23 November 2012

Palestin: “Mereka Terus Berjuang Di Sana, Apa Pula Jihad Kita Di Sini?”






Isu palestin.

Ramai yang bercakap mengenainya.

Di facebook, twitter, akhbar, berita melaporkan serangan demi serangan Yahudi ke atas bumi Gaza.

Bumi anbiya’, bumi barakah yang sangat dibenci oleh kaum kafirin.

Bernanah kebencian itu sejak berabad lamanya dahulu, yang telah lama bermusuhan bermula dengan para anbiya dan kebencian mereka tidak akan terhapus melainkan melihat Islam jatuh dan hancur.

Seakan sudah menjadi lumrah, bumi Gaza akan terus diserang. Tanpa henti.

Bumi itu akan sentiasa bermandikan air mata dan darah para syuhada’.

Setiap kali diserang, setiap kali itu jugalah kita akan beremosi marah, sedih dan mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh puak Israel laknatullah.

Alhamdulillah, itu tandanya kita sebagai ummat Islam menunjukkan rasa cakno serta prihatin kepada saudara seislam dengan apa yang berlaku di Negara timur tengah itu.

Ada yang ingin hulurkan sumbangan wang, ada yang berdemonstrasi membantah serangan Israel, ada yang memboikot barangan Yahudi dan ada pula yang sanggup ke sana untuk misi bantuan kemanusiaan di Palestin. Subhanallah!

Suatu usaha yang cukup bagus dan terpuji. 

Semoga Allah mengira setiap amal tersebut, meskipun sedikit tetapi andai ianya ikhlas maka itu sudah cukup untuk melamar redhaNya.

Sesungguhnya Allah itu Maha Teliti lagi Maha Halus dalam setiap pengiraan amal hamba-hambaNya.

Namun, entry kali ini ingin saya lontarkan dari sisi sudut yang mungkin ada setengah dari kita terlepas pandang.




Di facebook, saya memerhatikan betapa status yang terpapar akhir-akhir ini penuh dengan gambar-gambar yang diuplode yang memperlihatkan kematian demi kematian para syuhada’.

Ada yang dibom sehingga berkecai badan, ada yang mati sambil wajahnya tenang dan tersenyum kerana dapat melihat syurga memanggil mereka yang syahid.

Ada pula yang menyeru dan merayu agar kita semua berdoa tanpa henti agar Allah menurunkan bala tentera menghancurkan puak Israel laknatullah itu.

Ada pula yang berdegar-degar bercakap tanpa henti akan isu Palestin, agar dapat mengingatkan kepada sahabat-sahabat yang lain agar turut cakno akan isu tersebut.

Alhamdulillah, sesungguhnya saya memuji itu semua adalah satu usaha yang sangat bagus kerana menunjukkan kesensitiviti kita sebagai umat Islam.

Walaupun kecil usaha tersebut, tetapi amat besar sumbanganya dalam membantu mereka yang berjuang di sana.

Teruskanlah usaha tersebut, tiada apa salahnya dan itu adalah usaha murni dari kita, yang lahir dari hati yang sangat kasih dan sayangkan sesama saudara seislam di sana.

Cuma, terkadang, kita lupa dari satu sudut yang lain.

Mereka di sana memang telah dilahirkan sebagai pejuang agamaNya.

Mereka yang terbunuh dan dizalimi, Allah sememangnya telah menyediakan ganjaran yang cukup indah buat mereka.

Tetapi kita di sini?

Pastilah ingin juga bergelar pejuang agamaNya.

Namun, apakah jihad kita di sini?

Kita telah menyampaikan dakwah di facebook misalnya, dan Allah menyaksikan usaha baik kita itu.

Tetapi, sayangnya, dalam kita ingin memperjuangkan seperti mana yang mereka di sana perjuangkan, ada satu sudut dari diri kita sendiri diabaikan.

Contohnya, kita menyampaikan perkara yang baik di facebook, ingin menyampaikan dakwah tetapi sehingga terlupa akan wajibat yang lain.

Ada yang tersasar waktu solat kerana terlalu asyik menghadap facebook. Bukankah solat di awal waktu itu jauh lebih afdal berbanding yang lain?

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
“Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:
Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”





Ada pula yang setiap 10 minit akan sentiasa update status di facebooknya sehinggakan dia sebenarnya seakan telah ‘terlupa’ bahawa ada wajibat lain yang harus lebih diaulakan.

Apa wajibat lain yang patut lebih diutamakan itu?

Itulah, ibadah kita sebagai muslim.

Saya paparkan contoh-contohnya;

·         Berapa kali dalam sehari kita membaca al-Quran? Satu helai atau satu juzuk?

·         Sudah khatam atau tidak membaca tafsiran (terjemahan) al-Quran? Dan menghayati maksud dan erti setiap ayatNya?

·         Berapa lama masa kita peruntukkan masa untuk membaca buku-buku ilmiah?

·         Berapa ratus zikrullah yang dapat kita bertasbih setiap hari?

·         Berapa lama masa yang kita luangkan bersama dengan sahabat-sabahat untuk berusrah atau bermesra dengan family kita sendiri?

·         Adakah solat sunat- tahajud, taubat, witir, dhuha terjaga setiap hari?


Namun, sayangnya, ramai yang mengabaikan posisi ini.

Sehingga masa habis begitu sahaja.

Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(QS. 18:103-104: terjemahan surah Al-Kahfi)



Allahu allah...

Semoga kita bukan dalam golongan ini...

Saya teringatkan cerita akan perihal seorang sahabat saya yang suka berfacebook. Setiap hari, pasti dia akan update status di fb. Dengan kata-kata hikmah untuk menyebarkan dakwah. 

Itu sememangnya saya amat puji usaha dakwahnya, tetapi sayang tatkala dia meluangkan masa yang sedikit untuk menghafaz al-Quran. Sehinggakan, tasmiq dan syafawi tidak sempat dihabiskan. 

Bukankah itu sudah menjadi kerugian? Terabai tanggungjawab sebagai tolib.

Sebetulnya, berdakwah memang wajib, tetapi ibadah juga wajib dijaga.

Jika mereka di sana mengangkat senjata untuk berperang,

Maka kita di sini angkatlah senjata kepada hawa nafsu untuk memerangi nafsu syahwat kepada dunia yang banyak menipu daya, yang melekakan dan melalaikan kita dari mengingati Allah.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
 (terjemahan surah Al-Ankabut 64).


Ketahuilah, syaitan amat licik sekali menipu daya manusia dalam pelbagai dimensi. Hatta dalam kita ingin berbuat kebaikan pun, syaitan begitu pandai menggoyahkan keikhlasan di dalam hati.

Dia (iblis) berkata: "Demi kemuliaan Engkau (Allah), sungguh aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu (hamba-hamba Allah) yang ikhlas (dipersucikan) antara mereka.”
(terjemahan surah Sad:82-83)



Sesungguhnya..

Saya tidak ingin melemparkan semua tohmahan itu kepada orang lain, kecuali diri saya sendiri yang pertamanya.

Saya, diri saya ini yang banyak terleka dan terlalai.

Diri saya, yang pernah tertipu dengan kelicikan syaitan itu...

Semoga dengan tulisan yang tertinta ini, tatkala setiap kali saya bacanya berulang-ulang, Allah mahu saya dulu yang ingat dan bermuhasabah..

Dan, jika semua ciri itu tiada pada diri kalian, maka saya yakini, kalian sememangnya layak untuk bergelar seorang pejuang.

Seorang pejuang yang benar-benar ingin menegakkan agamaNya.

Insya allah, mari kita terus berjuang.!

“Tegakkan Islam di dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di bumimu”
( As-syahid Imam Hassan Al- Banna)

Sekadar ingin berkongsi sebuah pandangan.

Diharapkan dapat memuhasabahkan diri bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran. . .

Sekian, wallahua’lam.




: hikmatul islam         
: 10 muharram 1434H
: 24112012
: 1230 am

14 November 2012

Hijrah diri: Cuma untuk redhaNya~







“Kita mendirikan ibadah kerana inginkan syurga, menjauhi dosa kerana takutkan neraka. Andai syurga dan neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama?”



Secebis pertanyaan dari penulis Muhammad Hassan Basri dalam bukunya yang bertajuk ‘Andai Syurga dan Neraka Tidak Ada’  benar-benar menarik hatiku untuk memikirkan persoalan tadi.


“Erm…andai kata syurga dan neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama? Adakah kita masih bersungguh-sungguh melakukan amalan tersebut untukNya?”


Pertanyaan itu tertanya-tanya lagi.

Syurga…

Bayangan indah yang tidak dapat terjangkau dengan penglihatan mata. Tidak pernah kan terungkap dengan lisan dan kalam, tidak pernah kan terdengar dengan mana-mana pendengaran.

Keindahan syurga tidak pernah terlintas di fikiran, tidak pernah terdetik di hati kerana ciptaan itu terlalu agung yang tercipta oleh Tuhan yang Maha Agung.

Siapa yang tidak inginkan syurga? Kekal abadi selamanya.

Tiada duka, tiada sengketa. Tiada air mata, tiada lagi lara. Yang ada cuma bahagia. Yang ada cuma senyum tawa. Semuanya indah-indah belaka.

Subhanallah… Begitu asyiknya syurga!

Bagaimana pula dengan neraka?

Jika keindahan dan keasyikan syurga tidak tergambar dengan apa-apa gambaran lukisan, begitu jualah neraka.

Azab api yang tidak mungkin kan tertahan. Kebinasaan dan kecelakaan yang berpanjangan. Kepedihan yang maha dasyat.

Tidak kan mampu terlakar dengan patah perkataan apapun untuk dinukilkan. Terlalu ngeri dan menakutkan.!

Namun sayang. Manusia masih lagi dalam kelekaan. Manusia masih ramai dalam kelalaian. Manusia sedikit sekali merasai keinsafan…


Iman dan nafsu seringkali berhujah dan berbalah. Harus mujahadah. Harus. Bahkan perlu sentiasa mujahadah agar iman tidak tertewas.


Ada manusia yang beribadah kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.

Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan.

Neraca timbangan antara dosa dan pahala yang dilakukan. Kehidupan abadi kelak juga berakhir dengan destinasi terakhir ini juga, samada masuk ke syurga atau ke neraka.

Rasulullah saw bersabda:

“ Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka atau syurga dan dikatakan kepadanya, ‘inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana.”

(hadis riwayat Imam Bukhari)


Persoalannya, “benarkah kita beramal semata-mata inginkan syurga dan takutkan neraka??”






Pertanyaan itu masih tidak dapat ku jawab. Lalu ku cari lagi jawapan yang tepat. Meneruskan pembacaan dari buku tersebut.

Seorang tokoh sufi besar yang berasal dari Baghdad iaitu Abu Bakr asy-Syibli prihatin dalam hal itu. Syibli pernah berlari sambil membawa sepotong kayu yang terbakar pada kedua-dua hujungnya. Orang ramai kehairanan melihat tindakannya yang aneh lalu bertanya apakah yang dia sedang lakukan??

Syibli menjawab,

“Saya mahu membakar neraka dengan api yang berada di satu hujung kayu ini dan membakar syurga dengan api di hujung satu lagi sehingga menusia melakukan ibadah semata-mata kerana ALLAH.”


Ternyata, tindakan tokoh sufi itu menunjukkan beliau tidak setuju dengan manusia yang beribadah kepada ALLAH kerana takutkan neraka dan cuma kerana inginkan syurga.

“Beliau menegaskan beribadah itu semata-mata cuma kerana cinta dan taat kepada ALLAH.!”


Allahuakbar…

Dilihat pula pada tokoh sufi wanita yang mayhur dengan keimanannya yang tinggi kepada Ilahi, yang mencapai maqam mahabbah iaitu cinta kepada ALLAH.

Dan maqam ini hanya mampu dicapai oleh orang-orang pilihan dan merupakan puncak dalam beribadah. Orang-orang yang seumpama itu sentiasa bermusyahadah iaitu mengingati ALLAH walaupun sedang tidur.


Lihatlah indahnya doa Rabiatul Adawiyah ini.

“Ya Allah, sekiranya aku meyembahMu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun, sekiranya aku menyembahMu semata-mata demiMu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajahMu yang abadi kepadaku.”


Subhanallah…tidak mampu manusia biasa mencapai maqam iman tersebut, melainkan orang-orang yang terpilih sahaja.

Ku tutup kitab.

Telah ku temui jawapannya dari persoalan penulis tadi.

Ikhlas.


“Semuanya perlu ikhlas. Beramallah dengan ikhlas. Cuma mengharapkan redhaNya semata-mata.”


Tidak perlu kita menghitung-hitung amalan kita untuk ditukar dengan syurgaNya. Tidak perlu kita meminta-minta pula dibalaskan dengan api neraka.

Benar. Syurga dan neraka itu termasuk di dalam perkara ghaib yang perlu kita imani. Perkara ghaib yang Allah ciptakan dan sediakan untuk membalas segala amal-amal manusia dengan selayaknya.


Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan sentiasa memuhasabahkan kita.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan sentiasa menyedarkan diri kita yang sentiasa terleka dan terlena.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan membuatkan kita semakin bersungguh-sungguh untuk mencintaiNya, untuk semakin dekat denganNya.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, akan sentiasa memperingatkan kita tentang bukti kekuasaanNya, bukti maha Agung kudratNya.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, kita akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk bersikap dan beramal dengan amalan ahli syurga dan menjauhi sikap ahli neraka.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, kita akan lebih bersungguh-sungguh bermujahadah melawan hawa nafsu yang seringkali mengajak kita untuk jatuh ke jurang neraka dan mendidik jiwa agar kembali nanti dengan tenang menemuiNya di syurga.

Ikhlaskan semuanya. Meraih redha Tuhan bukan sesenang yang kita bayangkan. Terlalu banyak ujian dan dugaan yang perlu dihadapkan. Hadapinya dengan jiwa yang tenang. Kerana yakin dan percayalah dengan janji-janji Tuhan. Dia lah Ar Rahman yang Maha Penyayang.



“Semoga apa yang ingin ku sampaikan tidak kan tersasar dari keinginanMu ya Tuhan…  

~Salam Maal Hijrah ke arah penghijrahan diri ke arah mencari cinta dan redhaNya tanpa henti sehingga akhir nafas ini…

Wallahu’alam.”






Munjatku: “Tuhan. Ku tidak layak untuk ke syurgaMu, tetapi tidak pula sanggup untuk ke nerakaMu. Oleh itu, ampunilah segala dosa-dosaku, rahmati dan kasihanilah daku. Jadikanku hamba yang beriman, yang sentiasa ingin mendambakan cinta dan kasihMu. Tulus ikhlaskan segala amalanku, semoga kan bisa meraih redhaMu Tuhan…Amin…”



: hikmatul islam         
: 1muharram 1434H
: 14112012
: 2013 am

11 November 2012

~Ingin berlari mengejar mimpi~







Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan menyebut namaMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Lama mata menatap.

Melihatkan laman hikmah ini sudah lama benar terbiar ‘sepi’ tanpa isian.

Tanpa lakaran hikmah dan pengajaran.

Bisu berlari dengan larian masa yang cukup mencemburui tangan menaip tiap patah perkataan.

Tugas sebagai tolibah dalam menghadapi tiap imtihan dan pelbagai amanah persatuan, itu yang membuatkan diri menyandarkannya sebagai alasan.

Mungkin juga kerana kondisi badanku yang sering kali tidak sihat, lantas lama tidak mengizinkanku untuk menaip pena dakwah di sini.

Sedangkan hamasah dan minat untuk menulis sentiasa segar bugar hidup di dalam hatiku. Tidak pernah hilang rasa itu. Sentiasa teruja dan ghairah untuk menulis.

Cuma, tulisan dan contengan hati itu akhirnya banyak tersimpan sepi dalam folder ‘Hikmatul Islam’, kerana tidak sempat untukku berlama-lama di hadapan laptop apatah lagi untuk mengepostnya di laman ini.

Apa jua yang berlaku dalam titian hidupku, ada yang sempat ku catatkan kenangan itu di atas kanvas putih, ada juga selebihnya ku simpan di dalam memori ingatan, tunggu saat dan detiknya untuk dibiaskan. 

Namun, segala luahan hati dan kata-kata juga kadang tidak kan termampu untuk menterjemahkan dengan tepat segala isi hati. Kenapa seperti itu?

Kerana Allah sahaja yang Maha Tahu rasa yang tersirat di hati. Kerana Dia yang Maha Memahami semua rasa yang bergulir dalam qalbi.

Apapun, akan ku kongsikan apa adanya. Akan ku teruskan jua hasrat suci untuk mengejar sebuah impian yang sudah lama tersulam rapi.


“Meski diri serba kekurangan, banyaknya kelemahan..
Meski diri tidak pernah sempurna menjadi hamba Tuhan..
Meski diri tidak layak untuk menjadi seperti mereka yang hebat-hebat dalam penulisan..
Biarlah ku jadi seorang hamba faqir 
yang tetap bertatih menulis dalam perjalanan mencari cinta Ar-Rahman..."


Dalam indah bayangan di balik awan, dalam doa munajat di saban malam. 

Terus beralun memohon hikmah petunjuk dari yang Maha Kuasa…

“Allahumma faqihhu fiddin, wa’allimhu ta’wil”

Ingin menjadi seorang penulis, seorang penulis yang pastinya berjiwa daie. Insha Allah, semoga impian ini Allah makbul dan redha.

Pohon doa kalian. Wallahua’lam.

p/s: ‘Besar hajat di hati untuk melihat hasil lakaran yang ku lakarkan selama ini dibukukan. Semoga Allah makbulkan hajat ini suatu hari kelak. Amin..’


: hikmatul islam
: 10112012
: 1212 p.m 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...