14 May 2012

Jatuh Cinta Lagi




Aku jatuh cinta lagi!
Cinta yang aku cintai ini 
tidak pernah jemu mencintai
Cinta yang aku cintai ini 
tidak pernah letih berada di sisi
Cinta yang aku kejari ini
 tidak pernah berhenti mengejari
Cinta yang aku gilai ini 
senantiasa setia menemani
Sungguh, ku sangat bahagia dengan cinta ini


Aku jatuh cinta lagi!
Cintanya sering mengubati resah hati
Cintanya sering mendamaikan jiwa sepi
Cintanya sering menenangkan diri ini
Tiada yang lebih bernilai dari memiliki cinta ini
Lebih harum dari bau kasturi
Lebih manis dari coklat cadbury
Lebih asyik dari keindahan duniawi
Tanpa cintanya, aku jadi sepi
Tanpa cintanya, aku akan mati


Sungguh!
Aku ingin jatuh cinta dengannya berkali-berkali
Tanpa jemu tanpa henti
Kerana cintanya kekal abadi
Kerana kasih sayangnya tidak bertepi
Itulah cinta hakiki Pencipta manusiawi
Cinta yang menebarkan cinta 
pada segenap ruang hati
Cinta Allah cinta abadi
Kekal hingga ke Jannati
Mari terus jatuh cinta kepada Ilahi
tanpa jemu tanpa henti...


Dedikasi istimewa untuk: 'mereka yang sentiasa setia mencintai ILAHI' =)





 ‘damai hati di dingin pagi’
: hikmatul islam
: 0700am
: 14052012 

06 May 2012

Kenali DIA untuk terus mencintai-NYA










Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum wbr…


Salam hembusan kasturi ‘solehah’ mewangikan seluruh pelusuk alam,

Salam tiupan angin rahmat buat insan yang sentiasa merindui Tuhan,

Salam mujahadah buat para mujahidah yang sentiasa berjuang tanpa mengenal erti kelelahan,

Salam seindah pawarna iman yang mewarnai dunia dan seluruh kehidupan.


Alhamdulillah, ‘pertempuran’ dan jihad di atas lembaran kertas ilmu telah pun berakhir pada hujung bulan April yang lalu. Semester 7 menanti dengan langkah jihad seterusnya. Sesungguhnya, perjuangan menuntut ilmu ini pastinya tidak akan pernah ada titik noktah. Semakin dipelajari ilmuNYA, ternyata diri semakin jahil.


Benar. Terasa jahil dan kerdilnya diri kerana hakikat mengenal ALLAH tidak akan terhenti setakat pada khatamnya kitab-kitab agama, tidak akan terhenti dengan hanya membaca dan mengenaliNya hanya pada nama tetapi hakikat mengenalNYA adalah dengan ‘mencariNYA’ secara berterusan. Tanpa henti.


Sungguh, ku jadi jatuh cinta pada ilmu Usuluddin tatkala abi menyuruhku mendalami ilmu ini. Pada permulaannya memang ku akui ku tidak punya minat kepada ilmu ini kerana kesukaanku lebih kepada bidang Syariah.


Namun, bak kata orang, ‘tak kenal maka tak cinta’. Akhirnya ku mengerti, andai ‘pengasasnya’ tidak kita kenali, bagaimana untuk kita terus berdiri beramal dengan setulus hati? Andai Sang Pencinta tidak kita rapati, mana mungkin kita bisa mencintaiNya sepenuh hati?


Ternyata,, semakin kita mengenali ALLAH, semakin kita merasa agung dan hebatNya kuasa DIA miliki.

Semakin kita mengenali ALLAH, semakin kita merasa diri kita kerdil dan hina andai diri jauh dari Ilahi.

Semakin kita mengenali ALLAH, semakin kuat pula DIA menguji dan terus menguji iman dan akidah di hati.


Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, kita tidak akan tersedar akan hakikat diri. Berstatus hamba yang abadi. Pemilik mutlak Ilahi.

Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, hidup kita pasti akan tersasar dari jalan petunjuk dan kebenaran.

Tanpa mengenaliNYA sebaik mungkin, pastinya kita tidak mungkin dapat membezakan antara yang patut disembah atau yang layak untuk ditaati. Kenapa? kerana cuma Dia-lah yang layak menjadi tempat tumpuan kecintaan dan ketaatan yang abadi.






Di saat datangnya sinar cahaya yang terang, DIA sentiasa menunjukkan jalan kebenaran. Sentiasa menyuluhkan cahaya dan mengeluarkan kita dari kegelapan mahupun kejahilan. Betapa baiknya DIA. Tidakkah kita menyedarinya?


FirmanNya yang bermaksud:

“Dia-lah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (memohon ampunan kepadaMu) agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan Dia maha penyayang kepada orang-orang yang beriman. (al-ahzab: 43)”


Subhanallah.. Lihatlah. Bukankah Dia sentiasa membuktikan cintaNya kepada kita? tetapi kita pula bagaimana?


“Betapa Allah sentiasa mencintai hamba-hambaNya tetapi belum tentu hamba-hambaNya bisa mencintaiNya seperti Dia mencintai hambaNya...”


Allahu… Sememangnya kita manusia sentiasa menzalimi diri sendiri. Sentiasa ingin meletakkan sesuatu pada kemahuan kita, bukan menurut kemahuanNya. Sentiasa ingin mengikut hawa nafsu dan perasaan, selalu ingin berpaling dari hukum Tuhan. (ya rabbi.. ighfirli zunubana…)


Akhirul kalam…marilah kita sama-sama susuri jejak langkah mencintai Ilahi. mari kita kenali sedalam-dalam Pencinta Sejati, agar kita bisa meraih cinta dan redhaNya yang abadi…renungi dan hayatilah firman Ilahi ini:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 
(Ali ‘Imran:31)

Juga sepotong ayat yang membuatkan jiwa terasa begitu keterharuan :’(

“Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka” (Muhammad: 17)

~Terima kasih ya allah di atas semua petunjuk yang Kau beri…diri tersedar kembali maka ku pinta kuatkanlah hati ini untuk terus memilih jalan terbaik yang Engkau tunjuki…~


DOA MUNAJAT:  “Ya allah ya Tuhan kami…andai kami jahil, maka ajarkan kami dengan ilmuMu…andai kami bodoh, maka bijakkan kami dengan mendalami agamaMu… andai kami tersesat, maka tunjukkan kami dengan hidayahMu…andai kami keliru, maka jernihkan fikiran kami dengan membimbing kami ke arah jalan kebenaranMu…

Ya allah…andai kami masih tidak bisa mengenaliMu, maka rapatilah kami agar kami dapat merasai agungNya kuasa Pencipta kami…andai kami jauh, maka dekatilah kami agar kami semakin mendekati cahayaMu…

sesungguhnya jangan ditinggalkan kami sendiri keseorangan tanpa kami mengenaliMu kerana sudah tentu kami termasuk orang-orang yang merugi…tanpa petunjuk dan hidayahMu siapalah kami…

Dengan rahmatMu Tuhan, kasihi dan sayangilah kami…penuhkanlah dalam hati kami dengan rasa takut dan harap, tawaduk dan cinta sebenar-benar cinta kepadaMu. Hanya padaMu kami meminta duhai Kekasih yang Maha Mengasihani. Amin ya rabb…”



~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul islam
: 05052012
: 0730am 

02 May 2012

Memiliki Hati ‘DAIE’




“Allah ghoyatuna (Allah tujuan kami)
Ar-Rasul qudwatuna (Rasul teladan kami)
Al-Quran dusturna (Al-Quran panduan kami)
Al-Jihad sabiiluna (Jihad jalan kami)
Al-Mautu fi sabilillah asma amanina (syahid cita tertinggi kami)!”

01.




Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, segala puji dan puja kita panjatkan selautan kesyukuran kepada Sang Pencipta kerana dengan rahmat dan kasih sayang-NYA, kita menjadi seorang Muslim, kita dapat memeluk agama-NYA yang hanif, kita masih menghirup nafas dan rahmat dalam kehidupan ‘deenul Islam’ sehinggalah ke saat ini. Alhamdulillah, bersyukurlah dengan setinggi-tinggi kesyukuran kepada yang Maha Esa yang telah memberikan nikmat terbesar ini kepada kita.

Sesungguhnya kita sangat beruntung dan bertuah kerana masih mendapat gelaran ‘Muslim’, tetapi apakah kita telah benar-benar menjadi seorang muslim? Apakah kita benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Muslim?

Entry penulis kali ini ingin mengajak dan menyeru para pembaca merenung, memahami dan sekaligus melaksanakan tugas yang mungkin selalu ‘terabai’ dalam kamus kehidupan masing-masing.

Ingatlah, Mustafa Masyhur ada mengatakan:
 "Kita perlu berasa 'izzah (mulia) dengan Islam kerana ia dapat mendorong kita beramal dan berusaha untuk mendalami Islam".



Penonton Atau Penyeru?


Sesuai dengan tajuk yang penulis gariskan, Memiliki Hati Daie iaitu mempunyai suatu perasaan yang suci, murni dan tulus terbit dari hati untuk menjadi ‘Daie Ilallah’ yang memberi erti penyeru kepada agama Allah. 

Mungkin ada sesetengah di kalangan kita selama ini hanya ingin menjadi pendengar, pengikut, ataupun penonton semata-mata. Tetapi tidak mahu, enggan, malu atau merasakan diri tidak layak bergelar ‘sang daie’ atau bahasa lainnya; ‘pendakwah’.

Penulis tidak menafikan bahawa penulis juga suatu masa dan ketika dahulu mempunyai perasaan yang sama. Beranggapan diri tidak layak memegang title ‘sang daie’. Merasa lebih selesa jika hanya menjadi pengikut atau pendengar, malahan tidak pernah mengambil berat soal ini kerana merasakan tugas tersebut hanya dipikul oleh orang-orang alim sahaja. 

Tetapi akhirnya penulis menyedari, tugas daie ini sebenarnya adalah tugas semua. Ya! Tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul untuk semua yang bergelar muslim.

Cukuplah jika selama ini kita hanya menjadi penonton. Kita sudah terlalu banyak ‘menonton’ kemusnahan, kehancuran, kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam. Kita lebih suka untuk memilih ‘diam’ daripada bersuara. Kita lebih suka ‘tidak menjaga tepi kain’ orang lain sedangkan mata melihat saudara-mara seislam kita dihina, dikeji dan diinjak-injak haknya sebagai seorang muslim. Sampai bilakah wahai saudara-saudaraku kita hanya ingin menjadi penonton sahaja?

Jangan sampai nanti kita juga menjadi ‘penonton’ kepada mereka yang berjuang dan gugur sebagai syuhada’ memperoleh mahar syurga dari-Nya, sedangkan kita? Hanya terus menjadi penonton, melihat ‘anugerah’ yang Allah berikan itu hanya untuk mereka yang berjuang untuk agama-Nya. 

Sedarilah..!Tidak akan mendapat apa-apa jika hanya sekadar menonton. Jangan pula kita nanti malahan dipersoalkan pula oleh-Nya di atas apa yang kita hanya ‘lihat’ dan ‘tonton’ sahaja itu. Sepertimana kita menjadi penonton kepada cerita drama atau filem. Kita hanya menonton cerita tersebut sampai habis, setelah berakhir cerita kita tidak mampu mengutip apa-apa pengajaran pun daripada cerita tersebut apatah lagi ingin menyampaikan semula cerita kepada orang lain.

Berbeza dengan seseorang yang mempunyai ‘hati daie’, dia menonton cerita tersebut lantas semangatnya berkobar-kobar ingin menceritakan kisah tersebut kepada yang lain, dia insaf dan mendapat pengajaran, lantas pengajaran itu juga ingin diamal dan dikongsi bersama dengan yang lain.

Nah! Seperti itulah ‘penyeru’. Dia mendapat kebaikan untuk dirinya lantas kebaikan itu ingin juga dikongsi, disampaikan dan disebarkan untuk kesejahteraan dan kebahagiaan bersama manusia yang lain manakala kebatilan dan kemungkaran pula ingin dicegah dan dihindarkan semampu mungkin.

Jadi, nak pilih yang mana?  Masih ingin menjadi penonton daripada sang penyeru? Terpulanglah pada diri anda sendiri untuk menjawabnya…

Renunglah firman Allah Taala yang bermaksud:

Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian - kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-‘Asr )






‘Daie Ilallah’- Penyeru Kepada Agama Allah


Sifat Islam sebagai ‘Deen ul Fitrah’ (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat.

Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti. Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.

Maksud dakwah ialah menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk mengingati Allah, mengenali Allah dan meninggalkan perkara yang mungkar dan melaksanakan atau mengerjakan perkara yang makruf.

Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran: 104)


Daripada ayat ini, amat jelas kepada kita satu perintah Allah supaya umat Islam membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari berlakunya kemungkaran.


Inilah tiga unsur dan elemen penting terkandung dalam gerak kerja dakwah yang dijana dan dipaksikan kepada kekuatan keimanan kepada Allah s.w.t. Tanpa paksi dan janaan iman, penghayatan terhadap dakwah akan menjadi rapuh dan luluh seperti rapuhnya iman dan luluhnya takwa kepada Allah s.w.t.

Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda yang beerti: 

"Sampaikan dariku walau satu ayat" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Duhai saudaraku yang seakidah dan seiman…Tidak kira apapun latar bidang yang kita ambil, samada bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran, perubatan…. tidak kira apapun status kita samada bergelar pelajar,doktor, askar ataupun tukang sapu… tidak kira kita kaya ataupun miskin, tidak kira kita punya pangkat mahupun harta benda…

Selagi mana kita bergelar Muslim, maka sampaikanlah walau sekadar sepatah ayat dari-NYA kerana kita punya tugas yang sama iaitu menganjurkan umat Islam untuk melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya.

Oleh kerana itu, dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim.  Dakwah menyeru manusia kepada Allah dalam berbagai dimensi dan dengan cara yang terbaik, sebagaimana maksud kalam Allah SWT:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik”. (An-Nahl:125)


Dakwah Ikut Kemampuan


Allah SWT telah memberikan takhlifan kepada kita semua untuk menunaikan tugas dakwah ini, sebagaimana telah menyerahkan tanggungjawab penting kepada kita bahkan secara tegas Allah  SWT menekankan bahawa semua makhluk tidak diberikan beban kecuali sesuai dengan kesanggupan dan kemampuannya.

Firman-Nya dalam kitab yang suci yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Al-Baqarah:286)

Sabda junjungan baginda Rasulullah SAW pula yang membawa makna:

"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Sesuai dengan kemampuannya, setiap individu muslim berkewajiban menunaikan dakwah ini, baik lelaki ataupun wanita, tidak ada alasan untuk menggugurkan perintah ini kecuali memiliki keuzuran. Allah SWT berfirman yang beerti:

“Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (At-Taubah: 91)


Allah Menilai Usaha, Bukan Hasil


Namun Allah SWT tidak membebani kita dengan hasil kerana seringkali tidak datangnya hasil dengan keinginan kita setelah melakukan segala upaya lalu mengakibatkan putus asa dalam jiwa, tapi sebanyak mana usaha dan semampu yang kita kerjakan.

Sorotilah sirah agung Baginda saw ketika menghadapi berbagai tekanan dan bahkan serangan yang puncaknya adalah ketika di Taif, meskipun Nabi pergi ke Taif untuk menunaikan dakwah kepada Allah dan mengharap ridha-Nya tetapi tidak mendapat respon sedikitpun dari mereka, bahkan Baginda saw dihina, dikeji, dilemparkan batu sehingga berdarah kakinya namun Baginda tetap tidak berputus asa malahan berharap dan berdoa kepada ALLAH agar diberikan mereka petunjuk.

Allah SWT berfirman yang beerti:
“Kewajibanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah)”. (As-Syura:48)






: Amal Dengan Ikhlas


"Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan yang hampir usang dan roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda... aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka... tapi, aku inginkan HATI-HATI YANG IKHLAS untuk bersama-sama membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah" - Imam As-syahid Hasan Al-Banna-


Hasan Al-Banna rahimahullah telah mereguk sumber yang jernih ini, dengan mengarahkan dan menuntun para pengikutnya ke arah jalan dakwah kepada membangunkan ummat Islam. Beliau adalah mursyid pertama jamaah ini yang mengikuti sunnah Nabi saw dalam mengerahkan potensi yang dimiliki, disertai dengan keikhlasan dan pengorbanan serta ikatan yang kuat pada setiap individu jamaah sehingga mereka menjadi seperti bangunan yang kukuh dan kuat.

Akhirul kalam, ikhlaskanlah hati, milikilah hati yang bersifat ‘daie’. Pikullah tugas dakwah ini cuma semata mengharapkan redha Ilahi. Buatlah semampu dan terbaik yang kita mampu lakukan untuk dipersembahkan amal  tulus di hadapanNya kelak.

Sesungguhnya, renunglah dalam-dalam pengakuan saksi kita sebagai hambaNya dalam kalam ALLAH SWT yang bermaksud:

Katakanlah: Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya." (QS. Al An’am : 162)

p/s: “Marilah kita termasuk di kalangan orang-orang yang beruntung dengan saling berpesan kpeada kebenaran dan kesabaran, bukan terus duduk dalam golongan yang rugi. Sama-sama kita mengislahkan diri, perbaiki diri ke arah lebih baik sambil mengajak yang lain juga untuk menjadi baik. Milikilah ‘hati daie’, pasti dirimu mulia di sisi Ilahi!” =)


Berkata Imam Ahmad Bin Hanbal:

“Sesungguhnya peluang untuk mengembangkan dakwah itu adalah taufik daripada ALLAH. ALLAH-lah yang memudahkannya bagi sesiapa yang didapati ada kebaikan di dalam hatinya. Tugas itu adalah penghormatan dari ALLAH kepada seorang hamba, bukannya sebagai bebanan”




~Cuma ingin redhaMu~
: Hikmatul islam
: 01052012
: 0430pm 

  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...