29 March 2014

Cahaya Di Atas Cahaya, Sentiasa Ku Damba


Termangu.
Mencari sebuah jasad yang hilang.
Mencari hati yang pudar.

Iman.
Andai bisa ku lakarkan iman dengan sepenuh hatiku.
Andai iman itu bisa ditulis.
pasti kan ku tulis yang indah-indah.
Sesinar bintang yang bergemerlipan.

Orang kata, bintang di langit tidak semua berkelip.
rupanya ada yang suram dan malap.
akukah itu bintang yang tergelap?

Sudah puas mutiara jernih mengalir.
Hati, jernihlah seperti mutiara itu.
yang jatuh mengalir tulus.

Sendirian.
lalu ku temukan cuma setengah ketenangan.
nanar mencari setengah bahagiannya di mana tersimpan?

Allah.
Tiada daya melainkan daya-Mu.
Tiada jalan melainkan taufiq-Mu.
Tiada rasa melainkan kerana kurniaan-Mu.
Izinkan ku tangkap setiap hikmah-Mu
Agar ku selalu menjadi pencari jalan-Mu...




Naik sahaja train tersebut, tempat duduk saya di sebelah tingkap. Bersyukur. 
Saya mengharapkan sebuah 'kerehatan' di tempat second class itu. Pada tiket lewat  jam 6.15 petang yang saya beli pada hari itu juga.
Penumpang di coach W7 masih tidak ramai. Saya tarik baju sejuk merah hingga ke paras dada. Sementara menunggu train berlepas 8.30 malam, baki masa 10 minit yang ada saya habiskan dengan surah Al-Mulk. 
Cuba sedaya upaya menenangkan hati yang rawan. Namun, hati semakin rawan bercampur haru tatkala meneliti patah demi patah ayat cinta-Nya...

"Maha Suci Allah yang Menguasai segala Kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa di atas segala sesuatu."
"Yang Menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah yang paling terbaik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun." (Al-Mulk:1-2)
         
Usai menghabiskan surah tersebut, saya belek-belek lagi pada mushaf al-Quran yang bersaiz poket itu. Baru sahaja dibeli kelmarin. 
Al-Quran 'ar-Raudhah' terbitan Karya Bestari ini ternyata istimewa, dengan 319 tafsir mengikut tema. Semuanya memfokuskan kepada isu muslimah.
Tema Akidah-Akhlak yang bertajuk 'Wanita yang berserah diri dan beramal soleh' di halaman 18 saya selak. Meneliti ayat 112 pada juzuk 2 surah Al-Baqarah:


Tafsiran dan huraian lebih lanjut mengenai ayat ini saya baca lagi.
"Sekiranya mereka telah berserah diri kepada Allah dan beramal soleh, maka mereka tidak perlu bimbang dan bersedih. Di antara perilaku orang-orang yang beriman ialah apabila mereka ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan, mereka akan mengkaji sebab-sebab berlakunya dan berusaha kuat untuk mengatasinya.
Kalau masih belum juga dapat diatasi, mereka menyerahkan permasalahan itu kepada Allah. Niat mereka tidak sedikit pun menjadi lemah dan hati mereka juga menyedari bahawa untuk mengatasi semua kesusahan itu, dia menyerahkan diri kepada kekuatan yang hakiki iaitu ALLAH."

Empangan air mata yang sekian dari tadi ingin dibendung, akhirnya pecah jua. Tangis sepi tanpa suara. 
Menitik setitik demi setitik. Sehingga, saya tidak mengira lagi untuk ke berapa kalinya titik jernih itu jatuh ke pipi.
Lelaki muda di hujung tingkap sebelah dari kerusi saya berpaling. Mungkin dia perasan keadaan saya yang sedang menangis. 
Namun, tidak saya pedulikan sedikitpun. Berasakkan dengan emosi yang mulai tidak keruan, saya cuba. Cuba untuk mengawal emosi yang tidak ingin ditakhtakan atas perasaan semata.
Ternyata, Allah itu sering 'menegur' dan 'menasihati' saya di balik setiap kalam-Nya yang maha agung. Walau sepatah ayat, sudah cukup untuk membuatkan air mata ini tumpah. 
Sudah cukup untuk membuatkan hati bergetar berbaur seribu rasa. Antara sebak dan haru. Antara sedih dan pilu.
Fb saya 'deactifkan' lagi kali ini. Telefon juga. Kebetulan 'soundnya' telah rosak dan harus masuk ke bengkel. Jadi sudah tiada lagi alat komunikasi saya pada dunia luar. 
Tiada lagi perhubungan dengan manusia lain sementara waktu. Yang tinggal, alat komunikasi dengan Allah terlebar luas. Hanya dengan-Nya.
Ditambah dengan kesihatan saya yang tidak sihat, iman juga terlebih lagi 'cedera'. Memang saya ingin sepi keseorangan, merawatnya dengan sepenuh sandaran kepada Pemilik Hati. 
Begitulah diri. Tatkala rasa hati kian lelah dan rapuh terhadap dunia, lebih baik meminggir dan duduk bersendiri. Beruzlah mencari kekuatan hati yang hilang. Saya lebih senang seperti itu.


Bukan tidak sudi meluahkan kepada manusia. Teman-teman mulai resah bertanyakan keadaan diri. Saya tahu mereka runsing. Terima kasih duhai sahabat-sahabat solehah yang mengambil berat. 
Namun, hati lebih memilih untuk berkomunikasi dengan Allah berbanding dengan manusia. Bukankah itu lebih baik? Ujian itu asalnya datang dari Allah. Maka harus dikembalikan rintihan itu kepada Yang lagi Berhak Mendengar segala aduan dan rayuan.
Manusia bukan tidak boleh menjadi pendengar, tetapi sering sahaja mengecewakan hati apabila mereka tidak dapat mampu menyelami segala rasa bebanan hati. 
Kerana sudah mutlak, Allah jauh lebih Memahami segala jeritan batin. Sakitnya iman. Cederanya emosi. DIA tidak pernah jemu mendengar. Sentiasa ada di sisi.
Tidak seperti manusia, di saat-saat kita perlukan mereka tidak dapat bersama. Ya, seringkali begitu. Kerana apa? kerana Allah cuma mahu diri kita hanya dengan-Nya. Di kala susah mahupun senang, Allah yang pertama harus kita 'berlari dan jumpa'.
Fb medan dakwah saya. Namun saya tutup atas dua sebab. Pertama, kerana 'terkesan dan kebingungan' dengan layangan surat ringkas dari seorang muslimin. Kedua, lebih baik menjaga hati dengan diserahkan hati kepada Allah semata, dari menulis di status luahan hati yang saya bimbang hilang pena hikmah-Nya..


Jam 7.30 pagi. Cahaya mentari mulai menyinar di ufuk bumi. Saya lemparkan pandangan ke luar tingkap train tersebut. Dalam dua jam lagi saya akan sampai di kampung halaman di Kelantan. 
Seketika kemudian, rintik-rintik hujan mulai turun. Oh, hujan! Betapa memahaminya dikau gulir rasa hati ini. Setiap air mata tangis yang jatuh, sepertimana jatuhnya engkau membasahi bumi.
Benar, langit tak sentiasa akan cerah. Hujan pasti akan turun apabila diseru oleh Rabb-Nya. Begitu jua dengan kehidupan insan. Ada saat dia gembira. Ada saat dia berduka. Ujian itu tidak akan pernah berhenti. Sentiasa akan berganti menemani.

Tatkala begitu banyak impianku terencana
Namun hari demi hari ia belum menjadi nyata
Terasa digugah disapa angin putus asa
Hingga diri yang bersemangat itu terperosok jauh
jauh ke dalam sebuah mimpi dalam mimpi
mimpi yang sentiasa ingin diterjemah indah ke realiti
Tapi belum bisa digapai hingga kini...

Saya renung dalam-dalam. Tarik nafas panjang-panjang. Menilai kembali setiap impian yang terencana. Bermusafir jauh dari kampung halaman datang ke ibu kota. 
Allah 'tempatkan' saya di tengah-tengah kepesatan kota batu itu. Ada amanah yang perlu dilaksanakan. Ada ilmu yang harus dipertanggungjawabkan. 
Ya. Ilmu deeni. Ilmu agama-Nya yang maha berat. Bukan setakat untuk diri sendiri, malahan kewajipan menyampaikan ilmu tersebut kepada ummah.
Merenung diri, saya masih di sini. Sedang teman-teman yang lain sudah bertebaran di segenap bumi. Saya masih di sini. Masih bertahan dan bersabar untuk mengutip mutiara ilmu demi ilmu Ilahi. 
Tetapi, begitulah. Masih belum berjaya. Masih perlu banyak melalui proses tarbiyah ilmu. Menuntut sebuah kesabaran yang tiada tara. Sungguh, mahu melangkah ke satu peringkat ilmu itu memang perlu melalui satu tahap mujahadah yang tinggi...


Sepanjang di rumah, saya termenung lagi memuhasabahkan diri. Buku Oki Setiana Dewi, 'Cahaya Di Atas Cahaya' dari Indonesia itu saya khatam dalam masa dua hari. 
Meneliti helaian demi helaian dengan air mata yang setia menjadi peneman. Mungkin, saya beginilah. Punyai jiwa yang mudah terharu? Mungkin...
Kisah dalam buku itu adalah coretan indah yang meruntun jiwa. Kisah kegigihan seorang gadis yang tidak pernah ada istilah putus asa dalam mengejar ilmu-Nya. Lantas diniatkan untuk mengutip ilmu di bumi paling suci, Ummul Qura, Mekah.
Dengan keajaiban dari-Nya, dalam tempoh sebulan Oki dapat belajar di sana bersama dengan mengerjakan umrah. Turut dicuit dengan pelbagai kisah yang semakin mengagumi kebesaran Ilahi.
Subhanallah! Bagaimana tidak mengalirnya air mata? Kerana begitulah diri saya suatu ketika dahulu yang teramat pingin belajar bahasa arab di sana. Yang teramat pingin untuk menjejakkan kaki ke tanah suci-Nya. Yang teramat pingin menatap Baitullah-Nya.   
Sungguh saya syukuri kerana DIA buat saya 'jatuh cinta' pada tanah suci itu. Sehingga menumbuhkan rasa cinta dan rindu yang tidak pernah pudar. Perasaan rindu ini sangat ajaib rasanya. 
Suatu perasaan rindu yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Suatu rasa yang Allah campakkan dalam hati, membuatkan saya selalu merindui untuk bertemu-Nya di sana. Allahuakbar...
Terima kasih duhai Pemilik Cinta, kerana memenuhkan hati ini dengan jatuh cinta pada yang sepatutnya. Bukan jatuh cinta pada sosok manusia yang belum bisa menjamin kebahagiaan apa-apa. 
Aneh sekali andai difikir-fikir semula. Benar, semua orang Islam bercita-cita mahu ke sana. Ke Tanah Suci Mekah itu. Namun, setiap rasa dari kita beda (beza). Antara rasa keinginan yang meluap, atau rasa-rasa keinginan sekadarnya sahaja. Saya percaya, masing-masing dari kita dapat mengukur tahap rasa tersebut di dalam jiwa.
Allahu...Izinkanlah hamba agar turut menjadi tetamu-Mu sebelum mata tertutup, sebelum nafas berhenti berhembus... ;'(


Seperti terdengar semula suara Ustaz Ebit Lew, semasa saya menghadiri Seminar Baitul Muslim 3.0 yang lalu. Satu kata-kata ini seperti tersemat kemas menusuk ke relung hati.

"Yakinlah, musibah itu nikmat. Dalam musibah, sebenarnya Allah mahu anugerahkan sebuah RAHMAT yang tiada tara. Rahmat indah bagi mereka yang dapat bersabar di atas ujian musibah yang diberikan-Nya."

YA ALLAH...Jika hamba mampu bersabar dan bertahan menghadapi setiap ujianMu sebelum ini yang lagi besar dari musibah ini, kenapa tidak untukku terus bersabar lagi? 
Demi-Mu ya ALLAH, daku doif...daku lemah...tidak akan mampu untukku bangkit kembali tanpa kekuatan dariMu.. Wahai Penolongku yang Maha Gagah, tolong kuatkan hambaMu ini.. Cantikkan diriku dengan sifat sabar yang Engkau anugerahkan.. Fasobrun Jameel..
Alhamdulillah, kini saya sudah stabil. Insha allah, iman sudah kembali sembuh. Bersedih dan beruzlah itu perlu, tetapi DIA tidak membenarkan sampai kita melampaui batas bukan? 
Cukuplah sekadar kita kembalikan semuanya kepada DIA. DIA yang Maha Esa, Maha Agung, Maha Penyayang, Yang Menciptakan setiap desah nafas manusia. Maha mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. 
Juga saya bersujud syukur, dalam kekecewaan dan hampa yang menimpa, Allah masih sudi menitipkan saya sebuah harapan. Harapan yang selama ini menjadi impian. 
Dengan 'harapan' inilah saya dapat bernafas kembali. Cuba bernafas dengan penuh ketenangan. Sungguh, tidak mahu sesekali lelah dan berputus asa kepada rahmatNya yang Maha Luas. 
Duhai ILAHI, redhakanlah langkah tintaku ini...Impian untuk menjadi penulis yang berhikmah. Yang dapat memberi selautan manfaat buat ummah. Allahumma amin...teramat hajat doa kalian wahai pembaca budiman. Allahu musta'an.



"Ya Allah,
karuniakanlah cahaya dalam hatiku,
cahaya dalam pendengaranku,
cahaya dalam penglihatanku,
cahaya dalam ucapan lisanku,
cahaya pada sisi kananku,
cahaya pada sisi atasku,
cahaya pada diri dan keperibadianku,
dan perbesarkanlah karunia cahaya-cahaya itu bagiku..."

: Catitan penghujung rasa bulan Mac 2014
: hikmatul islam


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...