20 December 2011

Hampa dengan Natijah Imtihan?








Assalamualaikum wbr…



Salam ketenangan dan kedamaian buat hati-hati yang merasa gundah.


Salam kesabaran buat hati-hati yang merasa kecewa dan berduka.


Salam kesyukuran buat hati-hati yang sentiasa kuat dan tabah.



Alhamdulillah, result sudah terpapar di portal. Mungkin ada yang tersenyum bangga, tidak kurang ramai juga yang berduka. Begitulah adat mengaji, setiap semester pasti akan ada natijahnya setelah berhempas pulas melalui satu-satu semester pengajian.


Natijah Imtihan.


Pastinya, semua orang mengimpikan natijah yang bagus-bagus sahaja. Semua orang sentiasa mengharapkan keputusan yang baik-baik belaka. Tetapi, sedarilah tidak semua impian dan harapan itu dapat dikabulkan oleh yang Maha Esa.


Terasa hampa dengan result imtihan?


Pertamanya, tanyalah secara jujur dengan diri sendiri. Recheck balik dengan sejujurnya, adakah kita sudah berusaha sehabis daya dan bertawakkal dengan sebenar-benarnya? Mungkin kita sudah berusaha study sungguh-sungguh, tetapi kita kurang berdoa, kita lupa untuk bertawakkal kepadaNya.


Jika sudah ternyata sedemikian, tidak perlu terus kecewa dan bersedih. Marilah kita ubah takdir masa depan dengan USAHA yang lebih kuat dan DOA yang lebih banyak kerana itulah janji Tuhan adalah pasti.


Namun, jika kita dah berusaha dan bertawakkal, kemudian kita masih gagal percayalah yang Allah nak sediakan sesuatu yang lebih baik bagi diri kita. Andai kita telah bersungguh-sungguh berusaha dengan terbaik, tetapi masih juga mendapat natijah yang tidak memuaskan hati, masih juga datang bertamu rasa kecewa di hati maka di sinilah kita mesti beriman dengan takdir.



“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan)” (Al-Qamar:49)




Berimanlah dengan takdir, maka kita akan meredhai dan berserah diri untuk segalanya. Akur akan kebijaksanaan ALLAH yang memberikan natijah yang sedemikian rupa kepada kita.


Janganlah mudah melatah dan memberontak, kerana itu tanda tidak bersyukur.


Jangan mudah berputus asa dan terus-terusan tenggelam dalam kekecewaan, kerana itu juga tanda tidak bersyukur.


Saya sendiri akui merasa sedikit kecewa apabila melihat result kali ini. Terasa hampa tidak dapat mempertahankan kejayaan yang lalu. Tetapi, tidak salah jika kita merasa hampa. Tidak salah kita merasa kecewa kerana itulah lumrah perasaan kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina.


Rasa itu ALLAH yang anugerahkan, untuk kita merasainya. Memang pedih, perit dan pahit tetapi di dalamnya itulah terkandung satu kandungan rasa yang cukup ‘manis’, jika kita merasanya dengan rasa ‘hati’.


Rasa hati yang diikat dengan iman dan terarah memikirkan hikmah-hikmahNya. Hati yang sentiasa merenung-renung kekurangan diri lantas ingin terus berusaha memperbaikinya. Hati yang sentiasa ingin bermuhasabah dengan kalam peringatanNya.


Bersabarlah, sesungguhnya kesabaran itu amat baik bagi mereka yang benar-benar dapat bersabar dengan segala ujianNya. Allah sebenarnya ingin memberi kita pahala di atas kesabaran kita yang kecewa dengan keputusan tersebut.



“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan” (az-zumar:10)



Sudah menjadi sunnatullah. Ada ketikanya kita berada di atas, dan ada kalanya kitanya kita akan berada di bawah kerana begitulah adat kehidupan ini. Tidak akan ada insan yang selamanya berada di atas, dan tidak akan ada insan yang selamanya dalam kegagalan.


Gagal bukan beerti kita tewas dan kalah. Gagal juga bukan beerti kita telah menyerah dan semakin melemah. Tetapi gagal adalah satu titik juang kita untuk bangkit semula.







Duhai sahabat-sahabatku sekalian.


Pimpinlah hatimu sendiri. Pujuklah hati dengan ayat-ayat cinta Ilahi. Bersabar dan bersyukurlah. Cekalkan hati. Kita perlu meneruskan hidup ini, walau apapun yang telah terjadi.


Akuilah kuasa dan kudrat kita sebagai hamba yang tersangat lemah kudratNya berbanding yang Esa. Sebagai orang yang beriman, yakin dan percayalah, DIA sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita. Tiada satupun keburukan, kecuali yang baik-baik sahaja.


Akhir tinta, pandanglah ke belakang sebagai iktibar dan pedoman, teruslah melihat ke hadapan untuk membina impian-impian yang indah di sepanjang jalan kehidupan. Kejayaan pasti akan dapat digenggam, andai diri tidak pernah berputus asa dari rahmat Tuhan.


Bersabarlah dengan semua ini maka kalian akan mendapat pahala dan natijah yang cukup baik di sisiNya. Bersyukurlah di atas segalanya, maka itulah sebaik-baik jalinan iman kepada yang Maha Esa!^^, Wallahu’alam..


p/s: “Sesungguhnya, ‘natijah’ di alam sanalah harus sentiasa pastikan mendapat yang TERBAIK. Kerana natijah di dunia ni hanya sementara, tetapi natijah di sana kekal abadi buat selamanya…”

  

“Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang mana ia merupakan penjaga perkaraku. Perbaikilah duniaku yang di dalamnya terdapat kehidupanku. Perbaikilah akhiratku untukku yang di dalamnya terdapat tempat kembaliku. Jadikanlah hidupku sebagai tambahan untukku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah matiku sebagai istirehat untukku dari segala keburukan.” (HR Muslim 4897)


  

~sentiasa mendambakan redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 20122011
: 10.00pm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...