31 August 2011

Jadikan kami hamba yang bersyukur.!




Ibnu Atha'ullah Askandari berkata: "Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."






Assalamualaikum, salam lebaran buat semua, semoga sentiasa dalam rahmat dan redhaNya…


Alhamdulillah… Wa syukurillah…



Tidak mungkin terungkap dengan kata-kata dan ucapan, selautan pujian dan kesyukuran kita panjatkan kepada yang Maha Esa, Tuhan yang Maha Agung, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Dia lah Tuhan, yang memberi kita pelbagai nikmat untuk kita mengecapinya pada kehidupan duniawi yang sementara ini. Tidak dapat untuk kita hitung, tidak dapat pula untuk kita mengira segala jenis macam nikmat yang diberikan oleh Ilahi kepada kita.


Bermula dengan kesempatan kita berpeluang bertemu dan beribadah di bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit rahmat seluas-luasnya. Sangat beruntung bagi mereka yang telah menggunakan peluang itu dengan sebaiknya dan lagi bertuah bagi mereka yang dapat bertemu dengan malam lailatul qadar.


Sesungguhnya merugilah bagi mereka yang sepertimana disebutkan oleh Baginda  SAW, celakalah bagi mereka yang bertemu dengan Ramdhan tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Semoga kita termasuk golongan orang-orang yang beruntung, Insya Allah…


Dan setelah Ramadhan berangkat pulang, kini hadir pula Syawal, sambutan Eidulfitri iaitu sambutan hari kemenangan dan hari keagungan bagi umat Islam seluruhnya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa selama sebulan.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (QS. al-Baqarah: 185).


Lihatlah pada diri kita. Nikmat sihat, dapat menjamu selera, rezeki yang melimpah ruah, bertemu sanak saudara dalam mengikat tali hubungan silaturahim di hari lebaran, dan seribu macam lagi nikmat yang Dia kurniakan. Dan sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam dan nikmat Iman yang kita miliki pada hari ini.


Subhanallah..! tidak tidak terkira banyaknya nikmat yang Allah bagi kepada kita semua.


Sepertimana Allah SWT menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan Allah kepada manusia yang pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. An-Nahl: 18)



Mari kita renung sejenak


Wahai saudara-saudaraku..

Dalam gembira, jangan kita lupa pada pencipta. Dalam berseronok dan bersuka ria, jangan kita lupa untuk bersyukur kepadaNya.


Jika bukan kerana ALLAH yang Maha Pemurah, sudah tentu kita tidak mampu untuk mengecapi walaupun setitis dari nikmatNya. Tidak mampu untuk kita menghirup nafas walaupun sedetik cuma.


Semuanya itu Allah SWT yang berikan, ia hanyalah pinjaman yang sementara. Maka hargailah dengan sebaiknya.


Mari kita renung sejenak, apakah saudara seislam kita yang lain merasai seperti apa yang kita rasai ini?

Apakah mereka mampu untuk tersenyum dan tertawa di pagi raya sepertimana kita semua?

Mungkin di saat kita gembira, ada insan yang berduka.

Mungkin di saat kita seronok, ada insan yang sedang menitiskan air mata.


Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa bermuhasabah. Panjatkanlah berbanyak-banyak kesyukuran kepada Allah kerana kita masih bisa sempurna, masih dapat mengecapi pelbagai kesenangan dan kemudahan yang diberikanNya...


Kalau kita bermuhasabah, merenung dan berfikir,, jika dibandingkan dengan musibah dan kenikmatan yang Allah berikan kepada kita yang manakah lebih banyak diberikan?


Sudah pasti kita tidak dapat membandingkan anugerahNya tidak terkira banyaknya nikmat yang kita perolehi berbanding sakit musibah sedikit yang Allah berikan…



Beza ‘Hamba dunia’ dengan ‘Hamba Allah’



Rasa syukur, berterima kasih adalah salah satu tanda iman yang perlu ada pada diri seorang hamba. Meskipun bergelar ‘hamba’, namun Allah itu Maha Baik, teramat baik pada kita.


Jika status seseorang yang bergelar 'hamba di dunia' ini tidak mungkin akan mendapat apa-apa keistimewaan apatah lagi pelbagai pemberian kerana hakikatnya dia cuma seorang hamba yang perlu patuh dengan pelbagai arahan tuannya.


Tetapi lain pula bagi gelaran kehormat, ‘Hamba Allah’. Hamba Allah ini mendapat layanan istimewa, pelbagai kurniaan dan pemberian.


 DIA sentiasa melimpah ruahkan pelbagai nikmat dan anugerahNya, tidak kira kepada hambaNya yang kaya atau miskin, hitam atau putih, taat atau kufur, semuanya diberikan dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan kerana itulah tanda kebesaran dan keagungan dari ILAHI.


Sesungguhnya jika kita semakin bersyukur, nescaya Allah tambahkan lagi nikmat dan ganjaran pahala buat kita. Sebaliknya bagi orang yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur, maka azab Allah bakal diterimanya di akhirat.

Sepertimana janjiNya;

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (QS. Ibrahim: 7)


SesungguhnyaAallah tidak membutuhkan kesyukuran daripada kita, kerana Dia Maha Hebat dan punyai segala-galanya. Namun begitu, ingatlah akan kesan dan akibatnya di sana. Semua kurniaan ini akan disoal kelak, apakah kita telah bersyukur atau sebaliknya?  


Maka jika ‘hamba dunia’ pun tahu dan reti untuk berterima kasih kepada tuan yang membuat kebaikan dan memberikan bermacam hadiah kepadanya, maka lebih-lebih lagi kita sebagai ‘hamba Allah’ perlu lebih bersyukur dan tahu berterima kasih kepada DIA setiap masa.



Sentiasa lupa untuk bersyukur



Kita sememangnya sering lupa untuk bersyukur. Kebanyakan dari manusia tatkala mendapat nikmat, akan menjadi asyik dan leka, menjadi alpa dan lagha malahan menjadi takabbur lantaran rasa seronok dan gembira dengan nikmat dunia yang sementara.


Memang sukar dan sedikit sekali manusia yang mahu mrenung, menghisab, bermuhasabah dengan nikmat-nikmat yang diturunkan olehNya.

Jika para ulamak, mereka malahan menjadi insaf kerana menyedari dengan nikmat yang diberikan oleh Allah itu sebenarnya ia suatu ujian kepada manusia.

Ya, ujian. Kita seringkali memikirkan jika mendapat musibah atau bala itulah dipanggil ujian dan dugaan yang diberikan oleh Tuhan.


Tetapi kita tidak mengerti bahawa nikmat yang diberikannya juga menjadi ujian. Ujian untuk menguji manusia apakah semakin bersyukur atau semakin kufur? Semakin taat kepada perintahnya atau semakin takabbur?

Lihatlah contoh pada kisah Qarun.  Semakin bertambah hartanya, semakin dia lupa kepada Pencipta. Lupa kepada Pemberi dan Pengurnia harta kepda dirinya.


Dia menjadi semakin lalai dan lupa, akhirnya bumi menelan segala-galanya. Oleh itu, berwaspada dan beringat-ingatlah, jangan jadi manusia yang zalim dan lupa diri seperti firmanNya menyebut yang bermaksud:

“Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Ibrahim:32-34)



Jadilah Golongan Yang Sedikit



Hakikatnya, kebanyakan manusia tidak bersyukur atau sedikit sekali yang ingin berterima kasih kepada Allah, seperti firman-Nya bermaksud:

“Dan sedikit sekali daripada hamba-Ku yang tahu berterima kasih (bersyukur).” (QS. Saba': 13)


Seterusnya Allah juga berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS. al-Baqarah: 243)


Diceritakan bahawa ada seorang pemuda pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit."


Doa pemuda ini didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu kenapa pemuda berkenaan memohon doa sedemikian rupa.

Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur."

Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda berkenaan.

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu."


Allahuakbar…Memanglah teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur dan semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang bersyukur).




Buktikan kesyukuran




Nikmat yang diterima terus-menerus dan tidak putus-putus ini sepatutnya menambahkan lagi rasa terima kasih atau kesyukuran kepada Allah dan memperkuatkan lagi ketaatan serta pengabdian kepada-Nya.


Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur dengan segala nikmat yang diterima daripada Allah SWT?

Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya".


Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama' bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

1. Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);

2. Syukur dengan anggota badan, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah;

3. Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firman-Nya bermaksud:

 "Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS. an-Nahl: 53)


Ucapkanlah tahmid, tasbih, takbir kepada Ilahi, baik dengan ucapan ataupun lisan, tika bersendirian atau berada bersama ramai orang.


Dan rasa kesyukuran yang paling agung ia terus menerus terbit dalam hati, sentiasa mengingatiNya, diselangi pula dengan perbuatan dan amal-amal yang baik.


Buktikanlah dengan nikmat Allah berikan membuatkan kita semakin menjadi hamba-Nya yang taat, patuh, khusyuk, tawaduk dan semakin taqarub serta dekat dengan Tuhan.


Sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur.!



Kita seringkali mudah mengeluh dan kecewa bila diberi musibah. Bila ditimpa bencana,  kita jadi terpinga-pinga. Kemudian, barulah kita mengingati kembali nikmat-nikmat yang diberikanNya.


Jangan begitu. Marilah kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur.


Bersyukur ketika mendapat nikmat, bersyukur dan bersabar tika mendapat musibah. Kerana itulah tanda keimanan yang jitu, kukuh dan ampuh yang perlu kita semaikan dalam diri.


Insya allah, bahagia dapat kita kecapi dan mendapat ketenangan hati yang hakiki.


Dengan itu, marilah kita panjatkan dengan doa agar kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberianNya…



“Ya Rabbi…jadikan kami orang yang tahu bersyukur..jadikan kami orang yang tahu berterima kasih kepadaMu.. Di setiap detik dan waktu, bukan ketika mendapat nikmat semata-mata, bahkan tika mendapat musibah kami juga bisa menjadi orang yang bersyukur.

Kerana boleh jadi dgn musibah itu dapat menghapuskan dosa-dosa kami yang lalu dan Engkau memberikan gantian yang lebih baik, maka kami perlu bersyukur kepadaMu.

Maha suci Engkau yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, jauhkan kami daripada sifat takabbur, tamak dan lupa kepada pemberianMu.

Sesungguhnya segala anugerah yang Kau berikan hanyalah pinjaman cuma, kami akan kembali kepadaMu dan semoga kembali kami dgn hati yang lapang dan sentiasa bersyukur padaMu Ilahi. Amin”



Akhir kalam, pesanan penulis kepada diri sendiri dan kalian semua;



“Maka, sentiasa ucapkanlah Alhamdulillah…!.” (^^,)



*SALAM EIDULFITRI 1432H, MAAF ZAHIR & BATIN*
~Kullu ‘am wa antum bikhair~





"CariLah HikMah daLam SetiaP keteNtuaN TuhaN,,
Agar Timbul Rasa KeSyukUran daN KeredhaAn..."


1 comment:

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan.
    Saya MUHAMMAD AHLAM FIRDAUS BIN ABDULLAH CHEK merupakan seorang pelajar malaysia yang sedang menuntut pengajian saya di UNIVERSITAS ISLAM NEGERI MEDAN SUMATERA UTARA INDONESIA dalam bidang syariah islamiyah.

    Saya ingin membuat sedikit permohonan kepada pihak tuan/puan/encik/cik/datuk/datin untuk membantu saya dalam menyelesaikan beberapa masalah yang saya hadapi disini.

    Ini kerana saya tidak lah mendapat mana2 tajaan,biasiswa mahupun pinjaman,memandangkan kos sara hidup sekarang amatlah tinggi.

    Bapa saya seorang jaga keselamatan di sebuah kilang papan,manakalah ibu saya suri rumah sepenuh masa,gaji bapa saya tidak cukup untuk menampung 7 adik beradik saya yang masih di bangku persekolahan,dulu bapa saya menanggung 8 adik beradik saya ini kerana abang saya baru sahaja pergi meninggal kan kami sekeluarga pada bulan lepas akibat menghidap penyakit kanser tulang tahap 4.

    Saya mengharap kan jasa baik tuan / puan / encik / cik/datuk/datin untuk membantu saya dalam mènyelesaikan beberapa masalah yang saya hadapi sekarang,pengajian saya sepatut nya di tamatkan dalam bulan lepas,aakan tetapi saya pulang untuk menjaga abang saya di hospital sehinggalah nafas dia yang terakhir

    Saya memohon agar pihak tuan / puan / encik / cik /datuk /datin dapat membantu saya dengan segera jika diberi sebagai pinjaman saya tidak mengapa,saya akan tetap membayar kembali dengan kadar segera.

    Whatsapp(0196135660)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...