Doa dingin bersama angin syahdu 2 Ramadhan 1434H.
"Allahu ya
Azim, ya Qawieyul Hakim, ya Azizul Jabbar.
Dengan kuasa kudrat-Mu yang maha agung lagi maha
gagah,
Dengan ujian dan dugaan yang semakin hebat
melanda kami,
maka dengan itu perhebatkanlah juga iman kami
menghadapinya.
Tiada Tuhan melainkan Engkau yang disembah.
Maha Mengetahui segala yang terahsia antara di
langit dan di bumi,
Maka kami serahkan
segala urusan ini kepada-Mu ya Rabbi.
Berikan kami makrifat-Mu, anugerahkan kami hikmat
itu.
Untuk kami terus berharap pada-Mu yang satu...
*Hasbunallahi wanikmal wakil*
Berteleku.
Di hamparan sejadah itu, terduduk lemah seorang hamba yang
hina.
Seorang hamba yang kerdil. Tersangat kerdil.
Untuk jiwa yang telah hilang dan penasaran, maka tulisan ini
dicoret tika hati itu seperti itu.
Kerana diriku lemah, maka ku meninta ini untuk kuat.
Kerana diriku hilang semangat, maka ku menulis ini untuk mencari
hikmat.
Mencari sebuah kekuatan di sebalik kekuatan-Nya. Semoga Dia
sudi untuk memberikan kekuatan itu, meskipun ia cuma sedikit tersisa.
Merenung dan terus merenung mencari titik hikmah di balik
sebuah ujian yang datang.
‘Ikhlas lillahi Taala’, sungguh bukan mudah untuk hati
memberi ikhlas tatkala ujian datang tanpa diduga.
Ujian yang datang tak pernah diundang, tak pernah
dijangkakan, itulah ujian yang bisa menggetarkan iman.
'Kerana keikhlasan
seorang hamba itu sebenarnya,
terletak sebanyak mana keyakinannya pada yang
Maha Kuasa...'
*Tuhanku, berikan keyakinan yang tiada ragu,
agar ikhlas itu terus terpadu untuk-Mu*
Doa itu bukan suatu hal yang enteng.
Doa itulah yang menjadi nadi cintaku selama ini. Penghubung dengan
Dia, Maha Samiul Alim.
Di satu sudut, daku bersyukur. Kerana DIA memberikan
kelemahan-kelemahan ini.
Kerana DIA, sentiasa memberikan kedoifan dalam
diri ini.
Jika bukan kelemahan dan kekurangan dari ujian ini, mungkin
sahaja ku tidak akan merasai manisnya sebuah air mata.
Air mata ini, yang selalu ada.
Air mata ini, yang selalu ada untuk dicurahkan di
hadapan-Nya.
Air mata ini, yang senantiasa setia untuk dipersembahkan di
hadapan-Nya.
Kerana ratap tangis, sebak dan sendu ini bukan untuk manusia.
Tapi, kerana air mata ini ingin menjadi saksi kekerdilan diri seorang hamba
yang hina.
Seorang hamba yang seringkali menangis dan menangis, bukanlah
itu beerti diri manja.
Bukan pula tangisan itu beerti hati tidak redha dengan apa
yang Allah duga.
Namun, kerana tangisan ini untuk menundukkan diri kepada-Nya
dengan sebenar-benar ketundukan ‘jiwa seorang hamba’.
“Orang yang jarang
menangis di hadapan Allah, maka dia tidak akan pernah tahu seperti apa
nikmatnya tangisan itu.”
Sungguh nikmat bila dapat menangis sepuas-puasnya di hadapan
Allah, bukan di hadapan manusia.
Sungguh nikmat bila dapat meratap merayu hanya kepada Maha
Pencipta, bukan kepada manusia.
Kerana tangisan itulah yang akan membawa kepada erti sebuah ‘khusyuk’.
Khusyuknya sebuah hati, terpandu dan terfokus hanya kepada-Nya.
Hati akan menjadi khusyuk, kerana terlalu ia
memanggil-manggil nama-Nya.
Hati menjadi semakin khusyuk, kerana terlalu ia meminta-minta
dengan sekalian rahmat-Nya.
Khusyuk yang membawa seorang hamba, benar-benar ‘bertemu’
dengan Tuhan yang menciptakannya.
Rasa khusyuk itu indah, meski hati dan jiwa sebenarnya berduka.
“Ya
Rabbi...saksikanlah biar air mata ini terus berlagu untuk-Mu...Semoga menjadi
mahar penghapus dosa-dosaku, semoga menjadi mahar perlindungan dari pedihnya
seksa api neraka-Mu, dan semoga menjadi mahar hantaran untukku melangkah ke
syurga-Mu...”
Hari ini, 3 Ramadhan 1434H. Sudah 3 hari Allah izin untuk berpuasa.
Tanpa sedar, entah bila ‘surat cinta dari Allah’ itu telah
masuk 7 Juzuk.
Mungkin dek kerana ku terlalu asyik memerhatikan ayat-ayat
indah itu, meresap lembut ke relung hati bagai air yang sejuk lagi menyegarkan iman.
Iman yang sudah ‘sakit’ hampir seminggu yang lalu itu cepat
benar kebah bila diberikan ubat dengan curahan kalam suci-Nya.
Zikrullah terus
dialunkan bersama, agar hati itu kembali kuat.
Alhamdulillah, jiwa kembali tenang sedikit demi sedikit.
Semakin tenang bila sentiasa ingin memegang janji-janji-Nya
yang Maha Benar.
Ku tadabbur lagi, belek satu surah yang selalu benar ku baca
dalam solatku.
“Setiap kesulitan
itu pasti ada kemudahan, dan (tetapkanlah kepercayaan) bahawa setiap kesulitan
itu pasti ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6)
Nangis laju-laju tatkala berhenti pada ayat yang meruntun jiwa. Seolah-olah DIA lagi sedang 'bercakap' dan menasihati dengan penuh kasih sayang pada diri ini. Allahurabbi...
“Tidak akan diuji
seorang hamba itu, melainkan Allah Maha Tahu batas kemampuannya. Tidak pula
Allah bermain-main dengan kita dengan sekadar suka-suka untuk diberikan ujian
itu, melainkan pasti ada jalan keluarnya dan terselit ibrah yang cukup besar untuk kita
memahaminya.”
Kitab Ihya’ Ulumuddin itu dibelek, mencari penjelasan tentang
‘Hikmah Puasa’ oleh Imam Al-Ghazali.
Mataku tertangkap pada satu garis kalimah yang sangat
mengugah rasa.
'Ganjaran pahala yang tidak terkira.'
Apa amal yang sangat hebat itu? Sehingga bisa
meraih pahala yang begitu banyak dan tidak ada manusia pun yang dapat mengira
sebanyak mana ia?
Rasulullah SAW
bersabda:
"Puasa adalah
separuh kesabaran" (HR Tirmizi & Ibn Majah)
Dita'kidkan (dikuatkan) lagi dengan janji Allah
SWT berfirman:
"Sesungguhnya
orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan
tidak terkira." (az-Zumar:10)
Maka, ayat itu
menjelaskan bahawa pahala puasa melampui had perkiraan dan perhitungan manusia.
Kerana puasa seseorang itu, hanyalah dia berpuasa hanya untuk Allah maka berhaklah Allah membalas mengikut
kadar had yang DIA kehendaki.
Subhanallah. 'Azim jiddan.
Puasa yang sabar.
Sabar dalam
berpuasa.
Sungguh, bukan semudah-mudah untuk mencapai makam ‘sabar’
dalam keadaan kita berpuasa.
Kerana puasa itu sahaja, bukan beerti berpuasa dari makan
minum lahiriah semata-mata, tetapi puasa di sebalik kesucian batin itu yang
paling utama.
Puasa untuk melahirkan buah sabar.
Sabar untuk bangun beribadat, sabar untuk mengerjakan taat,
sabar untuk mnghadapi setiap ujian, serta sabar untuk meraih sebuah keredhaan.
Jika tidak berpuasa kita bisa bersabar, maka itu sabar yang
mungkin biasa.
Namun, dalam berpuasa jika kita masih mampu bersabar dengan
pelbagai ulah ujian yang menimpa, maka itu adalah kesabaran yang cukup luar
biasa imannya.
2 kali ganda untuk sifat sabar tersebut. Sabar dalam puasa.
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar
akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar
di antara kalian.” (Muhammad:31)
“Ya Jamil,
anugerahkan kepadaku kecantikan itu, agar diriku sentiasa bisa menjadi cantik
di hadapan-Mu. Cantik dengan hiasan kesabaran, cantik dengan keutuhan keimanan,
cantik dengan keampuhan ketakwaan kepada-Mu ya Rahman...”
Untuk titik akhir di tulisan ini. Harapanku, semoga puasa
kita adalah puasa orang-orang yang sabar.
Sabar dalam meraih redha-Nya, terutamanya buat diriku lagi
sedang mendidik hati untuk terus bersabar menghadapi setiap cubaan yang
bertamu...
~Fi amanillah~
Allah. Allah. Allah.
Ingin sentiasa ku memanggil nama-Mu yang satu
itu.
Pemilik langit dan bumi,
Pemilik setiap hati nurani,
Pemilik sekalian alam ini.
Tuhanku,
Sungguh Kau Maha Tahu lemahnya diri kami,
Jangan dibiarkan kami sendiri melainkan Engkau
sentiasa ada di sisi.
Tolonglah kami dalam menghadapi ujianMu,
Bantulah kami untuk terus menjadi hamba yang kuat,
Semakin kuat keimanan kepadaMu ya Rabbi.
Sungguh Engkau Maha Tahu apa yang ada di hati,
Sungguh Engkau Maha memahami segala rasa ini,
Kepada siapa lagi untuk kami berharap,
Kepada siapa lagi untuk kami meminta,
Selain Engkau yang Maha Berkuasa untuk
segalanya.
Rabbi, unsurna wa hafeezna fi kullu umurina.
Amin...
: hikmatul islam
: 120713
: 0230 am