Bismillahirrahmanirrahim….
Ceritanya terus dibaca dan dibaca. Tanpa
jemu, ia diulang-ulang. Terus diceritakan dari zaman ke zaman. Sehinggalah
sampai kepada kita, pada zaman akhir zaman. Apakah kalian benar-benar telah
mendengarkan.?
Ia bukan cerita biasa. Ia bukan cerita
dongengan dahulu kala. Tetapi ia adalah sebuah cerita yang sangat mengagumkan
dan cukup luar biasa.
Sungguh, tatkala ku baca dan ku khatamkan
semula kisahnya, hati akan senantiasa bergementar. Tidak dapat digambarkan
dengan kalam, hanya perasaan yang bisa menterjemahkan.
Begitu terasa
hebatnya keagungan Allah, yang meliputi segala langit dan bumi, yang Maha
Pemurah lagi sangat Penyayang kepada hamba-hambaNya.
Air mata tidak segan silu berguguran kerana
rasa dalam hati bercampur aduk menjadi satu, tatkala membayangkan satu persatu
apa yang berlaku di dalam kisah itu.
Rasa takut, sedih, gembira, terharu
bergaul menjadi satu. Terlalu banyak ibrah yang dapat dipelajari dan diamalkan.
Bukan hanya dengan mendengarkan.
Benar, membayangkannya tidak akan
tercapai dengan hanya sebuah logika, kerana kemampuan akal sangat terbatas dan
tidak akan mampu memikirkan di balik alam ghaib yang tidak nampak dengan
mata zahir. Tetapi ia bisa diyakini dengan mata hati yang disaluti keimanan
teguh kepada kekuasaan Ilahi.
Ceritanya tentang sebuah ‘perjalanan’
kekasih Allah. ‘Perjalanan’ yang cuma mengambil masa semalaman tetapi cukup
beerti bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran.
Kisah itu bukan setakat perlu
mempercayai dan beriman, tetapi kutipan ibrah dan hikmah yang terselindung di
sebalik sebuah kisah perjalanan yang cukup menginsafkan. Itu yang perlu
diperhatikan.
Keyakinan dan kepercayaan
yang teguh
Akan tetapi, apabila Nabi Allah
menceritakan kisah tersebut kepada para sahabat dan penduduk Mekah, ada yang
membenarkan dan tidak kurang pula mendustakan.
Beruntunglah bagi mereka yang
mempercayai dengan sepenuh keimanan sepertimana Abu Bakar r.a yang senantiasa
membenarkan kerana ia adalah bukti kuasa mutlak Pemilik Sang Kerajaan.
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan
Rasulullah. Jika Baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda saw telah
diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan
keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai
Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud
pembenar.
Dan merugilah bagi sesiapa yang ragu-ragu
serta tidak mempercayainya. Ternyata yang tidak mempercayainya, tipis sekali
keimanannya kepada Tuhan. Sehingga ada di
kalangan sahabat Baginda yang telah Islam, kembali murtad kerana meraguinya.
Kalian pula bagaimana? Tepuk dada, tanyalah iman
dengan sepenuh kejujuran. Andai masih ada keraguan, bermuhasabah dan cek lah
balik iman kalian.
Kerana keimanan kepada Allah teras dan dasarnya adalah
sebuah keyakinan dan kepercayaan yang teguh, andai ia masih rapuh, usah mengaku
kalian mencintai Allah dan rasulNya…
Kerana DIA Maha Berkuasa menjadikan apapun
dan tidak mustahil sedikit pun peristiwa itu bisa terjadi dalam satu malam. Segala-galanya
boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan pentadbir
alam semesta.
Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan
hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah
Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari
tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha
Melihat."
Malam 27 Rejab tahun ke-11 Hijrah,
menyaksikan Allah telah memilih dan mengangkat darjat kekasihnya untuk
menemuiNya sehingga Rasulullah saw bisa sampai ke Sidratul Muntaha, di langit
yang ketujuh, di singgahsana Allah yang maha hebat.
Bertemu pula dengan para
nabi Allah yang terdahulu, semuanya memberi salam penghormatan sepenuhnya
menyambut kedatangan kekasihNya.
“Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam
bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di
dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat
Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi
oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling
daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia
telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.”
(Surah
an-Najm: ayat 13-18)
Peristiwa yang
ajaib dan pesanan yang menginsafkan
Meskipun kalian sudah mendengar dan membacanya,
tetapi ingin juga penulis mengulang kembali petikan kisahnya. Terus
diulang-ulang agar ia terus menjadi peringatan. Kerana kita manusia sering
kali terlupa, lebih-lebih lagi kita sebagai umat akhir zaman…
Peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah saw dalam peristiwa Israk:
* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai
hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah"
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.
* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak
Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap
untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh
beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu
dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
*Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan
mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang
memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan
lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan
dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
* Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan
dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah
orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan
bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah
dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang
membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka
dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging
manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari
lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh
dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan
dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata
Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
* Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur
dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Allahurabbi…cukup dahsyat dan
menggerikan… Nabi saw sendiri yang menyaksikan terus berlinangan air mata
baginda… mampukah kita untuk menerima pedihnya seksaan-seksaan itu?? Azab Allah tersangat hebat, tetapi manusia
sentiasa lupa dan tenggelam dalam kelalaian…
Di sini pelbagai hikmah dapat kita
teladani. Kenapa Allah menunjukkan kesemua kejadian itu kepada Nabi saw? Kenapa
tidak untuk nabi-nabi yang lain?
Kerana betapa istimewanya kita sebagai umat
Baginda saw. Allah ingin Nabi saw menyampaikan berita dan peringatan tersebut
kepada kita agar kita beringat dari sekarang. Agar berhati-hati dalam mengemudi bahtera kehidupan dunia yang sementara ini, untuk kembali ke negeri abadi dengan selamat.
Bukankah semua kejadian itu
cukup ngeri dan menakutkan? Apakah ia masih tidak berbekas pada hati untuk
dijadikan pelajaran?
Dengan mendengarkan peristiwa-peristiwa
tersebut, maka tumbuhlah rasa takut dan harap kepada Allah swt. Takut untuk berbuat
kejahatan dan kemungkaran. Sentiasa berharap diterima segala amalan-amalan
seharian.
Di sinilah jua membuktikan Allah itu Maha
Adil lagi Maha penyayang kepada hambanya. Bukan suka-suka Allah ingin
menyediakan sedemikian rupa seksaan itu kepada manusia. Kerana Allah swt itu
tidak zalim. Akan tetapi manusia sendirilah yang sering menzalimi diri mereka
sendiri.
Ia ternyata adalah suatu keadilan daripada
Allah untuk diberikan balasan yang sewajarnya buat mereka yang tidak mahu
beriman, yang masih ingin ingkar dan enggan untuk beriman walaupun setelah Nabi
saw telah mengkhabarkan. Bukankah ia suatu kerugian? Kerugian yang cukup besar
sekali buat mereka yang masih tidak ingin mengambil pelajaran…
Duhai saudara seislamku! Tiliklah ia satu
persatu. Apakah diri kita ada termasuk dalam golongan-golongan tersebut?? Ukur dan nilailah
dirimu sendiri kerna kamu lebih tahu siapa dirimu…
(Ya rabbi…lindungilah kami dari
azabMu…sungguh tidak akan tertanggung oleh kami ya allah akan siksaan-siksaanMu
yang teramat pedih…Ampunilah kami selalu…. :’(
Hikmah dan Ibrah yang sangat bermakna
Sesungguhnya peristiwa yang sangat
menakjubkan ini adalah suatu penganugerahan yang tinggi nilainya lebih-lebih
lagi dari segi kerohanian.
Ia adalah kurniaan Allah kepada kekasihnya untuk
memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNya serta merupakan bukti mukjizat
seorang rasul dan nabi yang teragung.
Simbolik peristiwa yang amat besar dapat
dirasai hikmahnya lagi dari cerita Israk dan Mikraj ini adalah tentang solat. Berulang-alik
Rasulullah saw naik dan turun merayu lagi kepada Allah agar dikurangkan
bilangan solat. Subhanallah…
Lihatlah betapa kasihnya Baginda saw, berusaha mengurangkan bilangan rakaat kerana bimbang umatnya tidak mampu menanggung
beban untuk melaksanakan solat yang pada asalnya adalah 50 rakaat sehingga ia
menjadi 5 rakaat dengan dikekalkan pula nilaian pahala 50 rakaat itu.
Tetapi lihatlah pula bagaimana respon kita sebagai
umatnya? 5 rakaat itu masih lagi tunggang langgang sembahyangnya. Masih lagi
merasa berat, malas malahan melewat-lewatkan waktu solat.
Belum dikira bagi mereka yang terus
meninggalkan solat tanpa rasa sedikit pun rasa bersalah. Padahal Rasulullah
saw telah bersusah payah memohon khusus kepada kita sebagai umatnya. Tetapi
inikah balasan kita kepada Baginda saw??
Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba
pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala
amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang
lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’
al Zawaid (1/291)
Sesiapa yang tidak
memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat
keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan
dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap kali
kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya sepertimana dari
peristiwa yang telah Baginda saw saksikan. Dia juga akan datang pada hari
kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab,
kehinaan dan kerendahan.
Tidaklah solat itu sekadar
robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah
sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan,
kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup,
hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Insya Allah, andai kita
menjaga solat dengan sesempurna mungkin, maka akan menjauhlah dari semua
kemurkaan Ilahi. Akan meninggalkan segala larangan dan dapat mengikis sifat
mazmumah yang ada dalam diri.
Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari,
Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya:
“Sesiapa yang memelihara solat maka
baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak
memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari
kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat
al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda:
“Apakah
pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari
kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih
ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada
suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah
perumpamaannya dengan solat lima
waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat
al Bukhari dan Muslim)
Penutup: Mari terus tingkatkan keimanan kepadaNya!
Ceritanya telah kita perdengarkan.
Ceritanya telah selesai kita bacakan. Maka, tutuplah lembaran bacaan kisah itu
bukan hanya setakat tutup buku kemudian tiada apa yang bisa kita lakukan.
Tidak cukup hanya setakat mendengarkan.
Buktikanlah ia dengan amalan. Mari terus tingkatkan ketakwaan. Mari kita terus
berlumba untuk berbuat kebaikan.
Rasulullah saw telah menceritakan dan telah
memberikan petunjuk serta pedoman hidup yang benar kepada umatnya. Baginda
saw juga telah membuktikan cintanya yang amat besar kepada kita, kepada umatnya
yang terakhir yang Allah telah berikan pelbagai keistimewaan.
Akhir himmah dari penulis. Tidakkah kita
mahu mengambil pelajaran??
Sekian, wallahu’alam…
“Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu
LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH…Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S.
bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu
baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA
WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
*Teruskanlah bertasbih memuji yang Maha Esa...tanpa jemu, tanpa henti...semoga Allah senantiasa menjaga imanku dan imanmu...amin ya rabbi!
~cuma ingin redhaMu Ilahi~
: Hikmatul Islam
: 27 Rejab 1433H
: 1200am