Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

23 November 2012

Palestin: “Mereka Terus Berjuang Di Sana, Apa Pula Jihad Kita Di Sini?”






Isu palestin.

Ramai yang bercakap mengenainya.

Di facebook, twitter, akhbar, berita melaporkan serangan demi serangan Yahudi ke atas bumi Gaza.

Bumi anbiya’, bumi barakah yang sangat dibenci oleh kaum kafirin.

Bernanah kebencian itu sejak berabad lamanya dahulu, yang telah lama bermusuhan bermula dengan para anbiya dan kebencian mereka tidak akan terhapus melainkan melihat Islam jatuh dan hancur.

Seakan sudah menjadi lumrah, bumi Gaza akan terus diserang. Tanpa henti.

Bumi itu akan sentiasa bermandikan air mata dan darah para syuhada’.

Setiap kali diserang, setiap kali itu jugalah kita akan beremosi marah, sedih dan mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh puak Israel laknatullah.

Alhamdulillah, itu tandanya kita sebagai ummat Islam menunjukkan rasa cakno serta prihatin kepada saudara seislam dengan apa yang berlaku di Negara timur tengah itu.

Ada yang ingin hulurkan sumbangan wang, ada yang berdemonstrasi membantah serangan Israel, ada yang memboikot barangan Yahudi dan ada pula yang sanggup ke sana untuk misi bantuan kemanusiaan di Palestin. Subhanallah!

Suatu usaha yang cukup bagus dan terpuji. 

Semoga Allah mengira setiap amal tersebut, meskipun sedikit tetapi andai ianya ikhlas maka itu sudah cukup untuk melamar redhaNya.

Sesungguhnya Allah itu Maha Teliti lagi Maha Halus dalam setiap pengiraan amal hamba-hambaNya.

Namun, entry kali ini ingin saya lontarkan dari sisi sudut yang mungkin ada setengah dari kita terlepas pandang.




Di facebook, saya memerhatikan betapa status yang terpapar akhir-akhir ini penuh dengan gambar-gambar yang diuplode yang memperlihatkan kematian demi kematian para syuhada’.

Ada yang dibom sehingga berkecai badan, ada yang mati sambil wajahnya tenang dan tersenyum kerana dapat melihat syurga memanggil mereka yang syahid.

Ada pula yang menyeru dan merayu agar kita semua berdoa tanpa henti agar Allah menurunkan bala tentera menghancurkan puak Israel laknatullah itu.

Ada pula yang berdegar-degar bercakap tanpa henti akan isu Palestin, agar dapat mengingatkan kepada sahabat-sahabat yang lain agar turut cakno akan isu tersebut.

Alhamdulillah, sesungguhnya saya memuji itu semua adalah satu usaha yang sangat bagus kerana menunjukkan kesensitiviti kita sebagai umat Islam.

Walaupun kecil usaha tersebut, tetapi amat besar sumbanganya dalam membantu mereka yang berjuang di sana.

Teruskanlah usaha tersebut, tiada apa salahnya dan itu adalah usaha murni dari kita, yang lahir dari hati yang sangat kasih dan sayangkan sesama saudara seislam di sana.

Cuma, terkadang, kita lupa dari satu sudut yang lain.

Mereka di sana memang telah dilahirkan sebagai pejuang agamaNya.

Mereka yang terbunuh dan dizalimi, Allah sememangnya telah menyediakan ganjaran yang cukup indah buat mereka.

Tetapi kita di sini?

Pastilah ingin juga bergelar pejuang agamaNya.

Namun, apakah jihad kita di sini?

Kita telah menyampaikan dakwah di facebook misalnya, dan Allah menyaksikan usaha baik kita itu.

Tetapi, sayangnya, dalam kita ingin memperjuangkan seperti mana yang mereka di sana perjuangkan, ada satu sudut dari diri kita sendiri diabaikan.

Contohnya, kita menyampaikan perkara yang baik di facebook, ingin menyampaikan dakwah tetapi sehingga terlupa akan wajibat yang lain.

Ada yang tersasar waktu solat kerana terlalu asyik menghadap facebook. Bukankah solat di awal waktu itu jauh lebih afdal berbanding yang lain?

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
“Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:
Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”





Ada pula yang setiap 10 minit akan sentiasa update status di facebooknya sehinggakan dia sebenarnya seakan telah ‘terlupa’ bahawa ada wajibat lain yang harus lebih diaulakan.

Apa wajibat lain yang patut lebih diutamakan itu?

Itulah, ibadah kita sebagai muslim.

Saya paparkan contoh-contohnya;

·         Berapa kali dalam sehari kita membaca al-Quran? Satu helai atau satu juzuk?

·         Sudah khatam atau tidak membaca tafsiran (terjemahan) al-Quran? Dan menghayati maksud dan erti setiap ayatNya?

·         Berapa lama masa kita peruntukkan masa untuk membaca buku-buku ilmiah?

·         Berapa ratus zikrullah yang dapat kita bertasbih setiap hari?

·         Berapa lama masa yang kita luangkan bersama dengan sahabat-sabahat untuk berusrah atau bermesra dengan family kita sendiri?

·         Adakah solat sunat- tahajud, taubat, witir, dhuha terjaga setiap hari?


Namun, sayangnya, ramai yang mengabaikan posisi ini.

Sehingga masa habis begitu sahaja.

Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(QS. 18:103-104: terjemahan surah Al-Kahfi)



Allahu allah...

Semoga kita bukan dalam golongan ini...

Saya teringatkan cerita akan perihal seorang sahabat saya yang suka berfacebook. Setiap hari, pasti dia akan update status di fb. Dengan kata-kata hikmah untuk menyebarkan dakwah. 

Itu sememangnya saya amat puji usaha dakwahnya, tetapi sayang tatkala dia meluangkan masa yang sedikit untuk menghafaz al-Quran. Sehinggakan, tasmiq dan syafawi tidak sempat dihabiskan. 

Bukankah itu sudah menjadi kerugian? Terabai tanggungjawab sebagai tolib.

Sebetulnya, berdakwah memang wajib, tetapi ibadah juga wajib dijaga.

Jika mereka di sana mengangkat senjata untuk berperang,

Maka kita di sini angkatlah senjata kepada hawa nafsu untuk memerangi nafsu syahwat kepada dunia yang banyak menipu daya, yang melekakan dan melalaikan kita dari mengingati Allah.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
 (terjemahan surah Al-Ankabut 64).


Ketahuilah, syaitan amat licik sekali menipu daya manusia dalam pelbagai dimensi. Hatta dalam kita ingin berbuat kebaikan pun, syaitan begitu pandai menggoyahkan keikhlasan di dalam hati.

Dia (iblis) berkata: "Demi kemuliaan Engkau (Allah), sungguh aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu (hamba-hamba Allah) yang ikhlas (dipersucikan) antara mereka.”
(terjemahan surah Sad:82-83)



Sesungguhnya..

Saya tidak ingin melemparkan semua tohmahan itu kepada orang lain, kecuali diri saya sendiri yang pertamanya.

Saya, diri saya ini yang banyak terleka dan terlalai.

Diri saya, yang pernah tertipu dengan kelicikan syaitan itu...

Semoga dengan tulisan yang tertinta ini, tatkala setiap kali saya bacanya berulang-ulang, Allah mahu saya dulu yang ingat dan bermuhasabah..

Dan, jika semua ciri itu tiada pada diri kalian, maka saya yakini, kalian sememangnya layak untuk bergelar seorang pejuang.

Seorang pejuang yang benar-benar ingin menegakkan agamaNya.

Insya allah, mari kita terus berjuang.!

“Tegakkan Islam di dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di bumimu”
( As-syahid Imam Hassan Al- Banna)

Sekadar ingin berkongsi sebuah pandangan.

Diharapkan dapat memuhasabahkan diri bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran. . .

Sekian, wallahua’lam.




: hikmatul islam         
: 10 muharram 1434H
: 24112012
: 1230 am

25 November 2011

KETULUSAN HATI




Tuhan,
Dalam letih aku menagih
Dalam pedih aku merintih
Dalam sendu aku merayu
Dalam air mata aku meminta...
Ikhlaskan hati ini Ya Rabbi!
sungguh sukar sekali
untuk meraih sebuah ketulusan
sekeping hati bernama qalbi…



Sesungguhnya,
aku amat malu pada-Mu
betapa lemahnya aku
dalam menghadapi tiap ujian
yang Kau berikan pada diriku
padahal Engkau ingin menguji
dan terus menguji lagi
sehingga thabat hati ini
hanya semata untuk-Mu Ilahi…



Terkadang saat hati telah tulus
datang bisikan demi bisikan
penggoyah ketetapan iman
‘hatiku untuk-Nya!’
‘apa benar-benar kerana-Nya?’
‘Atau kerana manusia semata??’
akhirnya tersungkur lemah
dek goncangan syaitan
yang sentiasa menggoda
agar berpaling dari suci hati untuk-Nya…



Rabbi…
Jangan diuji sehingga ia hilang
menjadi debu-debu yang berterbangan
yang bisa menghancurkan amal kebajikan
yang telah lelah dikerjakan
pengorbanan demi pengorbanan
moga selamat sampai ke mizan
untuk beroleh syafaat dan kasih-Mu Tuhan..



Ya Ilahi…
Dalam payah aku pasrah
Tangan diangkat terus menadah
Memohon ampun dan maghfirah
Mendamba sebuah ketulusan hati
Pasakkan ia meski sentiasa goyah
Kasihani hamba-Mu yg bersifat lemah
Kerana Dikau Maha Pemurah…



Pintaku pada-Mu,,
Moga masih tersisa
Di sudut hati kecil ini
Kurniakan daku rahsia itu Tuhan
Memahami dengan sebenar-benar pengertian
Erti sebuah keikhlasan
Ku harapkan jernih sebuah ketulusan
Moga apa yang dikerjakan
Hanya demi REDHA-Mu Ya Rahman…






p/s: "Sesungguhnya Kami turunkan kitab (al-Quran) itu kepada engkau dengan kebenaran. Oleh sebab itu sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama semata-mata keranaNya. Ketahuilah bahawa agama yang suci murni itu kepunyaan Allah." (al-Zumar:2-3) 



~sebuah monolog jiwa hikmatul islam~

: Sabtu,
: 1200 pm,
: 1 Muharram 1433 Hijrah.


01 August 2011

Nostalgia Ramadhan: ‘Seharum Pemergianmu….’



Bismillahirrahmanirrahim…
Ahlan ya Ramadhan, ahlan wasahlan wa marhaban bikum…
Alhamdulillah, kita bersyukur dan dipanjatkan selautan kesyukuran itu kepada yang Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana hingga detik ini DIA masih lagi ingin memberi peluang kepada kita semua mencicip hawa rahmat kedatangan Ramadhan, masih lagi dapat menyentuh bayu keberkatan dari-Nya serta masih dapat menadah tangan untuk memohon keampunan dan maghfirah di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini...

Semoga kita juga masih berkesempatan merebut peluang bertemu dengan malam lailatul Qadar. Insya Allah, pasti akan bertemu buat para hati dan jiwa yang sentiasa tulus ikhlas mencari sinar keredhaanNya…

Penulis ingin membuka tirai Ramadhan ini dengan berkongsi suatu kisah yang berlaku pada awal bulan Ramadhan yang lalu. Jika kebanyakan entry dan perkongsian para sahabat di blogger mengenai sambutan bulan Ramadhan, kelebihan dan fadhilat serta pelbagai lagi amalan dan ibadah yang dianjurkan untuk diamalkan sepanjang bulan yang mulia ini, tetapi penulis memilih ingin membukanya dengan sebuah cerita tentang ‘kematian’…semoga dengan cerita yang serba ringkas nie dapat menjadi muhasabah kepada diri dalam meniti madrasah sepanjang Ramadhan kali ini…




                                                     *********************************

Di pintu awal Ramadhan...Betapa besar rahmat Ilahi yang meliputi seluas langit dan bumi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dengan tinta takdir dari-Nya penulis dilahirkan, dipinjamkan roh untuk bernafas menjadi khalifah di muka bumi yang sementara ini.. terasa diri sangat bertuah dan bersyukur dapat melihat dunia dengan keberkatan awal bulan yang cukup mulia, semoga perjalanan hidup juga mendapat keberkatan dari-Nya..insya Allah…

Dan dengan tarikh ini jualah ia menjadi lipatan sejarah, sebuah tarikh yang tak mungkin penulis lupakan… 2 Ramadhan 1431H….perginya seorang serikandi, seorang mujahidah, sebagai teman dan seorang sahabat yang cukup meninggalkan kesan dalam hidup kami semua, lebih-lebih lagi buat mereka yang menjadi teman terakrab dengan arwah...

Berita ‘pemergiannnya’ yang tiba-tiba itu membuatkan kami semua terpana…kaget dan terkejut…tertanya-tanya kesohihannya apabila mendapat berita hanya melalui kiriman mesej.. seakan hati ingin menafikan…namun, berita itu ternyata benar apabila nama yang tercatat adalah Nor Hidayah Ibrahim…kami tidak tersilap lagi… sejurus mendapat berita tersebut, kami semua terduduk…esakan silih berganti…air mata penulis juga kian deras…tidak dapat menahan sebak dan pilu menyelubungi rasa hati…

Nyata dia pergi jua dari hidup kami… sesungguhnya hajat arwah tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajiannya ke tanah Acheh… kemalangan jalan raya yang telah menjadi asbab pemergiannya benar-benar merobek hati dan jiwa kami… Tanyalah pada mana-mana orang yang pernah mengenali dirinya, pasti mereka juga turut merasa hiba dengan pemergiannya…

Terbayang-bayang di tubir mata penulis… Senyumannya yang sangat manis…keharuman akhlaknya…kelembutan tutur katanya sangat memikat hati… tugas dan amanah yang dipikul sebagai Timbalan Biro Kebajikan selayaknya Allah telah memilihnya untuk menggalas tanggungajwab tersebut... terserlah sikapnya yang ringan tulang, sangat suka membantu orang serta ketulusan hatinya dalam menjaga dan menguruskan kebajikan para sahabat di kampus kami suatu masa dahulu..

Meskipun penat dan terbeban dengan banyak amanah yang harus dilaksanakan, tetapi tidak pernah kedengaran suaranya merungut…jauh pula bermasam muka apatah lagi mengikut rasa amarah…dia sentiasa tersenyum manis walaupun di sebaliknya terselit luka…tidak pernah mengeluh dan mempamerkan wajahnya yang duka... dia juga tidak pernah sesekali alah dan mengalah menghadapi setiap ujian yang datang…

Arwah yang lebih dikenali sebagai ‘kak yah’ sememangnya seorang yang sangat penyabar, pengasih, penyayang, peramah, mesra, baik hati, sangat suka menghulurkan bantuan dan pendengar yang baik… serta terlalu banyak lagi pesona akhlak yang tidak terungkap untuk dijelaskan dengan setiap bait patah perkataan... Sungguh, penulis sangat terkesan dengan akhlak dan peribadi arwah yang banyak mendidik jiwa penulis sehingga kini ingin sentiasa mencontohi qudwah hasanah yang dimiliki oleh arwah… sememanngya bagi yang mengenali diri arwah kak yah, akan dapat menilai dan merasai sendiri kecantikan hati dan budi pekertinya…

Kenangan satu persatu dengan arwah tersingkap... berada bersama arwah walaupun sekejap namun meninggalkan kenangan yang sukar untuk dilupakan… berada di sampingnya, penulis sentiasa tertawa... begitu pandai arwah mengambil hati dengan kata-katanya yang menghiburkan jiwa… panggilan ‘dik yoni’ kepada penulis masih terngiang-ngiang kedengaran…

Arwah merupakan sahabat kepada kakak penulis.. dan dalam masa yang sama, arwah juga menjadi rapat dengan penulis dek layanannya yang mesra dengan semua orang…sehinggakan penulis begitu senang berkongsi apa jua cerita dan masalah kepada arwah…begitu tekun dia menjadi pendengar setia serta memahami dan cuba menyelami masalah yang dikongsi…selalu juga dia memberi kata puji, semuanya lahir tulus dari hatinya dalam menuturkan madah bicara…

Lamunan terhenti…kini kembali kepada hakikat realiti…dia pergi buat selama-lamanya tidak akan lagi kembali…kami pasrah dan meredhai…setiap yang hidup pasti akan mati…ia sudah menjadi sunnah azali…tiada siapa yang mampu menyangkal lagi…sebutir permata hilang dan pergi....  :'(

‘Telah tiba saat dan waktunya Engkau menjemputnya kembali semula padaMu Ya Allah... padahal kami belum puas untuk bersama dan bermesra dengannya… terasa saat panggilanMu terlalu cepat namun siapalah kami dalam menentukan batasan waktu yang Engkau tetapkan kerana semunya telah tercatat dan tertulis di Luh mahfuzMu, sungguh tiada daya kami pula untuk menahan saat terhentinya ‘jemputan khusus’ itu...

Kami menerima takdiranMu yang ternyata lebih menyayangi dirinya daripada kasih sayang kami…tempatkanlah dia di sebaik-baik tempat rehat…tempat yang tenang dan bahagia di syurgaMu…di tempat yang telah Engkau janjikan yang terbaik untuk para pejuangmu…di kalangan orang-orang solehin dan muttaqin…semoga roh arwah dicucuri rahmat…amin’
(Al-Fatihah buat arwah k.yah)

                                                         **********************************

Semoga dengan cebisan kisah yang penulis paparkan ini, sedikit sebanyak menjadi  muhasabah  kepada diri yang dapat sama-sama kita renungi…Berbanyak-banyaklah bersyukur kepada-Nya kerana sehingga saat ini Allah SWT masih lagi memberi peluang dan nafas kepada kita untuk bertemu lagi dengan Ramdhan pada kali ini dan masih memberi kita peluang untuk melakukan amal yang terbaik di sisi-Nya…

Sesungguhnya, di sebalik keghairahan kita menyambut Ramadhan, di sebalik keasyikan dan keseronokan kita ingin melipat gandakan amal di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini, tetapi jangan sesekali kita lupa kepada intaian sebuah panggilan kematian…yang bila-bila masa kita semua akan dijemput untuk bertemu semula dengan-Nya…

Erm... Hingga kadang-kadang tersorok sebuah persoalan di sudut hati penulis… seandai diberi pilihan, ingin dimatikan dalam bulan yang mana? Lalu hati kecil berbisik, ingin memilih dijemputNya di bulan Ramadhan.. tapi ‘seandainya punya pilihan’….

Namun diri kemudian kembali tersedar, kita cuma hambaNya yang kerdil… mati bila, di mana, bulan apa dan bagaimana…? Semuanya menjadi rahsia Allah yang telah termaktub di Luh Mahfuznya…kita tidak bisa memilih tetapi kita cuma bisa berdoa dan berharap…

Oleh itu, sebelum kita menutup mata, selagi belum sampai ajal menjelma… penulis menyeru kepada diri sendiri terutamanya dan para pembaca juga agar memanfaatkan peluang beramal di bulan Ramadhan kali ini dengan sesungguh hati, sepenuh keikhlasan dan ketulusan…kerana kita tidak tahu apakah akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan??

Jadikan ia medan madrasah yang dapat mendidik jiwa agar semakin taqarrub denganNya…memohon berbanyak-banyak keampunan dan maghfirah...agar kembalinya kita semua nanti dijemput dengan sebaik-baik jemputan…diakhiri nafas dengan husnul khatimah…dan bertemu denganNya dengan qalbun saalim…amin ya Rabb….

Sekian…
~Dari diari catatan duka bermuhasabah~ (2 Ramadhan 1432H)

20 May 2011

WAHAI ORANG-ORANG YANG BERSABAR…




Ya Allah, ya Tuhanku! Janganlah Kau uji hambaMu yang lemah ini dengan ujian yang berat sehingga tidak mampu untukku memikulnya... 

Ya Rabbi, tolonglah hambaMu ini menjadi seorang yang kuat, sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup.

Ya Allah! Kuatkanlah hati hambaMu ini, hanya kepadaMu ku abdikan diri dan hanya kepadaMu jua ku memohon pertolongan…”






Dihentam Badai


Mungkin di saat ini, di saat orang yang membaca artikel ini sedang berada dalam samudera kesedihan dan kedukaan. 

Hentaman badai angin taufan ujian terus menimpa dan melanda hebat, membuatkan diri seakan bergoyang.

Terasa hati tidak mampu lagi bertahan. Dugaan demi dugaan yang datang seakan menggugat rasa kekuatan iman. 

Buntu. Keliru. 

Semua perasaan sedih dan duka menjadi satu. Membuatkan dunia terasa seakan-akan berputar. Gelap.

Namun….

Dalam keadaan yang sedemikian, jauh di sudut hati kecil itu masih sempat merintih. Masih ingin menagih. Tidak tersedar air mata jatuh bercucuran…

Dalam keadaan itu kita terasa lelah, telah hilang segala semangat, harapan dan impian maka perlahan-lahan hati kecil itu menyeru asma agung-NYA...

"Allahuakbar…Allah Maha Besar…betapa kerdilnya diri ini, diuji sedikit sudah mula mengaduh dan mengalah…"

"Subhanallah…Maha Suci Allah…betapa Engkau ingin menguji tahap kesabaran, rasa ketulusan dan keikhlasan hambaMu ini, apakah masih menyakini biarpun rasa pedih memenuhi segenap ruang hati…"

Sesungguhnya tika ini, tiada yang dapat kita rasai kecuali rasa PASRAH kepada Ilahi. 

Di saat ini jualah, hati kita terusik dengan rasa penyerahan diri sepenuhnya kepada kuasa yang Maha Agung.

Semuanya tertumpu kepada DIA…


Muhasabahkan Diri


Duduklah sejenak, sambil renungi dan muhasabahkan diri.

Mungkin iman kita di saat ini ibarat sebuah handphone yang terlalu ‘low’ baterinya. Tetapi, kita masih punya masa untuk mengecasnya kembali.

‘Caj lah’ iman dengan perlahan-lahan bibir mengalunkan kalimah zikrullah. Itulah ubat hati yang paling mujarab tika ini…

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah jualah hati akan merasa tenang dan tenteram” (Ar-Ra’du:28)

Sememangnya, kita cuma sang hamba. DIA berhak menguji dan memberi ujian selayaknya status kita sebagai hamba.

Menyedari diri kita teramat lemah, maka carilah kekuatan itu kembali dengan mendekatkan diri kepada Sang Agung, Maha Berkuasa dan Maha Besar serta Maha Mengetahui segala kedukaan dan lara yang kita rasai saat ini.

Renungi dan hayati di dalam kalam-Nya yang bemaksud:

“Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi” (Ghafir:55)

“Bersabarlah. Dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah.” (An-Nahl: 127)


Didikan Sabar Melalui Mehnah Ujian


Sifat sabar sememangnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, ia tidak mencukupi hanya dengan membaca buku dan menatap kitab tentang sabar semata-mata tetapi sabar itu hanya dapat dididik dengan mehnah ujian yang DIA berikan kepada kita.

Apakah sama kita membaca dan mendengar kisah hidup orang lain yang ditimpa pelbagai musibah dan bencana dan kita kata bahawa jika kita duduk di tempatnya kita boleh bersabar sepertinya??

Tidak mungkin dan tidak mampu untuk kita berkata sedemikian melainkan kita sendiri yang apabila ditimpakan ujian tersebut, diri kita yang akan mempraktikkan sifat sabar itu.

Dan sejauh mana kesabaran kita itu, hanya hati kita jualah yang mendidiknya.

Apakah kita ingin berlapang dada menerima setiap dugaanNya atau semakin menyempitkan dada?

 Apakah kita ingin memerhati dan merenungi hikmah di sebalik ujianNya ataupun hanya ingin merintih-rintih dan mengaduh atas derita tersebut?

Semuanya terpulang pada diri sendiri.

Hakikat sabar sememangnya sukar untuk diabadikan di dalam diri kecuali hanya orang-orang yang beriman, teguh dan menyakini setiap apa yang terjadi sesungguhnya semua itu datang dari Ilahi, yang ingin menguji tahap keimanan dan keikhlasan kita pada-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Tiada seorang Muslim pun yang tertimpa musibah lalu dia berkata sesuai dengan petunjuk yang diperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali. Ya Allah, berikanlah aku pahala dalam musibahku dan gantilah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya’ melainkan Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik daripada musibahnya itu.”

(Riwayat Muslim dalam kitab Sohihnya dan bersumberkan dari Ummu Salamah r.a.)

Subhanallah.! Bukankah bersabar itu lebih baik, lebih cantik dan lebih indah sekali kerana di dalamnya terkandung penyerahan diri yang begitu tinggi kepada Ilahi.

Betapa kita akur, alah dan pasrah di atas apa yang diberikan kerana hakikat diri kita cuma hamba Ilahi, yang senantiasa layak untuk diuji dan diuji…





Rahmat Di Sebalik Ujian


Firman Allah Ta’ala di dalam Al--Quran menerangkan maksud ayat:35 Surah Fussilat:

“Dan sifat-sifat yang baik itu tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar”

Seringkali kita melihat sesuatu kesusahan, kedukaan dan keperitan yang Allah berikan dengan pandangan mata zahir bahawa semua yang diberikan itu hanyalah keburukan semata-mata.

Namun, jika kita melihat dengan pandangan mata hati bagi orang-orang yang bersabar dan menyakini, tiap perkara yang buruk itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri dari Ilahi.

Jangan dipersoalkan dan ditanya kenapa semua ini harus terjadi? Tetapi lihat, renungi dan hayatilah semua hikmah di sebalik ujian yang diberikan oleh Ilahi.

Sesungguhnya tidaklah Allah menciptakan sesuatu takdiran sia-sia melainkan semuanya tersimpan rahmat yang tersembunyi di sebalik cahaya.

Sepertimana yang diterangkan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan” (az-zumar:10)

 “Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang bersabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl:96)

Berpeganglah kepada-Nya dengan seluruh jiwa dan raga. Setiap yang terjadi pasti ada rahmat yang tersembunyi. 

Sesungguhnya Allah amat kasih dan cinta kepada orang-orang yang bersabar serta tidak putus asa dengan rahmat-Nya.

Kalam-Nya menyebut yang bereerti:

“Sesungguhnya, Allah beserta orang-orang yang sabar” (al-anfal:46)

“Allah menyukai (mengasihi) orang-orang yang bersabar” (al-imran:146)

Maka, tidakkah kita ingin termasuk di kalangan mereka.??

Tanya iman, didiklah hati…


Penutup: peganglah 'kunci bahagia!'


Kunci kebahagiaan seorang mukmin;

“Syukur apabila mendapat nikmat, Sabar apabila ditimpa musibah”


Akhirul kalam, marilah kita sama-sama mencari dan memegang ‘anak kunci’ ini kemas-kemas, berharap apabila saat kita diuji dan teruji kita tidak akan sesekali lemas dan jatuh ke jurang kelemahan iman dan kesesatan.

Semoga dikuatkan hati menghadapi setiap cubaan Ilahi dan bertambah dekat pula dalam menggapai kasih dan redha Rabbi…Amin.!




Harus ada rasa bersyukur di setiap ujian yang datang
Diuji dengan tahap keimanan
Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap ujian yang menjelma
Hanya yang terpilih sahaja yang mendapat rahmatNya
Sedang ramai yang dibiarkan dalam kelalaian
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian yang diberi
Maka bersyukurlah selalu….!


~saat hati teruji,saat air mata jatuh mengalir tanpa henti, hanya kepadMu jua ku berserah segalaNya...~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...