03 October 2014

'Pengorbanan' : Bukti Cinta Kita kepada-Nya





"Setitik demi setitik.
Air mata itu gugur jua ke pipi.
Tuhanku. Betapa beratnya ku rasakan
Setiap pengorbanan yang dipersembahkan
Semoga Engkau sudi untuk memandang
Dan mengira setiap butir zarah amalan.

Meski demikian,
Banyaknya kecacatan dan kekurangan
Namun tetap ku berharap sepenuh harapan
Titipkan padaku sejuta keyakinan dan kepercayaan
Sematkan padaku sebuah kekuatan dan ketabahan
Dalam melayari setiap ujian dan dugaan kehidupan..."

Bismillah.
Di saat hati rasa terpuruk, jiwa rasa terjeruk.
Di saat diri merasa lelah dengan pelbagai masalah, di saat diri merasa lemah dengan ujian yang tak sudah.
Ketahuilah, dan sedarilah. Itu cuma hanya cebisan pengorbanan kita sebagai hamba Allah.
Hidup ini sentiasa perlu berkorban. Antara suka atau tidak, antara mahu atau tidak, antara perlu memilih atau tidak.
Begitulah lumrah kehidupan di dunia. Kerana dunia adalah medan ujian. Medan kita menghamburkan seribu satu pengorbanan.
Berkorban harta benda. Berkorban tenaga dan masa. Berkorban perasaan dan segala-galanya untuk membahagiakan orang yang tercinta.
Namun, setinggi-tinggi pengorbanan adalah pengorbanan kita pada yang Maha Esa.
Kita merasakan, berkorban pelbagai harta, tenaga dan masa untuk orang yang kita cintai itu adalah pengorbanan yang cukup besar kita lakukan.
Rupanya, ia terlalu kecil wahai diri. Cebisan tanda cinta kita pada manusia rupanya berada di aras yang terendah.
Sedangkan pengorbanan yang paling tinggi adalah berkorban apa jua untuk DIA, Sang Pencipta kita.
Mengorbankan diri untuk jalan juang dan berkhidmat untuk agama-Nya, itu lebih utama.
------


Jika Nabi Ibrahim a.s sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s, apakah Allah ada menguji kita sedemikian rupa?
Rupanya, di sebalik kisah yang diabadikan dalam kitab suci Al-Quran itu adalah untuk mengajar kita, bahawa erti pengorbanan yang tiada tara seorang hamba kepada Rabb-nya.
Lihatlah. Betapa simbolik yang Allah ajarkan untuk kita fahami, hayati dan renungi. Dalam kehidupan kita ini, tidak akan lari dari diuji dengan orang kesayangan.
Allah memberikan contoh yang paling dekat. Ikatan kekeluargaan yang paling rapat antara ayah dan anak, sanggupkah jika kita menjadi ayah yang menyembelih anak sendiri?
Atau sanggupkah kita menjadi anak yang rela berserah diri untuk disembelih tatkala datangnya perintah Allah itu?

"Maka ketika anak itu sampai(pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata: "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu.”
Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar”. [As-saffat: 102]

Tidak akan sanggup. Namun Rasul kita mengajarkan pengajaran yang cukup penting dari kisah tersebut, yang dapat kita ambil ibrahnya untuk terus kuat menghadapi setiap ujian Allah.
Pertama, Rasul hendak menyampaikan mesej bahawa tahap keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah adalah syarat yang paling utama.
Pegangan dan akidah yang dipegang itu harus sentiasa teguh, walau apa jua badai yang melanda.
Kerana itu mereka membawa risalah untuk kita mengesakan Allah, agar benar-benar bulatkan hati dan seluruh jiwa raga kita beriman dengan Tuhan yang Maha Satu, satu-satunya tempat kita mengabdikan diri dan menyerahkan sepenuh jiwa.
Jika di syarat yang pertama ini kita telah rapuh, maka langkah-langkah pengorbanan yang lain akan menjadi rapuh dan lemah. Akan merasakan beban yang cukup berat dan lelah.
Sekali lagi direnungi kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Jika difikirkan dari sudut logik akal, tidakkah permintaan Allah itu tidak relevan? Terlalu sukar dan tidak akan termampu untuk dipikul oleh mereka?
Kerana itulah batasan akal kita. Terhad. Dan kerana itulah kita memerlukan pagar iman, kerana hanya dengan iman akan menuntun kita berbuat sesuatu yang melebihi dari logik akal.
Sebenarnya tidak pelik. Bukankah orang yang asyik bercinta, akan sanggup berbuat apa sahaja untuk kekasih hatinya?
Sehingga sanggup meredah apa jua, berkorban jiwa raga untuk memberikan yang terbaik buat kekasih kecintaannya?
Nah! Begitulah pengorbanan Rasul kita, tahap kecintaan Nabi Ibrahim a.s kepada Tuhan jauh lebih tinggi dan melebihi dari kecintaannya pada anaknya, Nabi Ismail a.s.
Namun, tidaklah disangkal, betapa beratnya bebanan perasaan yang dirasai oleh Nabi Ibrahim untuk melaksanakan tugas tersebut?
Berat, dan bukan suatu yang mudah kecuali hati yang Allah pimpin untuk menjadi kuat.
Itulah pengajaran kedua, meletakkan kecintaan kita sepenuh hati dan jiwa kepada Allah melebihi manusia perlukan suatu jihad dan pengorbanan yang cukup besar.
Bukti cinta yang suci. Kemuncak cinta yang tulus kepada yang Maha Agung.
------


Sebenarnya, begitulah dalam kehidupan kita ini.
Setiap orang, ada ujiannya masing-masing. Setiap orang akan merasai beban perit dan erti pengorbanan itu.
Benar, kita bukan Nabi. Namun, Allah telah memberikan kita petunjuk untuk dituntun setiap langkah agar kita kembalikan semuanya pada DIA yang utama.
Sepertimana beratnya Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah, begitu juga dengan kita yang bertaraf hamba biasa ini.
Yang lagi sedang mencuba dan terus berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang soleh.
Yang lagi sedang mencuba dan terus berusaha sedaya mungkin melaksanakan segala yang Allah perintahkan kepada kita.
Melakukan kebaikan dan ketaatan bukan semudah dikata. Semuanya memerlukan pengorbanan yang tinggi.
Meninggalkan tampalan dosa-dosa yang lalu dan kesukaan nafsu dunia semata kerana inginkan redha-Nya, itu juga memerlukan seribu satu pengorbanan.
Bukan mudah. Sungguh bukan mudah. Perit. Pahit.
Jika ia mudah, tidak pula dinamakan 'pengorbanan.' Korban ini memerlukan air mata cinta, sepenuh jiwa yang meletakkan Allah dalam setiap hal yang dilakukan.
Walau demikian, sebenarnya Allah mahu menghadiahkan sebuah hadiah yang sangat besar pada atas segala kesabaran kita dalam mengorbankan diri kepadaNya.
Hadiah syurga yang kekal abadi. Subhanallah.
Sepertimana Allah gantikan seekor kibasy tatkala saat-saat Nabi Ibrahim a.s ingin menyembelih tengkuk anaknya Nabi Ismail, seperti itulah yang Allah ingin tunjukkan kekuasaan dan keagungannya kepada kita.
Setiap pengorbanan pasti akan ada ganjarannya. Yakinlah. Dan tetapkanlah kesabaranmu dalam kepercayaan kepadaNya yang tidak berbelah bahagi.

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.
Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.
Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." [AL-Hajj: 37]



------
Pengajaran ketiga.
Sesungguhnya, kita sentiasa memerlukan bekalan iman. Untuk menghadapi jalan juang dan pengorbanan yang panjang.
Jika kita kehilangan iman, pudar keyakinan dan tidak lagi mempercayai kekuasaan-Nya, maka kita sebenarnya telah kalah.
Dan paling dibimbangi kita berkorban yang sia-sia. Ya, itu yang paling takut.
Kita fikir, kita telah banyak berkorban segala-galanya. Namun, ia cuma untuk manusia semata, bukan untuk DIA. Nauzubillah.
Kita bukan pencinta manusia yang bergadai apa jua untuk mendapatkan cinta manusia yang tidak kekal abadi.
Namun kita adalah seorang hamba yang sedang menjadi pencinta yang sedang berkorban mencari keredhaan-Nya.
Apalah erti pengorbanan tersebut jika ia sedikit pun tidak dipandang Allah? Malah segala amal-amal menjadi debu yang berterbangan.
Allahu Allah. Jagai iman kami, agar kami tetap benar beriman kepada-Mu dengan sebenar-benar iman. Bukan iman yang palsu.
Ya Tuhan kami. Berikan kami kecintaan padu padaMu, rasa cinta yang tidak berbelah bahagi, sanggup mengorbankan apa jua yang ada pada diri kami pada jalanMu.
Kerana ingin kami yakin dan percayai, janjiMu Maha Benar. Setiap pengorbanan akan pasti ada ganjaran. Sebaik-baik pembalasan dariMu Tuhan, untuk kami yang beriman.
PadaMu dihadapkan wajah-wajah, ampuni dosa-dosa kami dan terimalah 'korban' kami ini.
Allahumma amin ya Rabbana.
Salam Eidul Adha, 1435H.

"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." [Al-Baqarah: 207]



: hikmatul islam         
: 9 Zulhijjah 1435H
: 0150 a.m 

2 comments:

  1. Assalamualaikum...:)

    Cinta perlukan pengorbanan agar kita mengerti susahnya mendapatkan cinta itu.

    SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...