaratnya. Orang yang memberi kepada kita keburukan, lebih mulia andai dibalasi perbuatannya dengan diberikan kebaikan dan kebaikan serta doa yang berterusan. Allah... bukan semudah yang dilafaz,, tetapi biarlah tetap mencuba untuk bertahan dengan kesabaran iman. 

Masalah apa yang sebenarnya berlaku biarlah ia menjadi rahsia, tidak akan ku cerita jauh pula untuk membuka aib sesiapa. Yang pasti, kami tidak akan rugi apa-apa kerana yakin pihak kami tidak bersalah. Biar Allah yang Maha Kuasa menguruskan semuanya.

Kami ingin terus berlapang dada dan memilih untuk bersabar serta memaafkan. UjianNya datang dalam pelbagai bentuk dugaan. Kami akan terus berdoa dan berdoa semoga Allah membuatkan hati yang keras menjadi lembut, membuatkan hati yang kasar menjadi tunduk, membuatkan hubungan kami pulih kembali. Semoga dengan senjata doa dan solat hajat berterusan maka akan datang pertolongan dari Tuhan. Semoga terus diberi petunjuk dan hidayahNya...Amin….sekian*


* pls: “Jiranku, ingin lagi terus berjiran dengan kalian hingga ke syurgaNya..!”





~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul Islam
: 1000pm
: 29052012

27 May 2012

* Ukhuwah Al-Asr *





(Ukhuwah Fillah ^^ Ukhuwah Al-Asr)


Bismillahirrahmanirrahim…


Lagi cerita tentang ukhuwah.

Mula-mula ku menulis dalam blog hikmatul islam ini, penuh ku postkan entry berkisar tentang ukhuwah. Pernah merasa manisnya berukhuwah dan pernah jua merasai peritnya berteman.

Terimbau seketika kisah suka duka dengan seorang sahabat rapat. Tersimpan kemas di lipatan memori ingatan. Lalu ku biarkan ia berada di memori itu sejak sekian lama.

Mungkin ku masih terkesan dengan ‘perpisahan’ ukhuwah dari seorang teman teramat akrab denganku itu, kemudian Allah ‘mengambil’ kembali daripadaku.

Hati diserbu seribu rasa, lalu bersatu menjadi satu tatkala mengenang kembali kisah ukhuwah itu. Namun, tidak ingin ku berlama-lama mengingatinya, biarkanlah kisah itu berlalu. Berlalu dengan larian waktu…

Ingin ku tinggalkan memori silam itu kerana memori itu tetap akan tinggal sebagai memori kenangan. Yang pasti teman sentiasa akan datang dan pergi dalam hidup ini.

Akan bertukar silih berganti kerana ukhuwah fillah itu bukan bermaksud ia harus sentiasa di sisi. Tetapi ia dibina kerana Allah, bertemu kerana Allah, dan akan berpisah jua kerana allah.

Masing-masing akan bergerak menuju ke destinasi abadi. Kerana itu, di sepanjang jalan kehidupan Allah mempertemukan kita dengan pelbagai jenis insan sebelum kita sampai kelak ke terminal penghujung kehidupan.
                                                                                                           
Ada yang datang singgah sekejap di tengah-tengah perjalanan, ada juga yang lama menemani kita berjalan tetapi hakikatnya tetap akan terpisah di hujung perjalanan.

Destinasi masih sama, tetapi hakikatnya kita semua melalui jalan yang berbeza-beza.



(destinasi yang sama: mari menuju jalan ke syurga-Nya!)


Tidak pernah sesekali ku nafikan bahawa ukhuwah fillah itu indah.

Indah seperti apa?

Seperti mentari yang muncul menyinari?
Seperti pelangi yang mewarnai?
Seperti cahaya yang menerangi diri?

Sesungguhnya,                 
Tiada kalam yang mampu mentafsirkan.
Tiada bahasa yang mampu diungkapkan.
Tiada perkataan tepat yang mampu diluahkan.
Semuanya perlu dirasai sendiri.

Ya. Perlu hati sendiri yang merasai. Merasai manisnya rasa ‘halawatul iman’ dalam berteman. Hanya diberikan untuk orang-orang yang beriman, yang saling berkasih sayang cuma kerana Tuhan.

Ukhuwah fillah. Sepatah kata yang cukup ringkas, tetapi mempunyai maksud yang sangat mendalam.

Dibina kerana Allah. Bertemu kerana Allah, berpisah juga kerana Allah.

Lebih ku sukai untuk namakan ukhuwah fillah ini dengan nama, ‘Ukhuwah Al-Asr’. Dipetik dari surah Al-Asr yang bermaksud:


“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh, yang saling berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran.”


Subhanallah…cukup ringkas, cuma tiga ayat tetapi mempunyai maksud yang cukup indah.

Benar, manusia itu rugi, andai dia tidak memanfaatkan waktunya dengan sebaik mungkin. Begitu juga dalam tema ukhuwah, waktu kita bersama dengan teman akan berlalu begitu sahaja andai kita tidak mengindahkan dengan ajakan untuk beriman dan beramal soleh.

Sama-sama ingin memperbaiki dan menegur diri kepada kebaikan, yang sama-sama ingin berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran. Itulah intipati sebenar ukhuwah fillah. Terisi indah niat yang tulus kerana Allah.

Kerana ia hanya inginkan redhaNya semata-mata. Tidak untuk kepentingan diri. Jauh sekali kerana kepentingan duniawi. Tiada hasad dengki, tiada sengketa dan aniaya. Yang ada hanyalah bahagia berteman dengannya.

Ukhuwah Al-Asr juga membuatkan kita semakin kenal dengan Pencipta. Membuatkan kita semakin menginsafi diri dari fatamorgana dunia. Ingin sama-sama berlumba mengerjakan kebajikan dan menjauhi semua larangan Tuhan.

Sedarilah, teman yang baik menegur bukan kerana membenci, tetapi dia menegur kerana sangat menyayangi diri. Teman yang baik akan benci melihat kejahatan dan keburukan yang kita lakukan, dia tidak tega melihat kita bergelumang dalam lumpur kemaksiatan.

Kerana berdasarkan ukhuwah al-asr itulah dia ingin melihat sahabatnya sentiasa suci dan bersih dari aib, kesilapan dan keburukan, ingin diri sentiasa kembali pulang dan dekat dengan yang Esa. Sungguh-sungguh dia berpesan kepada kebenaran ajaran Islam, dan berpesan-pesan lagi atas kesabaran menghadapi kerenah sesama insan.

Saling menasihatkan. Saling mendoakan. Tanpa jemu tanpa henti. Ikhlas di hati kerana apa? Kerana teman yang soleh ingin kita sama-sama masuk ke syurga. Dia tidak rela dan tidak sanggup melihat kita berjalan menuju kepada neraka.

Beleklah kembali kisah sirah para sahabat Baginda saw yang terdahulu. Mereka sanggup bergadai nyawa dan berkorban apa jua demi sahabat. Kerana keimanan mereka yang teguh, yang saling berkasih sayang untuk meraih cinta dan redha Rabbul Izzati.

Rasulullah saw bersabda:

“Umatku masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa serta kasih sayang kepada sesama muslim”



 (Ku kasihi kalian kerana Allah...)


Ukhuwah di alam nyata ternyata sangat indah dan membahagiakan. Memandang wajah sahabat dengan penuh kasih sayang, sudah cukup membuahkan pahala dan mengukuhkan lagi keimanan.

Apatah lagi bertambah uniknya ukhuwah yang Allah pertemukan dalam dunia maya, yang kini tiada sempadan. Jaringan ukhuwah bertambah luas andai teknologi itu dimanfaatkan.

Alhamdulillah, ku bersyukur sekali dengan anugerah ukhuwah yang tiada tara nilaiannya. Allah titipkan daku mengenali teman-teman yang solehah dan muslihah. Tanpa dirancang, tanpa dipinta Allah mempertautkan hati-hati kami di alam maya dan dipertemukan pula di alam nyata.

Mengertilah diri, bahawa kehadiran mereka adalah anugerah yang cukup berharga. Mengajar tentang erti hidup sementara dalam kembara mencari redha yang Maha Esa. Persis mutiara ukhuwah yang bergemerlapan di permata iman.

Hamdan Lillah tsumma Syukru Ilallah. Ku ingin sentiasa bersyukur dan menjadi hamba yang bersyukur.  Akhir kata, semoga tinta yang secebis ini bisa menjadi bukti syukurku kepadaMu Rabbi dan menjadi saksi cintaku kepada semua sahabat-sahabatku. Insya allah…


Ya Allah,
tika Kau hadiahkanku sahabat,
kau jadikanlah hatiku bersyukur atas kurniaanMu
kau jadikanlah hatinya berlapang dada menerimaku
kau jadikanlah kami saling menghargai keranaMu

Ya Rabbi,
tika Kau hadiahkanku sahabat
kau jadikanlah sahabatku ini sebagai teman seperjuanganku
saling memikul beban dakwah agamaMu
saling berjuang meninggikan deenMu
menjadi daieyah dan murabbiyah ummah
merawat dan mengislah ummat yg kian lelah

Ya Rabbul Izzati,
tika Kau hadiahkanku sahabat,
kau jadikanlah hubungan yang disemai ini atas redhaMu
teguhkannya di atas satu cinta kepadaMu
dilindungi dari hal-hal yang melalaikan dari mengingatiMu
dipagari dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan
saling menasihati kepada kebenaran
saling berpesan dengan kesabaran
sama-sama berlari mengejar redhaMu Ilahi

Terima kasih Tuhan
kerana mempertemukan daku dengan
insan-insan yang mencintai Al-quran
yang menjadikan As-sunnah sebagai landasan
hanya Engkaulah sandaranku
dalam memelihara mereka
yang menjadi kekuatan dalam madrasah kehidupanku ini                               

Ya Allah
bahagiakanlah hatiku
dan seluruh sahabatku dengan cinta kepadaMu..!





((Dedikasi special untuk :))

sahabat alam nyata: aishah, aya, yah, yusra, k.syah, k.nurul, k.suzi, k.tiemah, ainaasyahira, anne , ain, tie, asilah, amnah, cikine, sofia.
                                                                                                                                            
~terima kasih kerana sentiasa berada di sisi ini yang selalu mengajarku erti sebuah senyuman kebahagiaan~ =)

sahabat alam maya: ukhti Reidha Hayati, Shy mushah, Fara Rusli, Aisha  Rash, Nur Amira Aqila, Safa Marwah, ukhti Al-Hijrah Solehah, Syafiqah Rahmat, Mahu Berubah, ukhti Dr. Siti Rahayu dan Dr. Aini.

~ku bertuah mengenali kalian umpama kerlipan bintang di tengah malam, datang menyinari hati yang kelam~ ^^,

murabbiah: kak nik, k.eijah dan k.erni

~kalian pendidik terbaik buat diri ini untukku terus kuat berada di atas landasan perjuangan, syukran ukhti atas segalanya~ :')


* Juga untuk semua sahabat-sahabat yang mengenali diri ini: rakan-rakan fb, ahli bait barokah, adik-adik usrah dan teman-teman seperjuangan. Tak tersebut nama semuanya..  Sungguh, ku bersyukur padaMu ya Tuhan atas anugerah nikmatMu. Doaku satu, semoga dihimpunkan kami semua kelak di dalam syurgaMu…amin *



~Cuma ingin redhaMu~

: hikmatul-islam
: 26052012
: 0800pm

26 May 2012

Cerpen: “Kerlipan Stanza Cinta-Nya”






“Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya sama dengan orang yang dijadikan terasa indah baginya perbuatan buruknya dan mengikuti keinginannya?” (Muhammad: 14)



Kalam agung itu seakan-akan bergema kuat di gegendang telinganya, terus melantun dan melekat rasa getar di dalam hati. Seakan-akan menyelinap halus peringatan Tuhan kepada diri.

Balqis tersedar dari tidur. Dadanya berdebar-debar. Hatinya digoncangkan dengan goncangan perasaan yang maha hebat.  Peringatan apakah ini??

Jam menunjukkan 3.30 pagi. Pantas dirinya bangun dan berwuduk. Sejadah dihampar, dingin pagi menyaksikan sesosok tubuh tunduk sujud memohon ampunan dan petunjuk dari yang Maha Kuasa.

Usai solat tahajud, dia berwirid. Terus bertasbih, bertahmid memuji Tuhannya sehingga debaran di dadanya tadi kian hilang. Menjadi damai. Balqis kian yakin, mimpinya sebentar tadi bukan sekadar mimpi biasa. Tetapi ia adalah peringatan dan petunjuk Tuhan kepadanya. 


Lantas dengan mengumpulkan segala kekuatan, dia bangun menghadap notebook miliknya dan menaip setiap baris kata dengan berhati-hati. Setengah jam kemudian, isi surat itu menjadi lengkap. Lantas di-emelkan kepada seorang hamba Allah.


Selesai sahaja menghantar warkah tersebut, air mata Balqis menitis mengalir menuruni pipinya yang licin dan gebu itu. Balqis menyedari mengambil keputusan seperti ini turut melukai hatinya. 


Baginya, biarlah terluka untuk hari ini jangan ia lebih parah terluka untuk masa depan nanti. Balqis nekad. Dia tidak akan sesekali berganjak dari keputusannya lagi…


*******************


Balqis termenung. Memandang jauh ke dada langit. Kitab di tangan ditatap dengan pandangan yang kosong. Sudah seminggu Balqis seperti itu, tidak mampu menumpukan perhatian penuh pada dirosahnya. Kemudian terpancul bisikan pada dirinya sendiri,

“Ya Allah! Kenapa aku terus begini? Peganglah hatiku ini Ya Rabb, jangan biarkan daku sendiri.. Jangan biarkan aku lemas dalam emosi  perasaan yang menipu daya…”


Hati Balqis merintih sayu sambil berdoa semoga Allah menguatkan imannya di saat dia merasa lemah dan goyah.


Kemudian dia teringat kembali perbualan dengan sahabat baiknya, Hikmah yang sentiasa punya waktu menjadi pendengar setia luahan hatinya.


“Hikmah, semalam Qis dah tetapkan satu keputusan. Qis mahu berundur dan menjauhkan diri dari hidup Irham. Tapi, Qis merasa tidak kuat untuk menghadapi semua ini… Qis bimbang jika Qis tidak dapat istiqamah...” Ada bunyi sendu di hujung kata.


“Kenapa ni Qis? Cuba ceritakan satu persatu kepada Hikmah apa yang dah brlaku?” Hikmah bertanya sambil memegang bahu Balqis.


 “Qis bimbang tidak dapat menjaga hati ini, Hikmah. Meskipun kami hanya berhubung soal dakwah, perjuangan dan kata-kata taujihad, namun hati ini semakin ‘tenat’ dibius halus oleh perasaan yang bersandarkan kepada hawa nafsu. Ditambah lagi ungkapan kalimah ‘Ana Uhibbuki Fillah’ yang diucapkan oleh Irham, menambahkan lagi kebingungan dan seribu persoalan yang sukar untuk Qis tafsirkan…


Qis tidak mahu dibuai oleh angan-angan dan perasaan yang menipu. Sukarnya untuk menjaga hati ini Hikmah…Qis rasa amat berdosa, tidak tahu di mana letaknya Allah dalam hati ini.?? Rasa ia telah terganti dengan dengan makhlukNya.. Allahurabbi…” Esakan Balqis kian kedengaran lebih jelas.


Hikmah terus mendengar dengan penuh setia, membiarkan Balqis menghamburkan segala rasa dalam bicara.


“Walaupun berhubung dengan Irham untuk perkara yang baik tetapi bercampur gaul antara urusan yang penting dengan tidak penting. Semakin dilarutkan dengan soal hati dan perasaan. Sesekali diselitkan dengan senda gurauan sampai berlebihan. Semakin Qis menafikan perasaan dan bermujahadah melawan rasa dalam hati ini tetapi semakin kuat pula perasaan itu hadir. 


Qis tidak mahu tertipu dengan kelicikan syaitan yang mengaburi mata hati yang cuba menghiasi dan melihat semuanya itu perkara-perkara yang elok tetapi matlamat tetap tidak menghalalkan cara kan Hikmah. Hakikatnya makin bertambah titik noda dalam hati, terasa hilang semua nikmat kemanisan bersamaNya selama ini…”


Air mata Balqis semakin lebat, dikesat dengan tisu yang dihulurkan oleh sahabat baiknya itu. Bagi Balqis, biarlah dia menangis hari ini menangisi dosa-dosa hati, dia tidak mahu menangis kelak kerana kemurkaan Ilahi. Dalam sebak, dia menyambung kembali pertuturannya.


“Allahuakbar…Qis merasa amat malu dengan Hikmah dan sangat malu pula dengan Allah… Betapa sukarnya untuk tetapkan hati ini kepada Ilahi, Sang Pencinta yang kekal abadi. Sebab Qis cuma seorang wanita yang lemah, mudah terusik emosi dan perasaan lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan seorang muslimin yang cukup sempurna sifat solehnya. Qis tidak mahu rasa ini jadi semakin parah dan jadi pula zina hati. 


Takut sekali apabila memikirkan jika Qis akan menjadi fitnah kepada dirinya serta akan melemahkan imannya tanpa sedar. Akhirnya setelah lama bermuhasabah meminta kekuatan dan petunjuk dari Allah, Qis nekad mahu jauhkan diri dari hidup Irham…Biarlah masa yang menentukan segalanya, andai benar dia jodoh yang Allah tetapkan untuk Qis, semoga ditemukan kami dalam ikatan yang sah dan halal di sisi-Nya bukan dalam keadaan lalai seperti ini...”



Balqis menangis lagi. Kali ini esakannya bertambah kuat. Biarlah. Saat itu dia ingin menangis semahu-mahunya, berharap keresahan perasaan itu akan hilang ditiup oleh angin ketenangan dariNya. Berharap cahaya cinta daripada Maha Esa yang kian malap dan sirna, akan kembali menerangi hatinya semula.


Hikmah memeluk erat sahabat baiknya, berusaha untuk menenangkan jiwa seorang sahabat yang sedang lagi bergolak hebat diuji dengan jihad hawa nafsu. Sememangnya, perang hawa nafsulah sehebat-hebat perang berbanding dengan perang fizikal yang berlawan dengan musuh di medan perang.


Hikmah lalu membacakan kalam suci-Nya dalam Surah Fussilat, ayat ke 35-36 yang bermaksud:

“Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.”
“Dan jika setan mengganggumu dengan suatu godaan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sungguh, Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”


“Duhai sahabatku Balqis, sesungguhnya mempunyai perasaan cinta kepada makhlukNya adalah fitrah yang Allah anugerahkan perasaan itu bagi setiap insan. Cuma, fitrah itu akan bertukar menjadi fitnah andai kita tidak pandai menguruskannya. 


Lebih parah lagi, apabila hati kita dibutakan dengan cinta manusia sehinggakan kita lupa cinta yang utama adalah cinta kepada yang Maha Esa. Teguhkan cinta kepadaNya dan bertawakkallah. Sesungguhnya Allah lagi sedang cemburu padamu...”

Pertemuan mereka di Taman Seri Cahaya pada petang itu tidak lama kerana Hikmah perlu berkejar ke tempat program Tahsin Al-Quran bersama adik-adik junior yang lain. Balqis tidak terlibat sama lantaran program musabaqah Qiraatnya juga akan berlangsung tidak lama lagi. 


Sememangnya Hikmah ingin menemani Balqis lebih lama namun apakan daya masa tidak mengizinkannya berbuat demikian. Hikmah mengerti Balqis amat memerlukan kekuatan dan sokongan darinya kini di saat iman kian melemah.





Usai ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus selepas solat Insya’ di Masjid Al-Bukhari itu, Hikmah mencari ruang seketika untuk menghantar SMS kepada Balqis. Ingin memberikan kata-kata semangat yang dapat menenangkan hati sahabatnya itu.

“Balqis, sahabatku dunia dan akhirat. Tabahkanlah dirimu mengharungi badai keresahan jiwa dengan diberikanNya ujian hati ini. Kita hanya ada dua pilihan. Memilih dengan akal atau memilih dengan perasaan. Sesungguhnya, akal memberikan garis panduan dan jalan kebenaran kepadamu. 


Andai terus-terusan Balqis berhubung dengan Irham tanpa keperluan dan batasan maka zina hati itu akan semakin memudaratkan kalian kerana syaitan tidak akan sesekali berdiam diri, terus-terusan menggoda sehingga anak Adam tersungkur jua ke lembah maksiat ke dalam jurang zina yang akhirnya pasti akan membinasakan diri kelak.

Dan jika kita memilih untuk mengikut perasaan, maka nafsulah yang akan menjadi tuan kepada kita sehingga kita tidak lagi rasa bersalah berhubungan dengan lelaki ajnabi yang tiada ikatan sah dengan kita sedangkan dalam diam kita telah mempunyai perasaan kepadanya. Malahan, semakin larut dalam emosi khayalan dan angan-angan membuatkan kita semakin melupakan Tuhan. Lupa matlamat sebenar dakwah dan perjuangan.

Teman, sesungguhnya dirimu telah mengambil keputusan yang benar dan tepat. Insya-Allah DIA tidak akan sesekali mensia-siakan jihad hawa nafsumu ini. Allah pasti akan menetapkan keputusan yang terbaik buat Balqis, serahkan segalanya pada DIA. 


Yakin dan percayalah pada Pemilik cinta Agung. Jika redha dan cintaNya yang lebih kita utamakan dan kita buktikan dengan jihad ini, maka selayaknya Pemilik Cinta juga akan membalas cinta yang sangat indah buat kita."



Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“ Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi ” (Al-Mukmin:55)


Air mata Balqis tidak henti-henti mengalir tatkala membaca tiap bait patah kata dari Hikmah. Subhanallah…dia berasa bersyukur dan bertuah kerana Allah telah menitipkan seorang teman yang sangat baik buatnya, seorang teman yang senantiasa mengingatkan dia kepada Pencipta, seorang teman yang sentiasa memberi nasihat, sokongan dan dorongan di saat imannya semakin pudar dan kelam.

Balqis tidak jemu-jemu menadah tangan berdoa dan terus berdoa kepada Tuhan tanpa henti. Dia terus meminta dan memohon kekuatan dariNya untuk menghadapi ujian hati ini. Sememangnya dia akui, diberi ujian hati ini tidak semudah yang dia sangkakan. Bukan semudah dengan dia berjihad dengan buku, perasaan malas, atau perkara yang lain.

Ujian hati berhadapan dengan sepatah perkataan ‘cinta’ satu ujian yang cukup hebat kerana di tempat inilah sekeping hati yang sentiasa berbolak balik. Syaitan pula tidak pernah bosan untuk terus menggoda agar lebih mengutamakan hawa nafsu dan mengetepikan syariat Tuhan. 

Ia ternyata sangat sukar untuk dijaga, melainkan dipohonkan kekuatan agar Allah yang Maha Kuasa yang melindungi sekeping hati itu dari pelbagai serangan tipu daya dan menetapkan hati hanya untuk Ilahi.

"Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Mengetahui segala isi hati"
(Al-Maidah:7)



Benarlah, ujian ini memberikan seribu hikmah pengajaran kepada diri Balqis. Dalam terlalai, Allah ingin Balqis semakin mendekat. Dekat kepadaNya, bukan semakin menjauh. Untuk diangkat martabat menjadi seorang hamba yang solehah dan mukminah.

Hembusan angin damai dari Tuhan membuatkan hati Balqis kini semakin tenang diselimuti bayu ketenangan. Sebuah ketenangan hati yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Benarlah, ketenangan hati itu sukar diperoleh melainkan dengan mendekatkan diri kepadaNya jua… 


*******************




Irham pula menyepikan diri, langsung tidak membalas sedikit pun warkah yang dilayangkan oleh Balqis. Sebenarnya Irham juga merasakan perasaan yang sama. Perasaan yang bersalah dan berdosa kerana telah mengungkapkan kalimah cinta kepada Balqis sebelum tiba masanya. Berselindung di sebalik kerja-kerja dakwah untuk mendekati gadis itu sehinggakan sudah melampaui batasan syarak gariskan. 


Irham insaf. Imannya bagai diketuk tatkala membaca isi surat Balqis. Oleh itu dia akur dan pasrah menerima keputusan Balqis, dalam diam bermohon kepadaNya agar Allah terus menjaga dan melindungi insan yang dicintainya itu.

Irham berharap suatu hari nanti Allah akan mempertemukan mereka dalam ikatan yang sah. Dia juga tidak akan berputus asa berusaha dan berdoa agar Allah memperjodohkan dia dengan Balqis kelak kerana cuma insan itu yang berjaya mencuri hatinya. Dengan akhlak dan keteguhan iman yang Balqis miliki, itulah sebenarnya yang menarik hati Irham sejak sekian lama.

Ditambah lagi dengan ketetapan hati yang nekad Balqis ambil untuk menjauhkan diri daripadanya. Tegasnya sebuah prinsip untuk memelihara cinta kepada Ilahi, cinta kudus hanya untuk suami yang sah dinikahi. Meskipun Irham turut merasa sedih dan berat hati di atas perpisahan tersebut namun dia akur dengan kehendak dan aturan Allah yang Maha Kuasa. 


Dia tetap meyakini dan mengimani, janji Allah adalah pasti. Dia berjanji untuk merubah diri, ingin turut sama mengejar cinta hakiki. Bermujahadah melawan hawa nafsu demi mengecapi cinta abadi, dengan ikatan perkahwinan yang suci apabila tiba saat masanya nanti.

“Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu.”(Muhammad: 31)


 *******************


Tanpa sedar masa berinjak pantas berlari. Dua tahun berlalu pergi. Kali ini Irham tidak akan bertangguh lagi. Dia telah menyiapkan dirinya dari segala sudut dan persiapan iman yang paling utama. Setelah berkali-kali beristikharah, hari ini dia akan melamar Balqis. Risikan itu telah dia khbarkan terlebih dahulu kepada ibu bapa Balqis tanpa Balqis ketahui.

“Aku terima nikahnya Nur Balqis Insyirah Binti Mohd Nor dengan mas kahwin RM 99 tunai”

Para saksi mengangguk menyetujui  syarat sah.

Sesungguhnya saat lamaran dari Irham datang, Balqis terus sujud syukur lantas memeluk erat sahabat baiknya Hikmah kerana kesabarannya selama ini telah berbayar. 


Ternyata Allah tidak mensia-siakan doanya. Allah tidak mensia-siakan segala jihad hawa nafsunya dahulu. JanjiNya telah ditepati buat orang-orang yang berpegang padaNya tanpa jemu.

Dua hati yang bermujahadah kembali bertaut dalam rahmat kasih sayang Ilahi. Kini, Balqis telah sah menjadi milik Irham. Menjadi bidadari terindah dalam hidup Irham. 


Mereka bahagia dalam pelukan kasih sayang Tuhan. Suci dan indah dalam naungan cinta Ilahi. Dalam penuh keberkatan dan keredhaan dari Rabbi. Itulah janji Tuhan buat mereka yang berpegang dengan teguh di atas landasan keimanan dan ketakwaan. Benar sekai janji Rabbi yang berfirman:



 “Dan barangsiapa berserah diri kepada Allah sedang dia orang yang berbuat kebaikan maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul (tali) yang kokoh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan. (Luqman: 22)




*tamat*


P/s: “CINTA ALLAH...Cinta padaNYA tidak pernah rugi, cinta hakiki yang abadi. Mohonlah apa sahaja, pasti akan dimakbulkan. Cuma, ikhlaslah mencintaiNya. Terkadang cepat dianugerahNYA, terkadang lambat dikurniaNYA kerana cinta kepada Ilahi banyak ujian akan mengiringi. 

Yang mesti diharungi demi menguji diri yang tabah dan sabar sahaja akan dapat merasa nikmat cinta yang indah tidak bertepi. Sesungguhnya, berbahagialah mereka yang memperolehi cintaNYA. Cintailah Allah, pasti DIA akan mencintaimu dan seluruh makhluk juga akan turut mencintaimu!”


~cuma ingin redhaMu~

: lakaran idea di hujung pena
: hikmatul islam
: 26052012
: 0500 pm

25 May 2012

~Pencari Pernik Cahaya Cinta~




Pada-Mu saja ku mengadu
Resah gelora yang menghempas kalbu
Terasa berat namun apa daya ku luahkan
Walau sarat terasa malu pada-Mu Rabbi


Akulah insan yang berjuta dosa
Tiada mengenang erti kesalahan
Berkali-kali masih terulang segala kesilapan
Terus ku berjalan dalam kelalaian


Meski ku tahu pedihnya iman
Masihku disini terantai nubari
Detik nadi bagaikan terhenti
Andai aku di sisi rahmat-Mu Ilahi
Berhakkah ku ulang masa lalu lagi?


Namun ku sedari ia cuma mimpi silam
Ku ingin terus berlari mengejar sinar ampunan
Meski diri berpalit lumpur dosa yang hina
Tetapi Tuhanku tidak pernah menghina
Kerana ku tahu di hujung itu ada cahaya bahagia
Buat hamba yang tidak berputus asa dari rahmatNya
Kan ku terus mencari nur cintaNya
Biar bersemi abadi hingga hujung ‘sana’…





~nukilan rasa jiwa sahara~

: hikmatul islam
: 21052012
: 1200 am

“Sentiasa ingin kembali padaMu….”




“Astaghfirullahalazim… Astaghfirullahalazim… Astaghfirullahalazim…”

Kalam suci itu semakin lama semakin mendayu diungkapkan dalam sebuah lafaz... Mata dipejam erat. Bayangan-bayangan dosa silam menjelma di tubir mata, seakan-akan sebuah skrin yang menayangkan kembali satu persatu kesilapan diri yang terlalu banyak dilakukan...rasa tidak terhitung lagi…seraya air jernih terus menitis. Hangat. Semakin lama hati menjadi semakin sebak…pilu menusuk-nusuk ruangan sanubari…

“Allahurabbi…terlalu menggunung dosaku ini..apakah Engkau masih sudi memaafi? Meski berkali-kali ku ungkapkan kata lafaz untuk kembali, tetapi janji itu sentiasa dimungkiri.. Apakah masih ada kesempatan lagi untukku mengukir taubat ini…??




Dosa-dosa yang dilakukan terasa kian menghimpit dada, hati menyedari sejadah iman terlalu banyak telah terkoyak, lantas apakah ia masih dapat dibaiki?

Hati pula terus menyoal, apakah diri masih layak untuk memohon keampunan Tuhan sedangkan berkali-kali masih mengulangi dosa yang sama??

Seringkali itulah yang dipersoalkan kerana beranggapan sukar sekali meraih keampunan lantaran terlalu banyak kesilapan demi kesilapan yang dilakukan…

Mari kita duduk seketika, wahai saudara dan saudariku yang dirahmati Allah sekalian.

Ambillah masa cuma seminit dua, berusaha untuk menghabiskan bacaan sampai di akhir tulisan ini. Entry kali ini penulis ingin kita sama-sama bermuhasabah diri. Diriku dan dirimu jua.
Semoga seminit yang dibaca dengan penuh rasa keinsafan, moga akan ada hati yang tergerak untuk menyedari betapa Sang Khalik sentiasa menunggu kita. Ya. Menunggu kita semua…!


Nobody Perfect


Sememangnya tiada manusia yang sempurna. Nobody perfect.

Manusia diciptakan dengan asal perkataan ‘nasia’ iaitu lupa.

Benar, selalu lupa.

Lupa kita cuma hamba-Nya.

Lupa kita hanya tinggal di dunia ini hanya sementara.

Lupa kita akan kembali kepada Dia.

Lupa kita akan dihisab dan dikira, apakah titik terakhir nanti ke syurga atau neraka??

Lihatlah. Betapa lupanya kita seorang hamba, yang cuma berasal daripada sari pati air mani yang hina. Lupa kerana terlalu asyik dan seronoknya dengan dunia. Seringkali juga lupa bahawa Raqib dan Atid yang sentiasa setia menulis amalan kita. Alam ghaib yang tidak ternampak di mata sememangnya membuatkan kita mudah lupa...

Meskipun diri tidak sempurna, seringkali melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa mengulangi kesilapan yang sama, maka kita perlu akui dengan kekurangan kita sebagai manusia yang tiada seorang pun yang benar-benar sempurna, bersih dari segala dosa dan noda. 

Hakikatnya, kita sentiasa berdosa. Dosa juga kadang-kadang tidak nampak jelas di mata, tetapi sebenarnya ia dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup, yang masih diberikan petunjuk dan hidayah oleh-Nya.

Bersyukurlah jika kita masih berada dalam golongan yang diberikan petunjuk itu. Sekurang-kurangnya hati kita masih hidup, tidak mati dari mengingati Sang Pencipta yang menciptakan diri sebagai hamba.

Pendek kata, kita masih ingin kembali...

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (QS. Al Baqarah: 222)






Jangan Berputus Asa Dari Rahmat Allah


Tidak dinafikan, dosa-dosa silam pasti akan menggamit naluri hati, menyesakkan rasa di qalbi sehingga kita merasa seakan berputus asa…

Tetapi, jangan biarkan ia sirna kerana kita masih punya masa. Selagi ajal tidak datang menjemput, selagi diri masih dapat bernafas, maka selagi itu jugalah pintu langit pengampunan Ilahi tetap sentiasa terbuka untuk kita.

‘La taiasu min rauhillah.’

Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Ibaratkan diri seperti sang labah-labah. 

Meskipun sentiasa rosak dan hancur sarangnya, tetapi tidak sesekali sang labah-labah merasa berputus asa. Membaiki, membaiki dan terus membaiki sehingga sarangnya menjadi pulih seperti biasa.

Begitu juga dengan diri kita. Apabila kita telah menyedari diri telah melakukan kesalahan dan dosa, segeralah kita beristighfar dan memohon ampunan dari Ilahi. Kembalilah semula kepada Tuhan yang Maha Pengampun.

Janganlah sesekali merasa bosan mahupun berputus asa memohon ampun kerana sesungguhnya DIA tidak pernah sesekali bosan mendengar rayuan permohonan maaf dari hamba-hambaNya.

Firman Allah swt:

“ Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54).


Taubat Orang Berdosa Lebih Baik


Bagi orang yang berdosa, belum tentu selamanya dia terus kekal dalam keadaan berdosa dan tidak ada hak untuk kita menghakimi dirinya sepantasnya ke neraka, kerana orang yang berdosa tetapi bertaubat itu jauh lebih baik dari orang yang jarang dan tidak pernah bertaubat, lantaran merasakan diri telah sempurna imannya.

Sehinggakan dalam dirinya timbul perasaan ujub, riak dan bangga dengan diri sendiri, merasakan sudah alim dan sangat baik di hadapan manusia maka itu jauh lebih dahsyat kerana sesungguhnya tiada seorang insan pun di dunia ini yang sempurna melainkan DIA Tuhan yang memiliki zat yang Maha Sempurna.

Kadang-kadang Allah memang sengaja mengatur takdir membuatkan kita melakukan kesalahan dan dosa itu, terjerumus juga dengan dosa dan maksiat meskipun kita telah berusaha menghindarinya.

Kerana apa? kerana DIA ingin menguji tahap keimanan kita, apabila kita telah melakukan dosa tersebut, apakah kita kembali semula kepada Allah dan meminta keampunan dariNya?

Dan sesungguhnya jauh lebih baik orang yang diuji dengan maksiat dan terjerumus dengan dosa,maka akhirnya dia sedar kembali bertaubat dan membersihkan dirinya serta berusaha dan berazam menjadi lebih baik dari sebelumnya sehinggakan dia menjadi semakin taqarrub dan lebih dekat dengan Sang Pencipta.

Tetapi jangan salah faham pula akan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis di sini. Tidak pula beerti kita harus melakukan maksiat dahulu baru ingin kembali kepadaNya tetapi ika kita telah bermujahadah dalam ketaatan kepadaNya namun kita jadi terlalai dan terjebak juga dengan maksiat, maka berusahalah untuk membersihkan diri dan kembali semula kepadaNya.

Firman-Nya yang beerti:

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika kamu orang yang baik, maka sungguh Dia Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat” (Al-isra’:25)





Martabat Semakin Diangkat Bagi Taubat Yang Ikhlas


Alunkanlah irama zikir sayyidul istighfar di bibirmu…Perlahan-lahan, bangun dan berwuduklah. Menyungkur sujud dua rakaat yang dilakukan dengan penuh keinsafan jauh lebih baik dari beribadat seribu tahun.

Firman Allah SWT yang Maha Agung bermaksud:

“Dan mohon ampunlah (beristighfar) kamu kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kamu kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kamu kesenangan yang baik sehingga sampai ajalmu” (Hud: 3).

Jika hati terasa sebak, maka menangislah, kerana air mata yang jatuh menitis itu akan menghancurkan rasa ego di hati, memusnahkan runtunan rasa nafsu yang sentiasa bergelodak di jiwa.

Jangan malu untuk menangis di hadapan-Nya kerana ia bukan mnjadikan kita semakin terhina, malah akan semakin diangkat darjat dan martabat kita di sisi-Nya.

Orang yang tidak bisa menangis, yang tidak mampu untuk mengalirkan air mata walau setitis apabila mengingati dosa-dosanya maka ketahuilah hatinya masih lagi terikat dengan dunia, masih lagi keras dan tinggi egonya di hadapan Allah.

Oleh itu, didiklah hati, sucikan jiwa dengan taubat kepadaNya…

Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulpun memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (QS. An-Nisa: 64)


Allah Sentiasa Menunggu Taubat Kita


Sedarilah. Allah Sentiasa Menunggu Taubat Kita. Dia tidak pernah jemu dengan taubat sang hamba. Dia tidak pernah bosan mendengar rayuan ampunan kita. Rintihlah selagi kita dapat merintih. Rayulah selagi kita dapat merayu.

Dambaan sarat dengan penuh pengharapan kita mengharapkan semoga jalan yang dahulu gelap kembali terang. Hati yang gundah dan gelisah digamit dosa lalu pasti akan kembali tenang dan tenteram andai kita mendapat pengampunan dari Tuhan.

Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :

“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku (keampunanku) sebanyak seisi dunia”.

Seperti sabda Rasulullah saw :

"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian."
(Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah)

Subhanallah. Lihatlah, betapa PEMAAFNYA DIA. Maha Suci Allah yang maha pengampun lagi maha penyayang…




Penutup: Rebutlah peluang bertaubat


Selagi nafas masih bisa berhembus, selagi masih punya kesempatan dan waktu maka jangan sesekali disia-siakan kerana apabila ajal datang menjemput, maka sudah sia-sia semua taubat itu.

Lihatlah betapa banyak kalamNya menyebut untuk menerima taubat dari kita, pintunya sentiasa terbuka, tetapi jika kita tidak menghargai,maka kitalah orang yang paling rugi.

Ubahlah diri sebaik mungkin. Jangan sesekali merasa putus asa untuk mengubah diri.

Dekatkan diri sebaik mungkin kepada Sang Khalik, itu terapi dan penawar yang paling terbaik dan mujarab.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

"Dan Dialah Yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan." (QS. Asy-Syuuraa: 25)

Berdoa dan terus berdoa semoga Allah memperbaiki diri kita, hidup kita ke arah lebih baik, lebih berkat dan lebih diredhai-Nya. Insya Allah… semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang suka menyucikan diri dan bertaubat kepadaNya…

Sekian. Wallahu’alam.


“Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang baik, meskipun masih digamit ghairah dosa dan kejahatan nafsu. Pintalah keampunan dariNya kerana Allah tidak pernah jemu dengan taubat sang hamba selagi kita tidak berputus asa meminta. Ukirlah rasa taubat itu setulus dari hatimu. Semoga dari ketulusan itu, Allah mencurahkan keampunan dan kemaafan, serta menyinari hidupmu seterang bintang di tengah malam,menetapkan hati di atas keimanan dan ketakwaan serta memberikan ketenangan dan kedamaian di sepanjang jalan kehidupan…  ”




~cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 20052012
: 0300 am

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...