Assalamualaikum
wbr...
Kaifa
imanukum ya ikhwan wal akhawat?
Saya doakan semoga iman kalian semakin meningkat, semakin
menyubur, semakin mewangi, semakin kuat, insha allah dalam rahmat dan jagaan
Allah swt.
Tetapi... bagaimana andai iman itu sebaliknya?
Adakah
ia semakin melemah, semakin pudar, semakin sirna, semakin kelam dan gelita?
Jika begitu, apa kata kalian singgah sekejap di blog ini?
Mari, ingin saya bercerita satu kisah benar kepada kalian.
Ini kisah yang nyata, bukan cerita yang direka-reka.
Jika kita biasa membaca novel dan buku-buku ilmiah, hari
ini mari kita cuba tadabbur bersama sebuah kisah dari kitab Allah yang maha hebat dan agung
kalamNya, tidak terbanding dengan kalam cerita manusia.
Semoga iman yang ‘less’ itu dapat ‘dicharge’ kembali
selepas meneliti kisah ini, insha allah...
Tatkala saya sedang asyik menghafaz Surah Al-A’raf, juzuk kelapan, tiba-tiba saya terpana.
Terpegun apabila membaca maksud terjemahannya bermula ayat
35 hinggalah ayat 53.
Nak tahu tak apa kisahnya?
Ia kisah bicara Allah dengan manusia.
Bukan
dengan manusia masih hidup tetapi dengan manusia yang sudah meninggal dunia.
Mahu tahu dialognya seperti apa?
Mari, kita hayati kisahnya...
Allah berkata kepada manusia di dalam Surah Al-A’raf
bermula ayat:
[35]
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu
Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat
(perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
[36]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
(perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya,
merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Allah bahagikan di sini, ada dua jenis golongan manusia.
Satu, hamba yang bertakwa. Satu lagi, hamba yang derhaka.
Orang yang bertakwa itu sifatnya adalah sentiasa memperbaiki
amalannya kepada yang lebih baik, maka mereka ini tidak merasa bimbang dan resah serta jauh pula
dari rasa sedih kerana Allah sentiasa menjaga dan melindungi mereka.
Manakala orang yang derhaka, sifatnya adalah menafikan
ayat-ayat Allah serta sombong dan angkuh.
Cuba tengok apa pertanyaan malaikat kepada mereka yang
derhaka nie?
[37]
Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang
yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang
itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi
mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang
mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): “Manakah
(makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?” Mereka
menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”, dan mereka pula
menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang
yang ingkar.
Lalu, apa yang jadi setelah mereka yang derhaka itu sendiri
mengakui kesalahan dan pendustaan mereka?
[38]
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam
neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan
manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya
sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah
golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai
Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada
mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman:
“Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu
tidak mengetahui”.
Tengoklah
mereka, saling menyalahkan sesama mereka yang zalim. Padahal sama sahaja
balasan bagi ketua yang menyuruh dan pengikut yang mengikuti suruhan
ketuanya itu...
[39]
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua),
di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “(Jika
demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas
kami”. (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang
kamu telah usahakan”.
Perhatikan
siapakah ‘orang-orang yang menerima azab seksa’ di sini yang Allah
maksudkan? Macam mana pula jenis seksaan Allah kepada mereka?
[40]
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada
mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit
dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan
demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
[41]
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari
api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan
demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
Allahurabbi
ya karim....Sungguh
dasyat sekali balasan Allah sediakan bagi mereka yang ingkar padaNya. Semoga
bukan kita yang termasuk orang-orang yang zalim itu...
Dan,
bagaimana pula keadaan orang-orang yang bertakwa kepada Allah? Apa
ganjaran yang Allah berikan pada mereka? Mari tengok dialog Allah yang Maha
Penyayang dengan hambanya yang beriman.
[42]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal
soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak
memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya
olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
[43]
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad
dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di
bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala
puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat
nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk
kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang
Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah
Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah
kerjakan”.
Subhanallah.! Tidak terperi nikmat yang Allah
anugerahkan buat mereka yang bertakwa.
Betapa mereka sangat bersyukur, dan tidak
pula menyangka bahawa ganjaran syurga yang terlalu besar Allah sediakan seperti
ini buat mereka.
Benar
sekali ungkapan ahli syurga, jika bukan kerana petunjuk dan hidayah Allah,
pastinya manusia tidak akan mampu pun untuk berbuat kebaikan dan kebajikan.
Dan,
bukan kerana amal soleh semata-mata menjadi asbab manusia masuk syurga, tetapi
kerana rahmat Allah yang Maha Luas buat hambanya yang benar-benar patuh dan
tunduk pada perintah Allah.
Sekarang,
mari kita susuri pula dialog seterusnya percakapan ahli syurga dengan ahli
neraka...
[44]
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di
tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata:
“Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan
kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah
dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”.
Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu)
menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.
Siapakah
yang Allah maksudkan orang-orang yang zalim itu? Perhatikanlah betul-betul, adakah
ciri-ciri itu ada pada kita?
[45]
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri
dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan
jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.
Lihatlah
dunia akhir zaman ini...
Dunia yang penuh dengan fitnah dan kezaliman. Manusia
bila tidak beriman dengan Allah, itu sudah satu dosa.
Bertambah lagi dosa, apabila
mereka turut menghalang manusia yang lain dari kebenaran.
Perhatikan
lagi sambungan dialog antara ahli neraka dan ahli syurga ini....
[46]
Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada
tembok Al-A’raaf (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu
ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari
ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun
menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam
sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal
mereka ingin sangat memasukinya.
[47]
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah
ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.
Betapa
kekayaan dan ramainya jumlah pengikut orang-orang yang menderhaka kepada Allah
semasa di dunia dahulu, sedikitpun
tidak dapat membantu mereka menghindari azab seksaan Allah.
[48]
Dan orang-orang yang berada di atas tembok
Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan
tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu
yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat
menolong kamu”.
Mereka
yang zalim ini juga pernah mengejek-ejek orang-orang yang beriman di dunia, dengan itu pada hari pembalasan
mereka menjadi orang yang sangat rugi dan hina.
[49]
(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum
kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan
kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang
dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak
akan berdukacita. ‘ ”
Sehinggalah
mereka ahli neraka cuba meminta belas ehsan dari ahli syurga, tetapi adakah
ehsan itu buat mereka?
[50]
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli
neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata):
“Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang
telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab:
“Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.
Sangat
jelas keadaan hinanya orang-orang kafir, betapa mereka meminta-minta daripada
ahli syurga tetapi sedikit pun tiada sisa rahmat lagi buat mereka.
Lalu,
Allah pula berkata dengan tegasnya kepada mereka, kerana apa mereka diseksa
sedemikian rupa?
[51]
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah)
orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang
melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan
dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari
kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa
(tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga
kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.
Itulah
asbabnya.
Mereka
orang kafir semasa di dunia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan dan
senda gurauan.
Mereka pula hanyut dengan arus kenikmatan hawa nafsu di dunia
serta melupakan akhirat.
Sesungguhnya,
amat pantas dan amat wajar sekali Allah memberikan balasan sedemikian rupa
kepada mereka.
[52]
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada
mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu
berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi
hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.
Padahal
Allah swt telah mendatangkan sebuah petunjuk yang nyata, kitab Al-Quran kepada
manusia tetapi sayangnya masih lagi manusia menafikan kebenaran Allah...
Akhirnya,
adakah penyesalan mereka berguna lagi di akhirat kelak?
[53]
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan
melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam
Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu
(pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang
tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang
Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi
syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan
(ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah
kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah
lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
Untuk
kembali semula ke dunia saat itu, adakah mungkin? Pasti, mustahil sama sekali.
Sesungguhnya,
tiada lagi ruang dan peluang Allah berikan untuk penyesalan hari akhirat.
Oleh
itu, marilah kita semua merenung kembali amalan kita.
Apakah amal yang
dilakukan benar-benar termasuk kalangan orang yang beriman atau orang yang
derhaka padaNya?
Tanyakan
juga pada diri kita, adakah kita juga serupa dengan mereka yang zalim? Nauzubillah...
Jangan
sampai kita tertipu dengan tipu daya syaitan laknatullah yang sentiasa ingin
menyesatkan anak Adam di dunia.
Takutlah
kepada hari pembalasan yang maha dasyat bagi orang-orang yang ingkar.
Juga
bagi orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, mereka yang tidak
beriman kepada perkara yang ghaib serta menolak hukum dan ajaran Allah,
maka nantikanlah azabnya sepertimana yang dikisahkan oleh yang Maha Hakim dalam
surah ini.
Untuk
kesimpulan dari saya yang sangat cetek dan dangkal ilmunya berbanding ilmu
Allah yang Maha Luas, semoga kita semua sentiasa termasuk di kalangan orang
yang beriman.
Semoga,
Allah kurniakan petunjuk dan hidayah kepada jalan yang benar.
Semoga,
kita termasuk di kalangan pengikut alim ulamak yang benar.
Semoga,
kita termasuk di kalangan hamba yang sentiasa thabat dan beriman dengan perkara
ghaib.
Hingga
hujung nyawa, insha allah...
Untuk
kita,
Yang
bernama manusia.
Selagi
nyawa di kandung badan
Selagi
jasad masih dipertanggungjawabkan
Selagi
itu kita adalah khalifah
Yang
memikul amanah Allah
Yang
berusaha menegakkan syiarNya
Yang
berusaha menurut ajaranNya
Menyeru
kebaikan, mencegah kemungkaran
Duhai
Tuhan semesta alam,
Sentiasa
pimpini langkah kaki kami
Pada
arah jalan lurusMu
Sentiasa
pegang hati kami
Untuk
menyakini dan mempercayai hari akhirMu
Mempercayai
syurga nerakaMu
Menyakini
adanya pembalasanMu
Hingga
harapnya,
Kembali
kami dengan sebenar-benar iman
Iman
yang yakin dan benar
Iman
yang kukuh dan teguh
Amin
ya rabbana...
: hikmatul islam
: 23032013
: 1030 am