Bertapak di sini. Di laman ini. Subhanallah,
lamanya terasa menyepi.
Bukan sengaja menyepi. Tapi bait-bait kata sungguh tak
mampu dilakar jika ia tidak seiring dengan apa yang lahir dari hati. Tulisan yang
bukan boleh dibuat-buat, tetapi lahir dari lubuk rasa yang paling jujur.
Kerana inilah laman jiwaku. Tempat luahan aksara
demi aksara. Tempat yang dirasai berada dalam suatu ‘dunia’ yang lain.
Duniaku, hanya diriku yang berbicara dengan hati
sendiri. Meluahkan patah demi patah dengan Ilahi. Bukan dengan mana-mana
manusiawi.
Hati tiba-tiba jadi sebak.
Bukan kerana lagu latar ini. Bukan kerana memikirkan sesiapa. Tak tahu kenapa. Emosi
mulai bersimpul rasa. Bercampur-baur dalam pelbagai irama.
Tuhan. Ku rindukan sekeping ‘jiwaku’ yang dulu. :'(
Diri yang lebih banyak menangis dari tersenyum.
Diri yang banyak berdiam dari berbicara. Diri yang banyak menyendiri dari
berada di tengah lautan manusia.
Diri yang banyak merintih kepada-Nya. Diri yang
banyak menghabiskan masa keseorangan dengan-Nya. Diri yang selalu berbisik-bisik kepada-Nya.
Diri yang selalu suka merayu-rayu kepada-Nya sehingga basah lencun
pelupuk mata. Diri yang suka tenggelam dalam sendu demi sendu
bersama tangisan yang mencurah-curah.
Tangisan itulah tangisan yang menguatkan.
Tangisan yang terasa ‘akrab’. Tangisan yang terasa DIA begitu dekat. Dekat di
hati dan jiwa. Dekat untuk memujuk segala rasa. Dekat sekali.
Tapi di mana 'diri' itu kini? Mana? Di mana?
Allahurabbi. Kenapa rasa itu semakin kurang dan
terhakis? Kenapa? Sakitnya rasa bila persoalan itu dilontarkan kepada diri
sendiri.
*menangis tersedu-sedu* Menangis kerana tak mampu
menangis seperti dulu-dulu.
Ya Allah, kembalikan semula jiwa itu. Kembalikan
semula rasa itu. Maafkan hamba ya Allah andai kelalaianku membuatkan daku semakin
jauh dari-Mu.
Maafkan hamba ya Allah jika urusan dunia ini telah membuatkan Kau
menarik ‘rasa’ itu…Allahu Allah…ampuni daku untuk semua dosaku…
--------
Hari ini hari pertama puasa. Tahun 2015. Bersamaan 1436H.
Ah, masa! Kenapa kau begitu pantas berlari mencuri
usia manusia?
Sentuhan bayu Ramadhan begitu lembut terasa.
Menjalar sayu di seluruh jiwa. Ada rasa pilu. Ada rasa hiba. Menyimbah pelbagai
rasa yang sukar untuk ditinta dengan kata-kata.
Terasa hembusan ketenangan tatkala cuba menyentuh
rahmat-Nya. Ingin, sangat teringin ku miliki dan mendakapnya erat-erat di
saat peluang diberikan selama 30 hari ini.
Ya. Tersisa hanya 30 hari. Tidak lama. Sekejap cuma.
Tapi, 30 hari ini bukan hari-hari biasa. Ia hari yang luar biasa.
Luar biasa yang bagaimana? Terlalu luar biasa,
istimewa. Di dalamnya, Allah tawarkan kelebihan gandaan pahala seribu bulan
yang jauh lebih baik daripada bulan-bulan yang lain.
Namun kenapa dalam kalangan manusia masih terasa ia
cuma biasa-biasa? Seperti Ramadhan lalunya, tiada apa-apa yang istimewa?
Oh, merugilah orang yang tidak merasai keistimewaan
tersebut. Merugilah. Rugi yang sangat besar.
Ia bukan kehilangan dari sudut zahir, tetapi
kehilangan dari sudut ‘rohaninya’. Rasa ruhnya. Hilang.
--------
Sepotong ayat suci yang sudah masyhur orang
dengari.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu
berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu
bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
“Supaya kamu bertakwa.” Hanya
ingin dicermati ayat ini. Hadaminya sepenuh hati. Mahu fahami maksud
tersimpulnya, apa sebenarnya Allah ingin sampaikan?
Belek tafsir al-Azhar. Kata mufassir Hamka;
“Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri.
Kalau di segala waktu dilarang memakan makanan yang
haram, maka di dalam bulan puasa makanan yang halal pun dilarang.
Orang beriman dapat menahan nafsunya kerana
melaksanakan perintah Allah. Walaupun dia bersendirian seorang diri, tiada ada
sesiapa manusia melihatnya namun dia tetap berpuasa kerana percaya Tuhan
selalu melihat.
Dengan demikian, orang mukmin mendidik iradat atau
kemahuan dan dapat mengekang nafsu. Samada nafsu batin atau nafsu perut jika
dikendalikan dengan puasa, nilai kemanusiaan akan naik tingkatnya.
Kesabaran menahan adalah nilai yang amat penting
bagi keteguhan jiwa.
Sebab itu Nabi saw bersabda:
“Puasa adalah separuh dari sabar.” (HR Ibn Majah)
Subhanallah.
Dengan mengendalikan dan mengekang keperluan fizik,
kita memperoleh kekuatan dalaman untuk menghadapi pertempuran besar setiap hari
iaitu NAFSU.
Benarlah bila Allah berkata, puasa ini pahalanya
tiada batas. Tidak dapat disebut kiraan pahalanya. Kerana hanya Allah sahaja
yang layak dan berhak memberikan seberapa banyak pahala kepada orang yang
berpuasa.
Kerana puasa adalah amal yang tidak dapat
disaksikan oleh pandangan zahiriah seperti ibadah yang lain. Contoh solat,
terkadang hadir riya’ dan ujub tika orang lain melihat seseorang itu selalu
rajin sembahyang. Terkadang rasa ikhlas itu boleh lari dan menyimpang.
Tetapi tidak puasa. Manusia tidak dapat melihat dan
menilainya. Hanya orang berpuasa sahaja yang tahu kesan puasanya itu, apakah
benar-benar terkesan pada dirinya atau tidak?
Ini kerana secara zahirnya dia menahan diri daripada
makan dan minum. Tetapi, menahan diri daripada segala rasa mazmumah dan hawa
nafsu melakukan sesuatu yang dilarang itu hanya Allah yang maha mengetahuinya.
Manusia lain tidak akan nampak betapa susah dan
peritnya orang yang berpuasa untuk menahan segala nafsu yang berombak di dalam
jiwanya.
Nafsu yang sering menyasarkan dari jalan yang
benar. Nafsu yang sering mengucarkan emosi. Nafsu yang sering ingin manusia
mengikuti segala perasaannya, sewenangnya.
Oleh kerana berpuasa, cuba menahan sedaya upaya sebab utama menyakini dan percaya Allah menyaksikan segalanya.
Dari situlah akan lahirnya sebuah takwa.
Nilaian dari erti puasa yang bukan sekadar fizik, tetapi latihan rohani. Puasa
adalah perjuangan untuk menjadi hamba yang lebih baik.
“Betapa
banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan apa pun kecuali rasa
lapar dan dahaga. Dan banyak orang yang melakukan solat malam tak mendapat
apapun selain sekadar bangun malam.” (HR Darimi)
--------
Jam-jam tergelap. Ada maksudnya yang tersirat.
Pekerjaan sehari-hari di waktu siang, sering
melalaikan manusia. Tenggelam dengan urusan dunia yang tidak pernah kehabisan.
Kerana itu, masa yang benar-benar ada untuk menyepi
bersama Allah adalah di jam-jam tergelap.
Waktu sepertiga malam di saat semua mata lena
dibuai mimpi. Di saat banyak mata tertidur nyenyak tanpa sedar ada Tuhan yang
sedang menunggunya.
“Tuhan
kita turun selama sepertiga malam terakhir ke langit pertama dan berkata,
‘Apakah
ada yang berdoa kepadaku kemudian Aku kabulkan?
Apakah
ada yang meminta kepadaku, untuk Aku berikan?
Apakah
ada yang memohon ampunanku, untuk Aku ampunkan?’” (HR Bukhari dan Muslim)
Allahu ya
Kareem. Allah selalu menunggu hambanya. Setiap malam.
Tetapi di
bulan ramadhan penungguan Allah lebih istimewa. Kerana janji Allah yang ingin
menghadiahkan lebih berganda-ganda pada hamba yang meminta kepada-Nya.
Allah
ingin makbulkan semua permintaan dan doa. Tinggal sahaja, perlu yakin dan
percaya. Minta dan terus minta tanpa putus asa.
Penungguan
Allah yang lebih special itu, bersama pancaran sinar cahaya rahmat melimpah ruah, dari kaki
langit hingga ke hujung bumi.
Penantian
Allah yang lebih indah, dengan tawaran jutaan keampuanan dan pembebasan dari
api neraka.
Tidakkah
diri teruja? Tidakkah itu sangat special dan teristimewa?
Dan
terselit pula satu malam, Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu
bulan.
Ada yang merasakan malam itu mustahil untuk ditemukan.
Jika setiap malam cuba berusaha
bangun dan mendekati Tuhan, takkan Allah tidak merasai ketulusan dan keikhlasan
hamba itu? Tidakkah Allah Maha Pemurah pasti memberikan ruang untuk bertemu
dengan keajaiban itu?
Semuanya
terpulang atas diri sendiri. Jangan tunggu masa untuk berubah, tetapi ambillah
kesempatan dan ruang ini untuk bergerak pada perubahan.
Sungguh hanya
Allah maha mengetahui niat murni setiap orang.
Apakah ada
yang jauh lebih indah dari segala amal yang cuba dikerjakan pada bulan ini?
Tadabbur kitab-Nya, bersedekah, berbuatlah pelbagai kebajikan yang lain seiring
dengan puasa.
Itulah
pembinaan takwa yang kukuh.
*Tuhanku. Benar-benar ingin menyepi di sini sendiri. Di jam-jam tergelap dengan-Mu*
-------
Duhai Allah, muliakan daku dengan
sinar keberkahan Ramadhan.
Muliakan daku dengan Kau sudi menerima segala amalan meskipun
serba kecacatan. Muliakan daku dengan Kau sudi untuk memandang dengan sepenuh
kasih dan sayang.
Tuhanku, daku akui segala dosaku. Ku akui
segala kejelekanku. Keburukanku, keaiabanku. Sungguh Kau Maha Tahu satu-satu. Kau
tahu kelemahan dan kekuranganku. Kau tahu kejahatan hawa nafsuku.
Terima kasih ya Allah kerana sudi tutup
ketat segala keaibanku di hadapan sekalian manusia. Sungguh, jika mereka tahu
sudah tentu mereka memandang hina dan jijik padaku atas segala dosaku.
Namun ku tahu Kau tidak begitu. Ku tahu Kau
tidak pernah pandang buruk seperti itu. Apatah lagi untuk Kau pandang penuh
kebencian. Kerana betapa rahmat cinta-Mu mendahului segala kemurkaan-Mu.
Terima kasih ya Allah atas kasih sayangMu
yang selalu melimpah ruah. Yang tak pernah jemu mencinta. Yang tak pernah jemu
memberi ruang dan waktu untuk ku selalu kembali padaMu.
Yang selalu sudi untuk
membuka pintu ampunan tatkala semua makhluk menutup pintu kemaafan.
Terima kasih ya Allah atas segala nikmatMu
yang masih sudi tercurah. Untuk setiap nafas yang masih terhela. Untuk setiap
nyawa yang Kau masih ingin sudi pinjamkan. Meski banyaknya kelalaianku daripada
ketaatan.
Namun bantulah daku untuk terus berusaha
menjadi hamba yang taat padaMu. Menjadi sebaik-baik hamba walau ku tahu telah
banyak seburuk-buruk amal ku selalu hadapkan pada-Mu.
Allahurabbi ya Rabbul
Izzati. Jika bukan kerana sifat-Mu yang Maha Rahman dan Maha Rahim, sirnalah
diri, hancurlah segala mimpi. Mohon Kau sentiasa sudi mengampuni…
Amin ya Rabbalalamin.
* Hari lahirku 2 ramadhan, target untuk menghadapNya dengan hati yang sudah mampu dicuci sebersihnya *
: hikmatul islam
: 1Ramadhan 1436H
: 0715am
http://199xkids.blogspot.my/2016/03/campus-festival-2016.html
ReplyDeleteAssalamualaikum, blogwalking sini.
Wah exicited bet ya nulisnya. Ntaps
ReplyDeletepas buat ramadhan ni yang suka nyanyi nyanyi atau mau belajar karaoke lagu religi
ReplyDeletebisa buka disini: karaoke lagu islami
selain video karaoke disitu juga ada video lirik + terjemah buat belajar sebelum nyanyi karaoke.