12 July 2013

Puasa yang Cantik: Sabar





Doa dingin bersama angin syahdu 2 Ramadhan 1434H.


"Allahu ya Azim, ya Qawieyul Hakim, ya Azizul Jabbar.

Dengan kuasa kudrat-Mu yang maha agung lagi maha gagah,
Dengan ujian dan dugaan yang semakin hebat melanda kami,
maka dengan itu perhebatkanlah juga iman kami menghadapinya.

Tiada Tuhan melainkan Engkau yang disembah.
Maha Mengetahui segala yang terahsia antara di langit dan di bumi,
Maka kami serahkan segala urusan ini kepada-Mu ya Rabbi.

Berikan kami makrifat-Mu, anugerahkan kami hikmat itu.
Untuk kami terus berharap pada-Mu yang satu...

*Hasbunallahi wanikmal wakil*


Berteleku.

Di hamparan sejadah itu, terduduk lemah seorang hamba yang hina.

Seorang hamba yang kerdil. Tersangat kerdil.

Untuk jiwa yang telah hilang dan penasaran, maka tulisan ini dicoret tika hati itu seperti itu.

Kerana diriku lemah, maka ku meninta ini untuk kuat.

Kerana diriku hilang semangat, maka ku menulis ini untuk mencari hikmat.

Mencari sebuah kekuatan di sebalik kekuatan-Nya. Semoga Dia sudi untuk memberikan kekuatan itu, meskipun ia cuma sedikit tersisa.

Merenung dan terus merenung mencari titik hikmah di balik sebuah ujian yang datang.

‘Ikhlas lillahi Taala’, sungguh bukan mudah untuk hati memberi ikhlas tatkala ujian datang tanpa diduga.

Ujian yang datang tak pernah diundang, tak pernah dijangkakan, itulah ujian yang bisa menggetarkan iman.


'Kerana keikhlasan seorang hamba itu sebenarnya, 
terletak sebanyak mana keyakinannya pada yang Maha Kuasa...'

*Tuhanku, berikan keyakinan yang tiada ragu, 

agar ikhlas itu terus terpadu untuk-Mu*





Doa dan terus berdoa.

Doa itu bukan suatu hal yang enteng.

Doa itulah yang menjadi nadi cintaku selama ini. Penghubung dengan Dia, Maha Samiul Alim.

Di satu sudut, daku bersyukur. Kerana DIA memberikan kelemahan-kelemahan ini.

Kerana DIA, sentiasa memberikan kedoifan dalam diri ini.

Jika bukan kelemahan dan kekurangan dari ujian ini, mungkin sahaja ku tidak akan merasai manisnya sebuah air mata.

Air mata ini, yang selalu ada.

Air mata ini, yang selalu ada untuk dicurahkan di hadapan-Nya.

Air mata ini, yang senantiasa setia untuk dipersembahkan di hadapan-Nya.

Kerana ratap tangis, sebak dan sendu ini bukan untuk manusia. Tapi, kerana air mata ini ingin menjadi saksi kekerdilan diri seorang hamba yang hina.

Seorang hamba yang seringkali menangis dan menangis, bukanlah itu beerti diri manja.

Bukan pula tangisan itu beerti hati tidak redha dengan apa yang Allah duga.

Namun, kerana tangisan ini untuk menundukkan diri kepada-Nya dengan sebenar-benar ketundukan ‘jiwa seorang hamba’.


“Orang yang jarang menangis di hadapan Allah, maka dia tidak akan pernah tahu seperti apa nikmatnya tangisan itu.”


Sungguh nikmat bila dapat menangis sepuas-puasnya di hadapan Allah, bukan di hadapan manusia.

Sungguh nikmat bila dapat meratap merayu hanya kepada Maha Pencipta, bukan kepada manusia.

Kerana tangisan itulah yang akan membawa kepada erti sebuah ‘khusyuk’.

Khusyuknya sebuah hati, terpandu dan terfokus hanya kepada-Nya.

Hati akan menjadi khusyuk, kerana terlalu ia memanggil-manggil nama-Nya.

Hati menjadi semakin khusyuk, kerana terlalu ia meminta-minta dengan sekalian rahmat-Nya.

Khusyuk yang membawa seorang hamba, benar-benar ‘bertemu’ dengan Tuhan yang menciptakannya.

Rasa khusyuk itu indah, meski hati dan jiwa sebenarnya berduka.


“Ya Rabbi...saksikanlah biar air mata ini terus berlagu untuk-Mu...Semoga menjadi mahar penghapus dosa-dosaku, semoga menjadi mahar perlindungan dari pedihnya seksa api neraka-Mu, dan semoga menjadi mahar hantaran untukku melangkah ke syurga-Mu...”





Hari ini, 3 Ramadhan 1434H. Sudah 3 hari Allah izin untuk berpuasa.

Tanpa sedar, entah bila ‘surat cinta dari Allah’ itu telah masuk 7 Juzuk.

Mungkin dek kerana ku terlalu asyik memerhatikan ayat-ayat indah itu, meresap lembut ke relung hati bagai air yang sejuk lagi menyegarkan iman.

Iman yang sudah ‘sakit’ hampir seminggu yang lalu itu cepat benar kebah bila diberikan ubat dengan curahan kalam suci-Nya. 

Zikrullah terus dialunkan bersama, agar hati itu kembali kuat.

Alhamdulillah, jiwa kembali tenang sedikit demi sedikit.

Semakin tenang bila sentiasa ingin memegang janji-janji-Nya yang Maha Benar.

Ku tadabbur lagi, belek satu surah yang selalu benar ku baca dalam solatku.


“Setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan, dan (tetapkanlah kepercayaan) bahawa setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6)


Nangis laju-laju tatkala berhenti pada ayat yang meruntun jiwa. Seolah-olah DIA lagi sedang 'bercakap' dan menasihati dengan penuh kasih sayang pada diri ini. Allahurabbi...


“Tidak akan diuji seorang hamba itu, melainkan Allah Maha Tahu batas kemampuannya. Tidak pula Allah bermain-main dengan kita dengan sekadar suka-suka untuk diberikan ujian itu, melainkan pasti ada jalan keluarnya dan terselit ibrah yang cukup besar untuk kita memahaminya.”




Kitab Ihya’ Ulumuddin itu dibelek, mencari penjelasan tentang ‘Hikmah Puasa’ oleh Imam Al-Ghazali.

Mataku tertangkap pada satu garis kalimah yang sangat mengugah rasa.

'Ganjaran pahala yang tidak terkira.'


Apa amal yang sangat hebat itu? Sehingga bisa meraih pahala yang begitu banyak dan tidak ada manusia pun yang dapat mengira sebanyak mana ia?

Rasulullah SAW bersabda:

"Puasa adalah separuh kesabaran" (HR Tirmizi & Ibn Majah)


Dita'kidkan (dikuatkan) lagi dengan janji Allah SWT berfirman:


"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (az-Zumar:10)


Maka, ayat itu menjelaskan bahawa pahala puasa melampui had perkiraan dan perhitungan manusia. 

Kerana puasa seseorang itu, hanyalah dia berpuasa hanya untuk Allah maka berhaklah Allah membalas mengikut kadar had yang DIA kehendaki.

Subhanallah. 'Azim jiddan.

Puasa yang sabar.

Sabar dalam berpuasa.

Sungguh, bukan semudah-mudah untuk mencapai makam ‘sabar’ dalam keadaan kita berpuasa.

Kerana puasa itu sahaja, bukan beerti berpuasa dari makan minum lahiriah semata-mata, tetapi puasa di sebalik kesucian batin itu yang paling utama.

Puasa untuk melahirkan buah sabar.

Sabar untuk bangun beribadat, sabar untuk mengerjakan taat, sabar untuk mnghadapi setiap ujian, serta sabar untuk meraih sebuah keredhaan.

Jika tidak berpuasa kita bisa bersabar, maka itu sabar yang mungkin biasa.

Namun, dalam berpuasa jika kita masih mampu bersabar dengan pelbagai ulah ujian yang menimpa, maka itu adalah kesabaran yang cukup luar biasa imannya.

2 kali ganda untuk sifat sabar tersebut. Sabar dalam puasa.


“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kalian.” (Muhammad:31)




“Ya Jamil, anugerahkan kepadaku kecantikan itu, agar diriku sentiasa bisa menjadi cantik di hadapan-Mu. Cantik dengan hiasan kesabaran, cantik dengan keutuhan keimanan, cantik dengan keampuhan ketakwaan kepada-Mu ya Rahman...”


Untuk titik akhir di tulisan ini. Harapanku, semoga puasa kita adalah puasa orang-orang yang sabar.

Sabar dalam meraih redha-Nya, terutamanya buat diriku lagi sedang mendidik hati untuk terus bersabar menghadapi setiap cubaan yang bertamu... 

~Fi amanillah~




Allah. Allah. Allah.
Ingin sentiasa ku memanggil nama-Mu yang satu itu.
Pemilik langit dan bumi,
Pemilik setiap hati nurani,
Pemilik sekalian alam ini.

Tuhanku,
Sungguh Kau Maha Tahu lemahnya diri kami,
Jangan dibiarkan kami sendiri melainkan Engkau sentiasa ada di sisi.
Tolonglah kami dalam menghadapi ujianMu,
Bantulah kami untuk terus menjadi hamba yang kuat,
Semakin kuat keimanan kepadaMu ya Rabbi.

Sungguh Engkau Maha Tahu apa yang ada di hati,
Sungguh Engkau Maha memahami segala rasa ini,
Kepada siapa lagi untuk kami berharap,
Kepada siapa lagi untuk kami meminta,
Selain Engkau yang Maha Berkuasa untuk segalanya.

Rabbi, unsurna wa hafeezna fi kullu umurina.
Amin...


: hikmatul islam
: 120713
: 0230 am

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...