Showing posts with label muhasabah cintaku. Show all posts
Showing posts with label muhasabah cintaku. Show all posts

25 May 2013

~Segala Yang Terahsia~




Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Selesai sudah pengajian ijazahku.

Menuntut ilmu Usuluddin selama 3 tahun di bumi Insaniah, Allah mengajariku banyak ilmu dan tarbiyahNya tidak pernah lengang menemani.

Termenung sendiri.

Mencari makna di balik semua ‘pentarbiyahan’ ujian yang DIA beri.

Sungguh, untuk mentafsirkan sesuatu hal yang bernama ‘hikmah’, ianya sangat sulit.

Sangat halus, dan sangat sukar untuk dimengertikan dengan kalam.

Bahasa tubuh tidak akan pernah sama dengan bahasa jiwa.

Bahasa tubuh mungkin bisa menipu, bibir tersenyum pahit, tetapi hati jujur menangis pilu.





“Merenung sendiri.
Pada setiap kisah duka yang mengiringi.
Untuk semua hajat yang tidak kesampaian.
Untuk semua doa yang masih belum dimakbulkan.
Untuk semua rasa yang terpendam.
Untuk semua hal yang hilang.

Allah.                                                        
Terasa longlai langkah kaki.
Terasa berat untuk terus melangkah.
Terasa dunia ini sangat duka untukku.
Terasa dunia ini sangat sunyi untukku.
Terasa gelap seketika.

Lalu,
Terduduk bersimpuh di hadapanMu.
Sehingga jiwa hilang di sisi manusia.
Mungkin sahaja ia ‘terbang’ ke sana.
Terbang dengan segala khayalan dan keasyikan syurga.
Membuatkan diri tersenyum duka.

Melihat orang lain mengecapi bahagia,
Sesekali tertanya, adakah bahagia itu untukku?
Atau sahaja ia terus tersimpan dalam rahsiaMu?

Allah.
Bahagiaku ada dalam dakapanMu.
Dakaplah erat-erat hatiku,
Agar ku tidak pernah merasa kehilanganMu…”






Sekarang Allah berikan cuti yang panjang. Bagiku, ia bukan sekadar cuti. 

Tetapi cuti inilah yang akan ku gunakan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.

Masa luang yang panjang inilah akanku sinarkan hati yang mungkin ada tersirna.

Mencari kekuatan dalam kelemahan.

Mencari kekuatan iman, dalam kedaifan perasaan.

Merenungi di balik semua kejadian, bukan dengan emosi semata yang dibisikkan oleh syaitan, tetapi biarlah bisikan ketenangan yang diilhamkan oleh Tuhan.


“Perjalanan mencari cinta Ilahi pastinya banyak ujian yang akan terus diuji, kerana pada ujian itulah bukti cinta sejati seorang hamba kepada 
Yang Maha Abadi”


Diri harus sentiasa ‘sedar’ akan kenyataan itu.

Ya, kenyataan yang seringkali ku pesankan pada diri.

Bila Allah tidak memberi apa yang kita mahukan, apakah ia tanda Allah benci?

Tidak sesekali duhai jiwa yang beriman pada Tuhan yang Maha Penyayang.

Malah, itulah ‘manifestasi’ dan ‘ungkapan’ kasih sayang Allah pada seseorang insan yang DIA sayang.

DIA senang untuk mendengar luahan jiwa yang sentiasa berkomunikasi denganNya.

DIA senang untuk sentiasa mendengar luahan syahdu dan air mata yang gugur dalam sujud kepadaNya.

DIA senang sekali kita seperti itu.

Kenapa?

Kerana tika itulah jiwa akan ‘dibersihkan’ dengan sinaran iman yang sangat bercahaya.

Kerana tika itulah para malaikat akan senantiasa memayungi insan itu dengan jutaan rahmat.

Dan yang paling agung, kerana tika itulah Allah akan memandang hamba itu dengan pandangan kasih sayang dan penuh keredhaan.

Tidakkah kita mahukan seperti itu?

Allahu Ya Rahman…






Sungguh, daku tidak mungkin sesekali dapat menipu diri sendiri dan kalian.

Betapa rasa hampa dan kecewa kerana di saat akhirnya diri ini tidak dapat jejakkan kaki ke tanah suci Mekah.

Sedih, sehingga mengalirkan air mata.

Kerana jiwa ini juga cuma jiwa insan biasa.

Yang jiwanya terkadang rapuh dan lemah.

Yang jiwanya terkadang buntuh pada air mata.

Kerana air mata yang seringkali menemani, tidak pernah sunyi.

Sehingga diri menjadi ‘pencinta air mata abadi’.

Biarlah air mata ini akan menjadi sumber kekuatan, teman yang menguatkan tika kejatuhan.

Kenapa tidak dapat ke sana?

Panjang cerita andai ingin dihuraikan susur galur ceritanya.

Biarlah jadi rahsia.

Allah masih belum izinkan.

Belum masaku. Belum masaku untuk diundang ke sana.

Malah, ku tidak ingin pergi jika Allah masih tidak ingin menerima kedatanganku.

Sedangkan ku ingin pergi dengan sepenuh hati dan jiwa yang Allah redhai.

Ya. Dalam keadaan DIA teramat senang dan redha menerima kedatanganku.

Itu yang ku damba. Itu yang ku inginkan.

Mungkin, cintaku padaNya belum cukup cinta.

Mungkin, cintaku pada Rasulullah saw belum cukup buktinya.

Mungkin sahaja, imanku yang banyak compang sana sini, yang masih perlu banyak dibaiki dan dibaiki.

Mungkin sahaja aku insan jutaan dosa.

Oh, duhai hati, bersabarlah…




“Hasbunallahu wa nikmal wakil”

(Cukuplah Allah untuk penolong kami dan Dia sebaik-baik pengurus yang terserah kepadaNya segala urusan kami)


Sehingga sahaja di sini.

Sehingga diri bertemu kembali segala kekuatan diri.

Doakanku, teramat hajat doa tulus kalian.

Wassalam wbr.




“Allahurabbi Yang Maha Agung.

Siapa hamba tanpaMu Tuhanku?
Siapalah hamba pada pandanganMu?
Siapalah hamba untuk mentafsirkan semua aturanMu?

Sungguh,

Hamba ingin berjalan mengikut takdirMu yang Maha Halus.
TakdiranMu yang Maha Hebat susunannya daripada susunanku.
Kerana Engkau Maha tahu apa yang terbaik untuk tiap hambaMu.

Untuk setiap hamba,
yang beriman dan berpegang padaMu.

Mana mungkin untuk Engkau mensia-siakan sebegitu sahaja?
Tanpa Engkau mengira semua usaha dan air mata.
Kerana Engkau lagi Maha Teliti dalam pengiraanMu.
Tidak akan pernah sesekali Engkau tersalah dalam aturanMu.




Allahurabbi Ya Karim.

UntukMU segala kemuliaan, segala kekuasaan, segala kesempurnaan.
Untukku segala kehinaan, segala kelemahan, segala kekurangan.
Kerana rahmatMu daku hidup,
Kerana rahmatMu daku pulang kepadaMu.
Maka ku kembalikan segalanya padaMu.

Yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi.
Yang Maha memegang segala khazanah kerahsiaan.
Jika ia tetap rahsia,
Maka rahsiakan ia dari pandanganku.
Jika rahsia itu lebih baik untukku.

Jika ia bisa disingkap, maka singkapkan untukku.
Di satu masa kelak.
Agar semakin bertambah keyakinanku pada janjiMu.
Agar semakin bertambah kecintaanku padaMu.
Agar Engkau sentiasa meredhai kehidupanku…”


:hikmatul islam
:25 Mei 2013
:bersamaan 15 Rejab 1435H

:0120pm


19 February 2013

‘Inni, akhafullah.!”








Bismillahirrahmanirrahim…

Segala puji-pujian, milik mutlak DIA yang Maha Agung, hari ini, esok dan selamanya.

Selawat dan salam juga buat junjungan tercinta, pemberi syafaat di hari akhirat, penghulu segala nabi, Baginda Nabi Muhammad sollahu a’laihi wassallam...

Hari ini saya cuba untuk berkongsi apa adanya.

Ingin memberi apa yang saya ada, setakat yang saya punyai meskipun akui saya cuma insan faqir di sisiNya, tetapi moga-moga dengan apa yang saya coretkan akan memberikan manfaat yang banyak dan peringatan untuk orang-orang yang ingin mengambil pelajaran.

Dan selebihnya, moga Allah ‘sentuh’ hati-hati yang turut ingin mencari jalan dan cintaNya tanpa jemu.

Kerana Allah yang memegang hati kalian, bukan saya yang memegangnya. 

Semoga Allah sentiasa memegang erat hati kita atas ketetapan di atas agamaNya hingga hujung nyawa, insha Allah..






Takut.

Berbicara akan sepatah perkataan ‘takut’, semua orang dititipkan dengan sifat ini dalam diri masing-masing.

Cuma sahaja, takut itu tahap mana?

Takut yang biasa-biasa, atau takut yang tahap kritikal?

Tapi, takut pada apa sebenarnya yang ingin saya bicarakan di sini?

Takut pada hantu? Jin? Atau manusia?

Tidak.

Ini bicara takutnya seorang hamba pada Sang Pencipta yang Maha Kuasa.

Kenapa harus takut?

Kenapa harus rasa punyai rasa takut kepada DIA?

Mari renungi dalam-dalam pada ayat peringatan-Nya yang bermaksud;


“Belum sampaikah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka)? Dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras.  Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasiq” (Al-Hadid:16)


Apa perasaan kita usai menghayati ayat ini?

Bergetarkah jiwa?

Andai tidak punyai rasa apa-apa, maka nilailah kembali ‘rasa takut’ kita padaNya berada di tahap yang mana..?

Allah bertanya kepada manusia.

Sudah sampai pelbagai seruanNya pada kita semua, tetapi betapa ramai yang tidak mengendahkannya?

Kenapa mereka tidak tunduk dan patuh tatkala sampainya seruan itu?

Sebabnya, tidak punyai perasaan takut (khauf) kepada Yang Maha Besar.

Hati mereka menjadi keras dan kasar, dan itulah yang Allah nyatakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.

Tidak perlu melihat jauh. Tengoklah contoh fenomena yang berlaku di zaman kita sekarang. Ya, yang berlaku di negara kita, di tempat kita sendiri.

Manusia, apabila dia hilang rasa takut kepada Allah yang sepatutnya, tetapi rasa takut itu disandarkan kepada manusia maka mudah sahaja dia mengabaikan pemerintah Yang Maha Berkuasa.






Orang yang fasiq, sifatnya seperti apa?

Mereka mengaku beragama Islam, tetapi tidak ingin menurut kebenaran serta menyimpang dari ketaatan kepada Tuhan.

Mereka mengaku beragama Islam, tetapi tidak melaksanakan suruhan Allah dan lebih senang memilih maksiat dan kemungkaran.

Mereka mengaku beragama Islam, tetapi tidak ingin berhukum mengikut ajaran Islam.

Firman Allah swt yang bermaksud:


“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.” (al-Maidah [5]: 47)



Nauzubillah!  Semoga bukan kita termasuk di kalangan mereka yang fasiq ini…

Kita yang mengaku beragama Islam, pastinya kita akan memahami system perundangan Islam yang cukup indah dan lengkap untuk kehidupan manusia.

Kita yang mengaku beragama Islam, harus lebih kaji dan kenal Islam itu seperti apa sebenarnya?

Kita yang mengaku beragama Islam, harus lebih tahu akan perlaksanaan hukuman Islam dan kita menerapkan nilai Islam itu dari semua sudut, baik dari segi pemerintahan, ekonomi, perundangan, muamalat dan sebagainya.

Kerana itulah kita mesti kenal dan lebih takut kepada Pemerintah yang MAHA AGUNG, iaitu ALLAH swt, bukan pada manusia.






“Sesungguhnya hati yang tidak ada punya rasa takut itu kepada Allah SWT adalah hati yang mati.”


Adakah hati kita hidup?

Andai mati, maka pastilah tidak merasai betapa besarnya kuasa Zat yang Maha Berkuasa mengawal selia segala apa yang ada di dunia ini.

DIA yang mampu mencipta dalam sekelip mata, dan mampu juga untuk memusnahkan segalanya dalam sekelip mata.

Hati yang mati juga, pastinya tidak merasakan takut tatkala melakukan maksiat. 

Ia tidak merasa berdosa dan bersalah lantaran hilang rasa ‘takut’ dalam dirinya sehinggakan tidak malu untuk berbuat apa sahaja.

Dengan dosa dan maksiat yang dilakukan setiap hari tanpa rasa takut dan sedar, tetapi berapa ramai yang menghitungnya?


Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”




Tatkala menyebutkan,

‘Inni, akhafullah- saya takut kepada Allah’, maka hati pastinya akan bergetar tatkala mengingati azab Allah.


“Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut akan siksaan hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.” (QS Az Zumar : 13)


Oleh kerana itu, para ulama’ telah bersepakat bahawa darjat yang paling utama adalah darjat takut kepada Allah beserta ikhlas.

Siapa yang punyai hati yang takut, dia akan menghidupkan malamnya, beribadah dengan sepenuh hati, dengan rasa penuh takut dan bimbang.

Khuatir kalau-kalau amalannya tidak diterima. Lalu dia sujud, menangis dan meminta keampunan dari Allah.


“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut (khauf) dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (QS As Sajdah : 16)






Itulah hamba yang takut.

Takut yang membawa kepada semakin taat kepada Sang Pencipta.

Takut yang membawa kepada semakin tunduk kepadaNya.

Takut yang akan membuatkan dia akan sentiasa mencari jalan untuk mendekati Tuhan.

Takut yang akan membuatkan insan sedar bahawa dia perlu menjadi sebaik-baik hamba, berbuat seperti perintahNya dan meninggalkan semua larangan Allah.

Maka, orang yang paling tinggi rasa takutnya adalah yang paling mengetahui hakikat dirinya yang hina dan kebesaran Penciptanya yang mulia.


“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama’ (orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah)” (Fathir: 28)


Lihatlah contoh tauladan sepanjang zaman, sosok tubuh yang paling agung. 

Menjadi Kekasih Allah, yang Allah ampuni segala dosanya sebelum dan selepas tetapi tetap punyai hati yang merasa begitu merasa takut kepada Allah.

Sabda Baginda saw:

“Sesungguhnya orang yang paling kenal dan takut kepada Allah adalah aku” (HR Al-Bukhari, Ahmad dan Abu Daud)


Subhanallah… Saat ini, cuba tanyakan jujur pada diri kita semua, benar-benarkah kita merasa gerun dan takut kepada Allah?


“Berfirman Allah swt : Demi Keagungan dan Kekuasaan-Ku tidak mungkin berkumpul dua rasa takut dalam diri hambaku dan tidak akan berkumpul dua rasa aman. Jika ia merasa aman padaKu di dunia maka akan aku buat ia takut di hari kiamat, dan jika ia takut padaKu di dunia maka ia akan aman di akhirat.” (HR Ibnu Hibban)





‘Inni akhafullah’.

Saya ingin menjadi itu.

Saya ingin punyai hati seperti itu.

Dan saya juga percaya kalian juga ingin mempunyai hati sebegitu.

Agar dengan rasa takut pada peringatan dan azabnya yang maha dasyat, akan membuatkan kita jadi sentiasa ingin bermuhasabah diri.

Agar dengan rasa takut yang DIA kurniai, kita jadi teramat malu dengan semua dosa yang kita lakukan sedangkan DIA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap hambaNya.

Andai langkah kita pernah tersasar, kembalilah semula kepadaNya.

Andai langkah kita pernah tersesat dalam maksiat, carilah jalan pulang menuju Allah.

Agar dengan rasa takut juga, kita sentiasa mempunyai hati yang hidup, berwaspada dengan godaan-godaan syaitan, serta lebih setia mengingatiNya setiap saat dan ketika.

Insha Allah, kita berdoa, semoga kita sentiasa dikurniai hati ‘inni akhafullah’, yang sebenar-benar rasa takut kepadaNya.

Agar dapat membuatkan kita semua menjadi hamba yang semakin mendekatiNya tanpa henti, tanpa jemu…amin ya rabbi.


“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya” (An-Naziat 40-41)


 “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga. (yang satu untuk manusia dan satu lagi untuk jin. Atau syurga dunia dan syurga akhirat)” (Ar-Rahman:46)


Sekian, wallahua'lam...

: hikmatul islam         
: 19022013
: 0830 pm 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...