26 January 2013

‘Lamaran’ Dari-Nya…






Bismillahirrahmanirrahim…

(prolog hati)

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Segala puji dan puja hamba curahkan padaMu duhai Tuhanku yang Maha Pemurah lagi Maha Penyang kepada setiap hambaNya..

Allah.

Sungguh, tidak akan mampu untuk terucap kalam hamdalah hamba padaMu.

Tidak akan mampu terbandingkan kesyukuranku pada segala kenikmatan yang Engkau curahkan padaku.

Kerana limpah kurnianMu Maha Hebat, Maha Besar, Maha Luas dan terlalu banyak sekali. Ya Rabbi, jadikan hamba orang yang sentiasa bersyukur dan bersyukur padaMu...

Benarlah kalam agungMu berfirman:

“Maka, nikmat yang manakah yang ingin Engkau dustakan?” (Ar-rahman:13)





Bilamana saya kembali semula ke kampus, 3 hari selepas itu taklimat dan imtihan untuk ke ‘Jaulah Arabiah Ila Mekah’ diadakan.

Sungguh, saya tidak ada apapun persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Peperiksaan ini sangat penting dan perlu untuk lebih adil, agar mereka yang benar-benar layak sahaja berpeluang ke sana.

Dalam keadaan saya masih sedang mengimbangi kesihatan, saat tu saya melangkah ke dewan taklimat dengan doa dari hati yang tidak putus-putus dan bertawakkal padaNya.

Masya Allah.

Tatkala mendengar taklimat yang terperinci tentang Jaulah ke Bumi Mekah, tanah paling suci dan barakoh, hati terasa sangat teruja.

Jaulah ini bukan suatu jaulah yang biasa-biasa.

Jaulah ini yang julung-julung kali dibuat. Perbincangan dan perjanjian dua hala antara Jamiah Insaniah kami dengan Jamiah Ummul Al Qura, Mekah.

Jamiah Ummul Qura adalah sebuah university yang sangat hebat dan masyhur, berada di tempat yang strategik iaitu di bumi barokah, Mekah.





Sebuah tempat yang semua tolib ingin menimba ilmu agama di sana.

Sebuah tempat yang berkumpulnya alim ulamak dan syeikh-syeikh yang pakar dalam bidang agama.

Sebuah tempat yang melahirkan cendekiawan agamawan yang alim dan hebat.

Di situ juga seluruh jutaan umat Islam berkumpul untuk menunaikan haji dan umrah, beribadah kepada Allah iaitu di Mekah Al-Mukarramah.

Jaulah ini bukan sekadar jaulah pergi berjalan-jalan tanpa tujuan. Tetapi, jualah ini adalah bertujuan untuk menimba ilmu di sana, selama 2 bulan di Jamiah Ummul Al-Qura.




Ia untuk lebih memperdalamkan lagi ilmu bahasa arab, untuk merasai berada di dalam biah orang Arab, untuk lebih memperkukuhkan lagi  komunikasi dan kalam bertutur dalam lughah Arabiah.

Ditambah lagi bonus yang paling hebat, pihak mereka menawarkan pakej mengerjakan umrah secara percuma bagi mereka yang terpilih ke sana.
Bagi yang terpilih sahaja.

Saya jadi tertanya-tanya, adakah saya termasuk golongan mukhtarin itu?

Ya. Tawaran yang sangat hebat dan suatu peluang yang jarang-jarang sekali untuk mendapatkannya.

Pihak Jamiah Ummul Al Qura akan membiayai sepenuhnya segala makan dan minum serta keperluan selama berada di sana. Yang tinggal cuma, perlu bayaran untuk tiket kapal terbang sahaja.

Allah.

Yang berada dalam dewan mendengar taklimat tersebut lebih kurang 200 orang.

Yang akan terpilih ke sana cuma 100 orang. Dibahagikan pula dengan permintaan dari pihak Jamiah mereka meminta nisbah bilangan muslimin lebih ramai daripada muslimat iaitu 60:40.

Muslimat cuma mahu ambil 40 orang sahaja?

Allahurabbi ya kareem…

Rasa peluang tersangat tipis saat itu.

Melihatkan bilangan muslimat yang lebih ramai dari muslimin berada dalam dewan taklimat, lebih kurang 130 orang.

Hati terus tertanya-tanya lagi, adakah saya akan termasuk golongan mukhtarin itu?




Selesai taklimat, peperiksaan terus diadakan.

Kertas diedar. Hati terasa sangat gemuruh dan berdebar. Hanya 2 soalan yang ditanya: (dalam bahasa Arab)

1)   Apakah pendapat anda mengenai program Jaulah Arabiah ini?
2)   Berikan sebab kenapa anda ingin mengikuti Jaulah Arabiah ini?

Soalan itu secara zahirnya memang nampak mudah. Soalan yang biasa-biasa sahaja.

Tetapi tersirat makna yang cukup besar untuk difahami seperti kata Pengerusi program ini,

“Sebelum kalian menjawab imtihan ini, betulkan niat lillahi ta’ala, ikhlaskan hati kerana bukan jawapan yang hebat kami mahukan, tetapi inginkan sekeping hati yang tulus untuk benar-benar menimba ilmu di sana.”


Saya mulai menjawab dengan kalimah agung Basmalah.

Suatu perkara yang sangat pelik dan aneh saya alami.

Sepanjang saya menghadapi peperiksaan, apa pun peperiksaan yang sebelum-sebelum ni, saya tidak pernah merasakan perasaan yang sepelik ini?

Hati saya sangat sebak, tanpa sedar air mata saya menitis semasa menulis. Namun, saya masih cuba sedaya upaya mengawal perasaan.

Saya sendiri tidak tahu kenapa sampai saya jadi seperti itu? Mungkin kerana saya menulis sungguh-sungguh dari hati, saya menulis semua jawapan itu seolah-olah saya bercakap dengan-Nya.

Ya, saya beritahu pada Allah, saya benar-benar ingin untuk ke sana. Andai diberi peluang, saya ingin memantapkan lagi ilmu lughah Arabiah ini sebaik mungkin. Ingin lebih fasih bertutur dalam bahasa Arab.

Dan yang paling saya ingini, saya ingin bertemu dengan-Nya di sana. Ingin bertemu ‘kekasih hati’ di hadapan Kaabah.

Tangan terketar-ketar, sungguh, saya tidak pernah jadi seperti itu. Peperiksaan apapun yang susah sebelum ini, saya dapat menulis dengan tenang.

Tapi kali ini tidak. Hati sangat sebak.

Penuh ruangan kosong helaian jawapan, dek saya terlalu asyiknya menulis dari hati.

Masa imtihan tamat. Kertas itu akan disemak oleh Syeikh yang ada ilmu kasyaf. Yang akan ‘membaca’ jawapan dari sudut pandang yang berbeza. Akan ‘membaca’ dari sudut nilaian hati yang ikhlas dan tulus untuk ke sana.

Saya bertawakkal. Menyerahkan sepenuhnya pada pemilik hati yang mutlak. Rabbul Jalil.

“(Dialah) Allah, tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah” (At-Taghabun:13)


Keputusan akan diumumkan 5 hari kemudian.




Keesokkan harinya, saya bersiap-siap untuk ke Konvensyen Fiqh Wanita di UPM, Serdang. Musafir ilmu ke sana selama 3 hari bersama-sama 5 orang sahabiah yang lain.

Sebelum berangkat, sempat saya menelefon ummi tersayang.


“Assalamualaikum umi. Kak baru hendak bertolak ke KL nie, umi doakan keselamatan kak ye umi. Juga umi tolong doakan moga-moga kak terpilih untuk ke Mekah. Tapi, peluang tersangat tipis umi…”

“Mulai hari ini ummi nak Kak banyakkan solat taubat dan hajat. Insya Allah, umi yakin Allah akan pilih Kak ke sana, setelah banyaknya ujian yang Allah berikan pada Kak sebelum nie..”


Sebak dan terharu mendengar doa tulus dari seorang ibu. Pesanan seorang ibu, saya simpan kemas-kemas di sudut lipatan hati.

Sepanjang perjalanan, hati tidak putus berdoa. Biar mustajab dan makbul permintaan yang satu ini dengan mengambil keberkatan sebuah musafir ilmu.




Tiba hari diumumkan keputusan.

Hari itu terasa sangat lambat masa berjalan.

Handphone di tangan tidak pernah lepas kerana keputusan akan diumumkan melalui sms sahaja.

Dari pagi berinjak hingga ke petang, tetapi masih tiada sesiapa pun yang mendapat jawapan.

Hati sesekali diusik resah dan gelisah.

Kemudian tiba ke waktu malam, jam hampir berinjak masuk 12 malam.

Tiba-tiba dengar jeritan dari 2 orang kawan serumah saya yang mendapat sms ‘tahniah, anda terpilih mengikuti Jaulah Arabiah’.

Allahuakbar.

Mereka tersenyum gembira. Ada juga yang berduka kerana sms tetap akan dihantar bagi mereka yang terpilih atau sebaliknya.

Tapi saya? Saya masih resah menanti jawapan yang tidak kunjung tiba.

Dari jam 1 hingga jam 3 pagi, saya tidak dapat melelapkan mata.

Mungkin saya sudah tidak terpilih lagi, kerana kebanyakkan sahabat yang dapat mereka semua mendapat mesej serentak pada jam 12 malam itu.


Semua kawan-kawan sudah 'dilamar' Tuhan.
saya masih lagi setia menanti jawapan
menanti sampai air mata tidak kering tumpah
membasahi segenap hati dan harapan...
Air mata saya jadi murah.

Habis bantal tidur basah dek kerana deraian air mata yang seakan tidak mahu berhenti.

Sampaikan saya turun dari katil untuk mencari air, terduduk di satu sudut mengenangkan semua yang berlaku.

Ujian-ujian yang lalu datang bertamu di ruangan mata bagai sebuah skrin yang menayangkan kembali kisah-kisah duka.

Memikirkan setiap impian lalu yang tidak kesampaian. Merenungkan keadaan diri saya yang sudah tidak punyai apa-apa. 

Terasa sungguh saat itu saya cuma seorang pengemis, yang ditagih hanya cintaNya, redhaNya…


“Tuhanku… Ku sedari, ku tidak punyai apa-apa…ku sedari, ku tidak layak untuk menjadi tetamuMu.. ku sedari, diriku apa adanya…Namun ya Rabbi…Andai diberi peluang, ku ingin hargai sungguh-sungguh dengan sepenuh hati, inginku bangkit kembali…Mencari kekuatan yang hilang... Mengutip setiap hikmah yang disembunyikan... Allahu...Allah…”


Bermonolog sendirian dengan hati, tapi percaya Allah Maha Mendengar segala rintihan hambaNya.

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawa Allah mengetahui segala yang ghaib?” (At-Taubah:78)





Saya jadi lemas dengan emosi sendiri.

Esakan saya yang perlahan itu membuatkan adik bilik  yang belum tidur merapati saya.

Azizah, seorang adik yang sangat mengambil berat akan kesihatan saya.

“Kak wanis, ok tak nie?”

Saya tak mampu menjawab pertanyaannya, yang ada cuma air mata turun membasahi pipi.

“Kak wanis yang Zah kenali adalah seorang yang kuat, tabah. Mungkin ada hikmahnya selepas nie kan. Kak wanis sudah berusaha sebaik mungkin, tapi kita tidak tahu kan kak apa yang Allah ingin aturkan pada kak wanis sebenarnya…”

Saya mengangguk, membenarkan semua kalamnya. Saya tidak menafikan semua itu.

Memang saya sedih, tetapi hati masih tetap sentiasa yakin dan percaya Allah sentiasa akan menetapkan aturan yang terbaik.

Saya ingin redha. Menerima apa jua keputusan dari-Nya.

Dalam sendu saya katakan padanya;

“Zah… kak wanis redha terima semua ujian ini. Cuma, kak wanis tak dapat nak tahan kesedihan dan sebak dalam hati. Kak wanis sudah tiada apa impian lagi Zah, kecuali impian yang satu nie…kak wanis amat berharap untuk ke tanah suci, bertemu denganNya di sana…”


Tanpa sedari dalam kelam malam itu, dia turut menangis bersama saya.

Kerana Azizah memang menjadi pendengar setia kisah-kisah duka yang berlaku dalam hidup saya. Dia memahami keadaan saya seperti apa.

Dia turut merasakan perasaan saya yang berkecamuk, namun segera dia menenangkan hati saya yang sedang gundah itu.

Subhanallah. Subhanallah…

Itulah insan yang Allah kirimkan untuk saya. Untuk DIA menyampaikan pesananNya bahawa jangan sesekali berputus asa kepadaNya.

Saya terharu.


“Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi” (Ghafir: 55)


Waktu malam itu, saya bermimpi. Seakan datang sosok tubuh seorang lelaki yang mengatakan saya dapat pergi bersama ke tanah suci Mekah.

Saya jadi terkaku dalam mimpi tersebut.




Bangun keesokkan harinya, saya ada imtihan amal sanah, exam pertengahan semester bagi Madah Tafsir Tahlili. Bangun dari tidur, mata saya jadi sangat sembab kerana teruknya saya menangis semalaman.

Waktu sudah menjelang subuh, handphone saya masih tidak menerima apa-apa sms.

Nyata, saya tidak terpilih lagi.

Masuk waktu Dhuha, usai sujud dan rukuk 2 rakaat, saya membaca surah al-Waqiah.

Subhanallah, hati terasa sangat tenang dan damai dapat mengalunkan kalimahNya yang Maha Agung.

Emosi saya jadi stabil.

Perlahan-lahan saya cuba membuka nota Tafsir dan menghafalnya. Semangat yang luntur dan pudar mulai datang menemani, tetapi saya cuba gagahkan diri.

Kepala terasa berpusing-pusing. Badan mulai panas dengan selsema yang tidak berhenti.

Demam.

Saya macam itulah. Mudah jatuh sakit. Sudah mafhum, antibody badan yang cukup lemah.

Segera mencari ubat dan menelannya, saya harus kuat untuk bertahan untuk imtihan jam 11 tengahari nanti.

Imtihan selama sejam, tapi dek kerana kesihatan saya yang dah mulai jadi teruk saya cuma menjawabnya dalam masa setengah jam.

Ingin segera pulang ke rumah untuk makan dan telan ubat.

Bila sahaja saya pulang dan meletakkan beg di atas katil, saya keluar untuk ke dapur.

Tiba-tiba seorang kawan serumah, Afifah menjerit dan datang memeluk saya.

“Wanis, awak pun terpilih ke Jaulah itu.!”

Saya jadi kaget seketika. Betul-betul ke nie??

“Tapi, saya tak dapat apa-apa mesej pun fifah…”

“Saya dah tanya pada AJK Jaulah tu, mereka kehabisan kredit semalam. 

Jadi, tidak sempat lagi hantar mesej kepada awak”

Allahuakbar...! Subhanallah, Alhamdulillah wa syukurillah ya Rahman.!

Saya terduduk, menangis keharuan.

“Allah, Segala puji bagiMu Ya Rabbi… Terima kasih ya Allah…Terima kasih kerana masih sudi memilih hamba menjadi tetamuMu…Sujud syukur padaMu Rabbi…”





Kemudian, jam 1 petang baru mesej yang saya tunggu-tunggu dari semalam sampai di inbox, memaklumkan saya turut terpilih ke sana.

Segera saya menelefon ayah, dalam esak tangis saya cuba mengawal emosi.

Pada mulanya ayah jadi cemas mendengar tangisan saya. Bila saya meluahkan hal yang sebenar, ayah turut mengucapkan hamdalah beberapa kali.

Umi masih berada di sekolah, jadi saya cuma sempat menyampaikan pada ayah.

Harapan yang tinggi dari mereka yang turut berdoa siang dan malam untuk saya.

Yang tanpa jemu menjaga dan selalu merawat saya semasa sakit.

Merekalah insan yang paling gembira mendengar berita itu, saya bersyukur.

Sangat bersyukur…

Terasa terubat segala kesakitan, segala kesedihan dan kedukaan saya selama ini.

Benarlah, seperti kata kak Danie, “Sakit wanis penawar...”

Ya, mungkin agak pelik dengar kalam seperti itu, tetapi benar-benar sakit saya yang lalu menjadi penawar tatkala Allah turut ‘melamar’ saya menjadi tetamu-Nya.

Benarlah akan janji-Nya yang berfirman bermaksud;

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah kamu merasa takut dan jangan pula kamu bersedih hati dan bergembiralah kamu dengan dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepadaMu.” (Fussilat:39)






Mungkin ada yang kata, ia cuma suatu perkara yang kecil dan biasa sahaja untuk menunaikan umrah. Andai ada duit, semua dapat pergi ke sana.

Bagi saya, bukan itu persoalannya.

Bukan duit yang menjadi persoalan. Tetapi, ilmu yang bermanfaat dan ibadah yang berkat. 

Di sana, di Jamiah Ummul Al-Qura, Mekah menanti untuk mengutip mutiara hikmah yang cukup banyak.

Bertemu denganNya di hadapan Kaabah dan menunaikan umrah dalam masa yang muda, impian itu menjadi kenyataan dengan cepat tanpa disangka-sangka.

Mungkin berkat doa ibu yang turut mendoakan permintaan saya yang terakhir itu semasa mengerjakan umrah beberapa bulan yang lepas, dan juga doa dari seorang sahabat yang juga pergi ke sana tahun lepas.

Saya jadi teringat semula.

Umi meminta kami adik-beradik menulis seberapa banyak impian dan permintaan di atas kerta untuk dia berdoa di tanah suci Mekah. Berebut-rebut adik-adik saya menulis impian mereka.

Saya tidak ketinggalan.

Tetapi agak terkejut kerana impian saya ingin ke Tanah Suci yang saya letakkan di senarai list terakhir, di nombor 8. Pada permintaan saya yang pertama dan terawal itu, nyata semuanya Allah masih belum ingin kabulkan.

Saya pasrah dan berserah.

Pada setiap ketentuan Allah, pasti itulah yang terbaik.

Kita cuma hamba yang doif, yang mampu merancang dan mentadbir, tetapi takdir hidup di tanganNya.

Meskipun masa untuk saya berangkat ke sana 4 bulan lagi, hati mulai berdebar saat ini.

Saya ingin ‘bersiap-siap’ dengan sebaiknya sebelum bertemu ‘kekasih hati’’ di sana.

Saya ingin bertemu dan menghadapNya dalam keadaan yang paling indah, dalam keadaan DIA gembira dan redha menyambut saya di sana.





Ya, semuanya masih belum pasti lagi, mungkin akan berlaku macam-macam lagi dugaan sebelum saya benar-benar dapat menjejakkan kaki ke sana.

Perlu lebih gandakan lagi merapatiNya. Perlu lebih banyak meluangkan masa untukNya.

Perlu lebih banyak berdoa dan meminta agar Allah memudahkan segalanya.

Di sana, bukan pergi untuk berseronok semata-mata, pasti akan ada ujian yang menanti.

Apapun, hanya padaMu Tuhan hamba berserah diri…

Semoga Engkau redhai, berkati… Amin…




: hikmatul islam         
: 25012013
: 0830 am 

4 comments:

  1. akak dapat pergi ke nanti? tahniah kakak :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah adikku..

    Alfu mabruk..muga dipermudahkan segala urusanmu disana nanti..membaca entrimu mendekatkan akak pada kenangan silam zaman ketika di kampus dahulu..sangat indah..biar terkadang pahit..namun manisnya bersama rakan2 mengejar cinta..berada dalam jamaah..berukhwah dan usrah..

    betapa masa muda sebelum tua..sgt2 dirindu saat sebegitu..

    peluang yang ada manfaatkan sebaik2nya..

    mohon dititipkan doa buat akak sekeluarga disini agar dipilih jua menjadi tetamunya di tanah suci Makkah..menunaikan hajidan umrah..Alllahuakbar! Sangat rinduu saat di masjidinNabawi..masijidil haram..multazam..jabal uhud..jabal thur..Sungguh sangat rindu!

    Muga adik juga beroleh kesihatan yang baik sepanjang menimba ilmu dan pengalaman di sana..amin ya rabbal'alamin...

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah kak, berkat doa akak juga yg mendoakan kebaikan dan keshtn sy, smoga selamat sampai di sana nnti...amin :')

      subhanallah..
      akk antra generasi terdahulu yg berjuang di atas jalanNya, mskipun zaman itu dah berlalu tp teruskan ye perjuangn akk menjadi pendidik sgt2 diperlukan utk akk mendidik ummah agar smkin dekat dgnNya..

      kita sama3 doa ye kak, moga Allah kuatkan, teguhkan kaki kita di atas jalanNya, hingga hujung nafas nnti..amin..

      insha Allah ukhti, andai sampai shj kaki ke sana, sy tak lpekan pesanan akk smoga akk dpt diundang lg mnjadi tetamu Allah kelak..

      syukran ukhti utk semuanya, utk kebaikanmu, doamu, ksh sygmu yg ikhlas, yg sudi menghulurkan nsht dan berbagi doa..

      sbhanallah,, smoga kak latifah juga stsa dlm redhaNya.. :)

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...