07 September 2014

Ketika Allah Hadir Dalam Bahasa Cinta



"Ketika Allah hadir dalam bahasa cinta
Maka tidak ada lagi yang sulit dalam hidup ini.
Hati tenang, jauh dari kegalauan
Fikiran jernih tanpa terganggu hal-hal yang menyesakkan
Tidak ada yang mampu membuat kita bersedih kecuali Allah
Tak ada yang mampu membuat kita bahagia pula kecuali Allah.

Bismillah.
Seorang demi seorang meluahkan rasa kepada saya di inbox fb. Saya bukan pakar kaunselor. Saya hanya sang penulis. Maka, saya akan melontarkan pandangan sebagai sisi penulis yang memikul amanah sang daie.
Tidak dinafikan, kebanyakan orang sering merasa keliru tentang persoalan CINTA ALLAH dengan CINTA MANUSIA.
Bila putus dengan cinta manusia, ramai yang kecewa dan putus asa. Itu normal.
Tapi yang menjadi tidak normal apabila kecewa dan putus asa itu melampaui had batasan sehingga kita lupa akan cinta Tuhan yang lebih tinggi dari segalanya.
Merasa putus asa untuk hidup, merasakan hidup ini sudah tidak bermakna lagi, itu tanda iman berada dalam paras yang sangat 'bahaya'.
Kerana apa kita merasakan sedemikian rupa?
Kerana kita tidak merasai akan besarnya cinta Allah. Kita tidak merasainya.
Sedangkan cinta Allah itu sungguh dekat, sangat dekat. Tetapi kenapa merasa jauh? Atau langsung tiada rasa?
Apabila putus cinta dengan manusia, merasakan hidup ini sudah tiada erti. Hilang sudah semua rasa pada dunia.
Kerana merasakan manusia itulah segalanya. Kerana merasakan manusia itulah satu-satunya yang memberikan kebahagiaan, dengan cinta yang ditawarkan.
Emosi dan perasaan menjadi nanar tidak menentu. Sangat-sangat keliru, siapakah sebenarnya yang maha mencinta?
Allah atau manusia?

---------
Saya dulu, sering sekali suka bertanya-tanya pada diri sendiri. Bagaimana nak rasai cinta Allah? Bagaimana?

Pelbagai buku dan tulisan saya selongkar, cuba mencari apa itu erti cinta Allah?
Ah, banyaknya definisi dan luasnya pengertian cinta Ilahi. Saya cuba untuk menghadam setiap maksudnya tetapi masih tidak 'merasai'.
Seperti contoh coklat yang digambarkan sangat manis dan sedap, namun kenapa kita yang makan tidak merasai seperti yang digambarkan? Hambar dan tawar.
Coklat itu yang tidak kena resepi, atau deria lidah kita yang sudah tidak berfungsi?
Sepertimana alim ulamak dan ahli sufi menggambarkan indah dan manisnya cinta Allah, namun pelik kenapa kita tetap tidak merasainya?
Harm bin Hayyan berkata, ”Seorang beriman yang mengenal Tuhannya, pastilah akan mencintai-Nya. Jika ia mencintai-Nya, ia pun datang menghadap-Nya. Jika ia memperoleh kemanisan dalam menghadap-Nya, ia tidak memandang dunia dengan mata syahwat dan tidak memandang akhirat dengan mata keletihan. Kemanisan iman membuatnya sedih di dunia dan membuatnya gembira di akhirat.”
Sa’id bin Yazid berkata, ”Barangsiapa beramal karena Allah atas dasar cinta kepada-Nya, itu lebih mulia daripada beramal atas dasar ketakutan.”

Apakah mereka salah memberi definisi, atau hati kita yang tidak berfungsi lagi? Atau akal kita yang masih tidak mengerti?
Saya benar-benar mahu mencari dan merasainya sendiri. Benar-benar. Dengan sesungguh hati.
Kerana dulu setiap kali diuji, tidak kira ujian itu dalam bentuk apapun, saya mudah sekali putus asa. Rasa diri terlalu lemah dan lembik. 

Sambil bingung memikirkan, di mana cinta Allah? Di mana buktinya? Di mana kesannya?
Sahabat memujuk, "Orang yang Allah cinta dan sayang, dia akan kerap diuji."
Tetapi, kenapa terasa sangat pahit dan sakit tawaran cinta tersebut tatkala diuji dengan pelbagai ujian?


---------
Lalu, saya mulai menjadi pemburu sejati. Memburu cinta Allah yang abadi.
Saya mahu sekali merasai 'indah dan manisnya' cinta Ilahi seperti yang dikhabarkan itu.
Ayat-ayat cinta-Nya saya belek satu persatu. Ayat pertama yang saya jumpa ini. Sangat membuatkan saya merenung dan berfikir lama.
“Katakanlah : “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS. Ali Imran : 31)

Saya belek terjemahan tafsir. "Ikutilah aku." Ikuti siapa? Perlu ikut petunjuk siapa?
Oh, Nabi kesayangan kita Muhammad SAW adalah petunjuknya. Kita perlu ikut apa yang Baginda bawa. Apa yang Baginda khabarkan pada kita.
Hadisnya yang bermaksud: "Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang lain.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Subhanallah.
Ketika itu saya sedar, saya tidak benar-benar mencintai Allah, kerana saya tidak kenal dengan Rasulullah SAW.
Saya tidak fahami hadis Baginda, saya tidak mendalami sunnah-Nya.
Oleh sebab saya sungguh-sungguh ingin mencintai Allah. Maka, saya perlu sungguh-sungguh ikut apa yang Nabi SAW khabarkan setiap perintah yang Allah titahkan kepada umatnya.
Jika tidak mengenali sosok indah peribadi dan qudwah hasanah yang ada pada Baginda, bagaimana mungkin untuk jatuh cinta kepadanya?

Bagaimana mungkin kita dapat rasai kesusahan dan keperitan Baginda berjuang untuk menyebarkan cinta kepada umatnya?
Kerana itu, duduklah kalian, curilah masa, ambillah masa untuk soroti peribadi agung ini. Satu-satunya insan yang ingin menarik tangan kita kepada cahaya, petunjuk menuju kepada kebahagiaan hakiki.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya, Kami mengutuskan engkau (Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan."
"Agar kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama-Nya), membesarkan-Nya, dan bertasbih kepada-Nya pagi dan petang. (Al-Fath:8-9)



------
"Awwaluddin makrifatullah."
Permulaan agama adalah mengenal Allah.
Kerana itu, betapa pentingnya ilmu tauhid, ilmu akidah, ilmu Usuluddin. Itulah ilmu asas yang pertama diajarkan dalam Islam untuk kita kenal Allah.
Jika tidak kenal, bagaimana mungkin untuk mencintai?
Jika kita tidak benar-benar kenal siapa yang menciptakan kita, maka kita akan mensia-siakan anggota tubuh yang Allah pinjamkan sekejap ini.
Nafas yang dihirup, percuma sahaja Allah berikan. Allah tak minta mahar gantian. Allah cuma suruh kita menjadi hamba yang beriman.
Namun sebab kita seolah-olah tidak mengerti bahawa Allah itu Sang Pencipta maka kita biarkan diri kita menjadi 'tidak berguna'. Bila diuji, kita jadi nak salahkan diri, kita jadi cepat nak salahkan Ilahi.
Di dalam Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah itulah yang perlu benar-benar kita imani. Allah yang Maha Esa menciptakan alam semesta ini. Dan hanya Allah sahajalah Pemilik mutlak yang mengawal semua yang ada di langit dan di bumi.
Malah, sifat-sifat Allah yang Maha Agung disebutkan dengan indah 99 sifatnya yang Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Kasihan Belas, Maha Pemberi Rahmat.
Tapi, sebab kita tak cuba kenali dan hadam 99 sifat ini, maka kita tak rasai kasih sayang Allah. Tak rasai cinta Allah.
Allahurabbi. Terasa tersedar dari mimpi, bila Allah celikkan mata hati, dan pegang hati orang-orang yang sedang mencari cinta-Nya.
Allah Maha Tahu niat dan keinginan hamba-Nya. Jika kita benar ingin mencari cinta Allah, carilah dengan sesungguhnya. Bukan sambil lewa sahaja.



Carilah dengan dipenuhi dada kalian dengan ilmu agama. Kalian tidak akan mampu rasai indahnya solat, jika tidak merasakan 'kehadiran'-Nya dalam solat.
Kalian tidak akan mampu untuk bersabar di atas ujian dan dugaan, kerana tidak benar-benar kenal siapa Pemberi Ujian tersebut.
Kerana itu, sangat penting ilmu agama di dada yang akan memandu kita ke arah jalan yang benar. Ilmu agama itu, yang akan memandu hati kita untuk menjadi kuat dan teguh pegangan kepada-Nya.
Belajarlah, galilah, dalamilah, tidak kira belajar ilmu agama itu secara formal atau tidak formal. Jika bukan ke kelas agama, di masjid, dalam usrah, di medan ceramah, di Youtube pun boleh kita dapatkannya.
Tinggal kita sahaja, mahu usaha mendapatkan cinta Allah atau tidak? Mahu jatuh cinta dengan Allah atau tidak? 


"Orang yang mengaji agama dia mula start dengan kenal Tuhan. Mulai kerja agama ini kenal Tuhan. Bila kita kenal Tuhan, kenallah Tuhan gagah setara mana, maka fahamlah kita lemah setara mana. Tuhan hebat setara mana, fahamlah kita tidak hebat setara mana. Tuhan kaya, kita miskin. Tuhan pandai, kita tidak pandai. Tuhan serba ada, kita serba tidak ada. Kita faham selalu. 

Ertinya orang yang mengaji agama ini mulai start dia kenal diri. Dari mengenal diri itulah maka dia mengenali Allah Taala. Dengan mengenali Allah Taala akan membentuk jiwanya, rasa gerunnya, rasa sayang dan menanam kecintaannya kepada Allah Taala." (TG Nik Abdul Aziz Nik Mat: Mengenal Allah, Mengenal Diri)
--------
Akhir kata, carilah cinta Allah, maka kalian akan menemuinya. Saya memberi jaminan, dengan sifat Allah yang Maha Mencinta.
Carilah cinta Allah, maka kalian akan merasai betapa indahnya cinta Allah berbanding cinta makhluk-Nya.
Cinta manusia yang diagungkan itu, hanyalah cebisan kecil sahaja. Dan, cinta pada manusia yang mahal itu, hanyalah apabila sama-sama berjaya masuk ke syurga-Nya.
Sekian. Selamat bercinta dengan Sang Pencinta yang Setia.



Hidup ini berat atau tidak,
Bergantung bagaimana kita memandangnya.
Jangan pernah mengukur tinggi gunung
Sebelum sampai dipuncaknya
Kerana begitu apabila kita berada di puncak
Kita akan melihat betapa rendahnya gunung.
Tak ada satu cinta pun di dunia ini
Yang mampu mematahkan hati manusia
Jika cinta Allah di atas segalanya."

: hikmatul islam         
: 05092014
: 1130 p.m


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...