23 February 2012

Tarbiyah Cinta












Tarbiyah.


Didikan atau sentuhan kasih dari Tuhan. Dari hati yang kasar menjadi lembut. Dari rasa diri yang bongkak menjadi tawaduk. Dari jiwa yang lupa akhirnya ingin kembali semula kepada sang Pencipta.


Benar. Tarbiyah itu harus dirasai sakit dan peritnya dahulu maka barulah dapat mengenal erti sebuah kemanisan iman.


Bilamana Allah telah memilih kita untuk ditarbiyah dengan cintaNya, maka bersyukurlah kerana kita telah terpilih untuk berada dalam golongan orang-orang yang dicintai di sisiNya.


Tarbiyah cintaNya sudah pasti amat pahit di dunia kerana DIA ingin memberikan rasa manisnya di sana, di syurga sana.


Terimalah dengan lapang dada.


Kerana tarbiyah inilah yang akan melahirkan insan yang hebat, para mujahid yang sentiasa tegar berjuang tanpa kenal erti perit, kerana tarbiyah ini jualah akan melahirkan daie yang berjiwa besar untuk melihatkan kegemilangan Islam kerana hatinya menyedari, cuma di sana nanti tempat rehat yang abadi.


Kerana tarbiyah ini memerlukan pengorbanan dan himmah yang tinggi. Pengorbanan rasa di jiwa. Sanggup mengorbankan segala harta dan nyawa semata-mata meraih redhaNya cuma.


Sesungguhnya, Allah mentarbiyah hambanya setiap masa. Tetapi tidak semua dapat merasai manisnya tarbiyah cinta Allah. Andai diri tidak melihat dengan mata hati. Andai diri tidak dididik dengan iman yang sejati pasti akan berkeluh kesah dan merasa derita.


Bukan mudah mengharungi ujianNya. Bukan mudah menerima setiap dugaan yang datang bertimpa-timpa. Namun duhai diri, sentiasalah berpesan kepda dirimu sendiri.



“Innalillahi wainna ilaihi rajiun-
(kita milik Allah dan hanya kepadaNya kita kembali)”



Sungguh,, ku amat menyukai patah kalimah agung ini.


Kerana dengan sepatah kalam ini akan sentiasa mengingatkan diri kita cuma milik Tuhan.


Oleh itu, berhaklah Dia menguji. Berhaklah Dia menduga.


Tidak perlu lagi kita terus-terus menyoalNya, kenapa kita yang harus diuji?


Jawapannya Cuma satu. Kerana kita Cuma hambaNya. milik mutlak sang pencipta selamanya.


Tidak perlu terus bersedih dan meratap apa yang telah pergi dan hilang dari diri kerana Allah telah 
menentukan yang terbaik buat diri.


Rasailah tarbiyahNya dengan berlapang dada dan bersyukur. Bersabar menerima apa adanya. Pasti ganjaran yang cukup besar menanti di sana. Di sana, tempat rehat yang abadi. Biarlah bersusah di sini, tetapi kita aman di sana nanti. Yakinilah dengan janji-janji Ilahi.


Syed Qutb berkata:


“Kemenangan berupa syurga itu disimpan untuk mereka yang wajar menerimanya dan tidak wajar menerimanya melainkan orang-orang yang sanggup berdiri teguh sehingga ke akhirnya. Mereka teguh menghadapi kesusahan dan penderitaan, sanggup menghadapi goncangan-goncangan dan mereka sanggup menghadapi rempuhan ribut badai”



Subhanallah…subhanallah…


Ringkasan coretan,



"Tarbiyah cinta Allah adalah tarbiyah yg cukup indah... Tarbiyah cintaNya hanya akan dirasai oleh jiwa yang juga mencintaiNya dengan setulusnya…
Buat mereka yang sentiasa berusaha mencari dan mencari cinta Allah, kuatkan langkah kaki pasti akan ketemu jua cinta Ilahi...pabila sudah bertemu, buktikan cintamu padaNya dengan sentiasa tabah dan pasrah, sabar dan redha menghadapi apa jua tarbiyah ujian yg diberikan oleh Pencipta... Sedarilah, tarbiyah cintaNya sebenarnya adalah bukti cinta Allah kepada kita"




~Salam sebening mentari Jumaat, semoga kalian sentiasa dalam rahmat Allah dan beroleh manfaat… :’)~



Munajatku: “Tuhanku...sentisalah mentarbiyah diriku dengan tarbiyah cintaMu…maafkan hamba andai diri terkadang tidak kuat mengharungi segala ujianMu, ampuni hamba andai pernah terkhilaf mentafsir takdiranMu…Pandanglah hambaMu ini dengan belas kasihMu, jangan pernah ditinggalkan hamba keseorangan mengharungi keperitan dan terus melemah dalam kedukaan melainkan Engkau sentiasa ada di sisiku…cukuplah Engkau bagiku wahai Tuhanku yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”




~Cuma ingin redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 0830 am
: 22022012

08 February 2012

Mengenali-Mu Yang Maha Terhebat




Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan menyebut asma-Mu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…


 
2 minggu yang berlalu sudah terlalu lama rasanya pena tidak dicoret di atas kanvas putih ini. Hati sentiasa rindu untuk melakarkan bait-bait kata namun dek kekangan waktu dan masa yang terlalu mencemburui untuk diri menghadap alam maya, tidak mengizinkan kata-kata itu diluahkan untuk dikongsi lantas ia cuma tersimpan rapi di sudut hati.


Alhamdulillah wa syukurillah…segala puji dan puja dipanjatkan kepada Rabbul Izzati. Dengan rahmat kasihNya, Dia mengizinkan kaki ini berkesempatan mengembara melihat ciptaan agungNya pada cuti yang lepas. Meskipun cuma 2 hari dan mungkin ia sebuah tempat yang sudah terlalu biasa orang kunjungi, tapi bagiku ia adalah sebuah jaulah yang sangat memberi erti kepada diri...



Tatkala kaum cina sibuk merayakan sambutan tahun baru cina, kami berlima ditakdirkan Allah untuk sampai ke bumi Langkawi. Sudah lama menyulam impian, akhirnya hajat itu dimakbulkan Tuhan. Alhamdulillah, tiada kata yang terlafaz selain madah hamdalah kepada yang Esa.





Subhanallah…subhanallah…

Tatkala mata menatap ciptaan agungMu,

Diri bagai tersihir seketika

Kalimah tasbih beriring pujian

Sungguh, maha hebat dan maha indah!



Orang kata,

jauh berjalan luas pengalaman

Tapi bagiku,

semakin jauh berjalan, semakin terasa keagungan Tuhan

Semakin terasa kerdilnya diri bila mata menghayati semesta alam

Semakin bertambah rasa keimanan dan keyakinan

Semakin hati ingin tunduk sujud padaMu ya Rahman...






Sepanjang jaulah selama 2 hari itu, dalam banyak-banyak tempat yang dikunjungi, hatiku benar-benar terkesan apabila menaiki ‘cable car Langkawi’ yang terletak di Gunung Mat Chinchang iaitu setinggi 713 meter untuk sampai ke puncak. Berhenti di 3 persinggahan dan melihat pemandangan alam dari puncak gunung, apa yang ada di bawah ternampak kecil.



Dapat melihat gunung-ganang dengan sangat dekat lantas hati terus terdetak memikirkan kisah gunung yang menolak untuk memikul tanggungjawab seperti manusia. FirmanNya menyebut:

 
“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (al-hasyr 21-22)”






Lihatlah, betapa takut dan gerunnya gunung untuk memikul amanah dari Allah untuk mentadbir bumi kerana ia tidak termampu untuk melaksanakannya tetapi tugas berat itu diberikan kepada manusia kerana Allah maha mengetahui manusia dapat memikulnya dengan kadar kemampuan mereka. Subhanallah…Namun, sedihnya kebanyakan manusia melupai kisah gunung ini, tidak mahu merenung dan mengambil iktibar darinya…





Apabila dibelek dan diteliti kembali surah An-Nahl bermula dari ayat 2 hinggalah ayat ke-18, betapa Allah telah menceritakan satu persatu tentang ciptaanNya dengan terperinci. Sungguh, Dia-lah kuasa yang Maha Terhebat, tidak mungkin kan termampu sekalian makhluk atau apapun kuasa yang ingin menandingi kuasa besar-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:


“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja yang maha suci yang  maha sejahtera, yang maha mengurniakan keamanan, yang maha memelihara, yang maha perkasa, yang maha kuasa, yang memiliki segala keagungan, maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Dialah yang menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, yang mempunyai nama-nama yang paling baik, bertasbih kepadanNya apa yang ada di langit dan di bumi, dan Dialah yang maha perkasa lagi maha bijaksana.” (al-hasyr 23-24)





Benarlah Allah menciptakan langit, bumi dan barang yang terdapat padanya tidak sia-sia melainkan dengan penuh hikmah. Padanya terdapat pelajaran dan pengajaran bagi mereka yang benar-benar ingin mengambil iktibar.


“Maka ambillah perbandingan hai orang-orang yang mempunyai mata hati” (Al Hasyr: 2)


“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Allah benar-benar maha pengampun, maha penyayang.” (An-nahl: 18)




 


Di dalam Al-quran, Allah s.w.t telah berfirman bahawa orang yang mengingati-Nya dan memikirkan penciptaan yang telah Allah s.w.t jadikan (makhluk), nescaya Alah s.w.t akan memberikan keyakinan kepadanya. Keyakinan bahawa Allah berkuasa mencipta, menghidup, mematikan dan mentadbir serta barang yang telah ada di muka bumi. Sebagaimana firman Allah s.w.t:


“Mereka yang mengingati Allah (berzikir) sambil berdiri dan duduk di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Allah tiadalah Engkau menciptakan bumi ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, peliharalah kami dari siksa api neraka” (Ali Imran :191)


Imam Ghazali menghuraikan ayat di atas adalah seperti berikut:


“Mereka yang Allah s.w.t puji adalah yang menyebut nama Allah padahal mereka dalam keadaan berbaring. Mereka memikirkan kejadian tujuh petala bumi dan langit seraya berkata “Wahai tuhan ku, tiadalah engkau jadikan tujuh petala langit dan bumi ini dengan sia-sia. Sesungguhnya Engkau (Allah) jadikan tujuh petala langit dan bumi adalah sebenar-benar dalil yang menunjukkan wujud zatMu, sifat dan perbuatan Mu. Hal ini menyebabkan aku kenal dan patuh kepada mu."

 

Akhir kalam…untaian doa sebagai penutup bicara cerita…


“Ya Allah…jadikanlah daku termasuk dalam golongan hambaMu yang senantiasa mengingatiMu, dalam keadaan apa jua sekalipun senantiasa bersyukur dengan anugerah dan nikmat yang tiada tara Engkau kurniakan. Sungguh, tidak terhitung nikmatMu yang melebihi langit dan bumi. Maha Suci Engkau yang bersifat Ar-rahman dan Ar-rahim maka jadikanlah daku hambaMu yang semakin tunduk dan sujud kepadaMu…amin”


 

~Cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 30012012
: 1218 pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...