21 January 2012

Mencintai Ayat-ayat Cinta










Bismilahirrahmanirrahim…



Pagi jumaat hari ini matahari bersinar malu di sebalik mendung awan.



Usai solat subuh, perlahan-lahan ku alunkan kalimah agung Tuhan, bersama-sama kicauan burung yang turut berzikir menyebut namaNya, juga sekalian makhluk lain juga bertasbih kepada Sang Pencipta.



“Alhamdulillah…selautan kesyukuran kepadaMu Ya Ilahi kerana masih bisa bernafas sehingga detik ini…masih diberi peluang untuk terus menjadi hambaMu di sini…”

Doa dipanjatkan dalam desah nafas yang tenang.



Selesai berteleku di atas hamparan sejadah rindu itu hampir setengah jam, pakaian solat disangkut. Kemudian diambil pakaian yang sudah hampir 3 hari tidak berbasuh, memasukkan ke dalam mesin kain yang disediakan.



Sambil itu, ku bersarapan ala kadar dengan roti sandwich dan air milo. Ubat juga tidak lupa untuk ditelan. Kemudian, dapur dikemas. Habis bahagian dapur, ku sapu pula ruangan tamu.



Jam menunjukkan 8.30 pagi. Sebahagian besar penghuni rumah sewa Barokah masih lena diuit mimpi. Kebiasaan hari minggu seperti ini mereka mengambil peluang merehatkan diri setelah hari-hari kuliyah disibukkan dengan kelas dan pelbagai aktiviti yang lain.



Kain di mesin basuh masih berputar. Ku siapkan diri kemudian berwuduk, ingin solat dhuha 2 rakaat. Tidak mahu melepaskan peluang mengetuk pintu rezekiNya yang terbuka luas saat ini.



Masa bergerak terasa amat pantas. Tanpa ku sedari, jam sudah hampir ke 9.30 pagi.



Mesej masuk ke dalam inbox. Ada 2 pesanan dari adik rumah sewa ku. Lalu ku buka kedua-duanya.



“Salam. Kak, ceramah kak maryam ‘finalis Solehah’ start jam 9.15 pagi. Tapi nie belum bermula.”



“Kak, datanglah cepat dah start dah nie.”



Ku lihat jam di dinding, ternyata ku sudah lewat. Pantas ku ambil jubah dan gosok. Setelah siapkan diri dengan bedak ala kadar di pipi, ku susun langkah kaki laju menuju ke dewan utama.



Bermula dari semalam perasmian bagi program “Malam Titian Kasih” anjuran HEWI (KUIN) diadakan selama 2 hari, khusus untuk para mahasiswi tahun satu dan program tersebut hanya untuk muslimat.  Semalam telah diisi dengan pelbagai acara yang menarik serta ceramah. Semuanya hanya untuk pengisian rohani dan pemantapan jati diri seorang muslimah.


Ku tiba di dewan jam 9.45. Slot dari finalis ‘Solehah’ kak yam dah hampir tamat, tak sempat ku lihat penyampaian penuh darinya. Agak kecewa juga dengan keterlewatanku yang menyebabkan terlepas ruang dan peluang.



Majlis berakhir dengan doa rabitah dan salam wida’. Bersemi kuntuman wajah adik-adik yang masih dapat tersenyum meskipun nampak kepenatan mengikuti program sejak dari semalam.



Berakhir majlis, ku atur tapak kaki menuju ke surau. Al-Quran berada kemas dalam genggaman. Hati mengira-ngira bercadang mahu menghafaz surah hafalan sebelum pulang ke rumah sewa.



Semasa kaki melangkah masuk ke dalam surau, telingaku menangkap bunyi suara seorang ikhwan yang melagukan bacaan al-Quran.



Ku duduk perlahan-lahan di suatu sudut. Paling hujung, sambil mengamati suara ikhwan tersebut yang masih mentadabbur al-Quran.



“Subhanallah, merdunya suara yang mengalunkan kalimahMu”, hati berkata-kata keseorangan.



Semakin ku amati bait-bait ayat al-Quran yang dibacanya, semakin syahdu menjentik rasa di sanubari. Hatiku jadi haru seketika, tanpa sedar air mata jadi menitis dengan sendirinya…



Sungguh, mendengar kalamNya terasa sebuah ketenangan dan kedamaian yang tidak dapat diungkapkan dengan bait-bait kata.



Dalam keasyikan mendengar alunan suara merdu itu, tiba-tiba ku teringatkan janjiku untuk bertemu dengan seorang adik usrah.



“Ya Tuhanku…macam mana boleh jadi lupa nak jumpa dia kat dewan tadi…”



Pantas tanganku menaip mesej.



“Salam. Hasanah kat mana nie? Dah balik ke? Boleh kita jumpa kat surau?”



Mesejku berbalas.



“Wassalam. Tak balik lagi kak. Nanti saya pergi ke surau ok.”



Adik usrah ini sebenarnya belum lagi ku jumpa. Belum lagi bertatap mata dengannya. Baru sahaja ku terima amanah sebagai naib naqibah. Jadi, pertemuan ringkas kami hanya untuk saling ta’ruf serba sedikit.



Memandangkan 4 orang yang lain tidak dapat hadir, hanya Hasanah sahaja yang dapat datang ke program tersebut, maka ku ingin positif.



Seketika, muncul dari pintu surau seorang adik yang bertudung labuh putih dan berjubah hitam memandang keliling, matanya mencari-cari orang yang bermesej dengannya sebentar tadi.



Ku angkat wajah yang ditunduk semenjak dari tadi kemudian memandang ke arahnya. Mungkin inilah Hasanah. Lantas ku panggil namanya separuh berbisik, bimbang jika panggilanku menggangu ketenteraman pelajar lain yang berada di dalam surau.



Sambil tersenyum, dia datang ke arah ku lantas tangan kami bertaut. Pipi dicium.



Kami berta’ruf serba sedikit. Saling bertanya latar belakang dan salasilah diri. Senyuman di bibir tidak lekang, kami jadi  cepat mesra biarpun baru berkenalan seketika.



Habis berta’ruf, kami bertukar-tukar pendapat pula.



“Akak, kenapa ambil usuluddin? Tak payah ke? Saya tanya pendapat kebanyakan mereka yang ambil kos nie cakap susah dan berat nak hafal. Sedangakn syariah pula ‘simple’ je.”



Ku ukir senyuman. Kerap benar soalan seperti ini ditanya oleh adik-adik.



Lalu ku terangkan satu persatu. Dari pengalamanku sendiri dan apa yang ku ‘dapat’ sebenarnya dari belajar kos nie. Setelah panjang lebar mendengar peneranganku, dia mengangguk-anggukan kepala, tanda mengerti.



Sekarang giliranku pula yang bertanya kepadanya.



“Hasanah, boleh kongsi dengan akak tips untuk mengingati hafalan Quran? Kenapa ye kadang-kadang susah kita nak ingat balik apa yang kita telah hafaz dahulu. Macam mana cara kita nak sentiasa kekalkan hafalan Quran?”



Ku bertanya kepadanya tanpa sekelumit rasa segan.



Biarpun usia kami berbeza namun adik berusia 19 tahun yang berada di hadapanku ini bagiku bukan calang-calang orang. Bergelar ‘hafizah’ ketika dia berada di tingkatan 5. Berjaya menghabiskan 30 juzuk dalam masa 1 tahun 3 bulan. Manakala kakaknya pula berjaya menghabiskan hafazan dalam masa 7 bulan. Subhanallah…!



Hatiku jadi bertasbih tatkala memandang wajahnya. Putih bersih, bersinar-sinar nur iman, biasan dari hafalan al-Quran. Dia juga nampak tenang dan tawaduk. Sekali lagi bibirku bertasbih. Benar-benar rasa kagum memenuhi ruang hati.



Kagum kepada Pencipta yang Maha Besar, yang memberikan kekuatan kepada hamba-hambaNya untuk menghafaz ayat-ayat cintaNya.



Sungguh, bukan mudah untuk bergelar seorang ‘hafizah’. Dan bukan mudah juga untuk mengingati kalam kitab-Nya yang tersimpan seribu satu rahsia tentang maslahah kehidupan. Petunjuk dan cahaya ke arah yang benar. Mukjizat teragung yang DIA anugerahkan kepada Rasulullah saw dan umat Islam.



“Tips nak hafal al-Quran banyak kak. Antaranya, mula-mula kita baca ayat tersebut banyak kali, baca sahaja dahulu tanpa menghafalnya. Sekurang-kurangnya baca 40 kali ayat tersebut dan dengan sendirinya memori ingatan kita akan mengingatinya.”



“Nak kekalkan hafalan pula adalah dengan cara mengulang dan membacanya setiap hari. Sebaiknya, kita praktikkan di dalam setiap solat fardu.” Hasanah menerangkan satu persatu.



“Kak, al-Quran nie sebenarnya semakin kita mendekatinya, semakin ia merapati kita. Semakin kita mengejarinya, maka seribu kali ia berlari mendapatkan kita. Tidak akan ada alasan susah atau sukar untuk menghafalnya jika diri kita sendiri benar-benar mahukannya.” Hasanah menambah lagi.



Benar, benar, ku mengganguk-angguk tanda bersetuju dengan kalamnya. Teringat satu hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini.”



Ternyata pertemuan yang cuma sejenak masa itu memberikan ‘pulangan’ yang sangat berharga.



Dapat mengutip mutiara ilmu yang begitu mengesani hatiku. Selama ini mungkin ku hanya punyai hasrat untuk menjadi ‘hafizah’ namun sekian lamanya hasrat itu hanya terpendam jauh di sudut ruang hati.



Kini, ku tidak mahu terus lena bermimpi lagi. Akan berusaha sedaya upaya untuk mencintai ayat-ayat cintaNya.!



~sekian, sekadar coretan perkongsian. Salam seindah pagi jumaat, semoga beroleh manfaat~





Rasulullah s.a.w bersabda:


“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”




~Cuma ingin redhaMu~

: hikmatul islam
: 21012012
: 0500 pm

3 comments:

  1. Assalamualaikum..

    Alhmdulillah..suka ana membaca kisah enti..jadilah pemudi harapan ummah..

    moga sentiasa indah dlm dakpan ksh sygNya.

    ReplyDelete
  2. sgt best..sy bru je jumpa blog neyh through iluvislam blogspot..:)pendekatan y cukup berhikmah:)

    ReplyDelete
  3. Srikandi Permata: wa'alaikumusslm wbr...alhamdulillah wa syukru illah...terharu sy mnerima untaian doa dari ukhti..insya allah, smoga ukhti juga sama, mnjadi muslimah solehah dan pejuang bg agamaNya...amin ya rabb... =)

    nor ashimah: subhanallah ukhti..puji-pujian itu hnya slayak dkembalikan kpdNya...syukran atas skongan dberikan..i'allah, smoga kita sma2 mndpata hikmah drNya... ^^,

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...