27 August 2014

Jodohku... Menantimu di Batas Waktu






“Sebesar apapun ujian yang Allah beri, 
berimanlah bahawa kuasa Allah jauh lebih besar dari hal yang diuji.

Sebesar apapun cinta duniawi, 
berpeganglah bahawa cinta Ilahi jauh lebih besar dari cinta insani.”


Malam semakin pekat.

Pastinya setiap jiwa saat ini telah terbuai oleh asyiknya sang mimpi.

Namun, diriku masih berjaga. Mungkin ada rasa yang terusik.

Jiwa ingin sekali mendamba sebuah ketenangan dari Yang Maha Esa.

Lalu diri seraya menyungkur sujud. Terus beralun tasbih dan tahmid membesarkan Sang Pencipta.

Duhai hati, tenang-tenanglah di sisi Ilahi.

Jika bintang dan bulan begitu setia berzikir, kenapa dikau tidak ingin setia berzikir kepada-Nya?

Jika seluruh alam begitu setia berzikir, kenapa dikau tidak ingin setia mengagungkan-Nya?

*Hati tolong istighfar selalu.*







"Melihat mereka tersenyum bahagia membina istana cinta.. Betapa bibir turut tersenyum menahan sebuah rasa..
Di saat melihat mereka tersenyum bahagia bisa membina ladang pahala, betapa hati cuma mampu terdiam tanpa kata..
Sungguh! Ku tumpang bahagia melihat mereka bahagia... kerana selayaknya mereka berbahagia meraih cinta halal-Mu..
Allahurbbi.. Duhai penilai hati.. Andai mereka bisa melihat tembus ke hatiku, pasti sahaja daku malu.. Kerana tidak tahu harus disembunyikan di mana rasa luka sang jiwa..
Duhai Tuhanku.. Di saat mereka lagi tersenyum.. Hatiku hanya mampu menangis hiba.. Menantikan jawapan dari-Mu di lewat setiap sujudku..."


Lalu kalam ini ku tinta, untukku lepaskan semua rasa yang terbeban.

Lalu kalam ini ku tulis untukmu, duhai jodohku yang benar-benar ku tidak mengetahui siapakah dirimu itu??

Andai dikau terbaca madahku ini...

Andai dikau sudi untuk membaca kalam ini...

Fahamilah, mengertilah akan keadaan diriku ini...

Betapa diriku tidak layak bergelar wanita solehah, tetapi sentiasa ingin berusaha dan terus berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang solehah.

Betapa diriku ini wanita yang sangat lemah, mudah menangis, mudah juga tersentuh hati... tetapi sering ingin ku pinta dan pohon kekuatan itu dari Ilahi.

Betapa diriku ini, punyai jiwa yang halus... yang terkadang emosiku tidak dapat dikawal, oleh itu sering ku berdoa tanpa henti agar Allah berikan jiwa hamba yang sentiasa sabar dan syukur.

Diriku ini, yang selalu meratap tangis di hadapan Rabbku... Yang selalu berusaha sedaya upaya menjaga diriku, dari segala fitnah dunia yang mengelilingi.

Sesungguhnya, ketahuilah daku adalah wanita akhir zaman... Betapa dugaan dan godaan dunia datang tanpa jemu. Andai bukan kerana ilmu agama yang ada pada diriku, sudah tentu daku telah lama kalah dengan perasaan dan nafsu yang memburu.

Alhamdulillah, daku amat bersyukur Allah masih menjagaku di sini. Betapa sedaya upaya menjaga hubungan dengan-Nya, meski berkali-kali tidakku sempurna mencintai-Nya tapi tidak pernah pula ku jemu mendamba redha-Nya di setiap langkah kehidupanku.





Duhai jodohku... ‘Pemuda pilihan Allah’.

Yang sampai saat ini Allah rahsiakan dirimu daripadaku.

Satu demi satu risikan dan lamaran datang.

Solat hajat dan istikharah dilazimi, mengharapkan keputusan yang tepat dari Ilahi.

Namun, tiada ketenangan yang ku temui. Yang tersisa cuma rasa keserabutan yang tiada henti. Tiada rasa keyakinan pada mereka yang bertanyakan diri.

Mungkin sahaja, ada yang berpendapat abiku adalah seorang yang cerewet, memilih.

Ya, ku akui itu. Dia terlalu ‘cerewet dan memilih’, kerana abi benar-benar ingin memilih yang terbaik untuk puterinya.

Abi tidak mahu tersilap pilih. Abi mahukan syabab yang mampu menjagaku dengan sebaiknya, sepertimana abi telah menjagaku dengan sebaik-baik jagaan semenjak dari kecil lagi.

Betapa selama ini dia menjaga auratku, betapa dia mendidikku mengenal Tuhanku, betapa dia mentarbiyah jiwaku menjadi sebenar-benar hamba Allah.

Oleh kerana itu, dia mahu seorang syabab yang mampu menjaga dan membimbing tanganku hingga ke syurga-Nya.

Betapa besarnya kasih sayang yang tercurah olehnya seorang ayah, yang benar-benar ku rasai kasih sayangnya itu meski di balik sebuah ketegasan dan penjagaan yang ketat.

Oleh kerana besarnya jua kasih sayangku pada dirinya, maka dengan itu ku menyerahkan sepenuhnya pilihan jodohku pada waliku.

Hak milik mutlak pilihan yang berada di tangan abi, ku yakini di situ terselit sebuah keredhaan besar dari Rabbi.

Diiringi dengan doa seorang ibu yang sangat mustajab, tembus hingga ke langit Ilahi.


“Kerana ku yakini dan percaya, restu dan redha ibubapa akan membawa bahagia hingga ke syurga...”




Jodohku...

Tiada yang ku ingini selain redha orang tuaku, yang terlalu ingin ku melihat senyuman lebar mereka tika memilih dirimu.

Yang benar-benar hati mereka yakini, senangi dan sukai. Yang dirimu benar-benar dapat ‘mencuri hati’ mereka sepenuhnya.

Mampukah dikau berbuat demikian, duhai jodohku? ‘Mencuri hati’ mereka terlebih dahulu sebelum mencuri hatiku??

Duhai jodohku...

Daku tidak memerlukan intan permata, pangkat mahupun rupa untuk kau lamar diriku ini. Jadikanlah diriku ‘mahal’, dengan lamaran tulusmu dengan nilaian agama yang ada pada dirimu.

Dengan lamaran dari keizzahan peribadimu, dengan ketinggian akhlak budimu, dengan sifat kerendahan diri yang ada padamu, itu sudah cukup untuk mencuri hati kedua orang tuaku.

Yang sungguh-sungguh kau datang melamar diriku berpaksikan istikharahmu pada Tuhanmu, yang sungguh-sungguh kau datang melamar diriku kerana inginkan redha Tuhanmu.

Wujudkah engkau seperti itu, duhai jodohku?

Jodohku...

Yang masih Allah ‘hijabkan’ dirimu dari pandanganku...

Ketahuilah,

Daku di sini akan terus menantimu.

Terus menanti di batas waktu.

Menanti dengan sepenuh kesabaran dalam raupan doa.

Menanti dirimu dengan juraian air mata cinta.

Menanti dirimu dengan semakin ku rapati dan dekati-Nya.

Menanti dirimu dengan ku perbaiki diri agar lebih baik, dan bisa menjadi bidadari terindah dalam 
hidupmu.

Menanti dirimu untuk menyempurnakan separuh agamaku padaNya.

Menanti dirimu dengan sepenuh sandaran pada Yang Maha Esa.

Menanti dirimu dengan ku pelihara kesucian hati ini setulusnya.

Sehingga ku bertemu denganmu, di suatu saat yang tepat Allah takdirkan kita bersatu. Yang denganmu dapat ku merasai sebuah ketenangan dan kemesraan. Yang denganmu ku berharap, diriku akan semakin bertambah keimanan.

Untuk cintaku, kasihku, sayangku, akan ku serahkan segalanya buatmu, insan pilihan Allah, yang DIA pilihkan untukku dalam sujud istikharah.

Akhirnya, ku akan terus berdoa dari jauh semoga dirimu tetap teguh dalam ketakwaan. Terus kuat dalam perjuangan di atas jalan Tuhan.

Dan andai tiada jodoh kita di dunia, maka ku tunggu dirimu di syurga-Nya...fi amanillah ya syabab kareem.




Segalanya masih kelam
Segalanya masih terhijab
Segalanya masih terahsia
Siapakah dirimu duhai jodohku?

Jodoh dunia akhirat
Namamu rahsia
Tapi kau ada di masa depanku
ku sebut dalam doa
ku ikhlaskan segalanya..

Tuhanku,
berikan daku cinta yang KAU titipkan,
bukan cinta yang buatku jatuh cinta palsu
harapan ku ukirkan di setiap sujud malamku
bimbing ia bersandar kepada redhaMu
jika memang takdir
cinta pasti bertemu
walau kau ada di hujung dunia
ku percaya suatu hari nanti
Allah akan menyatukan kita
dalam naungan rahmat-Nya yang tiada tara...


: hikmatul islam         
: Akhir Syawal 1435H
: 0130 a.m

09 August 2014

Bersimpuh Dalam Sujud





"Ku tundukkan kepala
Serapat-rapatnya di ruang sujud
bersama kerendahan hati yang ingin melarut
dalam kedekatan rasa yang terpurut
betapa ingin ku hirup setiap nafas
bersendirian cuma dengan-Mu
Menyentuh lembut setiap cahaya
biar menelusup indah di relung jiwa.

Tuhan,
jatuhkan nur-Mu di hatiku
timbuni daku dengan mutiara iman
pada jalan-Mu ku ingin terus berjalan
ku pohon berikanku segunung kesabaran
dalam menghadapi setiap ujian dan dugaan
Agar nanti bisa ku dakap redha-Mu ya Rahman..."

---------

Bismillah.

Segala puji bagi Pemilik Hati.

Madrasah Ramadhan lalu, sungguh terasa sangat mendamaikan.

Betapa Allah berikan suatu ketenangan yang cukup luar biasa.

Suatu rasa indah, yang tidak terungkapkan oleh kata-kata.

Dengan setiap ruang sujud yang terhampar, subhanallah... tidak ada kata syukur melainkan terasa ingin terus sujud dan sujud lagi.

Allah benar-benar Sangat Penyayang.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, kelukaan demi kelukaan.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, hati inginkan hembusan ketenangan.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, setiap air mata yang tercurah.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, butir-butir jernih yang merintih.

Allah Maha Tahu. Segala rasa, segala-galanya.




Duhai temanku.

Kita sama. Kita sama. Pada apa yang sama?

Pada setiap ujian yang diduga.

Mungkin, kita selalu melihat orang lain penuh bahagia. Sedang diri kita penuh sisi duka. Hanya ada sengsara.

Tidak temanku. Tidak begitu. Pandangan zahir selalu menipu.

Bukankah Allah itu Maha Adil?

Benar, bentuk ujian itu berbeza, mengikut tahap iman dan kemampuan seseorang.

Maksudku kita sama, adalah dalam 'kehadiran ujian'.

Hidup di dunia ini, tiada diri yang tidak diuji. Tiada jiwa yang terlepas dari dugaan-Nya.

Semua akan diuji. Baik yang baik akan diuji, baik yang jahat turut diuji. Kita tidak dapat lari dari hakikat tersebut.

Kerana sering kita lupa dunia ini sementara. Sering kita lupa, akhirat itu lebih utama.

Kerana itu, tatkala diri dan jiwa merasa lelah. Duduklah. Bersimpuhlah. 

Renungkan dengan dalam-dalam.

Fahami dengan benar, apa itu ujian? Fahami dengan benar, siapakah Pemberi di sebalik ujian? 

Kalau kita tidak dapat menghadam pengertian ini dengan baik, bagaimana mungkin untuk kita dapat menerima kehadiran ujian itu dengan baik?

Ujian itu, tanda Allah sayang. Berkali-kali hal itu diingatkan. Namun kenapa, kita tidak merasakan kasih sayang Tuhan?

Kerana hati kita sendiri yang menutup ruangan tersebut. Kerana kita yang lebih suka melihat sisi gelap dari sisi rahmat.

Ujian itu, penghapus dosa. Namun kita tidak dapat melihat ia suatu pembersihan dosa-dosa, kerana merasakan ia suatu bala.

Ujian itu, peningkat martabat iman. Namun kita tidak tidak melihat ujian itu platform untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, kerana hati kita terlalu berharap dan bersandarkan kepada keduniaan.

Allahuakbar... Bersujudlah. Bersujudlah. Kerana di situ, kita akan menemui jawapan pada setiap persoalan.

Bersimpuh lama-lama dalam sujud itu indah.

Bersimpuh lama-lama dalam sujud itu nikmat.

Kerana saat itulah kita akan berada paling dekat dengan-Nya. Paling rapat dengan dakapan kasih sayang Allah. Kita akan merasainya.

Sebuah ketenangan yang sukar orang lain fahami. Cuma kita yang dapat merasa. Bukankah ia suatu rasa yang sangat mahal?

Sesungguhnya, ketenangan hanya akan hadir bila mana kita kembalikan semuanya pada Pencipta kita.




Apabila kita diuji, sering kita lupa Allah telah berikan kita solusinya.

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah:153)

Kenapa harus dengan solat? Kenapa Allah sebut dalam ayat di atas dengan dua cara, iaitu sabar dan solat?

Kerana ia adalah gabungan yang paling terbaik untuk kita mendapat jalan penyelesaian pada setiap masalah.

Sabar sahaja tidak cukup, jika tidak diiringi dengan solat.

Solat sahaja tidak cukup, jika tidak disertai dengan hati yang sabar.

Syeikh Sa’id Hawa menjelaskan dalam tafsirnya, 'Asas fit Tafasir'  kenapa sabar dan solat sangat tepat untuk dijadikan saranan meminta pertolongan kepada Allah Taala.

Beliau mengungkapkan bahawa sabar dapat mendatangkan pelbagai kebaikan, sedangkan solat dapat mencegah dari pelbagai perilaku keji dan mungkar. 

Dan hanya dengan solat dapat memberi ketenangan dan kedamaian hati.

Keduanya (sabar dan solat) perlu digandingkan dan tidak dapat dipisahkan, kerana sabar tidak sempurna tanpa solat, demikian juga solat tidak sempurna tanpa diiringi dengan kesabaran.

Kerana, kita tidak akan mampu bersabar walau beribu orang datang memujuk kita dan berkata, 'Sabarlah, sabarlah!'

Kerana kesabaran itu bukan datang dengan sekadar kata-kata. Tetapi kesabaran itu datangnya dari ruh.

Dari sebuah rasa yang ditiupkan oleh Ilahi ke dalam hati kita. Kerana itu, kita perlu mencari DIA terlebih dahulu daripada mencari manusia.

Cari Allah dahulu, baru luahkan kepada manusia. Sebab Allah, Pemberi ujian. Jalan keluarnya ada pada Allah.

Bukankah berkali-kali kita memohon pertolongan pada Allah dalam solat? 17 kali kita memohon, cuma sahaja apakah hati kita benar-benar meminta kepada-Nya atau tidak?

"Hanya kepada Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan." (Al-Fatihah:7)

Solat dan bersujud dahulu maka Allah akan datangkan pertolongan itu dengan dikirimkan kepada makhluk-Nya. Sungguh manusia itu, hanyalah menjadi asbab sahaja.




"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya." (Al-Baqarah:45-46)


Benar, tatkala kita ditimpa ujian, kita akan mudah merasa lemah dan rapuh. Terasa berputus asa dengan segala-galanya.

Namun, jangan sesekali kita merasa malas dalam mengerjakan solat. 

Solat itu memang berat bagi hati-hati yang lalai, namun solat itu sangat besar peranannya bagi orang yang khusyuk.

Khusyuk di sini kerana rasa hati kembali kepada-Nya. Yakin dan percaya kepada-Nya.

Tiada kebahagiaan selain Allah. Tiada kedukaan selain Allah yang berikan.

Maka, bersujudlah. Di situ terselit sebuah kekuatan iman dan kesabaran yang tiada tara akan Allah berikan.

Jika tidak mampu sujud, berzikirlah sebanyaknya. Zikir itu, jika tidak cukup dosnya maka iman kita akan menjadi 'less'. Kering dan lesu.

Hati kita hidup subur kerana zikrullah. Kerana kekuatan zikir kita mengingati Allah.

Cuba tanya jujur-jujur pada diri kita saat ini, apakah kita lebih banyak mengingati manusia daripada mengingati Allah?

Jika benar begitu, bagaimana mungkin kita mampu mendapat ketenangan hati dari Ilahi? 

Sedangkan DIA yang sepatut lebih layak diingati daripada apa jua isi duniawi...


"Allah, bantu kami untuk lebih mengingati-Mu dari segala apa yang ada di sisi kami. Kurniakan kami segunung kesabaran. Berikan kami jalan penyelesaian bagi setiap ujian. Berikan kami jawapan pada setiap persoalan.

Jadikan kami orang-orang yang selalu rindu untuk sujud, selalu suka untuk merintih dan meratap rayu pada-Mu tanpa rasa bosan atau jemu. Hanya Engkau yang Maha memiliki hati-hati kami, tetapkanlah hati kami dalam ketetapan iman kepada-Mu selalu...Amin ya Rabb..."




"Bersimpuhlah
Mungkin kerana lama benar kita berlari
mengejar setiap pelusuk duniawi
sehingga kita lupa untuk bersimpuh
Bersimpuh di antara dua sujud
membuatkan jiwa bisa bertafakkur
Dan juga mentaddabbur
Apa erti sebenar hidup ini?
Apa yang sebenarnya yang kita cari?
Akan kau temui penghujung nanti
jawapannya cuma, ILAHI..."

: hikmatul islam
: 08082014

: 1233 pm


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...