12 April 2015

Kenapa Kita Berdoa?




Bismillahirrahmanirrahim.

Entry tentang DOA.

Tajuk tampak ringkas, sedang ia sangatlah bermakna untuk ditenung kembali.

Seringkali, atau terkadang hati akan mengeluh kecil. “Aku sudah berdoa, tapi kenapa Allah belum kabulkan?”

Itu persoalan yang kerap dilontarkan. Mungkin ini adalah jawapan untuk kita nilai dalam-dalam kembali ‘nilai doa’ kita.

Dan menilai kembali siapa Sang Penjawab Doa.




Petikan Kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi Jumaat (26 Februari 1996)


“Kenapa kita dikehendaki berdoa atau kenapa kita dikehendaki memanggil Allah?”

Sekurang-kurangnya ada dua sebab.

Pertama, kerana di tangan Allah ada neraka. Kerana itu, kita merasa gerun dan takut kepada-Nya.

Kedua, kerana di tangan Allah ada syurga. Kita juga merasa kasih, hormat serta PERLU kepada-Nya.

Oleh kerana di tangan Allah ada aspek baik dan buruk, senang dan susah, maka tidur kita pun tidak boleh terlalu lama. Kita terpaksa bingkas bangun di waktu malam, melakukan pelbagai ibadah termasuklah solat, berdoa dan berzikir.

Kita lakukan kesemua itu kerana BERKEHENDAKKAN sesuatu dari Allah.

Bila kita teringat kepada neraka, maka kita pun meminta Allah supaya menjauhkan kita dari neraka. 

Bila kita teringat kepada syurga, maka kita pun meminta Allah supaya mendekatkan kita dengan syurga dan menjadikan syurga itu harta pusaka kita.

Kepada orang-orang yang mempunyai pandangan demikian di dalam hidup mereka, maka dengan sendirinya mereka tidak sedap tidur atau tak sedap duduk. Duduk begini tak kena. Duduk begitu tak kena.

Dan inilah sifat orang mukmin. Justeru itu, maka amatlah MUSTAHAK kita mengingati Allah yakni berdoa kepada-Nya.






Memanggil Allah

Bila kita berdoa, beerti kita memanggil Allah.

Mengapa kita memanggil-Nya? Kita memanggil Allah kerana kita LEMAH. Sedangkan Allah MAHA GAGAH, lebih dari segala-galanya.

Takkan kita nak panggil orang kalau barang kita sudah lengkap. Takkan kita kita nak minta duit dengan orang kalau kita sudah kaya raya. Takkan kita nak panggil doktor mengubati jika kita sihat dan segar. Begitu juga kalau kita sudah mempunyai ilmu yang cukup, takkan kita nak panggil orang mengajar kita pula.

Bila kita panggil doctor, panggil orang itu, orang ini, beerti kita masih lagi kekurangan. Manusia ini memang sejenis makhluk yang SERBA KEKURANGAN atau SERBA TIDAK ADA. 

Manakala Allah pula suatu zat yang serba lengkap. SERBA LENGKAP. Justeru itu, banyak benarlah benda yang kita hendak minta dengan Allah.

Oleh itu, amalan berdoa ini hendaklah diamalkan SEPANJANG MASA.  Janganlah berdoa sewaktu selepas sembahyang sahaja. Selepas turun ke tanah, doa pun hilang lesap entah ke mana.

Zat yang serba ada hanya ALLAH.

Maka, berdoalah, mintalah dengan Allah setiap masa dan di mana jua. Di atas rumah, di atas masjid, di pejabat, di atas kereta atau di mana-mana sahaja. 

Pendek kata, di mana kita berada dan pada bila-bila masa jua, kita hendaklah berdoa.

Dan itulah tanda kita BERABDI kepada Allah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berdoalah itu tanda kamu merendah diri, tanda kamu berabdi kepada Allah.”




Allah Tidak Tolak Doa Hamba-Nya

Berdoalah kepada Allah setulus hati.

Allah tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya kerana Allah itu sendiri bersifat pengasih, pemurah dan pendidik.

Tugas kita berdoa. Allah berjanji akan memustajabkan doa hamba-Nya. Cuma, bilakah doa kita itu akan ditunaikan-Nya, itu tidak dapat kita pastikan.

Tetapi, apa yang pasti ialah penunaian Allah itu boleh jadi sekarang, iaitu semasa kita hidup di dunia ini atau pun ditangguhkan hingga ke alam akhirat.

Atau, kadang-kadang Allah tidak beri benda yang kita minta. Sebaliknya, Allah beri benda yang lain, benda yang lebih mustahak bagi kita.

Atau boleh jadi ia tidak dimakbulkan kerana kita minta benda yang boleh bawa kepada kemudaratan. Maka wajarlah doa itu tidak dimakbulkan.

Sesiapa yang pintu hatinya dibuka oleh Allah untuk berdoa, bermakna Allah buka pintu langit untuk orang itu memperolehi rahmat Allah. Rahmat itu bermakna kasihan belas.

Bila Allah taala menaruh rasa kasihan belas terhadap kita, terlebih dahulu Dia membuka pintu hati kita untuk berdoa kepada-Nya.

Rahmat ini sebenarnya berada di langit. Untuk membolehkan pintu langit terbuka bukan senang. Terlebih dahulu pintu hati mesti terbuka untuk berdoa.

Doa ini ibarat anak kunci. Bila kita berdoa bermakna anak kunci di tangan kita pula mulalah berpusing. Berikutnya pintu langit pun turut terbuka.

Jadi, bila sahaja kita rasa hendak berdoa, kita hendaklah bersyukur. Mujurlah kita rasa hendak berdoa. Tandanya pintu langit akan terbuka buat kita.

Bila pintu langit terbuka, apa yang kita akan dapat? Kita dapat rahmat. Tengok, Allah tidak kata kita boleh pitih (duit). Tidak. Kita yang berfikiran sejengkal ini merasa sangat masyhur kalau boleh duit tanpa memikirkan selepas mendapat duit itu, macam-macam bala boleh berlaku kepada diri kita.

Sebenarnya benda yang paling mustahak dalam hidup kita adalah beroleh rahmat. Samada dalam bentuk wang, keshatan, peningkatan iman, anak-anak yang soleh, jiran yang baik adalah rahmat.

Dan rahmat adalah benda yang kita tidak akan dapat tanpa terlebih dahulu BERDOA.” (TGNA)




Sebab Doa Tertolak

Pertama, kita berdoa, tetapi tidak menyakini 100 peratus doa itu akan dimakbulkan.

Rasa RAGU-RAGU itu masih ada. Bila ragu-ragu, itu tanda kita seolah-olah meragui kekuasaan Allah yang Maha Kaya, Maha Pemurah. Itu kecacatan doa yang ada pada kita.

Kedua, kerana ‘tersekat’ dengan DOSA yang ada.

Allah sebenarnya sudah ingin memberikan pada kita, tapi kerana dosa maksiat yang kita buat, Allah tangguhkan dahulu sehinggalah kita bertaubat kepada-Nya.

Barulah akan lahir ikhlas, kerana ikhlas itu sendiri bermaksud suci bersih tanpa bercampur dengan mana-mana kotoran.

Ibarat kita tadah baldi yang sangat hitam legam, busuk dan kotor lalu kita minta air yang bersih dari tuan pemberi air. Tuan itu mungkin akan bagi air tersebut, tapi air itu takkan jadi air yang cantik.

Jika Allah berikan juga apa yang kita mahukan itu dalam keadaan kita bermaksiat kepada-NYA, dapat juga tapi berhatilah-hatilah ia bukan seindah seperti yang kita sangka.


Penutup

Allah sedang menangguhkan untuk dikabulkan doa itu pada saat yang TEPAT.

Kita takkan pernah tahu bila saat yang tepat itu, sehinggalah ia berlaku barulah kita nampak hikmahnya.

Tidak semestinya ia akan berlaku kepada kita sendiri. Mungkin ia berlaku kepada orang lain, tetapi kita nampak hikmah kenapa Allah menangguhkan doa itu untuk kita.

Contoh, kita sangat berimpian untuk kahwin awal. Tetapi Allah lagi menangguhkannya.

Seorang sahabat kita bernikah awal. Tetapi, dalam keadaan pengurusan hidupnya agak ‘tunggang-langgang’ untuk menyeimbangkan tugasannya sebagai isteri dan sebagai seorang pelajar.

Kita sebagai pelajar yang bujang ini teruslah fokus pada ilmu, walau kadang hilang focus tengok orang lain ‘sweet’ dengan pasangan muda yang bernikah time belajar.

Sweet untuk mereka, mungkin ‘sour’ untuk kita. Kerana dimensi bahagia itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Ujian pasti ada, cuma berbeza-beza.

Oleh itu, bersangka baiklah dan teruskan berdoa. Hanya orang kafir yang sombong untuk berdoa, dan orang yang kufur selalu berputus asa dengan rahmat-Nya.

Moga itu bukan kita. Teruslah berdoa dengan penuh pengharapan kepada-Nya. 

Sekian.



“Jika aku tahu saat itu permintaanku akan dikabulkan,

Tentu sahaja akan ku tambah dan tambah lagi doaku

Agar lebih banyak permintaan itu akan terkabul.

Tuhanku maha mengetahui, sedang aku tidak pernah tahu

Apa yang baik dan buruk untuk masa depanku

Apa yang senang dan susah untuk masa kelakku

Kerana itu, janganlah bosan dan jemu

Terus meminta, merintih dan merayu

Kepada DIA yang Maha Tahu.”



: Hikmatul Islam
: 12042015

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...