17 June 2015

Ramadhan Di Jam-jam Tergelap





Bertapak di sini. Di laman ini. Subhanallah, lamanya terasa menyepi.

Bukan sengaja menyepi. Tapi bait-bait kata sungguh tak mampu dilakar jika ia tidak seiring dengan apa yang lahir dari hati. Tulisan yang bukan boleh dibuat-buat, tetapi lahir dari lubuk rasa yang paling jujur.

Kerana inilah laman jiwaku. Tempat luahan aksara demi aksara. Tempat yang dirasai berada dalam suatu ‘dunia’ yang lain.

Duniaku, hanya diriku yang berbicara dengan hati sendiri. Meluahkan patah demi patah dengan Ilahi. Bukan dengan mana-mana manusiawi.

Hati tiba-tiba jadi sebak. 

Bukan kerana lagu latar ini. Bukan kerana memikirkan sesiapa. Tak tahu kenapa. Emosi mulai bersimpul rasa. Bercampur-baur dalam pelbagai irama.

Tuhan. Ku rindukan sekeping ‘jiwaku’ yang dulu. :'(

Diri yang lebih banyak menangis dari tersenyum. Diri yang banyak berdiam dari berbicara. Diri yang banyak menyendiri dari berada di tengah lautan manusia.

Diri yang banyak merintih kepada-Nya. Diri yang banyak menghabiskan masa keseorangan dengan-Nya. Diri yang selalu berbisik-bisik kepada-Nya. 

Diri yang selalu suka merayu-rayu kepada-Nya sehingga basah lencun pelupuk mata. Diri yang suka tenggelam dalam sendu demi sendu bersama tangisan yang mencurah-curah. 

Tangisan itulah tangisan yang menguatkan. Tangisan yang terasa ‘akrab’. Tangisan yang terasa DIA begitu dekat. Dekat di hati dan jiwa. Dekat untuk memujuk segala rasa. Dekat sekali.

Tapi di mana 'diri' itu kini? Mana? Di mana?

Allahurabbi. Kenapa rasa itu semakin kurang dan terhakis? Kenapa? Sakitnya rasa bila persoalan itu dilontarkan kepada diri sendiri.

*menangis tersedu-sedu* Menangis kerana tak mampu menangis seperti dulu-dulu.

Ya Allah, kembalikan semula jiwa itu. Kembalikan semula rasa itu. Maafkan hamba ya Allah andai kelalaianku membuatkan daku semakin jauh dari-Mu. 

Maafkan hamba ya Allah jika urusan dunia ini telah membuatkan Kau menarik ‘rasa’ itu…Allahu Allah…ampuni daku untuk semua dosaku… 




--------

Hari ini hari pertama puasa. Tahun 2015. Bersamaan 1436H.

Ah, masa! Kenapa kau begitu pantas berlari mencuri usia manusia?

Sentuhan bayu Ramadhan begitu lembut terasa. Menjalar sayu di seluruh jiwa. Ada rasa pilu. Ada rasa hiba. Menyimbah pelbagai rasa yang sukar untuk ditinta dengan kata-kata.

Terasa hembusan ketenangan tatkala cuba menyentuh rahmat-Nya. Ingin, sangat teringin ku miliki dan mendakapnya erat-erat di saat peluang diberikan selama 30 hari ini.

Ya. Tersisa hanya 30 hari. Tidak lama. Sekejap cuma. Tapi, 30 hari ini bukan hari-hari biasa. Ia hari yang luar biasa.

Luar biasa yang bagaimana? Terlalu luar biasa, istimewa. Di dalamnya, Allah tawarkan kelebihan gandaan pahala seribu bulan yang jauh lebih baik daripada bulan-bulan yang lain.

Namun kenapa dalam kalangan manusia masih terasa ia cuma biasa-biasa? Seperti Ramadhan lalunya, tiada apa-apa yang istimewa?

Oh, merugilah orang yang tidak merasai keistimewaan tersebut. Merugilah. Rugi yang sangat besar.

Ia bukan kehilangan dari sudut zahir, tetapi kehilangan dari sudut ‘rohaninya’. Rasa ruhnya. Hilang.



--------

Sepotong ayat suci yang sudah masyhur orang dengari.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

“Supaya kamu bertakwa.” Hanya ingin dicermati ayat ini. Hadaminya sepenuh hati. Mahu fahami maksud tersimpulnya, apa sebenarnya Allah ingin sampaikan?

Belek tafsir al-Azhar. Kata mufassir Hamka;

“Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri.

Kalau di segala waktu dilarang memakan makanan yang haram, maka di dalam bulan puasa makanan yang halal pun dilarang.

Orang beriman dapat menahan nafsunya kerana melaksanakan perintah Allah. Walaupun dia bersendirian seorang diri, tiada ada sesiapa manusia melihatnya namun dia tetap berpuasa kerana percaya Tuhan selalu melihat.

Dengan demikian, orang mukmin mendidik iradat atau kemahuan dan dapat mengekang nafsu. Samada nafsu batin atau nafsu perut jika dikendalikan dengan puasa, nilai kemanusiaan akan naik tingkatnya.

Kesabaran menahan adalah nilai yang amat penting bagi keteguhan jiwa.

Sebab itu Nabi saw bersabda:

“Puasa adalah separuh dari sabar.” (HR Ibn Majah)

Subhanallah.

Dengan mengendalikan dan mengekang keperluan fizik, kita memperoleh kekuatan dalaman untuk menghadapi pertempuran besar setiap hari iaitu NAFSU.

Benarlah bila Allah berkata, puasa ini pahalanya tiada batas. Tidak dapat disebut kiraan pahalanya. Kerana hanya Allah sahaja yang layak dan berhak memberikan seberapa banyak pahala kepada orang yang berpuasa.

Kerana puasa adalah amal yang tidak dapat disaksikan oleh pandangan zahiriah seperti ibadah yang lain. Contoh solat, terkadang hadir riya’ dan ujub tika orang lain melihat seseorang itu selalu rajin sembahyang. Terkadang rasa ikhlas itu boleh lari dan menyimpang.

Tetapi tidak puasa. Manusia tidak dapat melihat dan menilainya. Hanya orang berpuasa sahaja yang tahu kesan puasanya itu, apakah benar-benar terkesan pada dirinya atau tidak?

Ini kerana secara zahirnya dia menahan diri daripada makan dan minum. Tetapi, menahan diri daripada segala rasa mazmumah dan hawa nafsu melakukan sesuatu yang dilarang itu hanya Allah yang maha mengetahuinya.

Manusia lain tidak akan nampak betapa susah dan peritnya orang yang berpuasa untuk menahan segala nafsu yang berombak di dalam jiwanya.

Nafsu yang sering menyasarkan dari jalan yang benar. Nafsu yang sering mengucarkan emosi. Nafsu yang sering ingin manusia mengikuti segala perasaannya, sewenangnya.

Oleh kerana berpuasa, cuba menahan sedaya upaya sebab utama menyakini dan percaya Allah menyaksikan segalanya.


Dari situlah akan lahirnya sebuah takwa. Nilaian dari erti puasa yang bukan sekadar fizik, tetapi latihan rohani. Puasa adalah perjuangan untuk menjadi hamba yang lebih baik.

“Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan apa pun kecuali rasa lapar dan dahaga. Dan banyak orang yang melakukan solat malam tak mendapat apapun selain sekadar bangun malam.” (HR Darimi)



--------

Jam-jam tergelap. Ada maksudnya yang tersirat.

Pekerjaan sehari-hari di waktu siang, sering melalaikan manusia. Tenggelam dengan urusan dunia yang tidak pernah kehabisan.

Kerana itu, masa yang benar-benar ada untuk menyepi bersama Allah adalah di jam-jam tergelap.

Waktu sepertiga malam di saat semua mata lena dibuai mimpi. Di saat banyak mata tertidur nyenyak tanpa sedar ada Tuhan yang sedang menunggunya.

“Tuhan kita turun selama sepertiga malam terakhir ke langit pertama dan berkata,

‘Apakah ada yang berdoa kepadaku kemudian Aku kabulkan?

Apakah ada yang meminta kepadaku, untuk Aku berikan?

Apakah ada yang memohon ampunanku, untuk Aku ampunkan?’” (HR Bukhari dan Muslim)


Allahu ya Kareem. Allah selalu menunggu hambanya. Setiap malam.

Tetapi di bulan ramadhan penungguan Allah lebih istimewa. Kerana janji Allah yang ingin menghadiahkan lebih berganda-ganda pada hamba yang meminta kepada-Nya.

Allah ingin makbulkan semua permintaan dan doa. Tinggal sahaja, perlu yakin dan percaya. Minta dan terus minta tanpa putus asa.

Penungguan Allah yang lebih special itu, bersama pancaran sinar cahaya rahmat melimpah ruah, dari kaki langit hingga ke hujung bumi.

Penantian Allah yang lebih indah, dengan tawaran jutaan keampuanan dan pembebasan dari api neraka.

Tidakkah diri teruja? Tidakkah itu sangat special dan teristimewa?

Dan terselit pula satu malam, Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Ada yang merasakan malam itu mustahil untuk ditemukan. 

Jika setiap malam cuba berusaha bangun dan mendekati Tuhan, takkan Allah tidak merasai ketulusan dan keikhlasan hamba itu? Tidakkah Allah Maha Pemurah pasti memberikan ruang untuk bertemu dengan keajaiban itu?

Semuanya terpulang atas diri sendiri. Jangan tunggu masa untuk berubah, tetapi ambillah kesempatan dan ruang ini untuk bergerak pada perubahan.

Sungguh hanya Allah maha mengetahui niat murni setiap orang.

Apakah ada yang jauh lebih indah dari segala amal yang cuba dikerjakan pada bulan ini? Tadabbur kitab-Nya, bersedekah, berbuatlah pelbagai kebajikan yang lain seiring dengan puasa.

Itulah pembinaan takwa yang kukuh. 

*Tuhanku. Benar-benar ingin menyepi di sini sendiri. Di jam-jam tergelap dengan-Mu*



-------

Duhai Allah, muliakan daku dengan sinar keberkahan Ramadhan. 

Muliakan daku dengan Kau sudi menerima segala amalan meskipun serba kecacatan. Muliakan daku dengan Kau sudi untuk memandang dengan sepenuh kasih dan sayang.

Tuhanku, daku akui segala dosaku. Ku akui segala kejelekanku. Keburukanku, keaiabanku. Sungguh Kau Maha Tahu satu-satu. Kau tahu kelemahan dan kekuranganku. Kau tahu kejahatan hawa nafsuku.

Terima kasih ya Allah kerana sudi tutup ketat segala keaibanku di hadapan sekalian manusia. Sungguh, jika mereka tahu sudah tentu mereka memandang hina dan jijik padaku atas segala dosaku.

Namun ku tahu Kau tidak begitu. Ku tahu Kau tidak pernah pandang buruk seperti itu. Apatah lagi untuk Kau pandang penuh kebencian. Kerana betapa rahmat cinta-Mu mendahului segala kemurkaan-Mu.

Terima kasih ya Allah atas kasih sayangMu yang selalu melimpah ruah. Yang tak pernah jemu mencinta. Yang tak pernah jemu memberi ruang dan waktu untuk ku selalu kembali padaMu. 

Yang selalu sudi untuk membuka pintu ampunan tatkala semua makhluk menutup pintu kemaafan.

Terima kasih ya Allah atas segala nikmatMu yang masih sudi tercurah. Untuk setiap nafas yang masih terhela. Untuk setiap nyawa yang Kau masih ingin sudi pinjamkan. Meski banyaknya kelalaianku daripada ketaatan.

Namun bantulah daku untuk terus berusaha menjadi hamba yang taat padaMu. Menjadi sebaik-baik hamba walau ku tahu telah banyak seburuk-buruk amal ku selalu hadapkan pada-Mu. 

Allahurabbi ya Rabbul Izzati. Jika bukan kerana sifat-Mu yang Maha Rahman dan Maha Rahim, sirnalah diri, hancurlah segala mimpi. Mohon Kau sentiasa sudi mengampuni…


Amin ya Rabbalalamin.

* Hari lahirku 2 ramadhan, target untuk menghadapNya dengan hati yang sudah mampu dicuci sebersihnya *



: hikmatul islam         
: 1Ramadhan 1436H
: 0715am

12 April 2015

Kenapa Kita Berdoa?




Bismillahirrahmanirrahim.

Entry tentang DOA.

Tajuk tampak ringkas, sedang ia sangatlah bermakna untuk ditenung kembali.

Seringkali, atau terkadang hati akan mengeluh kecil. “Aku sudah berdoa, tapi kenapa Allah belum kabulkan?”

Itu persoalan yang kerap dilontarkan. Mungkin ini adalah jawapan untuk kita nilai dalam-dalam kembali ‘nilai doa’ kita.

Dan menilai kembali siapa Sang Penjawab Doa.




Petikan Kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi Jumaat (26 Februari 1996)


“Kenapa kita dikehendaki berdoa atau kenapa kita dikehendaki memanggil Allah?”

Sekurang-kurangnya ada dua sebab.

Pertama, kerana di tangan Allah ada neraka. Kerana itu, kita merasa gerun dan takut kepada-Nya.

Kedua, kerana di tangan Allah ada syurga. Kita juga merasa kasih, hormat serta PERLU kepada-Nya.

Oleh kerana di tangan Allah ada aspek baik dan buruk, senang dan susah, maka tidur kita pun tidak boleh terlalu lama. Kita terpaksa bingkas bangun di waktu malam, melakukan pelbagai ibadah termasuklah solat, berdoa dan berzikir.

Kita lakukan kesemua itu kerana BERKEHENDAKKAN sesuatu dari Allah.

Bila kita teringat kepada neraka, maka kita pun meminta Allah supaya menjauhkan kita dari neraka. 

Bila kita teringat kepada syurga, maka kita pun meminta Allah supaya mendekatkan kita dengan syurga dan menjadikan syurga itu harta pusaka kita.

Kepada orang-orang yang mempunyai pandangan demikian di dalam hidup mereka, maka dengan sendirinya mereka tidak sedap tidur atau tak sedap duduk. Duduk begini tak kena. Duduk begitu tak kena.

Dan inilah sifat orang mukmin. Justeru itu, maka amatlah MUSTAHAK kita mengingati Allah yakni berdoa kepada-Nya.






Memanggil Allah

Bila kita berdoa, beerti kita memanggil Allah.

Mengapa kita memanggil-Nya? Kita memanggil Allah kerana kita LEMAH. Sedangkan Allah MAHA GAGAH, lebih dari segala-galanya.

Takkan kita nak panggil orang kalau barang kita sudah lengkap. Takkan kita kita nak minta duit dengan orang kalau kita sudah kaya raya. Takkan kita nak panggil doktor mengubati jika kita sihat dan segar. Begitu juga kalau kita sudah mempunyai ilmu yang cukup, takkan kita nak panggil orang mengajar kita pula.

Bila kita panggil doctor, panggil orang itu, orang ini, beerti kita masih lagi kekurangan. Manusia ini memang sejenis makhluk yang SERBA KEKURANGAN atau SERBA TIDAK ADA. 

Manakala Allah pula suatu zat yang serba lengkap. SERBA LENGKAP. Justeru itu, banyak benarlah benda yang kita hendak minta dengan Allah.

Oleh itu, amalan berdoa ini hendaklah diamalkan SEPANJANG MASA.  Janganlah berdoa sewaktu selepas sembahyang sahaja. Selepas turun ke tanah, doa pun hilang lesap entah ke mana.

Zat yang serba ada hanya ALLAH.

Maka, berdoalah, mintalah dengan Allah setiap masa dan di mana jua. Di atas rumah, di atas masjid, di pejabat, di atas kereta atau di mana-mana sahaja. 

Pendek kata, di mana kita berada dan pada bila-bila masa jua, kita hendaklah berdoa.

Dan itulah tanda kita BERABDI kepada Allah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berdoalah itu tanda kamu merendah diri, tanda kamu berabdi kepada Allah.”




Allah Tidak Tolak Doa Hamba-Nya

Berdoalah kepada Allah setulus hati.

Allah tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya kerana Allah itu sendiri bersifat pengasih, pemurah dan pendidik.

Tugas kita berdoa. Allah berjanji akan memustajabkan doa hamba-Nya. Cuma, bilakah doa kita itu akan ditunaikan-Nya, itu tidak dapat kita pastikan.

Tetapi, apa yang pasti ialah penunaian Allah itu boleh jadi sekarang, iaitu semasa kita hidup di dunia ini atau pun ditangguhkan hingga ke alam akhirat.

Atau, kadang-kadang Allah tidak beri benda yang kita minta. Sebaliknya, Allah beri benda yang lain, benda yang lebih mustahak bagi kita.

Atau boleh jadi ia tidak dimakbulkan kerana kita minta benda yang boleh bawa kepada kemudaratan. Maka wajarlah doa itu tidak dimakbulkan.

Sesiapa yang pintu hatinya dibuka oleh Allah untuk berdoa, bermakna Allah buka pintu langit untuk orang itu memperolehi rahmat Allah. Rahmat itu bermakna kasihan belas.

Bila Allah taala menaruh rasa kasihan belas terhadap kita, terlebih dahulu Dia membuka pintu hati kita untuk berdoa kepada-Nya.

Rahmat ini sebenarnya berada di langit. Untuk membolehkan pintu langit terbuka bukan senang. Terlebih dahulu pintu hati mesti terbuka untuk berdoa.

Doa ini ibarat anak kunci. Bila kita berdoa bermakna anak kunci di tangan kita pula mulalah berpusing. Berikutnya pintu langit pun turut terbuka.

Jadi, bila sahaja kita rasa hendak berdoa, kita hendaklah bersyukur. Mujurlah kita rasa hendak berdoa. Tandanya pintu langit akan terbuka buat kita.

Bila pintu langit terbuka, apa yang kita akan dapat? Kita dapat rahmat. Tengok, Allah tidak kata kita boleh pitih (duit). Tidak. Kita yang berfikiran sejengkal ini merasa sangat masyhur kalau boleh duit tanpa memikirkan selepas mendapat duit itu, macam-macam bala boleh berlaku kepada diri kita.

Sebenarnya benda yang paling mustahak dalam hidup kita adalah beroleh rahmat. Samada dalam bentuk wang, keshatan, peningkatan iman, anak-anak yang soleh, jiran yang baik adalah rahmat.

Dan rahmat adalah benda yang kita tidak akan dapat tanpa terlebih dahulu BERDOA.” (TGNA)




Sebab Doa Tertolak

Pertama, kita berdoa, tetapi tidak menyakini 100 peratus doa itu akan dimakbulkan.

Rasa RAGU-RAGU itu masih ada. Bila ragu-ragu, itu tanda kita seolah-olah meragui kekuasaan Allah yang Maha Kaya, Maha Pemurah. Itu kecacatan doa yang ada pada kita.

Kedua, kerana ‘tersekat’ dengan DOSA yang ada.

Allah sebenarnya sudah ingin memberikan pada kita, tapi kerana dosa maksiat yang kita buat, Allah tangguhkan dahulu sehinggalah kita bertaubat kepada-Nya.

Barulah akan lahir ikhlas, kerana ikhlas itu sendiri bermaksud suci bersih tanpa bercampur dengan mana-mana kotoran.

Ibarat kita tadah baldi yang sangat hitam legam, busuk dan kotor lalu kita minta air yang bersih dari tuan pemberi air. Tuan itu mungkin akan bagi air tersebut, tapi air itu takkan jadi air yang cantik.

Jika Allah berikan juga apa yang kita mahukan itu dalam keadaan kita bermaksiat kepada-NYA, dapat juga tapi berhatilah-hatilah ia bukan seindah seperti yang kita sangka.


Penutup

Allah sedang menangguhkan untuk dikabulkan doa itu pada saat yang TEPAT.

Kita takkan pernah tahu bila saat yang tepat itu, sehinggalah ia berlaku barulah kita nampak hikmahnya.

Tidak semestinya ia akan berlaku kepada kita sendiri. Mungkin ia berlaku kepada orang lain, tetapi kita nampak hikmah kenapa Allah menangguhkan doa itu untuk kita.

Contoh, kita sangat berimpian untuk kahwin awal. Tetapi Allah lagi menangguhkannya.

Seorang sahabat kita bernikah awal. Tetapi, dalam keadaan pengurusan hidupnya agak ‘tunggang-langgang’ untuk menyeimbangkan tugasannya sebagai isteri dan sebagai seorang pelajar.

Kita sebagai pelajar yang bujang ini teruslah fokus pada ilmu, walau kadang hilang focus tengok orang lain ‘sweet’ dengan pasangan muda yang bernikah time belajar.

Sweet untuk mereka, mungkin ‘sour’ untuk kita. Kerana dimensi bahagia itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Ujian pasti ada, cuma berbeza-beza.

Oleh itu, bersangka baiklah dan teruskan berdoa. Hanya orang kafir yang sombong untuk berdoa, dan orang yang kufur selalu berputus asa dengan rahmat-Nya.

Moga itu bukan kita. Teruslah berdoa dengan penuh pengharapan kepada-Nya. 

Sekian.



“Jika aku tahu saat itu permintaanku akan dikabulkan,

Tentu sahaja akan ku tambah dan tambah lagi doaku

Agar lebih banyak permintaan itu akan terkabul.

Tuhanku maha mengetahui, sedang aku tidak pernah tahu

Apa yang baik dan buruk untuk masa depanku

Apa yang senang dan susah untuk masa kelakku

Kerana itu, janganlah bosan dan jemu

Terus meminta, merintih dan merayu

Kepada DIA yang Maha Tahu.”



: Hikmatul Islam
: 12042015

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...