18 January 2014

Cinta dan Rindu







"Aku dongak langit.
Masih seperti selalu.
Masih setia di situ.

Aku tunduk ke tanah.
Masih seperti selalu.
Sentiasa ada di situ.


Langit.
Untukku selalu pandang kepada-Nya.

Bumi.
Untukku selalu sujud kepada-Nya.

Subhanallah.
Setianya langit dan bumi bertasbih mengagungkan DIA.

Semoga.
Aku juga begitu..."


*Sollu 'ala nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*








Bismillah.

Bayu hembusan Tahun Baru Masihi 2014 dibuka dengan angin dingin monsun yang bergelora di sebelah Timur Semenanjung.

Tika ini, Bulan Januari tanah Cik Siti Wan Kembang basah dengan titisan hujan rahmat.

Beristirehat seketika melepaskan sebuah lelah sepurnama pengajian di bumi Universiti Malaya. 

Berkejaran dengan kelas master yang padat 4 bulan lalu. Diakhiri dengan imtihan usai satu semester berhempas pulas menuntut ilmu-Nya.

Alhamdulillah, hamdan wasyukru lillah abadan.

Blog ini tampil dengan wajah yang baru.

Dengan lebih simple. Latar putih yang lebih 'menenangkan mata dan hati' saya sebagai penulis.

Sudah lama benar mahu tukar, merengek-rengek manja pinta kepada Abang Syabab Musafir Kasih. 

Setelah berkurun lamanya, akhirnya jadi juga wajah yang baru seperti ini... (Ni semua sebab gara-gara saya tak pandai tukar menukar template dan design yang sebelum ini abang yang buat semuanya. Maklumlah, saya hanya reti menulis dan post sahaja!)

*Sollu a'la nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*






Masih dalam fatrah bulan Maulidurrasul 1435H.

Selawat dan salam penuh penghormatan buat junjungan besar ya Habibana, ya Hanana ya Rasulullah sollallahu 'alaihi wassalam.

Pada masa ini, kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berselawat kepada Baginda SAW.

Namun, bukan sekadar semasa sambutan bulan kelahiran Rasul SAW sahaja, bahkan harus kita basahkan lidah setiap hari dengan selawat kepada sosok tubuh yang telah bersusah payah membawa nur cahaya Islam kepada kita.

Bersyukurlah.

Untuk menjadi manusia yang tahu berterima kasih dan bersyukur, selawat itulah yang menjadi tandanya. Tanda kita berterima kasih di atas segala pengorbanan Baginda SAW. Malahan, itu juga menjadi salah satu tanda kecintaan kepadanya!

Lihatlah. Betapa banyak ganjaran yang tercatat, berapa banyak kelebihan yang dikhabarkan akan besarnya kemuliaan berselawat kepada Baginda SAW.


Sabda Nabi S.A.W: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)


Allah dan malaikat pun berselawat kepada Baginda SAW, kita masih 'kedekut' untuk berselawat kepadanya? Allahuakbar!


“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56)

*Sollu 'ala nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*






Azam tahun baru Hijri 1435H ini, mahu LEBIH CINTAKAN Baginda SAW.

Sungguh! Terasa masih terlalu cetek kecintaan kepada Rasulullah. Meskipun belajar dalam bidang Usuluddin, al-Quran dan as-sunnah namun terlalu banyak lagi sunnahnya yang belum diikuti...

Ya! Kecintaan yang sebenar itu, bukan sekadar dilafazkan rasa cinta di bibir, tetapi perlu ada bukti. 

Bukti orang yang paling cintakan Nabi SAW adalah orang yang berusaha mengikuti jalan-jalanNya. 

Berusaha menghidupkan segala sunnahnya.

Bercakap soal rindu. Sering mudah kita mengungkapkan rindu kepada teman-teman, sahabat handai malahan pasangan.

Namun, rindu yang paling kemuncak itu adalah rindu kita kepada Baginda SAW, meskipun kita tidak pernah melihat dirinya.

Hayatilah kata-kata Baginda SAW ini, betapa jauh lebih hebatnya rindu Rasulullah SAW kepada kita!


"Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah SAW menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian Baginda SAW bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah SAW menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah SAW.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku masih berada ditengah-tengah kalian semua," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu..."

Subhanallah! ya Rasulullah SAW jadikan kami ummat yang sentiasa merinduimu, mendambakan syafaatmu...

*Sollu 'ala nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*





Lau Kana bainana...

Andai Rasulullah SAW masih ada, andai kata Rasulullah SAW masih ada di hadapan kita ketika ini, apakah yang ingin kita katakan pada Rasulullah? Apakah yang ingin kita pinta daripadanya?

Masing-masing ada jawapannya.

Simpanlah jawapan tersebut, dan jawablah tika bertemu dengan Baginda SAW kelak.

Moga-moga Rasulullah SAW sentiasa sudi untuk memandang kita ummat akhir zaman. Penuh dengan debu dosa dan kelalaian.

Pilihlah kalian, untuk menjadi ummatnya yang bergelar pejuang yang menegakkan sunnah dan agamaNya atau menjadi ummat yang alpa tenggelam di hujung zaman.

Sekian.





*Take note untuk diri sendiri*

1. Baca sebanyak mungkin kisah perjuangan Rasulullah SAW dan hayati kehidupan Baginda SAW.

2. Senarai listkan sunnah yang 'wajib' kita amalkan dalam kehidupan seharian dari sekecil-kecil sunnah seperti bersugi setiap kali hendak solat sehingga sebesar-besar erti perjuangan sebenar.

3. Sebar luaskan tentang sunnah Rasulullah SAW kepada masyarakat semampu yang kita dapat lakukan.


*Sollu 'ala nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*


p/s: Cinta dan rindu kepada manusia akan hilang, namun cinta dan rindu kepada Nabi SAW akan kekal tersimpan, hakiki dan abadi sehingga bertemu dengannya kelak....wallahu'alam.



: hikmatul islam
: 0330 pm
: 16 rabiulawal 1435H

6 comments:

  1. Blognya membuat greget!!! Heheheee...
    "Penuh kebaikan. Syukran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, syukran ya akhi sudi ziaroh ke blog doif ini..moga bermanfaat ya :)

      Delete
    2. Menanti butiran mutiara yg mekar bersinar..

      Tahniah dan trima kasih atas perkongsian yg baik...

      Delete
    3. terima kasih akhi Ismarizal...insha allah, moga Allah izinkan pena untuk terus berlari mencurahkan dakwah pada ummah...smoga akhi juga diberikan butir-butir hikmah untuk terus meninta keranaNya!

      Delete
  2. sobs3..so touching..almost crying ="(

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...