“Sedihnya... Kenapa Allah tidak memakbulkan jua permintaan kita, padahal hati kita telah tulus berhijrah ke sana semata-mata untuk berjihad menuntut ilmu agama-Nya..?” Pandangan terasa semakin kelam. Hati semakin merintih-rintih dan bertanya, ‘Kenapa Ya Allah…?? Tidak bisa mengabulkan permintaan ini??’
Luahan Hati
Ini antara luahan hati kami yang tidak dapat berhijrah ke bumi anbiya’. Begitu lama hasrat di hati tersimpan kukuh untuk menjejakkan kaki ke sana, mendamba ilmu agama yang cukup hebat dan masyhur di mata dunia.
Namun bukan itu yang kami cari, tetapi sebuah jihad untuk menuntut ilmu-Nya dengan lebih mendalam, di bumi Mesir, Jordan, Syria dan lain-lain lagi yang sememangnya menjadi impian bagi setiap pelajar seperti kami, yang mengambil aliran dalam bidang agama. Itu hanyalah cebisan sebuah kisah kami. Sebuah impian yang tidak tertunai dan kesampaian.
Setiap orang mempunyai impian mereka yang tersendiri. Ada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh, tetapi kenapa keputusan peperiksaannya masih juga tidak cemerlang? Ada orang yang bercita-cita ingin menjadi doktor misalnya tetapi kenapa akhirnya menjadi ustaz? Ada orang yang telah lama menyimpan harapan untuk berkahwin dengan si dia, tetapi kenapa akhir jodohnya Allah datangkan orang yang tidak seperti kehendak di hati?
Perasaan Yang Sama
Saya yakin dan percaya semua orang pernah merasakan perasaan yang sama. Perasaan sedih. Kecewa. Berduka. Sebuah perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila kita tidak dapat menggapai sesuatu yang selama ini kita impi-impikan. Setelah berhempas pulas kita berusaha namun Allah tidak mengizinkan jua. Sebuah harapan yang mekar tersimpan di dalam hati, namun di saat akhirnya hancur. Lebur. Semangat juga seakan-akan hilang ditiup angin putus asa.
Apakah ia tanda Allah tidak menyayangi? Tidak!
Apakah ia tanda Allah membenci? Tentu sekali tidak!
Apakah Allah tidak mengendahkan doa-doa kita panjatkan? Mustahil!
Lantas, kenapa Allah masih tidak ingin memberi apa kita mahukan itu??
Apa Sebabnya?
Inilah jawapannya. Allah s.w.t berfirman kepada sang hamba:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Subhanallah! Ringkas jawapan-Nya, hanyalah 1 ayat. Tetapi sangat mendalam maknanya untuk kita renungi dan hayati.
Indahnya kalam Tuhan. Hati semakin terpujuk. Jiwa yang rawan semakin tenang...
Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendengar
Duhai teman!
Bukan kita tidak berusaha. Berhempas pulas sedaya upaya untuk mencapai apa yang kita idam-idamkan. Bukan pula kita tidak berdoa, siang malam kita menadahkan tangan dan Allah sememangnya Maha Mendengar permintaan hati kita. Bukan jua niat kita tidak murni, telah tulus suci kita matlamatkan harapan dan impian itu semata-mata kerana-Nya.
Bukan Dia tidak tahu betapa mengharapnya kita agar impian kita terlaksana. Bukan Dia tidak tahu mengalirnya air mata sedih dan kecewa di saat kita tidak dapat meraih apa yang kita mahukan. Bukan Dia tidak tahu pedihnya hati dan jiwa kita untuk menerima hakikat itu. Dan Maha Suci Allah jauh sekali dari sifat zalim terhadap hamba-hamba-Nya.
Itu Yang Terbaik
Hakikat yang pasti;
‘Sesungguhnya, Allah Maha Tahu apa yang TERBAIK untuk hamba-hambaNya.’
Jika kita merasakan hal yang kita inginkan itu sememangnya sudah baik dan bagus untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU batasan ‘baik’ dan ‘bagus’ itu sekadar mana untuk diri kita. Jika kita merasakan perkara itulah yang terbaik untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU kadar had ‘terbaik’ itu untuk diri kita.
Sesungguhnya pengetahuan kita sebagai hamba cukup terbatas kerana dimensi pengetahuan tersebut hanyalah secara zahir yang kita boleh nampak, tetapi kuasa Agung Pengetahuan-Nya meliputi langit dan bumi, yang zahir mahupun tersembunyi.
Justeru itu, berhentilah berduka, berhentilah merasa kecewa sedang ALLAH telah merencanakan untuk setiap hamba-Nya ‘TAKDIR YANG JAUH LEBIH BAIK DARI YANG KITA SANGKAKAN.’
Terimalah hakikat tersebut walaupun pahit untuk ditelan dengan hati yang terbuka. Lapangkan dada dan jiwa kita. Tiada gunanya terus-terusan kita meratapi perkara itu, ianya akan membuatkan kita semakin rasa terhimpit dengan asakan emosi dan perasaan yang semakin menyesakkan dada. Pemikiran kita juga akan menjadi sempit, jiwa akan terus berkeluh kesah, bimbangilah jika ia berterusan, kemungkinan besar akan merosakkan iman kita tanpa disedari.
“Allah memberi apa yang kita PERLU, bukan memberi apa yang kita MAHU”
Bimbinglah Hati Melihat Hikmah Ilahi
Duduk dan bertenanglah. Jernihkan fikiran dengan zikrullah. Renung dan muhasabahkan diri. Jangan terlalu difikirkan sebab mengapa kita tidak memperolehnya, tetapi fikirkanlah HIKMAH yang Allah sembunyikan dari kita. Mungkin tika ini kita sememangnya ‘buta’ untuk melihat hikmah tersebut, tetapi yakinlah suatu saat Allah akan ungkapkan jua hikmah itu kepada kita.
Mungkin suatu hari nanti kita akan bersyukur pula kerana tidak mendapat apa yang kita mahukan itu tetapi Allah telah menggantikan ia dengan yang lain, yang jauh lebih baik dari yang kita sangkakan.
Akhir Kalam, Yakinlah!
Keyakinan pada Allah harus mantap, jangan sesekali goyah berpegang dengan-Nya. Sesungguhnya Allah menguji kesabaran diri. Allah juga menguji keyakinan dan keteguhan iman di hati. Teruslah menyakini tanpa ragu-ragu, nescaya Allah pasti tidak akan mensia-siakan diri kita malah akan semakin meneguhkan kedudukan kita sebagai hamba-Nya yang soleh.
Dengan rasa pasrah menerima takdiran dari-Nya, percayalah Dia akan memberi cahaya kebahagiaan, disirami dengan rasa ketenangan di dalam jiwa, yang tidak mungkin kita miliki kecuali dengan curahan kasih sayang dari Ilahi di atas sifat redha kita terhadap-Nya...
“REDHALAH DENGAN KETETAPAN DARI ILAHI, MAKA DIA JUGA AKAN REDHA KEPADAMU...!”
p/s: Hujah dalam artikel ini bukan beerti kita tidak perlu berusaha menggapai impian dengan beralasan takdir Allah lebih baik dari yang kita rancangkan, jangan disalah-fahamkan pemikiran anda. Tetapi penjelasan penulis adalah ingin menerangkan kenapa dan mengapa kita tidak memperoleh apa yang telah kita usahakan itu. Semoga sama-sama kita membuka minda merenungi hikmah yang terselindung dan memujuk hati dalam menerima segala takdiran dari Ilahi…!
~Carilah Hikmah Dalam Setiap Ketentuan Tuhan, Agar Timbul Rasa Kesyukuran dan Keredhaan~
syukran ukhti wanis.teruskan berdakwah fi sabilillah..semoga kite semua termasuk dlm golongan yang dirahmatiNya..insya Allah..
ReplyDeleteKan terus melangkah sbg sang dai'e-Nya.!
ReplyDeleteSyukran ats sokongn..Insya Allah,,moga Allah redha kpd kt.. :)
assalamualaikum..akak,,tjuk lgu kt blog akak ni ape ek??
ReplyDelete