16 June 2012

Israk Dan Mikraj: “Menelusuri perjalanannya yang sangat beerti, tidakkah kamu ingin mengerti?”






Bismillahirrahmanirrahim….


Ceritanya terus dibaca dan dibaca. Tanpa jemu, ia diulang-ulang. Terus diceritakan dari zaman ke zaman. Sehinggalah sampai kepada kita, pada zaman akhir zaman. Apakah kalian benar-benar telah mendengarkan.?


Ia bukan cerita biasa. Ia bukan cerita dongengan dahulu kala. Tetapi ia adalah sebuah cerita yang sangat mengagumkan dan cukup luar biasa.


Sungguh, tatkala ku baca dan ku khatamkan semula kisahnya, hati akan senantiasa bergementar. Tidak dapat digambarkan dengan kalam, hanya perasaan yang bisa menterjemahkan. 


Begitu terasa hebatnya keagungan Allah, yang meliputi segala langit dan bumi, yang Maha Pemurah lagi sangat Penyayang kepada hamba-hambaNya.


Air mata tidak segan silu berguguran kerana rasa dalam hati bercampur aduk menjadi satu, tatkala membayangkan satu persatu apa yang berlaku di dalam kisah itu. 


Rasa takut, sedih, gembira, terharu bergaul menjadi satu. Terlalu banyak ibrah yang dapat dipelajari dan diamalkan. Bukan hanya dengan mendengarkan.


Benar, membayangkannya tidak akan tercapai dengan hanya sebuah logika, kerana kemampuan akal sangat terbatas dan tidak akan mampu memikirkan di balik alam ghaib yang tidak nampak dengan mata zahir. Tetapi ia bisa diyakini dengan mata hati yang disaluti keimanan teguh kepada kekuasaan Ilahi.


Ceritanya tentang sebuah ‘perjalanan’ kekasih Allah. ‘Perjalanan’ yang cuma mengambil masa semalaman tetapi cukup beerti bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran.


Kisah itu bukan setakat perlu mempercayai dan beriman, tetapi kutipan ibrah dan hikmah yang terselindung di sebalik sebuah kisah perjalanan yang cukup menginsafkan. Itu yang perlu diperhatikan.





Keyakinan dan kepercayaan yang teguh


Akan tetapi, apabila Nabi Allah menceritakan kisah tersebut kepada para sahabat dan penduduk Mekah, ada yang membenarkan dan tidak kurang pula mendustakan. 


Beruntunglah bagi mereka yang mempercayai dengan sepenuh keimanan sepertimana Abu Bakar r.a yang senantiasa membenarkan kerana ia adalah bukti kuasa mutlak Pemilik Sang Kerajaan.


"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika Baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda saw telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".


Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.


Dan merugilah bagi sesiapa yang ragu-ragu serta tidak mempercayainya. Ternyata yang tidak mempercayainya, tipis sekali keimanannya kepada Tuhan.  Sehingga ada di kalangan sahabat Baginda yang telah Islam, kembali murtad kerana meraguinya.


Kalian pula bagaimana? Tepuk dada, tanyalah iman dengan sepenuh kejujuran. Andai masih ada keraguan, bermuhasabah dan cek lah balik iman kalian. 


Kerana keimanan kepada Allah teras dan dasarnya adalah sebuah keyakinan dan kepercayaan yang teguh, andai ia masih rapuh, usah mengaku kalian mencintai Allah dan rasulNya…


Kerana DIA Maha Berkuasa menjadikan apapun dan tidak mustahil sedikit pun peristiwa itu bisa terjadi dalam satu malam. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan pentadbir alam semesta.


Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."


Malam 27 Rejab tahun ke-11 Hijrah, menyaksikan Allah telah memilih dan mengangkat darjat kekasihnya untuk menemuiNya sehingga Rasulullah saw bisa sampai ke Sidratul Muntaha, di langit yang ketujuh, di singgahsana Allah yang maha hebat. 


Bertemu pula dengan para nabi Allah yang terdahulu, semuanya memberi salam penghormatan sepenuhnya menyambut kedatangan kekasihNya.


“Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.”
(Surah an-Najm: ayat 13-18)






Peristiwa yang ajaib dan pesanan yang menginsafkan


Meskipun kalian sudah mendengar dan membacanya, tetapi ingin juga penulis mengulang kembali petikan kisahnya. Terus diulang-ulang agar ia terus menjadi peringatan. Kerana kita manusia sering kali terlupa, lebih-lebih lagi kita sebagai umat akhir zaman…


Peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah saw dalam peristiwa Israk:


* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


*Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.


* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.


* Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.


* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.


* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.



Allahurabbi…cukup dahsyat dan menggerikan… Nabi saw sendiri yang menyaksikan terus berlinangan air mata baginda… mampukah kita untuk menerima pedihnya seksaan-seksaan itu??  Azab Allah tersangat hebat, tetapi manusia sentiasa lupa dan tenggelam dalam kelalaian…


Di sini pelbagai hikmah dapat kita teladani. Kenapa Allah menunjukkan kesemua kejadian itu kepada Nabi saw? Kenapa tidak untuk nabi-nabi yang lain?


Kerana betapa istimewanya kita sebagai umat Baginda saw. Allah ingin Nabi saw menyampaikan berita dan peringatan tersebut kepada kita agar kita beringat dari sekarang. Agar berhati-hati dalam mengemudi bahtera kehidupan dunia yang sementara ini, untuk kembali ke negeri abadi dengan selamat. 


Bukankah semua kejadian itu cukup ngeri dan menakutkan? Apakah ia masih tidak berbekas pada hati untuk dijadikan pelajaran?


Dengan mendengarkan peristiwa-peristiwa tersebut, maka tumbuhlah rasa takut dan harap kepada Allah swt. Takut untuk berbuat kejahatan dan kemungkaran. Sentiasa berharap diterima segala amalan-amalan seharian.


Di sinilah jua membuktikan Allah itu Maha Adil lagi Maha penyayang kepada hambanya. Bukan suka-suka Allah ingin menyediakan sedemikian rupa seksaan itu kepada manusia. Kerana Allah swt itu tidak zalim. Akan tetapi manusia sendirilah yang sering menzalimi diri mereka sendiri.


Ia ternyata adalah suatu keadilan daripada Allah untuk diberikan balasan yang sewajarnya buat mereka yang tidak mahu beriman, yang masih ingin ingkar dan enggan untuk beriman walaupun setelah Nabi saw telah mengkhabarkan. Bukankah ia suatu kerugian? Kerugian yang cukup besar sekali buat mereka yang masih tidak ingin mengambil pelajaran…


Duhai saudara seislamku! Tiliklah ia satu persatu. Apakah diri kita ada termasuk dalam golongan-golongan tersebut?? Ukur dan nilailah dirimu sendiri kerna kamu lebih tahu siapa dirimu…


(Ya rabbi…lindungilah kami dari azabMu…sungguh tidak akan tertanggung oleh kami ya allah akan siksaan-siksaanMu yang teramat pedih…Ampunilah kami selalu…. :’(





Hikmah dan Ibrah yang sangat bermakna



Sesungguhnya peristiwa yang sangat menakjubkan ini adalah suatu penganugerahan yang tinggi nilainya lebih-lebih lagi dari segi kerohanian. 


Ia adalah kurniaan Allah kepada kekasihnya untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNya serta merupakan bukti mukjizat seorang rasul dan nabi yang teragung.


Simbolik peristiwa yang amat besar dapat dirasai hikmahnya lagi dari cerita Israk dan Mikraj ini adalah tentang solat. Berulang-alik Rasulullah saw naik dan turun merayu lagi kepada Allah agar dikurangkan bilangan solat. Subhanallah…


Lihatlah betapa kasihnya Baginda saw, berusaha mengurangkan bilangan rakaat kerana bimbang umatnya tidak mampu menanggung beban untuk melaksanakan solat yang pada asalnya adalah 50 rakaat sehingga ia menjadi 5 rakaat dengan dikekalkan pula nilaian pahala 50 rakaat itu.


Tetapi lihatlah pula bagaimana respon kita sebagai umatnya? 5 rakaat itu masih lagi tunggang langgang sembahyangnya. Masih lagi merasa berat, malas malahan melewat-lewatkan waktu solat.


Belum dikira bagi mereka yang terus meninggalkan solat tanpa rasa sedikit pun rasa bersalah. Padahal Rasulullah saw telah bersusah payah memohon khusus kepada kita sebagai umatnya. Tetapi inikah balasan kita kepada Baginda saw??


Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)



Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.


Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya sepertimana dari peristiwa yang telah Baginda saw saksikan. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.


Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.




Insya Allah, andai kita menjaga solat dengan sesempurna mungkin, maka akan menjauhlah dari semua kemurkaan Ilahi. Akan meninggalkan segala larangan dan dapat mengikis sifat mazmumah yang ada dalam diri.


Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya:

“Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)


Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)



Penutup: Mari terus tingkatkan keimanan kepadaNya!



Ceritanya telah kita perdengarkan. Ceritanya telah selesai kita bacakan. Maka, tutuplah lembaran bacaan kisah itu bukan hanya setakat tutup buku kemudian tiada apa yang bisa kita lakukan.


Tidak cukup hanya setakat mendengarkan. Buktikanlah ia dengan amalan. Mari terus tingkatkan ketakwaan. Mari kita terus berlumba untuk berbuat kebaikan.


Rasulullah saw telah menceritakan dan telah memberikan petunjuk serta pedoman hidup yang benar kepada umatnya. Baginda saw juga telah membuktikan cintanya yang amat besar kepada kita, kepada umatnya yang terakhir yang Allah telah berikan pelbagai keistimewaan.


Akhir himmah dari penulis. Tidakkah kita mahu mengambil pelajaran??


Sekian, wallahu’alam…



“Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH…Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".




*Teruskanlah bertasbih memuji yang Maha Esa...tanpa jemu, tanpa henti...semoga Allah senantiasa menjaga imanku dan imanmu...amin ya rabbi!



~cuma ingin redhaMu Ilahi~

: Hikmatul Islam
: 27 Rejab 1433H
: 1200am

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    FadoExpress là một trong những top công ty chuyển phát nhanh quốc tế hàng đầu chuyên vận chuyển, chuyển phát nhanh siêu tốc đi khắp thế giới, nổi bật là dịch vụ gửi hàng đi nhậtgửi hàng đi pháp và dịch vụ chuyển phát nhanh đi hàn quốc uy tín, giá rẻ

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...