Bismillahirrahmanirrahim…
(prolog hati)
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Segala puji dan puja hamba curahkan padaMu
duhai Tuhanku yang Maha Pemurah lagi Maha Penyang kepada setiap hambaNya..
Allah.
Sungguh, tidak akan mampu untuk terucap kalam
hamdalah hamba padaMu.
Tidak akan mampu terbandingkan kesyukuranku
pada segala kenikmatan yang Engkau curahkan padaku.
Kerana limpah kurnianMu Maha Hebat, Maha
Besar, Maha Luas dan terlalu banyak sekali. Ya Rabbi, jadikan hamba orang yang
sentiasa bersyukur dan bersyukur padaMu...
Benarlah kalam
agungMu berfirman:
“Maka, nikmat yang manakah yang
ingin Engkau dustakan?” (Ar-rahman:13)
Bilamana saya
kembali semula ke kampus, 3 hari selepas itu taklimat dan imtihan untuk ke ‘Jaulah
Arabiah Ila Mekah’ diadakan.
Sungguh, saya tidak
ada apapun persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Peperiksaan ini sangat
penting dan perlu untuk lebih adil, agar mereka yang benar-benar layak sahaja
berpeluang ke sana.
Dalam keadaan saya
masih sedang mengimbangi kesihatan, saat tu saya melangkah ke dewan taklimat
dengan doa dari hati yang tidak putus-putus dan bertawakkal padaNya.
Masya Allah.
Tatkala mendengar
taklimat yang terperinci tentang Jaulah ke Bumi Mekah, tanah paling suci dan
barakoh, hati terasa sangat teruja.
Jaulah ini bukan
suatu jaulah yang biasa-biasa.
Jaulah ini yang
julung-julung kali dibuat. Perbincangan dan perjanjian dua hala antara Jamiah
Insaniah kami dengan Jamiah Ummul Al Qura, Mekah.
Jamiah
Ummul Qura adalah sebuah university yang sangat hebat dan masyhur, berada di tempat
yang strategik iaitu di bumi barokah, Mekah.
Sebuah tempat yang
semua tolib ingin menimba ilmu agama di sana.
Sebuah tempat yang
berkumpulnya alim ulamak dan syeikh-syeikh yang pakar dalam bidang agama.
Sebuah tempat yang
melahirkan cendekiawan agamawan yang alim dan hebat.
Di situ juga
seluruh jutaan umat Islam berkumpul untuk menunaikan haji dan umrah, beribadah
kepada Allah iaitu di Mekah Al-Mukarramah.
Jaulah ini bukan
sekadar jaulah pergi berjalan-jalan tanpa tujuan. Tetapi, jualah ini adalah
bertujuan untuk menimba ilmu di sana, selama 2 bulan di Jamiah Ummul Al-Qura.
Ia untuk lebih
memperdalamkan lagi ilmu bahasa arab, untuk merasai berada di dalam biah orang
Arab, untuk lebih memperkukuhkan lagi
komunikasi dan kalam bertutur dalam lughah Arabiah.
Ditambah lagi bonus
yang paling hebat, pihak mereka menawarkan pakej mengerjakan umrah secara
percuma bagi mereka yang terpilih ke sana.
Bagi
yang terpilih sahaja.
Saya jadi
tertanya-tanya, adakah saya termasuk golongan mukhtarin itu?
Ya. Tawaran yang
sangat hebat dan suatu peluang yang jarang-jarang sekali untuk mendapatkannya.
Pihak Jamiah Ummul
Al Qura akan membiayai sepenuhnya segala makan dan minum serta keperluan selama
berada di sana. Yang tinggal cuma, perlu bayaran untuk tiket kapal terbang
sahaja.
Allah.
Yang berada dalam
dewan mendengar taklimat tersebut lebih kurang 200 orang.
Yang akan terpilih
ke sana cuma 100 orang. Dibahagikan pula dengan permintaan dari pihak Jamiah
mereka meminta nisbah bilangan muslimin lebih ramai daripada muslimat iaitu
60:40.
Muslimat
cuma mahu ambil 40 orang sahaja?
Allahurabbi
ya kareem…
Rasa peluang
tersangat tipis saat itu.
Melihatkan
bilangan muslimat yang lebih ramai dari muslimin berada dalam dewan taklimat,
lebih kurang 130 orang.
Hati terus
tertanya-tanya lagi, adakah saya akan termasuk golongan mukhtarin itu?
Selesai taklimat,
peperiksaan terus diadakan.
Kertas diedar. Hati
terasa sangat gemuruh dan berdebar. Hanya 2 soalan yang ditanya: (dalam bahasa
Arab)
1) Apakah pendapat anda mengenai program Jaulah Arabiah
ini?
2) Berikan sebab kenapa anda ingin mengikuti Jaulah
Arabiah ini?
Soalan itu secara
zahirnya memang nampak mudah. Soalan yang biasa-biasa sahaja.
Tetapi tersirat
makna yang cukup besar untuk difahami seperti kata Pengerusi program ini,
“Sebelum kalian menjawab imtihan
ini, betulkan niat lillahi ta’ala, ikhlaskan hati kerana bukan jawapan yang
hebat kami mahukan, tetapi inginkan sekeping hati yang tulus untuk benar-benar
menimba ilmu di sana.”
Saya mulai menjawab
dengan kalimah agung Basmalah.
Suatu
perkara yang sangat pelik dan aneh saya alami.
Sepanjang saya
menghadapi peperiksaan, apa pun peperiksaan yang sebelum-sebelum ni, saya tidak
pernah merasakan perasaan yang sepelik ini?
Hati
saya sangat sebak, tanpa sedar air mata saya menitis semasa menulis. Namun, saya masih cuba sedaya upaya mengawal perasaan.
Saya sendiri tidak
tahu kenapa sampai saya jadi seperti itu? Mungkin kerana saya menulis
sungguh-sungguh dari hati, saya menulis semua jawapan itu seolah-olah saya
bercakap dengan-Nya.
Ya, saya beritahu pada
Allah, saya benar-benar ingin untuk ke sana. Andai diberi peluang, saya ingin
memantapkan lagi ilmu lughah Arabiah ini sebaik mungkin. Ingin lebih fasih
bertutur dalam bahasa Arab.
Dan
yang paling saya ingini, saya ingin bertemu dengan-Nya di sana. Ingin bertemu
‘kekasih hati’ di hadapan Kaabah.
Tangan
terketar-ketar, sungguh, saya tidak pernah jadi seperti itu. Peperiksaan apapun
yang susah sebelum ini, saya dapat menulis dengan tenang.
Tapi
kali ini tidak. Hati sangat sebak.
Penuh ruangan
kosong helaian jawapan, dek saya terlalu asyiknya menulis dari hati.
Masa imtihan tamat.
Kertas itu akan disemak oleh Syeikh yang ada ilmu kasyaf. Yang akan ‘membaca’
jawapan dari sudut pandang yang berbeza. Akan ‘membaca’ dari sudut nilaian hati
yang ikhlas dan tulus untuk ke sana.
Saya
bertawakkal. Menyerahkan sepenuhnya pada pemilik hati yang mutlak. Rabbul
Jalil.
“(Dialah) Allah, tidak ada
Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah” (At-Taghabun:13)
Keputusan akan
diumumkan 5 hari kemudian.
Keesokkan harinya,
saya bersiap-siap untuk ke Konvensyen Fiqh Wanita di UPM, Serdang. Musafir ilmu
ke sana selama 3 hari bersama-sama 5 orang sahabiah yang lain.
Sebelum berangkat,
sempat saya menelefon ummi tersayang.
“Assalamualaikum
umi. Kak baru hendak bertolak ke KL nie, umi doakan keselamatan kak ye umi.
Juga umi tolong doakan moga-moga kak terpilih untuk ke Mekah. Tapi, peluang
tersangat tipis umi…”
“Mulai hari ini ummi nak Kak banyakkan solat
taubat dan hajat. Insya Allah, umi yakin Allah akan pilih Kak ke sana, setelah
banyaknya ujian yang Allah berikan pada Kak sebelum nie..”
Sebak dan terharu
mendengar doa tulus dari seorang ibu. Pesanan seorang ibu, saya simpan
kemas-kemas di sudut lipatan hati.
Sepanjang
perjalanan, hati tidak putus berdoa. Biar mustajab dan makbul permintaan yang
satu ini dengan mengambil keberkatan sebuah musafir ilmu.
Tiba hari diumumkan
keputusan.
Hari itu terasa
sangat lambat masa berjalan.
Handphone di tangan
tidak pernah lepas kerana keputusan akan diumumkan melalui sms sahaja.
Dari pagi berinjak
hingga ke petang, tetapi masih tiada sesiapa pun yang mendapat jawapan.
Hati sesekali
diusik resah dan gelisah.
Kemudian tiba ke
waktu malam, jam hampir berinjak masuk 12 malam.
Tiba-tiba dengar
jeritan dari 2 orang kawan serumah saya yang mendapat sms ‘tahniah, anda
terpilih mengikuti Jaulah Arabiah’.
Allahuakbar.
Mereka tersenyum
gembira. Ada juga yang berduka kerana sms tetap akan dihantar bagi mereka yang
terpilih atau sebaliknya.
Tapi
saya? Saya masih resah menanti jawapan yang tidak kunjung tiba.
Dari jam 1 hingga jam 3 pagi, saya tidak dapat
melelapkan mata.
Mungkin saya sudah
tidak terpilih lagi, kerana kebanyakkan sahabat yang dapat mereka semua
mendapat mesej serentak pada jam 12 malam itu.
Semua kawan-kawan sudah 'dilamar'
Tuhan.
saya masih lagi setia menanti jawapan
menanti sampai air mata tidak kering tumpah
membasahi segenap hati dan harapan...
saya masih lagi setia menanti jawapan
menanti sampai air mata tidak kering tumpah
membasahi segenap hati dan harapan...
Air mata saya jadi
murah.
Habis bantal tidur
basah dek kerana deraian air mata yang seakan tidak mahu berhenti.
Sampaikan saya
turun dari katil untuk mencari air, terduduk di satu sudut mengenangkan semua
yang berlaku.
Ujian-ujian yang lalu
datang bertamu di ruangan mata bagai sebuah skrin yang menayangkan kembali
kisah-kisah duka.
Memikirkan
setiap impian lalu yang tidak kesampaian. Merenungkan keadaan diri saya yang
sudah tidak punyai apa-apa.
Terasa sungguh saat itu saya cuma seorang pengemis,
yang ditagih hanya cintaNya, redhaNya…
“Tuhanku… Ku sedari, ku tidak
punyai apa-apa…ku sedari, ku tidak layak untuk menjadi tetamuMu.. ku sedari,
diriku apa adanya…Namun ya Rabbi…Andai diberi peluang, ku ingin hargai
sungguh-sungguh dengan sepenuh hati, inginku bangkit kembali…Mencari kekuatan
yang hilang... Mengutip setiap hikmah yang disembunyikan... Allahu...Allah…”
Bermonolog
sendirian dengan hati, tapi percaya Allah Maha Mendengar segala rintihan
hambaNya.
“Tidakkah mereka mengetahui
bahawa Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawa Allah mengetahui
segala yang ghaib?” (At-Taubah:78)
Saya jadi lemas
dengan emosi sendiri.
Esakan saya yang
perlahan itu membuatkan adik bilik yang
belum tidur merapati saya.
Azizah, seorang
adik yang sangat mengambil berat akan kesihatan saya.
“Kak
wanis, ok tak nie?”
Saya tak mampu
menjawab pertanyaannya, yang ada cuma air mata turun membasahi pipi.
“Kak wanis yang Zah kenali adalah seorang yang
kuat, tabah. Mungkin ada hikmahnya selepas nie kan. Kak wanis sudah berusaha
sebaik mungkin, tapi kita tidak tahu kan kak apa yang Allah ingin aturkan pada
kak wanis sebenarnya…”
Saya mengangguk,
membenarkan semua kalamnya. Saya tidak menafikan semua itu.
Memang
saya sedih, tetapi hati masih tetap sentiasa yakin dan percaya Allah sentiasa
akan menetapkan aturan yang terbaik.
Saya ingin redha.
Menerima apa jua keputusan dari-Nya.
Dalam sendu saya katakan
padanya;
“Zah… kak wanis redha terima semua ujian ini.
Cuma, kak wanis tak dapat nak tahan kesedihan dan sebak dalam hati. Kak wanis
sudah tiada apa impian lagi Zah, kecuali impian yang satu nie…kak wanis amat berharap
untuk ke tanah suci, bertemu denganNya di sana…”
Tanpa sedari dalam
kelam malam itu, dia turut menangis bersama saya.
Kerana Azizah memang
menjadi pendengar setia kisah-kisah duka yang berlaku dalam hidup saya. Dia memahami
keadaan saya seperti apa.
Dia turut merasakan
perasaan saya yang berkecamuk, namun segera dia menenangkan hati saya yang
sedang gundah itu.
Subhanallah.
Subhanallah…
Itulah
insan yang Allah kirimkan untuk saya. Untuk DIA menyampaikan pesananNya bahawa
jangan sesekali berputus asa kepadaNya.
Saya terharu.
“Maka bersabarlah kamu,
sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan
bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi” (Ghafir: 55)
Waktu malam itu, saya bermimpi. Seakan datang sosok tubuh seorang lelaki yang mengatakan saya dapat pergi bersama ke tanah suci Mekah.
Saya jadi terkaku dalam mimpi tersebut.
Bangun keesokkan harinya,
saya ada imtihan amal sanah, exam pertengahan semester bagi Madah Tafsir
Tahlili. Bangun dari tidur, mata saya jadi sangat sembab kerana teruknya saya
menangis semalaman.
Waktu sudah menjelang
subuh, handphone saya masih tidak menerima apa-apa sms.
Nyata, saya tidak
terpilih lagi.
Masuk waktu Dhuha,
usai sujud dan rukuk 2 rakaat, saya membaca surah al-Waqiah.
Subhanallah,
hati terasa sangat tenang dan damai dapat mengalunkan kalimahNya yang Maha
Agung.
Emosi saya jadi
stabil.
Perlahan-lahan saya
cuba membuka nota Tafsir dan menghafalnya. Semangat yang luntur dan pudar mulai
datang menemani, tetapi saya cuba gagahkan diri.
Kepala terasa
berpusing-pusing. Badan mulai panas dengan selsema yang tidak berhenti.
Demam.
Saya macam itulah. Mudah
jatuh sakit. Sudah mafhum, antibody badan yang cukup lemah.
Segera mencari ubat
dan menelannya, saya harus kuat untuk bertahan untuk imtihan jam 11 tengahari
nanti.
Imtihan selama
sejam, tapi dek kerana kesihatan saya yang dah mulai jadi teruk saya cuma
menjawabnya dalam masa setengah jam.
Ingin segera pulang
ke rumah untuk makan dan telan ubat.
Bila sahaja saya
pulang dan meletakkan beg di atas katil, saya keluar untuk ke dapur.
Tiba-tiba
seorang kawan serumah, Afifah menjerit dan datang memeluk saya.
“Wanis,
awak pun terpilih ke Jaulah itu.!”
Saya
jadi kaget seketika. Betul-betul ke nie??
“Tapi,
saya tak dapat apa-apa mesej pun fifah…”
“Saya
dah tanya pada AJK Jaulah tu, mereka kehabisan kredit semalam.
Jadi, tidak
sempat lagi hantar mesej kepada awak”
Allahuakbar...!
Subhanallah, Alhamdulillah wa syukurillah ya Rahman.!
Saya terduduk, menangis
keharuan.
“Allah, Segala puji bagiMu Ya Rabbi… Terima
kasih ya Allah…Terima kasih kerana masih sudi memilih hamba menjadi tetamuMu…Sujud
syukur padaMu Rabbi…”
Kemudian, jam 1
petang baru mesej yang saya tunggu-tunggu dari semalam sampai di inbox, memaklumkan
saya turut terpilih ke sana.
Segera saya menelefon
ayah, dalam esak tangis saya cuba mengawal emosi.
Pada mulanya ayah jadi
cemas mendengar tangisan saya. Bila saya meluahkan hal yang sebenar, ayah turut
mengucapkan hamdalah beberapa kali.
Umi masih berada di
sekolah, jadi saya cuma sempat menyampaikan pada ayah.
Harapan yang tinggi
dari mereka yang turut berdoa siang dan malam untuk saya.
Yang tanpa jemu
menjaga dan selalu merawat saya semasa sakit.
Merekalah insan yang
paling gembira mendengar berita itu, saya bersyukur.
Sangat bersyukur…
Terasa terubat
segala kesakitan, segala kesedihan dan kedukaan saya selama ini.
Benarlah, seperti
kata kak Danie, “Sakit wanis penawar...”
Ya, mungkin agak
pelik dengar kalam seperti itu, tetapi benar-benar sakit saya yang lalu menjadi
penawar tatkala Allah turut ‘melamar’ saya menjadi tetamu-Nya.
Benarlah akan janji-Nya
yang berfirman bermaksud;
“Sesungguhnya orang-orang yang
berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka
maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah
kamu merasa takut dan jangan pula kamu bersedih hati dan bergembiralah kamu
dengan dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepadaMu.” (Fussilat:39)
Mungkin ada yang
kata, ia cuma suatu perkara yang kecil dan biasa sahaja untuk menunaikan umrah.
Andai ada duit, semua dapat pergi ke sana.
Bagi saya, bukan
itu persoalannya.
Bukan
duit yang menjadi persoalan. Tetapi, ilmu yang bermanfaat dan ibadah yang
berkat.
Di sana, di Jamiah Ummul Al-Qura, Mekah menanti untuk mengutip mutiara
hikmah yang cukup banyak.
Bertemu
denganNya di hadapan Kaabah dan menunaikan umrah dalam masa yang muda, impian itu
menjadi kenyataan dengan cepat tanpa disangka-sangka.
Mungkin berkat doa
ibu yang turut mendoakan permintaan saya yang terakhir itu semasa mengerjakan
umrah beberapa bulan yang lepas, dan juga doa dari seorang sahabat yang juga
pergi ke sana tahun lepas.
Saya jadi teringat
semula.
Umi meminta kami
adik-beradik menulis seberapa banyak impian dan permintaan di atas kerta untuk
dia berdoa di tanah suci Mekah. Berebut-rebut adik-adik saya menulis impian
mereka.
Saya tidak
ketinggalan.
Tetapi agak
terkejut kerana impian saya ingin ke Tanah Suci yang saya letakkan di senarai
list terakhir, di nombor 8. Pada permintaan saya yang pertama dan terawal itu,
nyata semuanya Allah masih belum ingin kabulkan.
Saya pasrah dan
berserah.
Pada
setiap ketentuan Allah, pasti itulah yang terbaik.
Kita
cuma hamba yang doif, yang mampu merancang dan mentadbir, tetapi takdir hidup
di tanganNya.
Meskipun masa untuk
saya berangkat ke sana 4 bulan lagi, hati mulai berdebar saat ini.
Saya
ingin ‘bersiap-siap’ dengan sebaiknya sebelum bertemu ‘kekasih hati’’ di sana.
Saya
ingin bertemu dan menghadapNya dalam keadaan yang paling indah, dalam keadaan
DIA gembira dan redha menyambut saya di sana.
Ya, semuanya masih
belum pasti lagi, mungkin akan berlaku macam-macam lagi dugaan sebelum saya
benar-benar dapat menjejakkan kaki ke sana.
Perlu
lebih gandakan lagi merapatiNya. Perlu lebih banyak meluangkan masa untukNya.
Perlu
lebih banyak berdoa dan meminta agar Allah memudahkan segalanya.
Di sana, bukan
pergi untuk berseronok semata-mata, pasti akan ada ujian yang menanti.
Apapun, hanya
padaMu Tuhan hamba berserah diri…
Semoga Engkau redhai,
berkati… Amin…
: hikmatul islam
: 25012013
: 0830 am