09 April 2012

~Sweet 23~




Bismillahirrahmanirrahim…


Sudah sebulan lamanya laman nie dibiarkan kosong tanpa pengisian. Benar-benar ku tidak punya kesempatan untuk mengisinya dengan isian kalam rohani dan tarbiyah. 

Mungkin kerana diri perlu dipadatkan dulu dengan tarbiyah dari Tuhan dan begitu sibuk dengan amanah dan tanggungjawab sebagai tolib yang perlu dilaksanakan.

Makanya, ku simpan dahulu setiap kata-kata hikmah yang ingin dilakarkan. Insya allah, selepas exam nie akan disambung semula penulisan yang tergantung seketika.

Detik kian berjalan. Masa terus melangkah beriringan. Sedar tidak sedar, hari ini usia ku berinjak ke angka 23. Namun disebabkan diri terlalu sibuk fokus study untuk menghadapi final exam semester 6, hampir-hampir ku jadi lupa akan tarikh hari lahirku sendiri.


                 (Rai hari lahir ala kadar makan kek bersama penghuni asrama Barokah =)



Subhanallah…subhanallah…subhanallah…

Tatkala ku membuka laman muka buku Hikmatul Islam, tergamam dan terkelu lidah untuk berkata-kata. Cuma ucapan hamdalah kepadaNya yang mampu terlafaz dalam hati. 

Tanpa diri sedar, tanpa diri sangka, rupanya begitu ramai yang mendoakan samada family, teman yang rapat atau jauh, yang dikenali mahupun tidak. Tulusnya doa-doa mereka buat diri yang kerdil lagi hina dina ini… (allah....cukup terharu sebenarnya :’))

Sungguh, tak termampu ku balas dengan sekadar ucapan ‘syukran’ dan ‘terima kasih’ kerana doa mereka begitu besar dan beerti buatku. 

Doa yang tulus dan kudus, yang lahir dan hati sanubari. Doa yang tiada paksaan. Doa yang tidak pintakan balasan. Itulah doa yang suci murni, yang tiada hijab dengan Sang Tuhan.

Allah sahaja Maha tahu rasa hati ini, sungguh rasa sangat bahagia. Doa-doa ini akan ku jadikan bekalan semangat untuk terus berjuang. 

“Perjuangan yang panjang memerlukan bekalan iman yang cukup”. Insya allah, doa-doa inilah yang sentiasa menjadi dambaan. Syukru ilallah abadan abada…


Ya rabbi…
Di saat diri menunduk layu
Di saat fikiran terkadang buntu
Di saat ujian hidup tidak menentu
Di saat hati merasa sendu
Hari ini
Engkau titipkan sekalian makhluk mendoakan
Engkau sampaikan pesanMu melalui teman-teman
Engkau ingatkan daku tentang erti kesabaran
Dan ku terus belajar tentang erti kesyukuran

Tuhanku,
Selautan tinta dan kalam
Tidak kan mungkin termampu untuk ku ucapkan
‘Terima kasih’ kepadaMu
Kerana ‘terima kasih’ ku terlalu naïf dan sedikit
Berbanding segala nikmat yang Engkau kurniakan
jadikan daku hamba yang sentiasa bersyukur padaMu
walau dalam susah mahupun senang

Tuhanku,
maaf andai diri masih tidak tergapai redhaMu
maaf andai diri masih tidak termiliki cintaMu
maaf andai diri sentiasa lupa bertasbih kepadaMu
maaf andai diri kurang untuk mengenang segala pemberianMu
meski diri tidak layak untuk syurgaMu
namun sentiasa mengharapan belas rahmatMu
ampuni dan kasihilah dengan kasih sayangMu

Pintaku di hari barakah ini
Semoga,
Diri terus thabat dan istiqamah di atas jalanMu
Andai diri gugur, syahidkan daku dengan redhaMu
Dan ku pinta
Himpunkan daku bersama mereka
Yang tidak pernah jemu mendoakan
Temukan kami semua di pintu jannahMu
Amin ya rabbi...



p/s: “Jika nak sebut nama satu persatu, memang saya tak mampu nak sebut nama semua teman-teman disebabkan terlalu ramai yang wish…Apepun, ketahuilah saya amat-amat hargai setiap bait kata dan doa yang dititipkan, akan saya simpan kemas-kemas dan menjadi tatapan paling manis buat diri.”

*Terima kasih semua, dari hati: sayang kalian fillah ila jannah!

*Hari ini: senyum memanjang sorang-sorang~ (^_^)

*Tak sempat nak tulis panjang-panjang, cuma ini sahaja yang termampu dilakar buat masa ini. Sekarang tengah ‘berjihad’ dengan imtihan ilmu, perlu sambung baca buku…

*Untuk pembaca setia, salam bahagia dalam kasih sayangNYA, wassalam wbr



~Cuma ingin redhaMu~
: hikmatul islam
: 8 april 2012
: ahad 1200 pm

09 March 2012

Bicara Tentang Jodoh









Bismillahirrahmanirrahim…
(Dengan menyebut nama agungMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)



Bila berbicara tentang jodoh, tiap hati mempunyai pelbagai rasa yang berbeza-beza.


Cinta kepada manusia. Cinta kepada makhlukNya.


Sebuah perasaan suci yang dianugerahkan Pencipta Cinta kepada manusia, naluri untuk saling berkasih sayang keranaNya.


Jodoh itu sudah ada. Telah tertulis di dalam kitabNya. Cuma, sebelum menemuinya, ia menjadi rahsia.


“Seperti apa bakal pasanganku? Apakah ia sepertiku? Apakah ia sama denganku?”
Tiap persoalan terlontar. Tertanya-tanya sendirian kepada Tuhan.


“Ku ingin dia seperti ini. Ku ingin dia begini.”
Masing-masing inginkan ciri idaman. Masing-masing berbeza pandangan.


Bila berbicara tentang jodoh, ku cuma mampu tersenyum.


Selayaknya sebagai manusia, ku juga punyai rasa seperti mereka semua. Inginkan cinta yang abadi, kekal bahagia selamanya.


Bagiku…


Cuma inginkan seorang imam yang mampu membimbing tanganku kepada redhaNya
Cuma inginkan seorang mujahid yang bersama-sama denganku memikul beban dakwahNya
Seiring berjalan untuk meninggikan agamaNya yang tercinta
Yang hatinya ikhlas mengharapkan redha yang Maha Esa
Yang ingin membawa cinta suci ini kekal abadi hingga ke syurgaNya



Ya. Cuma itu yang ku mahu. Cuma itu yang ku damba.


Bagaimanapun fizikalnya, bagaimana pun latar dirinya, sungguh ku tidak layak meminta seperti kehendakku. Ku juga tidak mampu menilainya dengan kaca mata zahirku.


Kerana, hanya DIA yang layak menentukan segalanya. Cuma DIA yang Maha Tahu seperti apa ciri dan sifatnya yang sesuai dan pantas untukku. Bagiku, ku tidak berhak untuk memilih, tetapi DIA yang Maha Berhak memilih jodoh yang terbaik buatku dalam sujud cinta istikharah kepadaNya.


Firman Allah s.w.t bermaksud:

“Dan Tuhanmu menciptakan apa saja sesuai dengan kehendak dan pilihanNya. Tidak ada pada diri mereka (hak) untuk memilih.”



Teringat pula kata-kata seorang akhawat kepadaku.


“Kita hanya mampu memandang manusia dengan mata zahir. Tetapi zahir dan batinnya Allah yang lebih tahu. Mungkin dia cuma kelihatan biasa-biasa di hadapan manusia, tetapi siapa yang tahu imannya ‘luar biasa’ di hadapanNya?”


Ku terdiam tanpa kata. Benar sekali bicaranya.


Kita seringkali inginkan yang kelihatan yang sempurna di mata. Ada yang mengukur dengan rupa, ada yang mengukur dengan harta, ada juga mengukur dengan pangkat semata-mata.


Tapi itu cuma ukuran manusia. Sedangkan pandangan mata manusia seringkali tersalah dan tersasar. Ukuran bagi Allah cumalah iman dan takwa.

“Jadi, harus bagaimana memilih jodoh?”

Ukuran dan nilaian sebenar itu sudah ada digariskan dalam ajaranNya. Berbuatlah istikharah dan musyawarah, pasti tidak akan menyesal. Itu janji-Nya.


Sabda Baginda saw:


“Termasuk kebahagian bani Adam (manusia) ketika dia mahu beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah, dan termasuk kerugian Bani Adam ketika dia tidak mahu beristikharah kepada Allah dan membenci apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah” (Riwayat Imam Ahmad)



Sungguh, janji-Nya adalah benar dan Allah tidak akan sesekali memungkiri janji. DIA pasti tidak akan mensia-siakan hamba yang sentiasa menyakini dan berpegang teguh kepadaNya. Yakin dan percayalah, andai dirimu soleh, pastinya sang solehah yang akan menjadi bidadari hidupmu. Begitu jugalah sebaliknya. Hayati dan yakinilah janjiNya yang seringkali kita tadabbur dalam surah An-Nur ayat 26.


Oleh itu, peringatan untuk diriku dan diri teman-teman sekalian…


Teruskanlah ‘mensolehahkan diri’. Tiap amalan akan dikira, tiap peribadi dan akhlak pasti akan tercatat, tiap kebaikan dan kebajikan pasti akan dinilai dengan teliti oleh Ilahi. Kerana dengan kiraan-kiraan itulah, DIA akan meletakkan dirimu dengan pasangan hidup yang sesuai dan sepantas dengan amalan dirimu juga.


Berdoa tanpa jemu, berdoalah, namun bukan meminta untuk hidup bahagia bersama pasangan semata-mata di dunia, tetapi berdoa agar ditemukan jodoh yang dengannya dapat semakin menguatkan iman kita kepadaNya, agar semakin kita bertambah rapat dan cinta kepadaNya, agar semakin kita dapat menggapai redha Tuhan semata-mata.


Akhir bicara cinta…

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri kami dan keturunan kami menjadi penenang hati kami dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (Al-Furqan:74)



Munajatku: “Ya Tuhanku…Dalam resah dalam gelisah, dalam takut dan cemas, ku tetap ingin mengharap padaMu Ya Rabb. Ingin ku sandarkan segalanya padaMu. Zahir dan batinnya Engkau lebih Mengetahui. Engkau lebih tahu bagaimana dia di pandanganMu.

Jika pilihan yang Engkau pilihkan ini adalah yang terbaik buatku, agamaku, dakwahku, dunia dan akhiratku, maka ku ingin redha dengan ketentuanMu. Permudahkanlah urusan jodoh ini andai benar dialah jodoh yang telah Kau catatkan buatku. Dengan kuasa agungMu ku berserah diri dan bertawakkal kepadaMu…amin”



“Buatmu sang mujahid...
'bakal' pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul
Bersabarlah menunggu kehadiranku dalam hidupmu
Apabila sampai saat dan ketikanya nanti
Suntinglah daku dengan keimanan dan ketakwaan dirimu yg teguh
sarungkan cincin di jariku dengan akhlak dan peribadimu yang luhur
 tuluslah mencintai diriku untukku semakin mencintai DIA
peganglah tanganku seiring berjuang di atas jalanNya
Dan jadikanlh daku bidadari hidupmu dengan memimpinku ke arah redha dan syurga-NYA...”





(ungkapan selepas kahwin bukan sebelum nikah ye! :)

~ Hati tenang dengan pilihanMu. Semoga terus ditetapkan hati ini hanya untukMu…~




p/s: Buat para pembaca yang dikasihi Allah sekalian, ingin sekali memiliki cinta abadi? Dengan rendah hati penulis ingin berbagi idea dan berkongsi tinta kalam penulis yang tersiar di:
Semoga kita semua kan memiliki cinta suci berpaksikan redha Ilahi… Insya Allah :’)



~Cuma ingin redhaMu Tuhan~
: hikmatul islam
: 10032012
: 0120 am

08 March 2012

Mujahadah Hati









Hembusan angin malam menyapa. Terasa kesejukan seketika. Sebatang tubuh cuba disandarkan di balik dinding putih itu.


Waktu sepertiga malam menjelma. Ya. Masa inilah yang sentiasa ditunggu-tunggu untuk bersamaNya. Untuk meluahkan segala yang terbuku di jiwa.


Diri cuba bermuhasabah. Merenung. Cuba ‘menembusi’ apa yang ada dalam hati.


Kelihatan hati itu kian pudar kejernihannya. Kian kelam dan suram. Kian malap dan gelap.


“Duhai hati,, kenapa hati engkau jadi begini? Di mana sinaranmu? Di mana ketenangan yang ada terisi dahulu?”


Hati kecil merintih-rintih bertanya. Sedangkan hati besar terdiam bisu.


Titik-titik dosa terasa terus menitik memenuhi ruangan hati. sehingga sinaran yang dahulu terang menjadi sirna.


Syaitan pula seakan bertepuk tangan dan bersorak riang tatkala melihat diri semakin lemah berkurangan iman.


Mana jiwa suci dan tenang itu? Tercari-cari tetapi tidak ditemui. Apakah jiwa itu telah hilang? Hati terus tertanya-tanya sendiri.


Ternyata mujahadah menjaga sekeping hati ternyata lebih sukar daripada memikul tanggungjawab dan amanah.


Kerana sekeping hati itu sifatnya berbolak-balik. Tidak pernah ingin tetap.


Benarlah. Andai ia diisi dengan kebaikan dan ketaatan, maka condonglah ia kepada petunjuk Tuhan.
Namun andai ia diisi dengan kelalaian dan kelekaan, maka mudah sahaja ia diresapi dengan kegelapan.


“Hati, kenapa engkau selalu begini? Kenapa engkau sukar sekali setia mencintai Ilahi??”


Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah…


(Allah. Allah. Inginkan ‘qalbun salim’…Tuhanku…andai hati ini telah punah, tolong gantikan dengan hati yang baru agar ku sentiasa dapat merasai manisnya cintaMu…)



Zikirku tidak seperti taatnya semesta alam

Terus-menerus bertasbih memujiMu

Zikirku tidak seperti taatnya hidupan lautan

Terus-menerus berzikir menyebut asmaMu

Zikirku tidak seperti makhluk tumbuhan

Yang terus-terusan ingin mengagumiMu

Zikirku tidak seperti taatnya para malaikat

Yang tidak henti-henti menyucikan zatMu

Zikirku zikir yang tempang

Yang qalil (sedikit) sekali mengingatiMu

Yang qalil sekali ingin mengagungMu

setiap detik dan waktu

sentiasa dibelenggu dengan kealpaan dan kelalaianku

Namun begitu…

Ingin zikir ini terus berlagu untukMu

Kerana jiwa sentiasa ingin kembali padaMu

Semoga zikir ini terus beralun rindu untukMu

Hingga hujung waktu…



“Duhai hati! tenang dan sejahteralah dengan sentiasa berzikir mengingati Rabbi… jangan kau khianati cinta Ilahi dengan diganti cinta duniawi… Pulanglah duhai jiwa, kembalilah semula pada Sang Pencipta yang utama…”



p/s: “Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan mengingat (nama-Nya) sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dia-lah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya memohonkan ampunan untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”
(Al-Ahzab:41-43)


~Sungguh, mentaddabburkan ayat-ayat cintaMu membuatkan hatiku yang kering menjadi basah dengan siraman kasihMu Tuhan~



Munajatku:

Ya Rabbi, pada setiap hujung sendu
Engkau tahu
pada setiap luka darah di hati
Engkau tahu
pada setiap sakitnya iman keringnya ruhi
Engkau tahu
Allah…hambamu ini lemah
teramat lemah dan doif
jangan Kau uji hamba
dengan ujian hati yang tidak mampu hamba tempuhi
Tawani hati hamba kembali 
dengan belas cinta kasihMu
Sungguh, hati ini teramat parah ‘merindu’
tatkala diri jauh dariMu…
Ya Rahman,
Sentiasalah pegang hatiku ini hanya untukMu…amin”




 ~Cuma ingin redhaMu~

:hikmatul islam
:0330 am
:06032012

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...