01 November 2014

Kenapa Kita Diuji?



“Kenapa aku diuji? Kenapa aku yang diuji? Kenapa??”

Sering, dan selalu sering ungkapan itu laju meluncur di bibir orang yang diuji. Saya dan kalian, tidak mungkin tidak pernah berkata sedemikian.
Saat diuji, sungguh kita merasa sukar dan berat untuk menerimanya. Apatah lagi ia adalah ujian yang tanpa kita sangka akan terjadi.
Saya melihat kembali diri saya yang pada masa lalu, teruk menangis dengan kalimah itu yang sering diulang-ulang. Dan, saya juga menyaksikan saudara saya, sahabat dan teman turut meluahkan sedemikian. 

*Geleng kepala, istighfar panjang-panjang*

Saya bagi satu perumpamaan. Contoh, kita ini anak pungut. Gelandangan tanpa punya harta. Tiada punya apa-apa. Seorang tuan datang mengutip kita. Tuan itu menjaga kita penuh kasih sayang. Kita diberi kerja sebagai orang gaji. Kita diberi pakai dan diberi makan secukupnya. 
Suatu hari, kita minta pakaian yang mahal. Tapi tuan enggan belikan. Tuan bukan tiada duit. Tapi Tuan tidak mahu kita bermewah-mewah melebihi kemampuan. Kita membentak dan marah-marah. Kita bertanya, kenapa dan kenapa tidak mahu berikan? Kenapa berikan pakaian yang biasa-biasa sahaja? 

Jika dilihat dengan penilaian kasar mata manusia, bukankah kita nampak sangat tidak beradab dengan Tuan tersebut? Bukankah dia sudah banyak menolong kita selama ini? Bukankah kita sepatutnya sedar diri bahawa kita cuma orang gaji?

Realiti, bukankah kita cuma hamba Allah yang layak diuji? Dan Allah, adalah Tuan Punya diri kita yang mutlak. Sewajarnya, 'bersopanlah' dengan Pemilik diri yang abadi.
Astaghfirullahalazim. Semoga Allah selalu sudi untuk mengampuni kita semua.


---------
Duhai insan.
Jika kita bertanya sedemikian, jawapannya mudah sahaja sebenarnya. Cuma kita sahaja yang berat mahu menerimanya.
“Sebab Allah PILIH kita untuk diuji dengan ujian tersebut.”
Kalau ditanya lagi, “Kenapa Allah pilih kita?”
Ringkas tapi mendalam. “Kerana Allah CINTA.”
Subhanallah. Kerana Allah cintalah Allah duga. Kerana Allah sayanglah Allah uji. Bukti apa Allah cinta?
Fahamilah, dalam ujian-Nya itu sentiasa terselit 3 tanda cinta.
Pertama, Allah mahu hapuskan dosa-dosa kita.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa.” (Surah  as-syura:30)
Jangan pernah ingin menafikan segala dosa-dosa kita. Orang ramai mungkin tidak nampak segala keaiban kita, tapi Allah Maha Tahu betapa banyaknya dosa-dosa kita yang tersembunyi.
Jika ia bukan dosa zahir yang terang-terangan, mungkin ia dosa batin yang tersembunyi di sebalik hati.
Hati kita yang bermaksiat, yang ternoda dengan pelbagai penyakit seperti hasad, riak, ujub, sombong dan pelbagai mazmumah jiwa. Kerana itu Allah mahu bersihkan kita dari semua dosa. Bersih-bersih, semua sekali.



Ada orang, bila dia buat sedikit sahaja dosa Allah terus ‘bayar cash’. Terus kena musibah, ujian demi ujian datang menyinggah. Sakit, susah, perit membuatkan hamba itu banyak menangis, merintih dalam doa. Kerana apa Allah berbuat demikian?
Kerana Allah tak sanggup tengok hamba-Nya yang baik itu terus bergelumang dalam dosa. Walau dosa itu sedikit sahaja. Allah mahu dia sentiasa bersih, dan ingat selalu kepada-Nya. 

Dan Allah, sangat rindu untuk selalu mendengar rintihannya. Bagaimana jika Allah tidak lagi rindu? Maka, Allah akan 'lepaskan' dan tidak hiraukan kita lagi. Mahukah seperti itu? Pastinya tidak ingin...


Dan ada orang, bila dia buat dosa maksiat biasa-biasa sahaja. Dia malah seronok dan kita tengok dia senang-senang sahaja. Contoh dia bercople, tapi nampak macam bahagia sahaja.
Itu kerana Allah tangguhkan dahulu, buka ruang dan pintu harap-harap dia mahu sedar dan bertaubat. Tapi hamba itu masih asyik dan lalai. Sampai satu masa nanti, Allah akan hempapkan dia dengan ujian yang sangat dahsyat sehingga dia terduduk dan kembali sedar lalu bertaubat kepada Allah.
Pendek kata, semuanya takkan terlepas diuji, dua-dua golongan ini Allah tetap sayang dan ujian itulah akan membersihkan segala dosa noda. Kerana kita ini pendosa. Takkan  lari dari berbuat salah dan silap. Namanya manusia. Mudah lupa kepada-Nya.


--------
Kedua, selepas habis semua dosa itu digugurkan, Allah mahu naikkan darjat kita.
Jika dapat bersabar, maka kita masuk dalam kalangan orang-orang yang sobirin. Firman Allah Taala yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kalian.” (Muhammad:31)
Tambah lagi, jika kita dapat bersyukur pula dengan apa jua yang Allah telah tetapkan kepada kita. Maka, dicatatkan oleh malaikat kita orang-orang yang syakirin, hamba yang pandai bersyukur.
Maka, di sinilah dua kunci kebahagiaan bagi orang mukmin. Untuk Allah naikkan darjat semakin tinggi di sisinya. Makin kita ingat kepada Allah, makin tinggilah darjat kita di sisi-Nya. Namun, jika makin kita lupakan Allah dan lebih ingat kepada dunia, maka rendahlah makam kita disisi-Nya.

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS.Ali ‘Imran:139)


-------

Ketiga, Allah mahu gantikan dengan yang jauh lebih baik.
Allah Ar-Rahim, Maha Penyayang tidak akan sesekali mahu menzalimi kita. Setiap apa yang Allah berikan ujian dan musibah tersebut, Allah mahu gantikan dengan yang jauh lebih baik dari apa yang kita kehilangan itu. 

Ulang sekali lagi, dengan yang jauh lebih baik.
Maka, setelah Allah ampuni dosa-dosa dan kita kembali merapat kepada-Nya, barulah di tahap ketiga ini Allah akan gantikan semua kesakitan, derita yang kita tanggung itu dengan kebahagiaan.
Ada orang cepat mendapat gantiannya di dunia lagi. Ada orang, Allah tangguhkan dan simpan untuk diberikan gantian itu di syurga kelak. Lambat atau cepat, Allah sudah berjanji akan bagi juga akhirnya.
Sebenarnya lebih beruntung dan bertuah orang yang Allah berikan ganjaran itu di syurga daripada di dunia sementara. Subhanallah. Sebaik-baik ganjaran dan gantian yang kekal abadi. 



-------
Hakikatnya, hidup ini memang takkan pernah memiliki jalan yang datar. Jika ia diibaratkan roda, ia berputar. Sekejap ke atas. Sekejap di bawah. Jika diibaratkan jalan, pasti ada cabangnya, bengkoknya, turun dan naiknya. Tidak ada jalan yang lurus. Kecuali jalan petunjuk yang diberikan oleh-Nya.
Allah menjadikan ujian sebagai fitrah hidup di dunia. Mahu tidak mahu kita akan hadapinya, suka atau tidak, kita harus menerimanya. Kerana Allah menciptakan sesuatu sedemikian rupa, menghadirkan kesusahan demi kesulitan untuk kita terus ‘belajar’ dari madrasah kehidupan.
Dan kegagalan itu sebenarnya sebagai pengorak langkah kepada membetulkan diri ke arah yang lebih baik. Lebih tepat, untuk kita buktikan kepada-Nya kita mampu menjadi hamba-Nya yang terbaik.
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Al-Mulk: 2)


Sesungguhnya iman itu perlu ditempa, barulah ia akan bersinar terang dengan penuh cahaya. Ujian-ujian yang gelap zulumat, memberikan kesedihan dan kegusaran akan segera terusir dengan cahaya iman.
Hidup ini akan terasa lebih ringan ketika kita menyandarkan segalanya kepada Sang Maha Kuat. Ya, kita benar tidak kuat. Lemah dan rapuh tatkala dicuit sedikit ujian. Kekuatan itu milik Allah, maka harus dipinta dan dipinta terus kepada-Nya.
Harus kuat. Kuat dalaman. Kuat keimanan. Dengan itu barulah kita mampu mengawal seluruh emosi dan perasaan. Kuat untuk menempuh setiap perjalanan kehidupan. Kuatlah untuk kuat.
Akhir kalam saya di sini, mari kita sama-sama merenung baris-baris muhasabah ini semoga kekuatan itu menjadi milik kita dalam sebuah ketenangan dan baik sangka kepada-Nya selalu. Biiznillah.

“Ketika seorang hamba telah menyerahkan segala urusannya kepada Allah, menyakini sepenuhnya janji Allah yang indah, hatinya akan damai dan batinnya begitu tenang menjalani hidup.
Sikap ikhlas dalam menjalani sesuatu yang Allah takdirkan akan membentuk suatu penerimaan yang luar biasa dalam diri. Dengan itu, seorang hamba akan selalu melihat apa pun yang diberikan Tuhannya dalam persepsi yang indah.
Ikhlas dan berserah diri kepada Allah akan selalu menjadi kekuatan yang mempertahankan kekukuhan jiwa kita, betapapun beratnya beban yang harus dipikul.”
(Oki Setiana Dewi-Pernik Cinta OSD)



: hikmatul islam         
: 31102014
: 0145 a.m 

7 comments:

  1. Allah datangkan ujian sebagai tanda kasih dan sayangNya pada kita. Berbaik sangka atas ujian yang datang

    ReplyDelete
  2. Allah datangkan ujian sebagai tanda kasih dan sayangNya pada kita. Berbaik sangka atas ujian yang datang

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah. .terima kasih

    ReplyDelete
  4. Ya Allah..sesungguhnya Engkaulah tempat utk segala-galanya.
    Terima kasih kepada penulis

    ReplyDelete
  5. Ya Allah..sesungguhnya Engkaulah tempat utk segala-galanya.
    Terima kasih kepada penulis

    ReplyDelete
  6. Yer ker musibah itu Ujian Allah swt .... sedangkan ada Segala yg baik itu dtg dari Allah swt dan segala yg buruk itu datang dari manusia sendiri !!! Apa alasan kita .. itu ujian Allah swt ? Walhal itu kesilapan manusia dlm banyak kes .. Di Malaysia kaum Cina bukan Islam ramai berniaga dan kaya raya jika dibandingkan dgn Melayu Islam Malaysia .. So yg kafir Allah swt benarkan KAYA ? Kita yg Islam sembayang tunggang tonggek siang malam .. ramai yg miskin ... Apa alasan anda ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukan kah Allah itu maha adil? anda masih tak percaya solat anda?
      kenapa ingin dunia yg sementara? sedangkan Allah da sediakan yg abadi,, yg lebih indah..

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...