22 February 2014

Menjemput Jodoh Terindah





Bismillah. Assalamualaikum.

Salam angin kedamaian dan ketenangan buat pengunjung ke teratak doif ini.

Tulisan ini ditulis oleh insan yang sentiasa doif, dan mungkin ditujukan khas untuk hati-hati yang merasa 'doif' apabila memikirkan soal jodoh.

*Lagi-lagi bab jodoh. Dah tiada benda lain ke nak cerita?*

Nah, untuk orang yang dah berkahwin, dah bertunang atau sedang 'berbahagia' punyai pasangan, usah baca ya. 

Entry ini khusus untuk orang bujang yang masih belum menemui teman hidupnya. Entry ini special untuk hamba-hamba yang ingin mencari cinta suci dalam keredhaan-Nya. 

Pertamanya, suatu hakikat yang harus sentiasa kita fahami dan sedari. Mahu menemukan jodoh yang terindah, bukan seindah-indah yang kita bayangkan. Bukan juga semudah-mudah untuk kita dapatkan.

Jodoh terindah itu tersembunyi. Terhijab oleh sang mata kasar. Tetapi, ia ada dalam penilaian dan aturan Allah SWT.

Selalu saya ingin tegaskan, jodoh itu sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. 

Bukan berkait pada banyak mana harta dia kumpulkan, bukan berkait dengan banyak mana kata-kata romantis dilakarkan untuk mendapatkan pasangan, bukan juga disandarkan kepada banyak mana mekap yang dipakai untuk menarik perhatian.

Itu semua tidak dinafikan adalah asbab yang menarik kepada jodoh tetapi sentiasalah letakkan dalam fikiran, yang paling utama ia berkait dengan keimanan kita.

Ya, sekali lagi saya ulang. 'Keimanan kita pada-Nya.'




Menunggu atau menjemput jodoh?


"Sudah lama benar menunggu, tetapi tidak bertemu juga jodoh yang sesuai."

"Saya sudah lama menunggu dirinya, tetapi tiada jodoh juga akhirnya..."

"Sudah lama benar menanti, tetapi tiada juga yang sudi."


Antara ungkapan dan ayat-ayat sedih sering terdengar.

Cukuplah bersedih. Apa guna kita terus larut dalam kesedihan yang tidak membawa apa-apa hasil?

Cuba fahami dengan baik istilah 'menunggu' dan 'menjemput'. Adakah sama maksudnya?

Contoh mudah. Seorang wanita berkenan kepada seorang lelaki. Dia menyukai lelaki itu dalam diam. Hari demi hari berlalu, dia menunggu sahaja sambil melihat sang lelaki dari kejauhan.

Dia menunggu sambil berkhayal, membayangkan dapat bina hidup yang indah-indah dengan lelaki tersebut. Membayangkan punya anak yang soleh, membayangkan punyai waktu yang sentiasa romantis dengan sang suami kelak.

Menunggu sambil berangan, nak pula baca novel-novel yang lagha. alahai... Akhirnya, pelajaran dia merosot. Kerja tak tahu ke mana. Solat tidak khusyuk, ibadah dengan Allah kucar-kacir, hubungan dengan keluarga tidak mesra. 

Kerana apa? Sebab, terlalu banyak berkhayal mengingati lelaki yang dicintai dalam diam. Kesudahannya, lelaki itu berkahwin dengan orang lain, tidak sedikit pun ingin memandang kepada dirinya.

Apakah penantiannya itu sama dengan menjemput?

Contoh kedua. Seorang lelaki yang menyukai seorang wanita dalam diam. Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa keistimewaan. Rupa paras juga cuma biasa-biasa. Tetapi dia  tidak ingin berputus asa berusaha. Lelaki tersebut bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Dengan keputusan yang cemerlang, dia mendapat kerja yang baik.

Bersungguh pula dia bekerja mencari rezeki yang halal, di samping meningkatkan diri dengan ibadah. Meningkatkan amalan dan ilmu agama. Kerana dia sedar, dia akan menjadi pembimbing bagi isterinya kelak dan pencarian nafkah adalah menjadi tanggungjawab yang wajib baginya. 

Dia tidak menawarkan kata-kata cinta dan rayuan tetapi dengan segala persiapan diri dan iman akhirnya dia pergi menjemput jodohnya, melamar wanita tersebut dengan persetujuan yang terindah.

Nampak tak perbezaannya?

Kita berada di contoh yang mana?

*Ditanyakan kepada adik-adik remaja yang masih bersekolah dan yang sedang belajar di U* 

"Jatuh cinta itu tidak salah, tetapi bercinta dengan khayalan palsu itu yang parah."




Bagaimana menjemput jodoh terindah?


Lalu, apakah cara untuk kita menjemput jodoh yang terindah?

Kita memang menanti, tetapi bukan menanti jodoh dengan cara berfantasi. Berpijaklah di alam realiti.

Pertama, bersyukurlah apabila Allah masih lagi tidak mendatangkan jodoh kita terlalu awal.

Melihat kepada sahabat-sahabat yang ramai berkahwin muda, kahwin semasa belajar, apakah benar-benar mereka sudah siap berhadapan dengan badai ujian rumahtangga?

Mungkin sekali pandang, macam romantik dan best jer tengok kawan-kawan yang nikah awal. Dapat study sama-sama. Pergi ke U sama-sama. Makan sama-sama, suap menyuap lagi di hadapan kita.

Tak perlulah cemburu ya. Yang nampak macam 'best' di mata kita sebenarnya realitinya tidak begitu.

Sahabat-sahabat saya majoritinya sudah ramai berkahwin. Satu demi satu mengungkapkan masalah dan ujian yang berlaku dalam rumahtangga mereka.

Bukan mereka merungut, tidak pula mereka membuka aib pasangan, tetapi perkongsian ujian yang berlaku dalam rumahtangga mereka itu adalah realiti yang tidak dapat dinafikan.

Baik masalah kewangan, masalah tidak sefahaman, masalah mertua, ipar duai, dan seribu macam lagi masalah yang memang realiti begitulah lumrah hidup berumahtangga. Mana nak sama hidup orang bujang?

Sebab itu, persoalan di sini adalah persiapan kita untuk menghadapi segala macam masalah yang akan timbul pada masa akan datang.

*Habis tu, nak tunggu bersedia, sampai bila-bila tidak bersedia.*

Ya, benar. Kalau nak tunggu bersedia, sampai bila-bila tak kahwinlah jawabnya. Sebab itu, ada beza, menunggu semata-mata atau mempersiapkan diri dengan sebaiknya.

Tetapi, tidaklah pula saya nafikan, betapa banyak kebaikan orang yang bernikah awal. Andai sudah ada yang berkenan, wali dan famili sudah setuju, maka itu lebih baik diawalkan dan disegerakan pernikahan.

Maksud saya di sini, bagi orang yang masih belum bertemu jodohnya. Tidak ada yang merisik bertanya. Oleh itu, diri kitalah yang harus berusaha sedaya upaya untuk menjemput jodoh yang terindah.




Ruang dan peluang yang berharga


Sebenarnya, apabila jodoh datang lewat Allah sebenarnya sedang membuka ruang dan peluang untuk kita. Peluang apa?

Peluang untuk kita semakin memperbaiki amal ibadah. Ruang untuk kita semakin mendekati DIA serapat-rapatnya.

Kerana di saat kita lagi sendiri dan keseorangan, bukankah ia adalah masa yang paling terbaik untuk kita bersendirian dengan Allah?

Bukankah saat ini adalah masa yang paling berkualiti untuk hati kita terus berhubung dan berkomunikasi dengan Allah?

Bukankah kita patut bersyukur, Allah tidak membuatkan kita hanyut dan lalai dengan cinta manusia yang tidak halal?

Kerana itu, semakin mendekatlah kepada-Nya. Inilah ruang waktu yang paling berharga. Untuk kita merayu merintih dengan Kekasih Agung. Untuk kita beribadah dengan hati yang paling khusyuk.

Cuba bayangkan bila sudah ada pasangan dan anak-anak kelak. Mana nak uruskan makan pakai suami dan anak-anak, bekerja lagi. Akan sibuk berkejaran dengan banyaknya tugas dan tanggungjawab kepada keluarga.

Jadi, hargailah masa yang ada ini dengan sepenuh ketaatan kepadaNya. Bukan terbazir masa dengan perkara yang lagha dan sia-sia.


"Gembirakanlah hatimu dengan mendekat kepadaNya, kerana boleh jadi jodoh yang datang terlambat itu merupakan jalan untuk menaikkan darjatmu di sisi Allah."




Perbaiki diri dan mutaba'ah amal


Impikan lelaki yang hatinya terikat dengan masjid? Duhai wanita, solatlah di awal waktu. Jaga sungguh-sungguh ibadah solat. Jangan diremehkan sembahyang 5 waktu dan solat-solat sunat.

Mutaba'ah amal ibadah kita perlu lebih dipertingkatkan. Solat Dhuha, solat Tahajud, solat Rawatib, solat Taubat harus sentiasa dilazimi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah:45)


Ambillah masa untuk mentadabbur al-Quran. Ambillah waktu untuk menghayati hadis-hadis Nabi SAW. Kedua-dua ini adalah sandaran asas utama untuk kita membina sebuah keluarga yang teguh berpegang denganNya.

Andai tajwid masih berterabur, pergilah belajar memperbetulkan bacaan. Andai tidak pernah membelek hadis Nabi SAW, pergilah ke majlis ilmu mendengar orang mengajar kitab.

Kita bukan sekadar menunggu, tetapi menjemput jodoh dengan mempersiapkan diri untuk menjadi pasangan yang terindah buat jodoh kita kelak.

Lelaki dan wanita persiapannya sama sahaja. Tidak ada istilah wanita yang harus lebih bersiap sedia berbanding lelaki. Kedua-duanya akan memegang amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Andai masih rasa kurang agama di dada, belajar dan carilah ilmu tersebut. Tingkatkan akhlak dan peribadi. Perlengkapkan diri dengan Fiqh Wanita, Fiqh Kekeluargaan dan pelbagai Fiqh lagi. 

Andai kita tidak menyibukkan diri dengan pencarian ilmu, takutilah kita akan 'disesatkan' oleh serangan hawa nafsu.

Bagi yang belajar agama pula, jangan sesekali merasakan diri sudah 'cukup' dengan ilmu agama yang ada di dada. Ilmu yang dipelajari itu sebenarnya hanya sebagai 'kunci' sahaja.

Andai ada kunci, tetapi tidak berusaha membuka peti, takkan terbuka juga peti tersebut. Seperti itulah juga orang yang belajar agama, selagi tidak diamalkan ilmu yang ada di dada, selagi itulah tidak akan mampu untuk dia kuat menongkah arus ujian yang lebih berganda dari orang yang tidak belajar agama.

Selain itu, teruslah berdoa tanpa jemu. Teruslah optimis berdoa tanpa merasa buruk sangka kepada Allah.

"Doa adalah senjata yang paling ampuh. 'Connection' yang paling kukuh. 
Hubungan dengan manusia yang tidak pasti itu sangatlah rapuh, tetapi hubungan yang dibina dengan Allah itu akan semakin teguh."




Berjodoh dengan jodoh @ berjodoh dengan ajal?


Antara dua kenyataan itu, pasti akan kita terima salah satu antaranya. Samada di sepanjang penantian kita dalam menjemput jodoh akan berjodoh dengan jodoh, atau berjodoh dengan ajal.

Siapa yang akan tahu bila waktu ajalnya tiba? Tiada siapa yang tahu. Andai sepanjang penantian ini kita ditakdirkan berjodoh dengan ajal terlebih dahulu, maka berbahagialah kerana kita telah mempersiapkan diri dengan sebaiknya.

Allah SWT Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hambaNya yang beriman. Tidak akan sesekali Allah sia-siakan usaha sang hamba memperbaiki diri hanya kerana untuk melamar redhaNya semata.

Andai kata berjodoh dengan ajal terlebih dahulu, maka kita akan dapat juga jodohnya. Berjodoh dengan jodoh di syurga!

Untuk akhirul kalam, impikan jodoh terindah tak perlu melihat terlalu jauh. Lihat dalam-dalam pada diri kita sendiri. Cerminlah kembali akhlak dan peribadi kita dahulu sebelum sibuk-sibuk nak listkan ciri-ciri idaman bakal pasangan.

Nilai jujur-jujur tahap keimanan kita pada Allah. Seperti mana diri kita semakin memperbaiki diri, seperti itu jugalah pasangan yang akan kita perolehi. 

Jodoh terindah itu seperti pelangi yang tersembunyi. Pelangi itu akan muncul, setelah kita bersabar menghadapi ribut petir dan hujan yang mencurah.

Andai sudah berusaha sedaya upaya tetapi masih belum menemukan jodohnya, pujuklah hati dengan ayat ini. Bersabar dan bertawakallah, itu kepasrahan yang sangat Allah cintai.

"Kemudian, apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha), maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal." [ali Imran, 3:159].




Ibn Jauzi berkata: "Sebenarnya Allah sedang mengujimu, agar tampak sejauh mana kesabaranmu. Dia ingin melihat sejauh mana rasa rendahmu di hadapan Sang Khaliq dan Dia ingin menganugerahkan kebaikan sebesar-besarnya atas kesabaranmu."


Sekian, wallahua'lam.


p/s: Tips terakhir, menjemput jodoh dengan sedekah. Tak percaya dengan keajaiban sedekah? Boleh cuba try dahulu dan lihat hasilnya ya! :')
*Tonton sekejap video tips menarik yang diajarkan oleh Ustaz Yusuf Mansur, seorang kiyai yang terkenal di Indonesia. Semoga beroleh manfaat. Insha Allah.





: hikmatul islam

: 0330 pm

: 21 rabiulakhir 1435H

03 February 2014

Maha Pengatur Jodoh




"Ya Allah jika jodohku masih jauh,
maka dekatkanlah.

Jika sudah dekat, maka satukanlah
dalam ikatan suci.

Dan jika ini merupakan ujian buatku
maka damaikanlah hatiku
dengan ketentuan-Mu..."



Bismillahirrahmanirrahim.

Musim cinta datang lagi.

Undangan walimah tidak pernah susut.

Sentiasa bersilih ganti tatkala datang waktunya.

Senyum sorang-sorang tengok gambar kahwin teman-teman di fb.

Subhanallah, sejuta hamdalah untuk Pencipta Cinta.

Cantiknya takdir Allah susun untuk setiap orang.

Ada yang mudah-mudah sahaja jodohnya. Ada pula yang perlu lalui pelbagai ujian demi ujian sebelum bertemu dengan pasangannya.

Ketika ini, saya dihadiahi oleh seorang kenalan di fb sebuah buku dari Seberang (Indonesia) yang bertajuk "Teman dalam Penantian", hasil sentuhan karya Mas Udik Abdullah.

Masya Allah! Betapa baiknya Allah. Betapa Allah mahu menyatakan sesuatu untuk diri saya, lalu ingin pula Allah mahu saya berbagi kepada kalian semua.

Bicara lagi kali ini tentang jodoh.

Masalah jodoh memang unik dan penuh rahsia. Sarat dengan misteri.

Selagi tidak sampai ke akad nikah, selagi itu kita akan tertanya-tanya sendiri.

"Bagaimanakah jodohku? Seperti apakah dia?"

Bagi yang sudah bertunang, ia bukan tiket jaminan bahawa tunang itu pasti akan menjadi jodohnya.

Lihat sahaja, betapa ramai yang putus hubungan di pertengahan?

Siapa sahaja yang akan menjamin semua itu andai bukan aturan dari Tuhan?

Sebab itulah, tidak menjadi pelik bila kita lihat sesetengah teman begitu dipermudahkan urusan jodohnya.

Dan dari satu sisi lagi, betapa sulitnya bagi setengah yang lain diuji dan terus diuji beberapa kali barulah dia bertemu dengan jodohnya.

Andai diberi pilihan, yang mana kita mahukan?

Pastilah, kita pohon dipermudah-mudahkan semua urusan. Mahu pula urusan kahwin disegerakan.

Tetapi hakikatnya tidak seindah seperti itu.

Ibaratnya, orang kaya mudah dan senang sahaja untuk makan sepinggan nasi yang penuh dengan lauk mewah dan mahal.

Terbanding dengan seorang nelayan yang berhempas pulas di lautan untuk mendapatkan nasi sepinggan yang cuma berlaukkan ikan seekor.

Agak-agaknya, yang mana lebih menghargai sebuah 'rasa kelazatan' sepinggan nasi tersebut?


"Diuji berkali-kali itu perit dan pahit.

Namun, andai ia dihadapi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan

pasti akan merasai kelazatan sebuah iman.

Perkara yang sukar untuk didapatkan itu,

nilaiannya jauh lebih mahal dan berharga

berbanding benda yang mudah-mudah sahaja

didapatkannya tanpa ada sebatas usaha."





"Untungnya dia."

"Bertuahnya awak!"

Tengok orang mendirikan bait muslim, secara fitrah akan wujud rasa keinginan itu pada setiap manusia.

Kahwin secara zahir itu nampak indah, nampak nikmat, nampak macam seronok jer?

Opsss!! Cuba tekan 'brek' sekejap.

Renung dalam-dalam pada iman.

Kita nak kahwin, pastinya mahu yang baik-baik sahaja.

Kita nak kahwin, pasti impi yang bahagia-bahagia sahaja.

Siapa yang maha memberi bahagia itu kalau bukan Allah?

Siapa yang maha memberi rasa cinta itu kalau bukan Pencipta Cinta?

Tengok orang kahwin kita pun teruja nak kahwin.

Tanyakan dahulu jujur-jujur pada diri.

Apakah saat ini kita lebih besar mencintai Cinta Insani atau Pemilik Cinta Abadi?

"Statement awak ini macam negatif jer, awak tak nak kahwin ke?"

Senyum.

Manusia normal mana yang tidak mahu menikah? Siapa yang tidak mahu deen (agamanya) dapat segera disempurnakan dengan hadirnya belahan jiwa?

Usia saya sendiri telah berinjak masuk ke-25. Suatu usia yang sudah sesuai untuk menikah.

Tapi, apakah Allah rasa sesuai pada pandanganNya? Mungkin masih belum.

Saya mungkin sering berjaya dalam pelajaran, tetapi Allah berikan 'gagal' berkali-kali dalam urusan jodoh.

Sebab apa? Sebab bukan jodoh saya dan belum sampai masanya lagi...

*Tenang-tenanglah dengan janji Ilahi*

Saya turut berharap orang yang sama bujang dengan saya, yang mungkin sedang resah menanti jodohnya, turut merasai ketenangan selepas membaca entry ini. Insha Allah.




Benar. Tak dinafikan dengan saling cinta kepada manusia juga akan menyampaikan jua cinta kita kepada Allah.

Cuma sahaja, persoalan di sini apakah benar kita ingin menyempurnakan deen itu kerana mencintai Allah atau mencintai manusia semata-mata?

Orang yang mendirikan baitul muslim itu kerana Allah, bukan kerana nafsu semata-mata maka dia pasti akan lebih mengutamakan cinta Allah berbanding cinta manusia.

Semuanya bergantung kepada niat. Orang yang menikah kerana kecantikan pasangan semata-mata, maka itu jugalah yang dia akan dapat. Sementara.

Namun, andai orang yang menikah benar-benar kerana Allah dan kerana dia sedar menjadi sebuah ibadah yang cukup besar di sisiNya, pastinya dia akan selamat sampai ke matlamat akhir untuk terus bersama hingga ke syurga!


"Kerana ku malu

dan kerana cintaku kepada Rabbku,

jauh lebih besar dari kecintaanku kepadamu..."






Jodoh itu takdir.

Bila sebut takdir, ia sangat berkait rapat dengan akidah, keimanan dan keyakinan kita dengan Allah.

Mungkin antara kita, pernah terbit persoalan di hati.

"Kenapa sehingga kini, jodohku yang dinanti belum jua muncul?"

"Kenapa sehingga kini, Allah belum mengabulkan doaku untuk bernikah?"

Bertanyakan persoalan untuk kita cari solusi agar semakin memperbaiki diri tidaklah salah.

Namun hati-hati, jangan sampai tergadai iman di hati. Jangan sampai pudar keyakinan kita kepada Ilahi.

Abu Hurairah r.a menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Doa siapa pun di antara kalian pasti akan terkabul selagi tidak tergesa-gesa sehingga dia berkata, 'Saya telah berdoa tetapi belum terkabul." (HR Bukhari)

Lalu para sahabat bertanya kepada Baginda s.a.w, "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?"

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab; "Selagi dia tidak tidak berkata, Saya telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga terkabul,' kemudian dia berputus asa dan akhirnya tidak lagi berdoa." (HR Muslim)

Dalam hal jodoh ini, hal yang paling besar harus kita renungi adalah soal keyakinan.

Ya, yakin! Allah menguji kita dalam penantian kerana ingin melihat hebat mana keyakinan dan sandaran kita pada Allah?

Disebut dalam Hadis Qudsi, ringkas tapi sangat significan maknanya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku."

"Ana inda zanni abdi bi- Aku menurut sangkaan hambaku."

Sangkaan kita kepada Allah.

Kita banyak bersangka baik atau bersangka buruk? Kita banyak memandang semua ujian jodoh ini sebagai baik atau sebagai bala dari Allah? 

Kita banyak bersangka Allah tidak adil dan zalim kerana tidak memberi jodoh seperti kita mahukan?

Allahurabbi. Andai ada sangkaan-sangkaan seperti itu, segeralah usir dengan memperbanyakkan istighfar kerana syaitan lagi sedang ingin menggoyahkan iman di hati.

Mungkin ada di antara kita merasakan diri tidak laku, rasa rendah diri, rasa sedih sebab tiada orang yang pandang.

Tapi, Allah Maha Memandang kan?

Mana yang lebih kita mahukan, pandangan Allah yang penuh kasih sayang atau panahan cinta buta dari manusia sehingga kita lalai daripada mengingati-Nya?


"Bukan pada tempatnya jika kita mengaku mencintai Allah namun masih saja menganggap buruk tentang apa yang Allah takdirkan pada kita.

Sebab, adakah kekasih sejati yang akan menyia-yiakan orang-orang yang dikasihiNya?

Selagi engkau istiqamah dengan imanmu menapaki jalan Islam, maka saat itu Allah telah menyayangimu selamanya." (Mas Udik Abdullah)





Mungkin yang dimudah-mudahkan saat walimah seseorang itu, belum terjamin lagi dipermudahkan hidup berumahtangga.

Saya amati, sesetengah sahabat yang mana dipermudahkan urusan jodoh pada awalnya, namun pelbagai badai berat yang harus dihadapi setelah berkahwin.

Benar, istikharah dan istisyarah itu perlu. Sebagai permulaan untuk meraih keberkatan.

Tapi perlu diingat! Ia bukan jaminan untuk kekal berbahagia sepanjang zaman.

Kita perlu sentiasa sedarkan diri. Kita hidup di alam realiti, bukan hidup di alam fantasi.

Setiap pasangan akan diuji. Tiada rumahtangga yang tidak teruji.

Persediaan untuk melangkah ke alam itu hendaklah dengan ilmu dan iman yang benar.

Sebesar mana iman dan kecintaan kita pada Allah, insha Allah sebesar itu jugalah dapat kita hadapi ujian yang datang dengan tenang.

Ibarat orang terjun ke laut dengan adanya pelampung dan tahu berenang, berbanding dengan orang yang terjun ke laut tanpa apa-apa persediaan, tidak ke haru??

Begitu juga alam rumahtangga yang akan kita hadapi kelak. Nampak tenang seperti laut, tapi mana kita dapat jangka bila akan tiba ribut dan taufan melanda?

"Persiapan mental dan fizikal untuk bernikah itu penting.

Namun, persediaan rohani jauh lebih penting dan utama dari yang terpenting."




Allah Maha Pengatur jodoh yang terbaik.

Bagi sahabat-sahabat yang awal melangkah ke dalam 'masjid' itu, dan kita yang masih duduk di luar masjid maka bersabarlah menunggu.

Menunggu dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.

Allah Maha Adil lagi Maha Penyayang. Mana mungkin DIA tidak mengendahkan kita yang tetap setia beriman kepadaNya?

Mana mungkin, DIA tidak mempedulikan rintihan jiwa kita, jeritan batin kita sedang Allah lagi sangat Memahami semua rasa itu lebih dari manusia?

Tenang-tenanglah. Semakin hebat amal dan kedekatan seseorang itu kepadaNya, semakin Allah sayang.

Bila Allah semakin sayang, pastinya Allah nak serahkan diri kita kepada hamba yang paling terbaik. Yang akan menyayangi dan menghargai kita sepenuh hati kelak.

Insha Allah, amin.


"Selagi bergelar bujang, kita masih bisa merebut 'cinta ekslusif' dari Tuhan.

Yakinlah, pasti cinta insan yang paling 'ekslusif' juga yang akan Allah berikan!"


*p/s: Barakallah utk mereka yang telah selamat menyempurnakan deen-Nya. Semoga sempurna jua cinta itu untuk dibawa hingga ke syurga ^_^





"Aku berharap
doa-doaku menjelma menjadi kunang-kunang
Terbang dan melesat tertiup angin
Ratusan, ribuan, jutaan
bersatu menjadi bulatan cahaya
Indah berkilau, berhembus
Terbang tinggi menuju langit 'Arsy
Menghadap Tuhannya.

Dan kelak suatu saat
Ia akan mengepakkan sayapnya
menuju kembali padaku
mengabarkan wahyu dari-Nya
menitipkan sebuah takdir untukku.
Doa tak berujung ini
tak akan pernah usai
kerana daku akan selalu menanti jawapan
dengan sepenuh sandaran kepada Tuhanku."


~Puisi Indah dari petikan buku "Teman dalam penantian."~


: hikmatul islam

: 0330 pm

: 2 rabiulakhir 1435H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...