"Siapa
kita tanpa DIA?
Siapa
kita tanpa pegangan-Nya?
Urusan
dunia yang sentiasa menghimpit jiwa
Ujian dunia yang kadang tak terduga
Mampukah
kita sendirian menghadapinya?
Tuhanku,
Jangan biarkan daku dengan urusanku
Walau cuma
sekadar sekelip mata..."
Bismillahirrahmanirrahim.
Dimulai
dengan segala hamdalah, puji-pujian yang sentiasa layak menjadi milik-NYA,
bukan milik manusia.
Kita ini,
sering kali fikir, hati itu milik kita. Hati kita, milik kita. Benarkah begitu?
Kita ini, sering
kali fikir, hati manusia itu milik kita. Orang yang
mencintai diri kita sepenuh hati, maka hatinya menjadi milik kita sepenuhnya.
Kita merasa kita yang punya. Hak kita. Hati dia, milik kita.
Oh, jika
begitu, mudah sahajalah hidup ini. Kita yang akan mengawal hati kita dan kita
yang akan mengawal hati orang untuk berterusan mencintai kita selamanya.
Namun,
hakikatnya tidak sedemikian.
Saya tidak
menggunakan istilah Allah ‘pemilik’ hati. Saya lebih ingin menekankan dengan
perkataan Allah ‘pemegang’ hati.
Hati itu sering
diibaratkan seperti kaca.
Betapa kaca,
berhati-hati kita memegangnya agar tidak jatuh terhempas ke lantai. Agar tangan
kita tidak terluka jika terlalu kuat memegangnya sehingga boleh jadi ia pecah berderai.
Benar,
mungkin kita boleh mengawal rasa hati kita. Tapi, apakah kita mampu mengawal
rasa itu sepenuhnya?
Benar, orang
itu mencintai dan menyayangi diri kita. Tapi, apakah kita mampu memegang
hatinya untuk terus mencintai kita selamanya?
Tidak
akan mungkin. Bahkan tidak akan bisa ia terjadi tanpa keizinan dari Yang Maha
Kuasa.
---------
Pernahkah
kalian merasa gembira, yang gembira itu terkadang tahapnya berlebih-lebihan?
Sehingga merasakan, dunia ini kita yang punya.
Pernahkah
kalian merasa sedih, yang sedih itu sehingga tahapnya melampau-lampau? Sehingga
merasa tidak ada makna lagi hidup di dunia.
Pernahkah
kalian merasa, sesaknya dada tatkala dihimpit dengan pelbagai ujian dan masalah
yang bertimpa-timpa?
Pernah.
Malah, Allah telah menyebutkan dalam kitab-Nya.
"Maka
sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya
Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam;
Dan
sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan
dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke
langit (dengan susah payahnya).
Demikianlah
Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
(Al-An'aam
:125)
Subhanallah.
Betapa Allah-lah yang Maha Memegang Hati kita. Jika Allah tidak pimpin hati
kita kepada petunjuk-Nya, apalah ertinya kita menjadi manusia?
Malah jika
Allah membiarkan kita tersesat, sudah pasti dada kita akan merasa sempit yang
amat sehingga untuk bernafas pun kita akan mampu bernafas dengan nafas yang
tenang.
Sungguh
merasa sempit, sesak.
Betapa
agungnya hidayah Allah. Dan betapa perlunya kita kepada petunjuk Allah setiap
masa.
Sangat membutuhkannya.
--------
Temanku,
jika bukan kerana hidayah Allah, kita tidak akan merasai nikmatnya berada dalam
agama Islam.
Betapa ramai
orang Islam yang mengaku dirinya Islam, tetapi cara hidupnya bukan seperti
agama Islam ajarkan?
Temanku,
jika bukan kerana petunjuk Allah, kita tidak akan nampak jalan cahaya. Kita
tidak akan melihat sisi yang hak (kebenaran).
Kita tidak
akan mampu untuk beribadah, kita tidak akan mampu untuk melakukan kebaikan
walau sebesar zarah.
Jika bukan
kerana petunjuk Allah, kita tidak akan nampak solat itu besar kesannya kepada
jiwa, kita tidak akan merasai agungnya mukjizat al-Quran bagi orang yang
membaca dan mengamalkannya.
“Sesiapa yang diberi
petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia-lah yang beroleh
petunjuk;
Dan sesiapa yang
disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang
yang rugi.” (Al-A'raf ayat 178)
Kerana itu,
hidayah ini sangat kita perlukan dalam setiap detik kehidupan sepertimana kita
perlukan makanan dan minuman untuk terus hidup. Bahkan lebih dari itu.
Hidayah dan
petunjuk sangat diperlukan oleh hati agar dapat memandu diri ke arah jalan yang
lurus, agar kita tidak tersimpang jauh, agar kita tidak tersesat bersama dengan
orang-orang yang sesat.
Sedarkah
duhai diri, bukankah kita merayu meminta petunjuk dari Allah selama 17 kali
sehari? Amatlah rugi, andai ia langsung tidak terkesan di hati.
“Tunjukkan
kami jalan yang lurus,
Jalan-jalan
orang yang Kau berikan nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai, bukan pula
jalan orang-orang yang sesat.” (Al-Fatihah 6-7)
-------
Sebenarnya,
Allah swt telah banyak berikan kita petunjuk dan hidayah. Cuma sahaja, kita
yang tak menyedarinya.
Atau, kita
buat-buat tak tahu akan kehadirannya.
Betul ke
tidak? Cuba renung lama-lama dan check-list balik.
Kejadian dan
peristiwa yang berlaku di sekeliling kalian. Ujian dan dugaan yang pernah
datang dengan pelbagai keaadan.
Terkadang
Allah hadirkan seseorang yang menegur kesalahan kita. Namun, kerana sifat egois
yang lebih bertakhta di jiwa, maka kita menyangkalnya. Kita tidak ingin
mengakui kesilapan kita.
Terkadang,
Allah sudah mencampakkan sebuah rasa keinginan dalam hati kita untuk berubah.
Tetapi, kita sendiri tidak ingin ‘kuat’ mengubah diri kepada lebih baik.
Kerana apa?
Kerana perubahan itu akan bertentangan dengan hawa nafsu dan kehendak hati
kita. Maka, kita membiarkan petunjuk itu berlalu begitu sahaja.
Sedangkan,
kasih sayang Allah itu sentiasa mendahului murkanya. Allah itu, sangat
sayangkan kita kerana Dia-lah yang menciptakan kita dengan sepenuh cinta.
Namun, kita
tidak merasainya kerana kita sendiri yang ‘menutup’ ruang petunjuk dan hidayah
yang Allah telah tunjukkan itu.
“Dan
tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat
Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan
oleh kedua tangannya;
sesungguhnya
(disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis
atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan)
pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).
Dan
jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian,
mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.” (Surah
Al-Kahfi, ayat : 57)
Mahukah kita menjadi
seperti itu? Apabila Allah sudah berikan ayat-ayat peringatan dan tegurannya, kita
masih tidak ingin mendengarnya sehingga suatu saat Allah menutup segala pendengaran
dan hati kita menjadi buta.
Nauzubillah, minta dijauhkan.
“Dan
(sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah
menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka
(dorongan) untuk mereka bertaqwa.” (Surah Muhammad, ayat : 17)
--------
Sesungguhnya,
hidayah dan taufiq Allah itu mahal harganya. Tak semua orang bisa memilikinya.
Kita yang
selalu Allah ‘sentuh’ hati, bersyukurlah. Dan hargailah peluang itu
sungguh-sungguh.
Buktikan
dengan bersegera melangkah kepada kebaikan dan tinggalkan dosa yang meresahkan
fikiran.
Teruslah
berdoa, agar Allah memegang hati kita dalam petunjuk-Nya. Jika Allah membiarkan
kita, apa lagi yang tersisa untuk kita?
Jangan
terlalu yakin, hari ini kita baik, maka kita akan menjadi baik selamanya. Jika
Allah mahu ‘twist’ hati kita, sekejap sahaja kita akan jadi sebaliknya.
Hanya dengan
rahmat-Nya sahaja dapat kita terus bernafas dalam nafas iman, berada dalam
kebaikan dengan bimbingan-Nya yang Maha Hadi (Pemberi Petunjuk).
Akhirul kalam, sepertimana
doa indah yang diajarkan oleh Baginda Saw ini, mari sama-sama kita amalkannya.
Insha Allah, semoga kita semua sentiasa dalam redha-Nya. Wassalam.
Janganlah
(Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri,
walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai
Tuhan yang mudah dan cepat memperkenankan permintaan (perkenankanlah)."
: hikmatul islam
: 20092014
: 1100 pm