22 March 2013

"Dialog Orang yang Sudah Meninggal Dunia?"






Assalamualaikum wbr...

Kaifa imanukum ya ikhwan wal akhawat?

Saya doakan semoga iman kalian semakin meningkat, semakin menyubur, semakin mewangi, semakin kuat, insha allah dalam rahmat dan jagaan Allah swt.

Tetapi... bagaimana andai iman itu sebaliknya?

Adakah ia semakin melemah, semakin pudar, semakin sirna, semakin kelam dan gelita?

Jika begitu, apa kata kalian singgah sekejap di blog ini?

Mari, ingin saya bercerita satu kisah benar kepada kalian.

Ini kisah yang nyata, bukan cerita yang direka-reka.

Jika kita biasa membaca novel dan buku-buku ilmiah, hari ini mari kita cuba tadabbur bersama sebuah kisah dari kitab Allah yang maha hebat dan agung kalamNya, tidak terbanding dengan kalam cerita manusia.

Semoga iman yang ‘less’ itu dapat ‘dicharge’ kembali selepas meneliti kisah ini, insha allah...




Tatkala saya sedang asyik menghafaz Surah Al-A’raf, juzuk kelapan, tiba-tiba saya terpana.

Terpegun apabila membaca maksud terjemahannya bermula ayat 35 hinggalah ayat 53.

Nak tahu tak apa kisahnya?

Ia kisah bicara Allah dengan manusia.

Bukan dengan manusia masih hidup tetapi dengan manusia yang sudah meninggal dunia.

Mahu tahu dialognya seperti apa?

Mari, kita hayati kisahnya...


Allah berkata kepada manusia di dalam Surah Al-A’raf bermula ayat:

[35]
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


[36]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.


Allah bahagikan di sini, ada dua jenis golongan manusia.

Satu, hamba yang bertakwa. Satu lagi, hamba yang derhaka.

Orang yang bertakwa itu sifatnya adalah sentiasa memperbaiki amalannya kepada yang lebih baik, maka mereka ini tidak merasa bimbang dan resah serta jauh pula dari rasa sedih kerana Allah sentiasa menjaga dan melindungi mereka.

Manakala orang yang derhaka, sifatnya adalah menafikan ayat-ayat Allah serta sombong dan angkuh.

Cuba tengok apa pertanyaan malaikat kepada mereka yang derhaka nie?


[37]
Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): “Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?” Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”, dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.


Lalu, apa yang jadi setelah mereka yang derhaka itu sendiri mengakui kesalahan dan pendustaan mereka?


[38]
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.


Tengoklah mereka, saling menyalahkan sesama mereka yang zalim. Padahal sama sahaja balasan bagi ketua yang menyuruh dan pengikut yang mengikuti suruhan ketuanya itu...


[39]
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”. (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.






Perhatikan siapakah ‘orang-orang yang menerima azab seksa’ di sini yang Allah maksudkan? Macam mana pula jenis seksaan Allah kepada mereka?


[40]
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.


[41]
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).


Allahurabbi ya karim....Sungguh dasyat sekali balasan Allah sediakan bagi mereka yang ingkar padaNya. Semoga bukan kita yang termasuk orang-orang yang zalim itu...

Dan, bagaimana pula keadaan orang-orang yang bertakwa kepada Allah? Apa ganjaran yang Allah berikan pada mereka? Mari tengok dialog Allah yang Maha Penyayang dengan hambanya yang beriman.


[42]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.


[43]
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.


Subhanallah.! Tidak terperi nikmat yang Allah anugerahkan buat mereka yang bertakwa. 

Betapa mereka sangat bersyukur, dan tidak pula menyangka bahawa ganjaran syurga yang terlalu besar Allah sediakan seperti ini buat mereka.

Benar sekali ungkapan ahli syurga, jika bukan kerana petunjuk dan hidayah Allah, pastinya manusia tidak akan mampu pun untuk berbuat kebaikan dan kebajikan.

Dan, bukan kerana amal soleh semata-mata menjadi asbab manusia masuk syurga, tetapi kerana rahmat Allah yang Maha Luas buat hambanya yang benar-benar patuh dan tunduk pada perintah Allah.






Sekarang, mari kita susuri pula dialog seterusnya percakapan ahli syurga dengan ahli neraka...


[44]
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.


Siapakah yang Allah maksudkan orang-orang yang zalim itu? Perhatikanlah betul-betul, adakah ciri-ciri itu ada pada kita?


[45]
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.


Lihatlah dunia akhir zaman ini... 

Dunia yang penuh dengan fitnah dan kezaliman. Manusia bila tidak beriman dengan Allah, itu sudah satu dosa. 

Bertambah lagi dosa, apabila mereka turut menghalang manusia yang lain dari kebenaran.

Perhatikan lagi sambungan dialog antara ahli neraka dan ahli syurga ini....


[46]
Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok Al-A’raaf (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.


[47]
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.


Betapa kekayaan dan ramainya jumlah pengikut orang-orang yang menderhaka kepada Allah semasa di dunia dahulu, sedikitpun tidak dapat membantu mereka menghindari azab seksaan Allah.


[48]
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu”.






Mereka yang zalim ini juga pernah mengejek-ejek orang-orang yang beriman di dunia, dengan itu pada hari pembalasan mereka menjadi orang yang sangat rugi dan hina.


[49]
(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ ”


Sehinggalah mereka ahli neraka cuba meminta belas ehsan dari ahli syurga, tetapi adakah ehsan itu buat mereka?


[50]
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.


Sangat jelas keadaan hinanya orang-orang kafir, betapa mereka meminta-minta daripada ahli syurga tetapi sedikit pun tiada sisa rahmat lagi buat mereka.

Lalu, Allah pula berkata dengan tegasnya kepada mereka, kerana apa mereka diseksa sedemikian rupa?


[51]
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.


Itulah asbabnya.

Mereka orang kafir semasa di dunia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan dan senda gurauan.

Mereka pula hanyut dengan arus kenikmatan hawa nafsu di dunia serta melupakan akhirat.

Sesungguhnya, amat pantas dan amat wajar sekali Allah memberikan balasan sedemikian rupa kepada mereka.


[52]
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.


Padahal Allah swt telah mendatangkan sebuah petunjuk yang nyata, kitab Al-Quran kepada manusia tetapi sayangnya masih lagi manusia menafikan kebenaran Allah...

Akhirnya, adakah penyesalan mereka berguna lagi di akhirat kelak?


[53]
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.


Untuk kembali semula ke dunia saat itu, adakah mungkin? Pasti, mustahil sama sekali.

Sesungguhnya, tiada lagi ruang dan peluang Allah berikan untuk penyesalan hari akhirat.




Oleh itu, marilah kita semua merenung kembali amalan kita. 

Apakah amal yang dilakukan benar-benar termasuk kalangan orang yang beriman atau orang yang derhaka padaNya?

Tanyakan juga pada diri kita, adakah kita juga serupa dengan mereka yang zalim? Nauzubillah...

Jangan sampai kita tertipu dengan tipu daya syaitan laknatullah yang sentiasa ingin menyesatkan anak Adam di dunia.

Takutlah kepada hari pembalasan yang maha dasyat bagi orang-orang yang ingkar.

Juga bagi orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, mereka yang tidak beriman kepada perkara yang ghaib serta menolak hukum dan ajaran Allah, maka nantikanlah azabnya sepertimana yang dikisahkan oleh yang Maha Hakim dalam surah ini.

Untuk kesimpulan dari saya yang sangat cetek dan dangkal ilmunya berbanding ilmu Allah yang Maha Luas, semoga kita semua sentiasa termasuk di kalangan orang yang beriman.

Semoga, Allah kurniakan petunjuk dan hidayah kepada jalan yang benar.

Semoga, kita termasuk di kalangan pengikut alim ulamak yang benar.

Semoga, kita termasuk di kalangan hamba yang sentiasa thabat dan beriman dengan perkara ghaib.

Hingga hujung nyawa, insha allah...





Untuk kita,
Yang bernama manusia.

Selagi nyawa di kandung badan
Selagi jasad masih dipertanggungjawabkan
Selagi itu kita adalah khalifah
Yang memikul amanah Allah
Yang berusaha menegakkan syiarNya
Yang berusaha menurut ajaranNya
Menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran

Duhai Tuhan semesta alam,
Sentiasa pimpini langkah kaki kami
Pada arah jalan lurusMu
Sentiasa pegang hati kami
Untuk menyakini dan mempercayai hari akhirMu
Mempercayai syurga nerakaMu
Menyakini adanya pembalasanMu

Hingga harapnya,
Kembali kami dengan sebenar-benar iman
Iman yang yakin dan benar
Iman yang kukuh dan teguh
Amin ya rabbana...



: hikmatul islam         
: 23032013
: 1030 am 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...