Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum wbr…
Salam hembusan kasturi ‘solehah’
mewangikan seluruh pelusuk alam,
Salam tiupan angin
rahmat buat insan yang sentiasa merindui Tuhan,
Salam mujahadah buat
para mujahidah yang sentiasa berjuang tanpa mengenal erti kelelahan,
Salam seindah pawarna iman
yang mewarnai dunia dan seluruh kehidupan.
Alhamdulillah, ‘pertempuran’ dan jihad di atas lembaran
kertas ilmu telah pun berakhir pada hujung bulan April yang lalu. Semester 7 menanti dengan langkah jihad seterusnya.
Sesungguhnya, perjuangan menuntut ilmu ini pastinya tidak akan pernah ada titik
noktah. Semakin dipelajari ilmuNYA, ternyata diri semakin jahil.
Benar. Terasa jahil dan kerdilnya diri kerana hakikat
mengenal ALLAH tidak akan terhenti setakat pada khatamnya kitab-kitab
agama, tidak akan terhenti dengan hanya membaca dan mengenaliNya hanya pada
nama tetapi hakikat mengenalNYA adalah dengan ‘mencariNYA’ secara
berterusan. Tanpa henti.
Sungguh, ku jadi jatuh cinta pada ilmu Usuluddin tatkala abi
menyuruhku mendalami ilmu ini. Pada permulaannya memang ku akui ku tidak punya
minat kepada ilmu ini kerana kesukaanku lebih kepada bidang Syariah.
Namun, bak kata orang, ‘tak kenal maka tak cinta’. Akhirnya
ku mengerti, andai ‘pengasasnya’ tidak kita kenali, bagaimana untuk kita terus
berdiri beramal dengan setulus hati? Andai Sang Pencinta tidak kita rapati,
mana mungkin kita bisa mencintaiNya sepenuh hati?
Ternyata,, semakin kita mengenali ALLAH,
semakin kita merasa agung dan hebatNya kuasa DIA miliki.
Semakin kita mengenali ALLAH, semakin kita
merasa diri kita kerdil dan hina andai diri jauh dari Ilahi.
Semakin kita mengenali ALLAH, semakin kuat pula
DIA menguji dan terus menguji iman dan akidah di hati.
Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, kita tidak akan tersedar
akan hakikat diri. Berstatus hamba yang abadi. Pemilik mutlak Ilahi.
Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, hidup kita pasti akan
tersasar dari jalan petunjuk dan kebenaran.
Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, pastinya kita tidak
mungkin dapat membezakan antara yang patut disembah atau yang layak untuk
ditaati. Kenapa? kerana cuma Dia-lah yang layak menjadi tempat tumpuan kecintaan dan ketaatan yang abadi.
Di saat datangnya sinar cahaya yang terang, DIA sentiasa
menunjukkan jalan kebenaran. Sentiasa menyuluhkan cahaya dan mengeluarkan kita dari
kegelapan mahupun kejahilan. Betapa baiknya DIA. Tidakkah kita menyedarinya?
FirmanNya yang bermaksud:
“Dia-lah yang memberi rahmat
kepadamu dan para malaikat-Nya (memohon ampunan kepadaMu) agar Dia mengeluarkan
kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan Dia maha penyayang kepada
orang-orang yang beriman. (al-ahzab: 43)”
Subhanallah.. Lihatlah. Bukankah Dia sentiasa membuktikan
cintaNya kepada kita? tetapi kita pula bagaimana?
“Betapa Allah sentiasa
mencintai hamba-hambaNya tetapi belum tentu hamba-hambaNya bisa mencintaiNya
seperti Dia mencintai hambaNya...”
Allahu… Sememangnya
kita manusia sentiasa menzalimi diri sendiri. Sentiasa ingin meletakkan sesuatu
pada kemahuan kita, bukan menurut kemahuanNya. Sentiasa ingin mengikut hawa
nafsu dan perasaan, selalu ingin berpaling dari hukum Tuhan. (ya rabbi.. ighfirli
zunubana…)
Akhirul kalam…marilah kita sama-sama susuri jejak langkah
mencintai Ilahi. mari kita kenali sedalam-dalam Pencinta Sejati, agar kita bisa
meraih cinta dan redhaNya yang abadi…renungi dan hayatilah firman Ilahi ini:
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan
dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali ‘Imran:31)
(Ali ‘Imran:31)
Juga sepotong ayat yang membuatkan jiwa terasa begitu keterharuan
:’(
“Dan orang-orang yang mendapat
petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi
ketakwaan mereka” (Muhammad: 17)
~Terima kasih ya allah di atas semua petunjuk yang Kau beri…diri
tersedar kembali maka ku pinta kuatkanlah hati ini untuk terus memilih jalan
terbaik yang Engkau tunjuki…~
DOA MUNAJAT: “Ya allah ya Tuhan kami…andai kami jahil, maka
ajarkan kami dengan ilmuMu…andai kami bodoh, maka bijakkan kami dengan
mendalami agamaMu… andai kami tersesat, maka tunjukkan kami dengan
hidayahMu…andai kami keliru, maka jernihkan fikiran kami dengan membimbing kami
ke arah jalan kebenaranMu…
Ya allah…andai kami
masih tidak bisa mengenaliMu, maka rapatilah kami agar kami dapat merasai
agungNya kuasa Pencipta kami…andai kami jauh, maka dekatilah kami agar kami
semakin mendekati cahayaMu…
sesungguhnya jangan
ditinggalkan kami sendiri keseorangan tanpa kami mengenaliMu kerana sudah tentu
kami termasuk orang-orang yang merugi…tanpa petunjuk dan hidayahMu siapalah
kami…
Dengan rahmatMu Tuhan,
kasihi dan sayangilah kami…penuhkanlah dalam hati kami dengan rasa takut dan
harap, tawaduk dan cinta sebenar-benar cinta kepadaMu. Hanya padaMu kami
meminta duhai Kekasih yang Maha Mengasihani. Amin ya rabb…”
~Cuma ingin redhaMu~
: Hikmatul islam
: 05052012
: 0730am
No comments:
Post a Comment