01 December 2011

Muhasabah Diri: “Jangan Takut Hadapi Hidup!”






“Ujian itu pengukur iman, sebagai neraca timbangan bagi amal kebaikan mahupun keburukan. Jika tiada ujian, bagaimana iman bisa dibuktikan? Bagaimana bisa dibuktikan diri benar-benar sejati menjadi hamba Tuhan?”










Beberapa kali ku baca dan cuba untuk hadam isi kandungan buku ini. ‘Jangan takut hadapi hidup,’ karya Dr. Aidh Abdullah al-Qarny dibeli oleh kakak sulongku semasa dia melanjutkan pengajiannya di Jambi, Indonesia.



Tidak henti-henti ku belek, ku baca dan renungi. Ulang dan ulang lagi isinya sehingga ku temui suatu kekuatan yang luar biasa. Ku temui jawapan-jawapan bagi setiap persoalan yang bermain di fikiran. Ku temui penawar bagi resah gelisah di hati. Ku jumpai jalan keluar bagi permasalahan yang membelit di jiwa. Bukan kerana buku ini, bukan kerana penulis ini, tetapi kerana ajaran Islam itu sendiri.



Subhanallah.! Sungguh indah sekali agama Islam. Terkandung di dalamnya rahmat, kesejahteraan dan kebahagiaan buat mereka yang benar-benar ingin menghayati dan mengamalkan ajarannya. Kerana agama ini bukan rekaan dan ciptaan dari manusia. Tetapi agama yang telah dicipta oleh Maha Agung yang menciptakan manusia.



Ku renung semula dalam-dalam ayat ini. 'Jangan takut hadapi hidup.'




Seungkap kalimah yang benar-benar penulisnya ingin menyatakan kepada pembaca bahawa mesti berani, tabah, kuat dan cekal hadapi hidup. Hidup ini cuma sekali. Cuma sementara dan sekejap pula. Manusia diberi pilihan, untuk memilih sendiri jalan yang ingin ditempuhya. Samada bahagia atau duka? Samada gembira atau sengsara? Sesungguhnya Islam telah melengkapkan kesemuanya, tinggal kita yang memilih untuk memilih jalan seperti apa yang ingin dilalui.



Takut. Sepatah perkataan ini pernah membuatku terasa amat takut untuk menghadapi hidup. Takut untuk berhadapan dengan cubaan dan cabaran. Takut untuk berhadapan dengan ujian yang diberikan oleh Tuhan. Kerana di saat ujianNya datang bertimpa-timpa, menyebabkanku seringkali terduduk lemah. Longlai seakan tidak dapat bernafas lagi.



Tetapi apakah ku ingin terus melemah dan melemah seperti ini? Oh, tidak! Iman tidak sesekali meredhai. Tidak ingin ku terus seperti ini. Ku lebih takut untuk berhadapan denganMu Tuhan. Allahu…Bagaimana mungkin untuk menjawab setiap persoalanMu di mahsyar kelak?? Dengan keadaan diri dan iman yang sentiasa berperang dengan emosi dan perasaan. kadang-kala kalah, kadang-kala menang.







Ujian Tuhan sememangnya tidak akan pernah sunyi. Akan sentiasa datang dan pergi. Seperti air laut, ada pasang dan surutnya. Ada yang mendapat musibah, ada yang mendapat nikmat. Ada yang merasa berduka, ada pula yang dapat tersenyum bahagia. Walau apapun, selagi insan itu hidup, selagi ia bergelar hamba Tuhan, selagi itu dia akan terus diuji dan diuji.



Ujian tanda apa? Apakah yang musibah itu tanda Tuhan membenci dan menzalimi hambaNya? Apakah Tuhan seperti itu? Sedangkan DIA lagi bersifat dengan sifat kesempurnaan. Maha Penyayang di antara yang penyayang. Maha Pengasih di antara yang pengasih. Yakini dan percayailah, ujian itu tanda kasihNya. Tanda agung kudratNya. Tanda ketinggian dan kebijaksanaanNya.



Jika DIA mendatangkan musibah, jangan cepat melatah. Tetapi renung dan renunglah kembali ke dalam diri. Muhasabah dan hitung sungguh-sungguh kesalahan diri. Tidak ingin ku lemparkan ayat itu kepada kalian, tetapi diriku sendiri. Ya, diriku yang lemah dan hina ini. Yang seringkali terlupa dan terlalai ini.



Lupa kita cuma hambaNya. Lupa kita hak milik mutlakNya. Lupa kita tidak miliki apa-apa kerana segalanya DIA yang punya. Justeru, amatlah berhak DIA memberikan kita apa sahaja ujian. Amatlah berhak DIA menimpakan apa-apa dugaan. Kerana kita cuma miliknya. DIA berhak memuliakan. Berhak juga menghinakan.



Sepertimana firmanNya yang bermaksud:



“Katakanlah (Muhammad), ‘wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan bagi siapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau maha kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Imran:26)



Tetapi DIA tidak berbuat dan menimpakan sesuatu itu dengan sia-sia. DIA tidak sewenang-wenangnya memberikan kita duka dan lara. Kerana DIA maha tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. DIA punya janji-janjiNya. Dan kita sebagai manusia masih bisa memilih. Memilih untuk berhadapan dengan ujian itu dengan penuh keimanan, kesabaran mahupun sebaliknya.



Allah juga Maha Adil. Tidak selamanya DIA memberikan kita kesedihan dan kedukaan tetapi di dalamnya terkandung pahala dan ganjaran yang besar. Jika dihitung nikmat dan musibah yang diberikan, sudah tentu nikmatNya jauh lebih banyak daripada musibah yang diberikan. Mahu mengira? Pastilah tidak terkira banyaknya…



Oleh itu, saudaraku sehati dan seiman... Pesanku pada diriku dan dirimu jua. Janganlah takut menghadapi hidup. Meskipun hati merasa gundah, meskipun hati merasa resah, meskipun jiwa merasa gelisah, tetapi kembalilah semula kepada ajaranNya. Kembalilah semula kepada Pencipta kita. Kerana kekuatan itu tidak dapat dicari, tetapi dibina. Kerana keberanian itu tidak dapat dicari, tetapi dipupuk dengan keimanan di jiwa.



“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan; ‘Tuhan kami adalah ALLAH’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) : ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganah kamu merasa sedih dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (Fussilat: 30)



Wallahu’alam. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya..amin…



Pesan pada diri,
Jangan takut hadapi hidup
Pesan pada hati,
Jangan berputus asa dengan rahmat Ilahi.
Pesan pada naluri,
Jangan terus mengeluh dan kecewa.
Kerana,
Allah sentiasa bersama kita.
Kerana,
Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertakwa.
Kerana,
Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di atas jalanNya.
Kerana,
Allah tidak akan sesekali meninggalkan kita.
Kecuali kita yang ingin meninggalkan DIA…
Ayuh, bangkit!
“la takhaf wala tahzan, innallaha ma’ana!”





“Sesungguhnya…Jadikanlah ujian yang diberikan sebagai medan meraih kasih sayang Tuhan. Jadikanlah ujian yang diberikan sebagai bukti kecintaan kita kepada Tuhan. Jadikanlah ujian sebagai medan memperoleh pahala kesabaran. Semoga kan beroleh redha dan pengampunan Tuhan…”





p/s: credit penghargaan kepada ukhti Reidha Hayati. Syukran ukhti di atas kalam dan doamu. Syukran di atas kata-kata peringatanmu yang telah mengukuhkan keyakinanku kepadaNya. Yang membuatkan daku kembali merenung akan janji-janjiNya. Yang telah membuatkanku kembali bersemangat untuk terus menulis dan meninta. Dan penghargaan juga buat teman-teman yang sentiasa setia di sisi, doa dan nasihat kalian sentiasa tetap bersemi di hati ini. Hanya doa mampu ku balaskan. Tuhan, saksikanlah mereka telah menjadi teman yang terbaik buatku, himpunkan kami semua dalam rahmat kasih sayangMu kelak…insya ALLAH...
~sebesar-besar penghargaan ku hadapkan padaMu Tuhan yang Maha penyayang~




~Cuma ingin redhaMu Tuhan~

: Hikmatul Islam
: Khamis
: 01122011
: 0430 pm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...