26 November 2011

Salam Maal Hijrah: ‘Semoga Sentiasa Ikhlas dan Istiqamah’









Bernafas dan bernafas setiap detik dan saat. Tanpa sedar, masa juga bergilir-gilir datang dan pergi. Jam demi jam. Hari demi hari. Minggu demi minggu. Kini sampai setahun jua, calendar pun menggantikan tarikhnya. Menjelma lagi tahun baru mengikut kiraan bulan Islam. Hari ini masuk tahun baru Hijrah. 1433 Hijrah.


Ku masih termenung panjang. Tidak tahu apa yang ingin ditulis untuk sambutan tahun baru Islam nie. Akhirnya ku tutup semula laptop. Berdiri sendirian. Kemudian merenung jauh ke luar tingkap. Gerimis hujan masih turun. Sekejap-sekejap ia reda. Seketika ia melebat. Cuaca di sini tidak tetap.


Cuaca sentiasa berubah-ubah seiring peredaran masa. Juga bertindak seiring arahan yang Maha Kuasa.


Merenung lagi. Kali ini cuba menyelami di sebalik perubahan cuaca itu.


 ‘Apakah imanku juga seperti itu? Sentiasa berubah-ubah?’ Hati berbisik sendiri.


“Allahu…allah…tetapkanlah ketulusan di hati ini…sempurnakanlah keikhlasan yang tersisa sedikit ini. Tolong pegang erat-erat hatiku, seperti pegangan seorang bapa, yang memegang kejap tangan anaknya. Jangan dilepaskan ku sendirian dengan urusanku walau sedetik cuma.

Tuhan, ku khuatir jika tersasar dari jalanMu. Berikanku petunjuk dan hidayahMu selalu. Ku bimbang tersesat dan hanyut dalam hawa nafsu. Peliharalah imanku selalu. Ku takut menduakanMu walau dengan apapun. Tetapkanlah hatiku ini selalu. Biar ia cuma untukMu. Benar-benar untukMu. Benar-benar ikhlas kepadaMu…”


Mengambil peluang dalam titisan air hujan ini punya rahmat doa dikabulkan, lantas dipanjatkan permintaan kepadaNya.


Kemudian, ku ambil kitab suci yang tersusun rapi di atas rak. Al-Quran poket mini terjemahan tafsir Resm Uthmani yang berkulit warna biru itu, tanpa sedar sudah setahun jua dia setia bersamaku. Diberikan oleh ummi semasa ku ingin menyambung pengajian ijazah.


Belek perlahan-lahan. Kemudian terpaku pada satu ayat yang ku tanda setahun yang lalu.



FirmanNya yang bermaksud:


“Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Barangsiapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.” (Al-Baqarah:269)




Ku renung-renung lagi. Ku amati ayat itu. Ya. Dengan sepotong ayat itulah ku mendapat aspirasi. Kerana ayat itu, terlalu luas dan mendalam maknanya untuk dihayati, hanya benar-benar dirasai oleh orang yang ingin mengerti dan memahami di sebalik maksud setiap patah kalam Ilahi.


Sesungguhnya, setiap peristiwa yang berlaku. Setiap cerita yang silih berganti. Datang dan pergi. Meninggalkan pelbagai corak dan kesan yang tersendiri. Seperti sebuah kanvas lukisan, yang diconteng-conteng, kemudian menjadi sebuah lukisan yang tersendiri. Punyai nilai dan maksudnya yang tersendiri jua.


Dan setiap perkara yang terjadi, pasti punyai hikmah yang tersembunyi. Itu yang sentiasa ku pesan pada hati. Pesan pada iman. Ingin sentiasa mencari-cari hikmah itu. Tidak ingin menjadi insan yang senantiasa mengeluh, berkeluh-kesah serta menyoal pula segala kerja dan takdiran yang Esa sedangkan setiap takdiran yang ditetapkan itu sebenarnya DIA ingin memberikan sesuatu pengajaran. Inginku mempelajari pelbagai hikmah kerahsiaan Tuhan.


Kerana itu, ku amat berkenan nama Hikmatul Islam. Kerana ku ingin menyelongkari hikmah-hikmah di sebalik ajaran Islam itu sendiri. Ia sangat cantik dan indah jika diperhati dengan mata hati. Tiada apa yang buruk dan cela dalam agamaNya, meskipun di mata zahir manusia melihat seperti itu tetapi tidak bagi orang-orang yang beriman. Tidak bagi orang-orang yang berpegang teguh dan yakin dengan agama Tuhan.


“Orang-orang yang sungguh-sungguh (mujahadah) di jalan Kami, Kami akan berikan hidayah ke jalan kami” (al-ankabut:69)


Tanpa ku sedar juga, blog Hikmatul Islam ini juga telah setahun tercipta. Ku buka kembali entry pertama yang ku postkan dahulu. Tersulam azam dan impian. Niat ingin menyebarkan dakwahNya melalui penulisan dengan cara berhikmah.


Dan ku amat bersyukur, rata-rata pembaca memberikan respon yang positif. Banyak teman-teman di fb mahupun di blog memberi sokongan dan dorongan. Alhamdulillah ya Allah…semoga mereka mendapat hikmah. Hikmah dan hidayah dariMu. Semoga mereka semakin dekat kepadaMu.


Sesungguhnya, bukan kata-kata pujian yang ku inginkan, tetapi kesan. Mereka yang dapat terkesan dengan kata-kata hikmah dakwah yang ingin ku sampaikan. Mereka yang dapat tersentuh hati tatkala membaca ayat-ayat Tuhan. Kerana semua tintaku cuma pinjaman. Yang asalnya dikembalikan kepada Ar-Rahman yang Maha Penyayang. Tanpa DIA, ku tidak punyai kekuatan untuk menulis. Tanpa kasihNya, ku tidak mampu meninta setiap baris perkataan.



“Tuhan, terlalu banyak yang kau anugerahkan dalam hidupku. Tidak mungkin terhitung olehku. Jika ingin dibandingkan dengan rahmat kasih sayangMu, sentiasa terhampar luas tidak bertepi. Tidak kira anugerah atau musibah, jadikanlah daku hamba yang bersyukur selalu. Sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur…”


Di sebalik itu, ku cuba bermuhasabah.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)." (Riwayat al-Tarmizi).



Muhasabah itu perlu. Harus selalu. Menghitung-hitung amalan diri. Memeriksa kembali niat di hati. Apakah semua yang telah dikerjakan hanya semata-mata kerana Ilahi? Atau cuma kerana kepentingan diri dan duniawi?


Ku mahukan ‘amal yang mutawasil’. Amal dan usaha yang berterusan dan berpanjangan tanpa henti. Tanpa putus. Dan semuanya harus bergantung pada niat.


Teliti semula niat. Ingin mendapatkan ikhlas dalam niat. Ternyata ikhlas itu sukar. Tersembunyi jauh di dasar hati. Kadang-kadang tenggelam timbul. Kerana hati memang sifatnya sentiasa berbolak balik. Tidak tetap.


Cuba didik hati. Didik jiwa. Didik iman. Terus mendidik. Kerana ikhlas itu perlu dididik. Meskipun sukar, jangan sesekali berputus asa. Pinta ia dengan sujud dan doa. Kerana ikhlas itu perlu sentiasa dibina. Buat hamba-hamba yang ingin mencari keredhaanNya.


Di sini perlunya istiqamah. Istiqamah. Beerti tegak dan lurus. Berpegang teguh pada akidah, tetap dan tidak berubah. Tidak akan berpaling dalam keadaan apapun.


FirmanNya yang bermaksud:


“Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah.” (al-Syura:15)



Terakhirnya, pesanku buat diri sendiri dan kalian jua. Jika di awal tahun telah berazam, membina pelbagai impian dan harapan. Maka, harus dipastikan ia berjalan dengan redha Tuhan. Jika tidak dapat melaksanakan, maka pasrahlah. Tetapi tetaplah beristiqamah di atas perkara kebaikan. Tetaplah beristiqamah di atas niat yang lurus dan di atas kebenaran. Tetaplah terus thabat di atas jalan perjuangan. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah naungan Ar-Rahman…



Sabda Baginda saw: “ Katakanlah: aku percaya kepada ALLAH, kemudian berlaku luruslah yakni istiqamah” (hadis muslim)








“Duhai saudaraku yang beriman. Ikhlas dan istiqamah itu perlu seiringan. Dalam ikhlas, perlu istiqamah. Dalam istiqamah, perlu sentiasa dididik keikhlasan. Semuanya perlu dipaksikan untuk redha Tuhan. Semoga kan beroleh pangkat ketakwaan…”



p/s: ~Taqabballahu minna wa minkum… Salam maal Hijrah 1433H~



: Hikmatul Islam,
: Sabtu,
: 26112011,
: 0500pm.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...