22 November 2011

Diari Hikmatul: "Kerana Itu Takdir-Nya..."





Kedinginan pagi membaluti tubuh. Sedingin rasa yang membaluti hati dan jiwa.


Saat ini…pilu menggayuti tangkai hati apabila teringat-ingat segala peristiwa yang berlaku.


Disulami pula oleh kehadiran bait-bait kenangan. Datang satu persatu. Seakan sebuah episode yang menayangkan satu persatu cerita.


Cerita suka dan duka antara aku dan dia. Kemudian cerita itu pun berakhir. Menjadi sebuah kisah yang lengkap.


Seperti cerita filem dan drama. Beratus-rastu episode pun, ia mesti berakhir. Samada pengakhirannya hepy ending o sad story, tetap akan berakhir.


Dan pengakhiran ceritaku dengannya berakhir dengan sebuah cerita syahdu…


Dalam sendu dan tawa. Dalam gembira dan air mata. Allah telah melengkapkan cerita ini. Kisah aku dan dia. Abadi menjadi lipatan sejarah hidup.


Cerita yang Allah titipkan di pertengahan perjalanan dalam musafir yang panjang.


Cerita menjadi takdir. Sebuah takdir yang DIA mereka ciptakan cerita, kemudian melengkapkan untuk kami.



“Setiap permulaan pastinya ada pengakhiran. Setiap pertemuan pastinya akan ada perpisahan. Itu sudah lumrah. Jika tidak mahu mengimaninya, terserah. Jika tidak dapat menerima hakikatnya, jangan sampai iman itu menjadi parah.”



Kata-kata itu bukan untuk sesiapa, tetapi ia untukku. Biar diri lama termenung, berfikir dan bermuhasabah panjang.


Kenangan datang lagi. Terbayang-bayang di mata. Sungguh… ia sangat sukar untuk dihapuskan.


Tidak. Ku tidak berhajat untuk memadamkannya. Biarkan kenangan itu terus bergulir kerana kini ku hanya punyai kenangan itu. Sekurang-kurangnya, ku masih ada kenangan itu bersamanya.


Biarpun kini jasadnya sudah terpisah dengan jasadku, jauh dan kian jauh. Sepi dan kian sepi. Namun kenangan tidak mungkin akan terpisah dari diari hidup kami.


Terkenang-kenang lagi. Saat indah bersamanya, mana mungkin akan ia luput? Berteman. Siapa yang tidak ingin berteman dengan sejati? Kekal abadi hingga jannah Ilahi.


Tuhan…mana mungkin layak untuk ke syurgaMu, dengan keadaan diri yang penuh hina dan dosa. Namun, apabila teringatkan janjiMu, orang yang saling berkasih sayang kerana-Mu antara golongan yang akan duduk di bawah arasy-Mu kelak. Siapa yang tidak mahu?


Dan itulah yang didamba. Berukhuwah hingga ke syurga. Namun, ia bukan semudah yang dikata. Sekali lagi ku baca dan renung sepatah ayat ini dalam-dalam.



“Berukhuwah hingga ke syurga”



Saat membaca kembali entry-entry lama yang ku postkan mengenai ukhuwah. Ya, coretan-coretan kata yang aku abadikan selama berukuhwah dengannya. Semua bait-bait yang terlakar itu sebenarnya kisah antara aku dan dia.

Air mata merembes kian deras di saat ku buka kembali artikel yang bertajuk; “Sahabat, ku ingin masuk syurga bersamamu.!”


Allahu…benar-benar  ku tulis tulisan itu dengan hatiku begitu kuat melekat padanya. Benar-benar inginku masuk syurga bersamanya. Bukan sekadar omongan kosong. Tetapi itulah yang lahir tulus dari hatiku, dan mungkin hatinya jua.


Teringat satu lagi impian yang ku ukir janji dengannya. Janji kami bersama. Terpatri semasa bulan yang mulia, ramadhan yang lalu menjadi saksinya.


Hari pertama berpuasa. Ku luahkan impian hatiku yang tersulam sekian lama.


“Ukhti, adik mahu kita pergi umrah bersama-sama. Suatu hari nanti, sebelum adik menutup mata. Ingin sekali pergi untuk kita sujud di sana, di hadapanNya sebagai tanda syukur kepadaNya di atas anugerah ukhuwah yang DIA berikan ini. ”


Kemudian, kenangan itu terhenti tiba-tiba. Kembali tersedar.

Kini impian itu cuma tinggal kenangan. Dan mungkin akan berkubur sepanjang zaman.


Tidak semua mampu membawa ukhuwah hingga ke syurgaNya. Kerana pastilah ada seribu hadangan yang perlu dilalui. Cerita kami juga, punya ujianNya.


2 tahun kami menyulam ukhuwah ini. Ku akui, sememangnya tidak pernah sepi dari dugaan melanda.

Insaf. Ujian itu tanda kasihNya. Penguat sebuah hubungan. Selama ini kami meniti, menitinya bersama dengan hati-hati.


Namun, di akhir cerita, kami tidak mampu lagi. Dan akulah yang menjadi paling lemah. Terduduk diam sepi tanpa dapat berkata-kata lagi...


Sakitnya sebuah hakikat kebenaran, tidak terperi sakitnya jika dibandingkan dengan sakit jasmaniku. Mengoyak-goyak rasa hati.


Menangis-nangis mengenangkan semuanya. Sakit di dada kian berdenyut-denyut, tapi tidak lagi diendahkan. Saat itu cuma ingin menangis semahunya.


Terasa hampa dan kecewa. Saat itu, terlalu kecewa, mungkin.


Tidak sangka. Sungguh ku tidak pernah menyangka. Tidak pernah terfikir di benak fikiran apatah lagi terlintas di hati apabila mengetahui semua ini. Ku jadi terpana seketika.


Allahu allah… dalam hati cuma mampu menyebut asma-Nya kemudian beristighfar panjang…


“Kenapa sanggup buat seperti ini? Kenapa?? kenapa harus seperti ini?”

Saat itu juga terasa kejujuran dikhianati. Keikhlasan terasa hilang berlari pergi.


“Di balik kebaikan-kebaikan yang tersusun selama ini, apakah punya niat tersembunyi? Inikah yang dimaksudkan dengan kasih sayang, terlalu sayang sehingga mengambil kesempatan?”


Kta-kata itu bukan ditujukan buatmu. Tidak tahu buat siapa sebenarnya...


Sungguh, hati tidak mampu menjawab semua pertanyaan itu. Cuma akal terus-terusan ingin melontarkan perosalan-persoalan tersebut meskipn akal tahu hati tidak mampu memberikan sebuah jawapan.


Hati menangis hiba. Berlagu kian pilu.


Kini sudah hampir sebulan kami terpisah. Tiada lagi mesej bertanyakan khabar tiap-tipa hari seperti dulu. Tiada lagi call yang dapat ku dengar gemersik suaranya yang merdu.


Sepi. Kian menyepi. Dan akulah yang menyepikan diri. Mungkin lebih baik begini.


Sebulan ku bermuhasabah. Sebulan jua ku ambil masa untuk membaluti segala rasa hati. Ku renungi semula setiap cerita. Ku amatinya kembali.


Tuhan…Dia tidak salah. Meskipun telah ternampak kesalahan tersebut, namun dia tidak salah. Kerana dia cuma manusia biasa. Sama seperti aku, yang juga punya banyak kesalahan. Mungkin lebih banyak lagi kesalahanku di hadapanMu berbanding dengan dirinya.

Tiada siapa yang bersalah. Ku ingin imani, semuanya telah Engkau takdirkan begini. Kerana kami pun tidak pernah minta seperti ini.


Walaupun setiap hari kami berdoa untuk dikekalkan ukhuwah ini. Namun, kerana Engkau telah menghendaki kami berpisah, tetap akan berpisah jua...


Ku akur. Ku ingin pasrah di atas segalanya. Ku ingin maafkan dia seikhlas hatiku, semampu ku. Maafkan hamba kerana hamba juga cuma insan biasa. Yang punyai rasa kecewa dan hampa. Tetapi ku tidak ingin terus larut dan hanyut dalam perasaan itu.


Walau apapun yang telah berlaku, walau apapun yang telah terjadi antara kami, walau apapun Tuhan, ku ingin sentiasa memaafkannya. Sebesar apapun kesalahannya, walau bagaimana besar pun luka yang ditoreh, ku ingin memaafkannya dengan sepenuh hatiku. Seikhlas mungkin.


“Tuhan. Jika Engkau lagi Maha Pemaaf, pinjamkanlah daku sedikit kemaafaan itu. Agar dengan memaafkannya, bisa terampun segala dosa-dosaku. Kerana dia juga manusia yang tidak sempurna. Aku juga sama. Tiada yang sempurna melainkan Engkau Ya Khalik.


Ku ingin ikhlas. Ku ingin redha dengan segala yang berlaku. Berikanlah daku keikhlasan dan keredhaan itu Rabbi. Agar dengannya, dapat pula ku raih redha dan cintaMu.


Ku tidak sesekali ingin membencinya setelah apa yang terjadi, jauh pula ingin bermusuhan. Tidak. Tidak pernah hadir pun perasaan itu walaupun sedikit.


Kerana…jauh di sudut hatiku teman…ketahuilah,, ku amat menyayangimu kerana ALLAH. Hanya Cuma kerana ALLAH.


Oleh kerana rasa itu ku sandarkan sejak dari dulu lagi keranaNya, maka ku akan tetap menyayangimu. Dahulu, kini dan selamanya. Ku letakkan ia senyap-senyap jauh di sudut hatiku.


Biarpun ungkapan itu tidak lagi dapat terungkap dengan lisan seperti dahulu, tetapi kini ku abadikan ungkapan itu dalam sujud doaku pada Tuhan.









Sesungguhnya…

Ku menyulam dan mengulang cerita ini bukan untuk diminta simpati, jauh sekali untuk mencaci-caci dan bukan pula sekadar luahan dan keluhan rasa hati yang menjadi bebanan pula kepada orang yang mendengarnya.


Tetapi, niatku cuma satu. Ingin semua yang setelah tamat membaca cebisan kisah ini, mengambilnya sebagai satu iktibar dan renungan.


Benarlah, memaafkan bukan suatu perkara yang mudah. Sangat menyulitkan jika tidak dilandasi dengan keimanan.


Tetapi didiklah hati. Didiklah iman, didiklah ia menjadi bunga-bunga takwa, sehingga merimbun menjadi rimbunan redha.


Memaafkan dengan ikhlas. Tak semua orang mampu buat. Tak semua orang benar-benar dapat memaafkan dengan seeikhlas dan setulus-tulus hati.


Kerana ada yang memaafkan cuma dengan bibir mulut, bukan dengan hati. Selepas memaafkan, masih terus menyebut.


Subhanallah…sukar…sangat sukar…terkadang, ku juga sama… kerana rasa tidak tertahan rasa pedih dan kecewa, diluahkan juga kepada manusia. Diadukan juga pada makhluk-Nya.


Namun, kemudian kembali tersedar, DIA yang mentakdirkan segala-galanya. DIA yang membuatkan cerita kami menjadi sedemikian rupa.


Jika Nabi bisa memaafkan, kenapa tidak kita? Yang Cuma insan hina yang juga banyak khilaf dan dosa. Lihatlah Nabi. Tetap tersenyum bila dicaci. Tetap memaafi meskipun disakiti. Semuanya dimaafkan dengan seikhlas hati.


Dan jika ini kisah saya dan dia, mestilah setiap dari kita punya cerita yang berbeza-beza bila berteman.


Saya akui, untuk bertemu dengan sahabat sejati amat sukar sekali. Bukan mudah. Tidak semua orang bisa memiliki sahabat sejati. Tetapi, sekurang-kurangnya saya sudah pernah memilikinya. Pernah berteman sejati dengannya.


Alhamdulillah, saya bersyukur sebenarnya. Kerana dia pernah membahagiakan saya. Pernah membuatkan saya berasa menjadi orang yang cukup bertuah punyai teman yang sangat menyayangi diri ini. Masa itu. Suatu ketika dahulu.


Kak! Gelaran adik kecik tetap akan bersemi sehingga hujung nafas ini…


Bersyukur dan amat bersyukur sebenarnya di atas semua yang terjadi ini. Kerana sebenarnya Tuhan ingin mentarbiyah diri.


Bermuhasabah kembali. Mungkin ada kelalaian dan kealpaan kami semasa berukhuwah sehingga ALLAH menjadi cemburu.


Ya, mungkin ALLAH cemburu. Kerana kasih sayang seperti apapun di antara makhluk, jangan sesekali kita terlupa bahawa kasih sayang kepada Sang Pencipta harus sentiasa diletakkan yang paling utama. Paling teratas di antara apapun.


Dan mungkin selama ini kami telah terlebih kasih sehingga diuji dengan perpisahan ini. Mungkin juga pernah menjadi terlalai seketika dariNya. Semuanya mungkin.


Tuhan, Ku ingin mengerti. Tidaklah Engkau menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia, melainkan pasti ada hikmah di sisiMu.


Apa hikmahnya?? Meskipun hati tidak mampu menjawab, tetapi ku tahu suatu hari nanti Kau pasti akan singkapkan semuanya.


Pasti ada kebaikan. Meskipun ternampak buruk. Pasti ada kebaikan, meskipun di mata manusia ternampak cela. Kerana rahsia itu, hanya Engkau yang Maha Tahu, ku cuma hamba yang sangat terbatas pengetahuan tentangnya.


Tuhan.. kerana takdirMu kami berpisah. Dan ku pohon, moga dengan takdirMu jua kami bertemu dan bersama kembali. Bukan lagi di sini. Bukan lagi di dunia yang penuh kepura-puraan ini. Tetapi di sana. Di sana. Di syurga sana.


Moga di sana nanti, tiada lagi rasa hampa dan kecewa, tiada lagi duka dan nestapa, tiada lagi luka dan air mata, yang ada bahagia cuma.


Semoga…semoga..dan semoga…ku cuma ingin doakan yang baik-baik sahaja kepadanya. Lantas ku aminkan ia dalam raup doaku di keheningan pagi ini.



Dengan apa yang terjadi, lama mata terpejam bermuhasabah panjang… subhanallah…lama kelamaan, semakin terasa agungnya kuasaMu Tuhan…



Berakhir kisah kami dengan sebaik-baik jalinan cerita dari-Nya. Meskipun mungkin ia boleh dikatakan ‘sad ending’…

Dan buat yang terakhirnya;


“Maafkan daku teman. Kerana kita tidak mungkin lagi dapat bersama seperti dahulu. Maafkan daku.

Bukan ku tidak ingin memberimu peluang itu, tetapi sudah tiada lagi peluang itu buat kita.

Selama ini, DIA telah bagi kita banyak peluang sebenarnya. Dan ku telah bersyukur di atas peluang-peluang yang diberikan itu.

Tapi kini, kita sememangnya harus berpisah. Jangan disoal lagi kenapa.?

Jawapanku,, Kerana itu takdir-Nya…” :’(



Kadang-kadang...
Allah sengaja mentakdirkan kita berpisah setelah DIA menemukan kita...
kerana di sebalik perpisahan itu ada erti kesabaran dan semakin bertambahnya simpulan kasih sayang dalam diam...
meskipun tidak terzahir dengan mata, tetapi DIA Maha Mengetahui segalanya.Belajarlah untuk pasrah kepadaNya. Kerana jika iman menyakini, pasti akan ada yang terbaik masa depan nanti yang disediakan buat kita sebagai hambaNya...yakinilah...


“Katakanlah, ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH bagi kami. DIA lah pelindung kami dan hanya kepada ALLAH orang-orang beriman harus bertawakkal’.” (At-Taubah: 51)




Diari Catatan:

~Cuma ingin redhaMu Rabbi~

: Hikmatul Islam
: 22112011
: 0500 a.m

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...