20 June 2011

KAHWIN AWAL: BERSEDIAKAH?




*Sahabiah-sahabiah dari KIAS yang telah mendirikan Bait Muslim*


  • Nazurah dengan pasangannya Muaz Syukry (26/3/2011)
  • Fatimah Junoh dengan pasangannya Mohd (30/5/2011)
  • Zinnirah dengan pasangannya Ubaidillah (4/6/2011)
  • Syahida Hafizah dengan pasangannya Yusuf Bahij (5/6/2011)
  • Huda dengan bakal pasangannya Hafizulhaq (15/7/2011)



~Barakallahulakuma~





Assalamualaikum wbr..

Semoga sentiasa sihat walafiat, bahagia dan senyum-senyumlah selalu (kerana senyum itu sedekah!) (^^,)


Cuti persekolahan telah berlalu. Tak sempat sebenarnya penulis nak menyiapkan artikel pasal kahwin nie kerana semasa cuti tersebut penulis terpaksa balik awal ke kampus untuk tugasan menjadi fasilitator sempena Minggu Silaturrahim (MSR) kemasukan pelajar baru di Insaniah.  


Tidak berkesempatan juga untuk menghadiri kesemua jemputan kahwin sahabat-sahabat, yang sempat hanyalah Fatimah Junoh yang merupakan waris dengan penulis. Jadi sehari sebelum pulang ke kampus, alhamdulillah masih sempat menghadiri majlis perkahwinan yang dibuat di rumah kakaknya. Nampak sangat serasi dan sepadan dengan pasangannya yang lengkap memakai baju pengantin berwarna merah.


Sebelum nak kupas persoalan utama tajuk yang telah penulis letak, terlebih dahulu penulis ingin mengucapkan salam tahniah, mabruk dan salam bahagia kepada mereka semua. Meskipun tidak dapat menghadiri majlis kahwin sebahagian dari mereka namun doa tidak pernah lupa untuk dititipkan dari jauh.


Doa penulis, semoga Bait Muslim yang dibina dengan jalinan ikatan Rohiah kerana-Nya akan melahirkan Bait Muslim yang soleh dan solehah, penerus generasi perjuangan dalam menegakkan deen Ilahi serta bahagia berkekalan hingga ke syurga. Amin! =)



Garisan Umur Dalam Berkahwin


Sahabiah-sahabiah yang disenaraikan di atas sebenarnya mereka hanyalah sebaya umur dengan penulis, dalam lingkungan 20-22 tahun. Jika dilihat, sememangnya umur ini masih muda, lebih-lebih lagi kesemuanya masih dalam peringkat belajar dan tidak bekerja. Ringkas kata, kahwin semasa belajar.


Terfikir juga di benak fikiran, betapa mudahnya mereka menikah meskipun masih dalam belajar. Mungkin ibu bapa mereka yakin dan percaya kepada anak-anak yang mampu memikul dan menggalas tanggungjawab sebagai pelajar sekaligus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang besar sebagai suami ataupun isteri.


Dan saya juga yakin pada semua sahabiah saya kerana mereka mampu menjalankan amanah tersebut dengan sebaiknya memandangkan kepada kekuatan agama dan pesona akhlak yang mereka miliki.


Mengambil contoh, perempuan pertama dalam Islam yang menikah awal dengan Baginda SAW iaitu Saidatina Aisyah yang ketika itu baru berumur 9 tahun. Sememangnya umur tersebut masih berada dalam zaman kanak-kanak untuk berkahwin dan menjadi seorang isteri. Tetapi ia telah menjadi ketetapan takdir dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda SAW.


Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a. maksudnya:

“Bahawasanya Nabi saw telah mengahwini Aisyah sedang (ketika itu) ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun”.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya Islam tidak menetapkan persoalan umur sebagai ukuran dalam pernikahan dan sepatutnya hal ini jelas bagi lelaki dan perempuan bahawa yang dipentingkan ialah agama.

 
Firman ALLAH Ta’ala menyebut yang bermaksud:

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu” (An-Nisa : 3).

Sabda Baginda SAW pula bermaksud:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda Rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (Hadith Hasan Riwayat Tirmidzi no 1084).



Kahwin Awal Bagi Yang Bersedia Dan Mampu


Berbalik kepada persoalan utama penulis. Kahwin awal, bersediakah?



Mari renungi sejenak....


Bagi sang lelaki, sudah cukup bersediakah menjadi imam dan pemimpin rumahtangga? Sesuai dengan tugasnya sebagai ketua keluarga, dialah yang akan membimbing, menuntun dan mencorak keluarga yang dibinanya. Jika diri sendiri masih banyak  kelemahan dan serba-serbi kekurangan dari sudut pegangan agama, bagaimana mungkin diri ingin membawa isteri dan anak-anak hingga ke syurga-Nya?



Bagi sang gadis pula, sudah cukup bersediakah untuk menjaga dan menyiapkan diri menjadi isteri yang setia, taat dan patuh kepada suami? Apakah sudah bersedia untuk melahirkan pejuang-pejuang agama? Apakah layak untuk melaksanakan semuanya jika diri masih lagi terumbang-ambing dan compang dalam asas agama? Apatah lagi untuk merebut syurga yang terletak sepenuhnya di bawah tapak kaki seorang suami... 



Persoalan ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan keadaan individu masing-masing. Jika sudah sampai masa yang sesuai, ibu bapa redha dan kedua- dua belah pihak merestui maka bernikahlah.                                                                                                   

Sepertimana hadis Baginda SAW yang bersabda bermaksud:

“Wahai para pemuda, siapa di antara kalian yang mampu menikah (jima’ dan biayanya) maka nikahlah, karena ia lebih dapat membuatmu menahan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu menikah maka berpuasalah, karena hal itu baginya adalah pelemah syahwat.” (HR. Bukhari dan Muslim)


Firman Allah pula menyebut yang membawa erti:

“ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Al-Baqarah : 185).


Tak dinafikan kahwin semasa belajar ada kebaikan dan keburukannya. Punyai pro dan kontra, semuanya kembali kepada ukuran dan nilaian masing-masing. Nikahlah bagi yang mampu dan bersedia melayari kehidupan berumahtangga walaupun dalam masa yang sama berstatus pelajar.


Tetapi jika tidak, maka nilailah dengan sebenar-benar penilaian dan ukurlah baju di badan sendiri jangan sampai merana diri sehingga membawa kepada pergaduhan dan perceraian pula nanti…






Akad Nikah: Mitsaqon Ghalidon [perjanjian yang berat]


Benar. Soal nikah bukanlah satu urusan yang remeh, kecil dan perkara biasa tetapi ia adalah soal hidup yang besar. Akad nikah dan lafaz memang mudah, tetapi tersirat ‘makna yang cukup besar’ di sebalik lafaz tersebut, iaitu tanggungjawab sebagai suami atau isteri.


Tanggungjawab ini juga bukan terhenti setakat tanggungjawab pada pasangan masing-masing bahkan turut melibatkan tanggungjawab pada keluarga pasangan, bapa mertua, mak mertua, abang ipar, kakak ipar,adik ipar, ipar duai, sepupu dan sanak saudara keseluruhannya.


Persoalan nafkah zahir dan batin juga perlu ditimbang lebih-lebih lagi bagi yang bergelar pelajar. Pendek kata perlukan persediaan yang cukup dari segi mental dan fizikal kerana kehidupan selepas nikah bukan semudah kata pujangga, bukan semanis mulut bicara.   Melayari bahtera rumahtangga bukan sehari dua. Tetapi memakan masa yang lama. Hidup bersama hingga ke akhir usia. 


Jika tersilap perkiraan dan tidak cukup persediaan, tidak mungkin akan tercapai Bait Muslim yang Islam citakan untuk membangunkan generasi soleh dan solehah sebagai penerus perjuangan untuk deen-NYA malahan mungkin akan meruntuhkannya pula dek kerana rapuhnya pegangan agama sebagai teras utama.


Bagi pendapat peribadi penulis, bukan tidak boleh berkahwin semasa belajar, seperti yang dikatakan terpulang kepada keadaan individu masing-masing tetapi penulis merasakan diri tidak layak berada dalam kategori tersebut memandangkan terlalu banyak lagi yang harus dipelajari sebelum bahu mampu untuk memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menjadi seorang isteri.


Apatah lagi title ‘isteri solehah’ itu yang didamba untuk ke syurga-NYA. Oleh kerana itu ingin sekali 'solehahkan diri' terlebih dahulu kerana menyedari diri masih banyak kekurangan dan kelemahan, ilmu di dada masih terlalu cetek dan masih banyak pula cita-cita yang ingin digapai.



Sesungguhnya zaman semasa menuntut ilmu ini adalah medan tarbiyyah yang terbaik untuk mendidik dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan mengamalkan segala tuntutan agama, baik dari segi fardu ain mahupun fardu kifayah.


Laksanakanlah tugas sebagai tolib dan tanggungjawab sebagai anak dengan sebaiknya dengan mengenggam sebuah kejayaan terlebih dahulu untuk dihadiahkan kepada ibubapa tersayang, sebelum membina rumahtangga yang gemilang bercahayakan sinaran Islam.


Akhir kalam, soal jodoh Allah yang selayaknya untuk menentukan kerana hal ini sebenarnya termasuk dalam perkara ghaibiyyat. Manusia hanya mampu merancang, selayaknya Allah jua yang menentukan. Siapakah pasangan, bila dan di mana, hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya...                                                                                                                             


Semoga dengan mengutamakan menjadi hamba-Nya yang TERBAIK, maka DIA pasti akan menemukan dengan 'pemilik hati yang terbaik' juga, di saat dan masanya yang sesuai, yang telah Tuhan tetapkan dalam takdiran-Nya. Insya Allah…


Wassalam w.b.r.


*Bagi pendapat para pembaca pula bagaimana?

^ Fikir-fikirkan dan renung-renungkan, semoga Allah menetapkan hati membuat sebuah keputusan.! ^


~ Jagalah dan Cintailah Allah sepenuh hati, pasti DIA akan menjaga dan mencintaimu jua~


p/s: “Tak sabar untuk melihat ‘anak buah’ cik nes yang akan lahir awal bulan Ramadhan nanti. Sahabatku Siti Aishah Mat Daud, sila jaga kesihatan baik-baik yer! Kepada ‘anak buah cik nes’, jurus-jurus duk dalam perut ibu tue, insya allah akan jumpa Acik Nis dan Acik Aya suatu hari nanti.! (“,) semoga selamat melahirkan pejuang dan imam kecil untuk Islam. Amin =)

14 June 2011

"SAHABAT, KU INGIN MASUK SYURGA BERSAMAMU.!"




(DOA ROBITAH)   

"Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini (orang-orang yang telah dibayangkan tadi) telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya.

Kekalkanlh kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkanlah (piala) hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. (Jika Engkau mentakdirkn mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Amin” 






Assalamualaikum…


^Salam Ukhuwah buat semua.!^


Salam sejahtera wa syukran jazilan kepada saudara dan saudari yang sentiasa sudi untuk menjenguk ke teratak doif penulis ini. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan redhaNya. Insya ALLAH...


Bagi pembaca yang sering berkunjung ke teratak Hikmatul Islam, pastilah akan menyedari bahawa penulis banyak menyentuh soal ‘ukhuwah fillah’, bermula dengan lakaran puisi, monolog jiwa, lakaran hati yang mana banyak menyentuh tentang ‘sahabat’.


Tanpa kehadiran seorang rakan, kawan, sahabat mahupun teman pastilah hidup ini sepi dan sunyi. Tipulah bagi sesiapa yang merasakan dirinya tidak perlukan sahabat? Dan merasa boleh hidup tanpa sahabat.


Kerana seorang sahabat yang hadir di sisi, sangat memberi kesan dalam kehidupan kita samada secara langsung atau tidak langsung, samada sedar atau tidak, sedikit sebanyak seseorang sahabat yang hadir itu akan mencorakkan peribadi dan sifat kita juga.


Betul atau tidak? Terpulanglah. Bagi penulis, sahabat amat penting dan sangat bermakna dalam hidup ini. Penulis telah bertemu dengan 'teman sejati' yang banyak membimbing penulis agar semakin mendekatkan diri kepadaNya. Betapa dapat dirasakan hubungan persaudaraan ini sangat indah dan manisnya terasa sehingga ke sanubari. 


Dan dikelilingi pula dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang satu hati dan satu jiwa dalam berjuang di atas jalan Ilahi. Rasa sangat bersyukur tidak terhingga di atas rahmat yang dilimpahkan oleh Yang Maha Esa. Alhamdulillah...


Oleh itu, di sini penulis ingin berkongsi tentang makna dan erti ungkapan ‘Ukhuwwah Fillah’. Sememangnya hubungan ini sangat indah, hebat, luar biasa dan ajaib sekali. Mari sama-sama kita mengkaji, memahami konsep dan ertinya seterusnya diaplikasikan dengan sepenuh hati dalam kehidupan bersama teman-teman di sisi. 


^Selamat Berukhuwah Kerana ALLAH!^ 





Apa itu ‘Ukhuwwah Fillah’??


Ungkapan ‘Ukhuwah Fillah’ sememangnya sangat besar dan mendalam maknanya. Ia bukan bermaksud sebuah persahabatan yang biasa, malah lebih dari itu.


‘Bersaudara kerana Allah…’


Persaudaraan di sini bermaksud kita mempertautkan hati dan roh insaniah dengan ikatan akidah. Ikatan akidah ini merupakan ikatan yang paling kukuh dan berharga.


Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara.”  (Al-Hujurat:10)


Ukhuwwah dalam islam merupakan jalinan akidah yang mempertautkan umat Islam antara satu sama lain. Ia merupakan ikatan rabbani yang mengikat antara hati mereka dan merupakan jalinan sebuah persaudaraan yang erat untuk taqarrub kepada Allah.


Di situ telah jelas niat dan asbab utama kita berhubung, bersahabat dan berteman dengannya, hanya semata kerana ALLAH…


Dengan ikatan rohiah ini juga, maka persaudaraan antara orang-orang mukmin sentiasa kukuh dan teguh dalam bersatu serta berjuang dalam menegakkan deen-Nya.


Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Orang mukmin terhadap orang mukmin umpama satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.”



Kerana Inginkan Redha-NYA



Kalau kita menyoal lagi, KENAPA harus kerana ALLAH??


Hanya ada satu sebab. Apabila dengan kita bersahabat kerana-NYA, maka seikhlas hati dan sepenuh jiwa kita sandarkan kerana inginkan REDHA ALLAH. 


Kita tidak akan berpura-pura, berlakon, mahupun mementingkan diri sendiri dalam bersahabat dengannya kerana matlamat telah jelas hanya kerana ILAHI bukan semata-mata kerana kepentingan duniawi…


Jika bukan berpaksikan kerana Ilahi, maka penulis berani memberi jaminan tidak mungkin akan kekal lama hubungan tersebut malah akan menjadi hambar, pudar dan musnah jua akhirnya.


Lihatlah contoh. Jika bersahabat kerana harta, bila harta itu habis maka diangkat kaki meninggalkan kawannya. Jika bersahabat kerana kepandaiannya semata-mata, maka kita akan mempersalahkannya bila dia buntu tiada jawapan.


Jika berteman kerana kemasyhurannya, maka kita akan berpaling ke belakang dan mencemuhnya bila dia hilang popularitinya. Begitulah andai semuanya kerana kebendaan dunia semata-mata, persahabatan itu tidak mungkin akan bertahan lama.


Persahabatan yang diwarnai dengan warna-warna keikhlasan dan kejujuran adalah persahabatan yang sangat suci perhubungannya.Tiada kepentingan diri dan tiada di dalam hati untuk mengaut kepentingan diri atau apa-apa yang bersifat duniawi.


Sebagaimana Umar Al-Khattab ada berkata:

“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah" 




Persaudaraan dalam Islam sememangnya sangat cantik kerana dibina atas keikhlasan kerana Allah, saling berkasih sayang, membantu di kala susah, setia menemani serta sehati dan sejiwa di atas jalan-Nya.


Meskipun fikrah berbeza, sifat dan sikap berlainan, namun mereka berukhuwah atas dasar satu matlamat yang sama. Semuanya kerana inginkan redha ALLAH semata-mata. Dan satu impian murni yang ingin digapai. Dengan keredhaanNya kepada ukhuwah yang bersemi ingin sekali dibawa hubungan ini kekal abadi hingga ke SYURGA. 



Ukhuwah satu kenikmatan dan kemanisan iman



“Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.”
~ Saidina Umar Al-Khattab~



Ukhuwah adalah satu nikmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman kerana ia adalah satu hubungan yang mana tidak ada hubungan yang lebih kukuh daripadanya.


Ukhuwah berdasarkan keimanan adalah persaudaraan dan persahabatan yang sangat indah, murni, dan tulus. Ia akan memberikan banyak kesan dan mempengaruhi perjalanan kehidupan kita menuju Allah SWT.


Buktinya, sepertimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang soleh. Seandainya beliau lupa (temannya itu) akan memperingatkan dan apabila temannya itu memperingatkannya, beliau akan menolongnya”


Sesungguhnya ikatan aqidah ini sangat ajaib. Apabila hati-hati pemiliknya bertemu, maka akan menjadi lembutlah hati yang keras, akan suburlah hati yang gersang, akan terikatlah hati-hati tersebut dengan ikatan yang sangat kuat dan mendalam.


Justeru, pandangan mata, pergerakan anggota dan degupan jantung menjadi titik-titik perkenalan, kasih sayang, kesetiaan, kerjasama dan tolak ansur yang tidak mampu mengetahui rahsianya selain Tuhan yang menyatukan hati-hati tersebut, dan tidak akan merasai kemanisannya melainkan hati-hati itu sendiri.



“Rasulullah s.a.w menjamin bahawa sesiapa yang menpunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan Allah semata-mata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.”


Sebagaimana Baginda SAW bersabda yang bermaksud:


"Tiga perkara siapa yang ada padanya akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu; Pertama, bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihi daripada yang selainnya. Kedua, seseorang itu kasih kepada seseorang dan tiadalah ia kasih kepadanya melainkan kerana Allah. Ketiga, bahawa ia benci untuk kembali menjadi kekufuran sebagaimana ia benci untuk dimasukkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari)



‘Teman yang soleh, yang baik dan beriman ibarat sebutir permata yang berkilauan di lautan’







Dalam Bersahabat, Pasti Ada Ujian



Allah mengingatkan hamba-hambanya tentang rahmat-Nya yang besar serta mengajak mereka kepada perpaduan serta menjauhi perpecahan dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika mana kamu semua bermusuhan lalu Allah menyatukan di antara hati-hatimu maka kamu menjadi bersaudara dengan nikmatnya. (Ali Imran: 103)


Sabda Baginda SAW yang membawa erti:

“Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana ALLAH dan marah kerana ALLAH” 

(Hadis riwayat Ahmad daripada Al-Bara’ Ibn Azib)


Penulis juga tidak terkecuali diuji dalam hubungan ukhuwah ini. Sesungguhnya saat badai  datang menghempas, saat Allah terus menguji dan menguji keikhlasan hati dalam berukhuwah dengan seorang teman yang sangat rapat dengan penulis, tidak dinafikan kaki terasa sangat lemah hingga dirasakan tidak mampu berdiri lagi.


Lumpuh segala semangat dan terasa putus asa dalam meneruskan hubungan persahabatan ini lagi dek kerana goncangan dugaan yang maha hebat. Namun, kerana kekuasaan-Nya yang Maha Besar serta kasih sayang dari Ilahi hubungan kami kembali pulih malah semakin erat dan kuat. Subhanallah…Semuanya kerana rahmat yang Maha Esa.


“Alhamdulillah wa syukurillah…Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang, diuji kami hingga ikatan menjadi semakin teguh, kasih sayang antara kami semakin mendalam dan  semoga terus erat simpulan aqidah ukhuwah ini berpaksikan nama-Mu Ya Rabbi….”





Berlapang Dada dan Saling Memaafkan



Berlapang dada dan saling memaafkan. Dua perkara ini sangat penting dalam memastikan hubungan ukhuwah terus berkekalan. Bila mana berlakunya salah faham, terjadinya perselisihan pendapat antara teman, serta kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh masing-masing. 


Maka dua elemen tersebut perlulah diamalkan kerana tiada manusia yang sempurna, yang tidak berbuat kesalahan dan dosa. Meskipun kita telah mencuba untuk menjadi sahabat yang terbaik, namun dalam tidak sedar kita juga mungkin telah melukakan hatinya. 


Oleh itu, berlapang dada dan maafkanlah sepenuh hati. Sesungguhnya sifat pemaaf itu dipinjami dari sifat 'al-Afwu' yang Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.


Lihatlah. Jika Allah swt dapat memaafkan dosa manusia meskipun sebesar gunung Uhud, kenapa tidak kita sebagai sang hamba? Buang yang keruh dan ambillah yang jernih kerana ‘kejernihan’ itu akan mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki.


Mafhum daripada firman-Nya dalam Surah Az-Zukhruf ayat 67:

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." 



“ Ukhuwah yang terbina antara kita biarlah seperti seutas TASBIH.. ada awal tiada penghujungnya, dicipta untuk mengingatiNya, dibahagi untuk mencintaiNya dan diratib demi redhaNya”


Penutup: Cahaya Di Atas Cahaya!


Diriwayatkan dari Abu Malik Al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“ Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang bukan dari golongan Anbiya’ dan juga bukan dari golongan para syuhada’. Mereka dicemburui oleh para anbiya’ dan para syuhada’ kerana ketinggian kedudukan mereka disisi Allah.”. Para sahabat bertanya, “ Wahai Rasulullah, beritahulah kami siapakah mereka itu?”.

Rasulullah menjawab.” Mereka adalah golongan yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian persaudaraan antara mereka dan bukan kerana harta benda.” Demi Allah muka mereka adalah cahaya dan mereka adalah di atas cahaya. Mereka tidak takut meskipun manusia lain berasa takut dan tidak bersedih ketika orang lain bersedih.

Lalu baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “ Ketahuilah sesungguhnya penolong-penolong agama Allah itu mereka tidak takut dan tidak juga bersedih hati.”(10:62)

( Hadith Riwayat Ahmed)


Subhanallah… Akhir kata, jom jadi seperti golongan yang Rasulullah sebut dalam hadith di atas. Cahaya di atas cahaya.!



 “ Aku menyayangi sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku. Kuhulurkan tangan untuk berkenalan kerana aku rasa senang, makin ramai sahabat aku semakin percaya diri.aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur dalam suka dan duka. Jika kutemui, aku akan setia padanya” (Imam Syafie)








p/s: “Sahabat,,ku ingin masuk syurga bersamamu.! Semoga ukhuwah yang dibina kerana-Nya sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah.  Amin ya Rabb…”


(= Ukhuwwah Fillah Hingga Ke Syurga =) 










LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...