01 November 2014

Kenapa Kita Diuji?



“Kenapa aku diuji? Kenapa aku yang diuji? Kenapa??”

Sering, dan selalu sering ungkapan itu laju meluncur di bibir orang yang diuji. Saya dan kalian, tidak mungkin tidak pernah berkata sedemikian.
Saat diuji, sungguh kita merasa sukar dan berat untuk menerimanya. Apatah lagi ia adalah ujian yang tanpa kita sangka akan terjadi.
Saya melihat kembali diri saya yang pada masa lalu, teruk menangis dengan kalimah itu yang sering diulang-ulang. Dan, saya juga menyaksikan saudara saya, sahabat dan teman turut meluahkan sedemikian. 

*Geleng kepala, istighfar panjang-panjang*

Saya bagi satu perumpamaan. Contoh, kita ini anak pungut. Gelandangan tanpa punya harta. Tiada punya apa-apa. Seorang tuan datang mengutip kita. Tuan itu menjaga kita penuh kasih sayang. Kita diberi kerja sebagai orang gaji. Kita diberi pakai dan diberi makan secukupnya. 
Suatu hari, kita minta pakaian yang mahal. Tapi tuan enggan belikan. Tuan bukan tiada duit. Tapi Tuan tidak mahu kita bermewah-mewah melebihi kemampuan. Kita membentak dan marah-marah. Kita bertanya, kenapa dan kenapa tidak mahu berikan? Kenapa berikan pakaian yang biasa-biasa sahaja? 

Jika dilihat dengan penilaian kasar mata manusia, bukankah kita nampak sangat tidak beradab dengan Tuan tersebut? Bukankah dia sudah banyak menolong kita selama ini? Bukankah kita sepatutnya sedar diri bahawa kita cuma orang gaji?

Realiti, bukankah kita cuma hamba Allah yang layak diuji? Dan Allah, adalah Tuan Punya diri kita yang mutlak. Sewajarnya, 'bersopanlah' dengan Pemilik diri yang abadi.
Astaghfirullahalazim. Semoga Allah selalu sudi untuk mengampuni kita semua.


---------
Duhai insan.
Jika kita bertanya sedemikian, jawapannya mudah sahaja sebenarnya. Cuma kita sahaja yang berat mahu menerimanya.
“Sebab Allah PILIH kita untuk diuji dengan ujian tersebut.”
Kalau ditanya lagi, “Kenapa Allah pilih kita?”
Ringkas tapi mendalam. “Kerana Allah CINTA.”
Subhanallah. Kerana Allah cintalah Allah duga. Kerana Allah sayanglah Allah uji. Bukti apa Allah cinta?
Fahamilah, dalam ujian-Nya itu sentiasa terselit 3 tanda cinta.
Pertama, Allah mahu hapuskan dosa-dosa kita.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa.” (Surah  as-syura:30)
Jangan pernah ingin menafikan segala dosa-dosa kita. Orang ramai mungkin tidak nampak segala keaiban kita, tapi Allah Maha Tahu betapa banyaknya dosa-dosa kita yang tersembunyi.
Jika ia bukan dosa zahir yang terang-terangan, mungkin ia dosa batin yang tersembunyi di sebalik hati.
Hati kita yang bermaksiat, yang ternoda dengan pelbagai penyakit seperti hasad, riak, ujub, sombong dan pelbagai mazmumah jiwa. Kerana itu Allah mahu bersihkan kita dari semua dosa. Bersih-bersih, semua sekali.



Ada orang, bila dia buat sedikit sahaja dosa Allah terus ‘bayar cash’. Terus kena musibah, ujian demi ujian datang menyinggah. Sakit, susah, perit membuatkan hamba itu banyak menangis, merintih dalam doa. Kerana apa Allah berbuat demikian?
Kerana Allah tak sanggup tengok hamba-Nya yang baik itu terus bergelumang dalam dosa. Walau dosa itu sedikit sahaja. Allah mahu dia sentiasa bersih, dan ingat selalu kepada-Nya. 

Dan Allah, sangat rindu untuk selalu mendengar rintihannya. Bagaimana jika Allah tidak lagi rindu? Maka, Allah akan 'lepaskan' dan tidak hiraukan kita lagi. Mahukah seperti itu? Pastinya tidak ingin...


Dan ada orang, bila dia buat dosa maksiat biasa-biasa sahaja. Dia malah seronok dan kita tengok dia senang-senang sahaja. Contoh dia bercople, tapi nampak macam bahagia sahaja.
Itu kerana Allah tangguhkan dahulu, buka ruang dan pintu harap-harap dia mahu sedar dan bertaubat. Tapi hamba itu masih asyik dan lalai. Sampai satu masa nanti, Allah akan hempapkan dia dengan ujian yang sangat dahsyat sehingga dia terduduk dan kembali sedar lalu bertaubat kepada Allah.
Pendek kata, semuanya takkan terlepas diuji, dua-dua golongan ini Allah tetap sayang dan ujian itulah akan membersihkan segala dosa noda. Kerana kita ini pendosa. Takkan  lari dari berbuat salah dan silap. Namanya manusia. Mudah lupa kepada-Nya.


--------
Kedua, selepas habis semua dosa itu digugurkan, Allah mahu naikkan darjat kita.
Jika dapat bersabar, maka kita masuk dalam kalangan orang-orang yang sobirin. Firman Allah Taala yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kalian.” (Muhammad:31)
Tambah lagi, jika kita dapat bersyukur pula dengan apa jua yang Allah telah tetapkan kepada kita. Maka, dicatatkan oleh malaikat kita orang-orang yang syakirin, hamba yang pandai bersyukur.
Maka, di sinilah dua kunci kebahagiaan bagi orang mukmin. Untuk Allah naikkan darjat semakin tinggi di sisinya. Makin kita ingat kepada Allah, makin tinggilah darjat kita di sisi-Nya. Namun, jika makin kita lupakan Allah dan lebih ingat kepada dunia, maka rendahlah makam kita disisi-Nya.

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS.Ali ‘Imran:139)


-------

Ketiga, Allah mahu gantikan dengan yang jauh lebih baik.
Allah Ar-Rahim, Maha Penyayang tidak akan sesekali mahu menzalimi kita. Setiap apa yang Allah berikan ujian dan musibah tersebut, Allah mahu gantikan dengan yang jauh lebih baik dari apa yang kita kehilangan itu. 

Ulang sekali lagi, dengan yang jauh lebih baik.
Maka, setelah Allah ampuni dosa-dosa dan kita kembali merapat kepada-Nya, barulah di tahap ketiga ini Allah akan gantikan semua kesakitan, derita yang kita tanggung itu dengan kebahagiaan.
Ada orang cepat mendapat gantiannya di dunia lagi. Ada orang, Allah tangguhkan dan simpan untuk diberikan gantian itu di syurga kelak. Lambat atau cepat, Allah sudah berjanji akan bagi juga akhirnya.
Sebenarnya lebih beruntung dan bertuah orang yang Allah berikan ganjaran itu di syurga daripada di dunia sementara. Subhanallah. Sebaik-baik ganjaran dan gantian yang kekal abadi. 



-------
Hakikatnya, hidup ini memang takkan pernah memiliki jalan yang datar. Jika ia diibaratkan roda, ia berputar. Sekejap ke atas. Sekejap di bawah. Jika diibaratkan jalan, pasti ada cabangnya, bengkoknya, turun dan naiknya. Tidak ada jalan yang lurus. Kecuali jalan petunjuk yang diberikan oleh-Nya.
Allah menjadikan ujian sebagai fitrah hidup di dunia. Mahu tidak mahu kita akan hadapinya, suka atau tidak, kita harus menerimanya. Kerana Allah menciptakan sesuatu sedemikian rupa, menghadirkan kesusahan demi kesulitan untuk kita terus ‘belajar’ dari madrasah kehidupan.
Dan kegagalan itu sebenarnya sebagai pengorak langkah kepada membetulkan diri ke arah yang lebih baik. Lebih tepat, untuk kita buktikan kepada-Nya kita mampu menjadi hamba-Nya yang terbaik.
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Al-Mulk: 2)


Sesungguhnya iman itu perlu ditempa, barulah ia akan bersinar terang dengan penuh cahaya. Ujian-ujian yang gelap zulumat, memberikan kesedihan dan kegusaran akan segera terusir dengan cahaya iman.
Hidup ini akan terasa lebih ringan ketika kita menyandarkan segalanya kepada Sang Maha Kuat. Ya, kita benar tidak kuat. Lemah dan rapuh tatkala dicuit sedikit ujian. Kekuatan itu milik Allah, maka harus dipinta dan dipinta terus kepada-Nya.
Harus kuat. Kuat dalaman. Kuat keimanan. Dengan itu barulah kita mampu mengawal seluruh emosi dan perasaan. Kuat untuk menempuh setiap perjalanan kehidupan. Kuatlah untuk kuat.
Akhir kalam saya di sini, mari kita sama-sama merenung baris-baris muhasabah ini semoga kekuatan itu menjadi milik kita dalam sebuah ketenangan dan baik sangka kepada-Nya selalu. Biiznillah.

“Ketika seorang hamba telah menyerahkan segala urusannya kepada Allah, menyakini sepenuhnya janji Allah yang indah, hatinya akan damai dan batinnya begitu tenang menjalani hidup.
Sikap ikhlas dalam menjalani sesuatu yang Allah takdirkan akan membentuk suatu penerimaan yang luar biasa dalam diri. Dengan itu, seorang hamba akan selalu melihat apa pun yang diberikan Tuhannya dalam persepsi yang indah.
Ikhlas dan berserah diri kepada Allah akan selalu menjadi kekuatan yang mempertahankan kekukuhan jiwa kita, betapapun beratnya beban yang harus dipikul.”
(Oki Setiana Dewi-Pernik Cinta OSD)



: hikmatul islam         
: 31102014
: 0145 a.m 

18 October 2014

Siapa kita pada pandangan-Nya?



Bismillah.
Saya mendengar suatu video yang sangat membuatkan saya terjentik rasa. Bergetar seluruh jiwa.
Ustaz Ebit Lew menceritakan,
"Suatu hari, tuan haji ini ingin membayar barang beliannya kepada seorang penjual. Lalu, penjual tersebut mengambil duit itu dan membelek-beleknya. Lama.
Tidak lama kemudian, penjual itu berkata 'Tuan Haji, duit ini palsu.' Maka, terkejutlah tuan haji tersebut lalu jatuh pengsan.
Bila dia sedarkan diri, peniaga tersebut berkata kepadanya, 'Tuan Haji, saya tidak marahkan tuan cuma saya ingin mengatakan bahawa duit tuan itu palsu, tidak bernilai.'
"Ya, saya tahu kamu tidak marahkan saya. Saya jatuh pengsan kerana saya tiba-tiba berfikir. Jika kelak saya dihitungkan amal, saya serahkan semua amalan saya lakukan di dunia kepada Allah tapi tiba-tiba Allah lalu mengatakan, 
'Semua amal yang kau lakukan palsu, dusta!' Bagaimana untuk saya hadapi situasi tersebut?"



--------
Allahuakbar. Sangat 'terasa' seolah Allah juga sedang mengatakan kepada diri sedemikian. Membuatkan hati merasa takut yang amat. Tanpa sedar air mata mencurah-curah.
"Ya Allah, aku tiada apa amal yang hebat untuk dihadapkan kepada-Mu. Aku masih belum buat apa-apa untuk Islam. Aku masih belum berjuang sungguh-sungguh untuk agama.
Aku masih sedang bertatih mengenal-Mu. Masih sedang belajar bersabar dan bersyukur. Masih sedang menghadam erti hikmah di sebalik setiap ujian.
Allah Tuhanku. Aku tiada amal, sedikit sekali. Jika amal yang sedikit ini menjadi seperti debu-debu berterbangan, maka hancurlah jiwa. Sengsaralah diri.
Allah Tuhanku. Siapalah aku pada pandangan-Mu? Tiada apa-apa. Jika bukan kerana rahmat-Mu, tidaklah hamba memiliki apapun di dunia ini. Bantu hamba untuk terus menyungkur sujud kepadaMu ya Rabbi..."

Teringat segala janji-janji dengan Tuhan. 
Ya Allah, bantu aku laksanakan segala janjiku kepada-Mu....


---------
Apabila ditanya, 'Bagaimana kita mahu mengetahui pandangan kita atau kedudukan kita di sisi Allah?"
Kata para ulamak, 'Lihatlah bagaimana kita letakkan Allah di sisi kita."
Jujurlah bertanyakan pada diri sendiri. Apakah....
Kita ingat Allah lebih banyak daripada kita ingat kepada manusia setiap hari?
Kita ingat Allah, lebih banyak kita fikirkan pandangan Allah akan terima amal kita ke tidak atau kita lebih banyak memikirkan pandangan dan kritikan manusia pada kita?
Kita ingat Allah, dengan sebenar-benar tulus ingatan, atau kita lebih banyak mengingati hal-hal keduniaan?
Jika isi dunia yang lebih banyak kita ingati, sungguh kita masih 'jauh' dari Allah sebenarnya.

Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu,
kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka."
(Hadis Riwayat Bukhari)



"Kita bukan siapa-siapa.
Usah sesekali berbangga dengan apa yang kita punya.
Ia semua milik DIA, Sang pemilik utama.

Kita bukan siapa-siapa.
Usah berbangga jika manusia memuji.
Belum tentu malaikat sudi untuk memandang diri.

Kita bukan siapa-siapa.
Usah berbangga jika diri femes dikenali.
Sedangkan para langit tidak mengenali.

Kita bukan siapa-siapa.
Jika bukan Allah yang memberi pinjam kepada kita.
Bersyukurlah selalu dengan apa yang punya.
Dan teruslah ikhlas menjadi hamba-Nya, 
bukan hamba dunia."

: hikmatul islam         
: 18102014
: 0645 p.m 


14 October 2014

Tanda Cinta




"Semalam ku bermimpi,
Datang pari-pari syurga turun dan menyapa diri
'Duhai insan pilihan Allah, 
kenapa kau bergundah hati?
Tidakkah engkau melihat DIA sedang memandangmu
Dengan pandangan sepenuh cinta?'

Duhai sang pari-pari syurga
Benarkah seperti yang kau kata?
Layakkah aku menjadi yang paling diredhai-Nya?

Duhai insan pilihan Allah,
Allah itu dekat untuk orang-orang yang dekati-Nya
Allah itu tidak pernah menjauh
Untuk orang-orang yang tidak menjauhi-Nya
Pandanglah ujian yang turun sebagai nikmat
Seperti hujan yang turun penuh rahmat

Membasahi dirimu agar lebih mendekat
Dekat dengan redha-Nya
Dekat dengan maghfirah-Nya
Untuk semakin dekat melamar syurga-Nya
Tidakkah kau menginginkannya?"


Bismillah.
Ada saat-saat masanya, kita akan diduga dengan beban ujian yang bertimpa-timpa. Sekaligus. Belum sempat satu masalah itu selesai, tiba-tiba datang pula tiga masalah yang lain serentak.
Ada saat-saat masanya, semua yang kita lakukan serba tidak kena. Serba tidak menjadi.
Ada saat-saat masanya, apa yang kita usahakan baik pada pandangan mata kita rupanya menjadi suatu hasil yang sangat buruk. Keadaan malahan menjadi lebih teruk.
Pernahkah kalian berada di situasi tersebut?
Sempit jiwa seketika. Ingin bernafas pun terasa sesaknya dada.
Saat-saat yang akal seperti sudah 'jem' berfikir mencari solusi yang tidak berjumpa, mencari-cari jawapan pada setiap persoalan yang timbul, namun tiada penyelesaian.
Saat itu, sebaris patah sahaja yang bagai terngiang-ngiang di telinga.
"Sabar dan solat."
"Sabar dan solat."
"Sabar dan solat."


"Para ulamak Sufi mengatakan:
Jika seseorang itu tidak ditimpa apa-apa ujian dalam tempoh 40 hari, bimbangilah dia tidak lagi dipedulikan oleh Allah.
Sesungguhnya setiap dugaan yang datang itu adalah tanda cinta-Nya kepada manusia."


-------
Telekung itu lencun. Subhanallah. Betapa ajaibnya rasa Allah berikan.
Bila sujud lama-lama, segala perasaan yang berombak menyesakkan dada itu hilang serta merta. Rasa galau dan sedih, segera terusir. Digantikan dengan rasa sangat tenang, aman.
Syukur, air mata cinta tidak pernah mengering. Di saat-saat itu, satu baris namanya sahaja yang ingin dipanggil. Terus-menerus tanpa henti.
"Allahu Allah..."
"Tuhanku, aku tidak kuat. Namun Engkau Maha Kuat. Berikan daku kekuatan demi kekuatan, untukku tempuhi segala dugaanMu.
Tuhanku, aku tidak pandai. Namun Engkau Maha Bijaksana. Berikan daku solusi dan penyelesaian bagi setiap permasalahanku.
Tuhanku, aku tidak reti untuk mentafsirkan segala dugaanmu. Namun Engkau Maha Mengetahui takdir hidupku. Bukakan daku hikmah satu persatu, agar ku lebih merasai manisnya cinta-Mu padaku.
Tuhanku, aku tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan? Namun Engkau Maha Hadi Pemberi petunjuk, berikan daku petunjuk dan hidayah-Mu selalu agar aku tetap berada di jalan-Mu, tolong jangan sampai aku tersasar arah tujuan kepada-Mu.
Tuhanku, ku serahkan diriku sepenuhnya pada-Mu. Hidup dan matiku hanya untuk-Mu. Perbaikilah segala urusan duniaku, dan perbaikilah urusan akhiratku agar ku kembali nanti dengan hati yang saleem kepada-Mu..."

"Perhatikanlah,
Di sebalik ujian yang datang bertimpa-timpa itu sebenarnya Allah sedang ingin 'menghadiahkan' suatu kemanisan yang tidak akan disangka-sangka.
Teruslah berbaik sangka kepada-Nya."



-------
Tuhanku, aku tidak punya sesiapa selain-Mu. Aku hanya punyai Engkau satu-satunya tempat ku bergantung harap. Biar manusia tidak memandang padaku, asal Kau sentiasa sudi memandangku.
Biar manusia tidak akan pernah mampu mengerti hatiku, jiwaku, namun Engkau maha mengerti segala rasaku. Biar manusia mengatakan apa jua dalam pandangan mereka namun ku tahu Engkau tidak seperti itu.
Biar manusia mengatakan ia mustahil, namun tidak ada satu pun yang mustahil pada-Mu. Bila mana Engkau berkata Kun, Fayakun maka terjadilah ia seperti kehendak-Mu.
Tuhanku, cukuplah Engkau untukku terus berjalan. Bukan manusia yang membahagiakanku, tapi Engkau yang selalu membahagiakan diriku dengan cara-Mu. Pujukan-Mu, belaian-Mu, dekapan-Mu. Jauh lebih indah dan nyaman dari sekalian makhluk yang ada.
Tuhanku, jangan Kau palingkan hatiku setelah Kau berikan keyakinan padaku. Tetapkanlah daku berada dalam garis lurus-Mu. Tetapkanlah daku dalam keimanan yang utuh pada-Mu.
Teguh-teguh, selalu...


------
Wahai jiwa. Biasakan dirimu didera derita, bukan dihiasi jalan kesenangan semata.
Derita demi derita itu, sebenarnya lebih mengajarkan kita Allah itu sangat Kuasa di atas segalanya. Allah Pemilik mutlak kita, Allah Pengawal seluruh kehidupan kita. 
Siapalah kita tanpa-Nya?
Wahai diri, jika engkau jatuh lagi, bangkitlah kembali. Jika jatuh lagi, bangun lagi dan lagi. Jangan pernah berputus asa dengan Ilahi, meskipun kau berputus asa dengan duniawi.
Wahai diri, dunia ini sekejap sahaja. Sekejap sahaja kau hidup. Sedangkan mati itu, suatu perjalanan yang cukup panjang. Tak mengapa kau rasa lelah, penat dan letih sekarang. 
Tapi Allah sudah mengira setiap usahamu. Allah sudah mengira butir-butir air matamu. Allah hanya ingin melihat keyakinanmu pada-Nya.
Nanti, akan Allah hadiahkan kau dengan imbalan syurga. Bahagia di dunia cuma sekejap sahaja, tapi bahagia di syurga selama-lamanya. 
Senyumlah. Syukurlah selalu kepada-Nya. DIA selalu sayang padamu. DIA selalu cinta pada hambanya yang tetap beriman.
Duhai hati, jangan kau sesekali mengeluh. Tapi sentiasalah berbisik dengan-Nya. Bisikan-bisikan cinta. Bahawa kau cintai Allah lebih dari segalanya. Ia perlukan bukti. 
Kerana itu Allah menguji lagi dan lagi. Biarlah Allah menguji. Sehingga nanti, DIA tahu kau benar-benar ikhlas menjadi hamba Ilahi. Ikhlaskanlah.





"Ya Allah Ya Tuhanku
Terima kasih untuk tanda cintaMu
Tanda-tanda ini, akan aku simpan sebagai kekuatan
Meneruskan perjuangan kehidupan
Jangan biarkan daku sendirian tanpa pertolongan
Ku damba Engkau di setiap perjalanan
Kurniakanku ketabahan dan kecekalan
Hanya pada-Mu ku terus bersandar harapan..."




p/s: Ketenangan dari kesesakan dunia, Allah berikan ilham yang mencurah-curah untuk menghasilkan buku kedua. Terima kasih Allah. Segala puji bagi-Mu yang Maha Pemurah. Lebih fokus untuk dakwah, harus fokus untuk ummah.
Terus sabar menanti proses kemunculan buku pertama. Sungguh terasa penantian yang sangat lama. Tuhanku, bukan soal cepat atau lambat, yang jauh lebih penting ku mohon dengan sangat, 'balutkan' buku tersebut dengan tanda cintaMu pada seluruh makhlukMu. Biar mereka turut merasai tanda cinta dariMu sepertimana Engkau berikan rasa itu kepadaku...Allahumma amin.


: hikmatul islam         
: 14102014
: 0345 p.m 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...