07 July 2012



Dengan menyebut nama-Mu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…




Cuti semester selama 2 bulan telah berlalu.


Masa begitu pantas berlalu pergi. Betapa cepatnya ia memintas melalui tiap laluan kehidupan.


25-28 Jun 2012 yang lepas.


Minggu Silaturrahim (MSR) selama 4 hari menyambut adik-adik baru bertandang ke bumi Jamiah Insaniah juga telah berakhir dengan senyuman tangisan dan sulaman ukhuwah yang cukup mengharukan jiwa.


Kali terakhir pengendalian program MSR buat saya yang berada di tahun akhir.


Tidak pernah sesekali diri merasa menyesal kerana ‘mengorbankan’ waktu cuti semata-mata untuk menyambut kedatangan adik-adik baru dengan penuh rasa kasih sayang pada tautan ukhuwah bersama mereka, malahan merasa bersyukur dan bertuah.


Dapat memberi sedikit khidmat dan bertemu saudara semuslim lalu menautkan ukhuwah yang  indah, itu sudah cukup menjadikan hidup terasa sangat beerti. Bahagia bertemu dan berpisah dalam rahmat kasihNya.


MSR kali ini sungguh sangat bermakna. 




Dengan deraian air mata dan pelukan mesra dari mereka, akan di abadikan ia sebagai potret memori terindah sebelum kaki melangkah keluar dari Insaniah…




1 Julai 2012.


Semester Tujuh bermula. Berada di tangga Tahun 4 , tidak dinafikan terasa ‘gayat’ dan debarannya cukup terasa. Tangga terakhir untuk berjuang di medan Degree.


Tersedar, ujian dan dugaan berada di tangga ini pastinya akan lebih hebat.


Sejak di minggu MSR, pelbagai ujian datang. Sesekali menguji rasa di hati. Lebih-lebih lagi kini diri tinggal sendirian. Tiada lagi kakak tersayang menemani perjuangan. 




Dia akan meneruskan jihad di medan Master pula manakala saya akan menghabiskan sisa baki 2 semester sahaja lagi.


Meski  telah bersendirian, namun DIA selalu ada menemani. Itulah yang selalu disematkan dalam hati.


Hakikatnya, ujian pasti akan datang. Samada ujian itu kecil mahupun besar, semuanya untuk menguji kekuatan iman.

“Andai diri memikirkan ujian, pastilah jiwa akan merasa ketakutan. Tidak usah memikirkan kecil atau besarnya ujian yang akan bertandang, tetapi fikirkanlah kecil atau besarnya persiapan iman yang kita lakukan untuk menempuhi setiap ujian yang mendatang.”

Saya tidak mampu menulis panjang-panjang. Setakat ini, masa terlalu mencemburui dengan pelbagai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Benarlah ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna;

"Tanggungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada"


Di saat ini, pelbagai kerja yang mendesak untuk saya siapkan dengan kadar segera tetapi disebabkan hati sentiasa merindui untuk menekan huruf di keyboard menjadi butiran kalimah, terpaksa saya mencuri sekejap masa yang ada.


Jujur, hati sentiasa rindu untuk menulis. Melakar kata-kata hikmah dan menyebarkan kalam dakwah di laman ini.


Tidak mahu dibiarkan ia kosong tanpa sebarang pengisian ilmu. Biarlah tinta yang sedikit ini menjadi pengajaran yang ‘banyak’ bagi orang yang ingin mengamatinya, dan sudah pasti lebih-lebih lagi ia menjadi ingatan untuk diri sendiri…




Sedetik ini, ingin berkongsi sedikit ilmu tentang amanah.


Memikul amanah memang tersangat berat. Andai hati tidak kuat, pastinya diri tidak akan mampu menanggung bebannya.


Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat 72:
“Sesungguhnya kami telah bentangkan amanah ke atas langit, bumi dan gunung ganang, lalu mereka tidak sanggup memikulnya dan mereka takut menerimanya lalu manusia memikulnya”

Sebaik sahaja semester baru bermula, saya mendapat amanah yang baru. Kali ini lebih besar dan mencabar. 




Tetapi andai ingin dibandingkan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain, mereka lebih-lebih lagi memikul tanggungjawab yang jauh lebih berat.


Bukanlah untuk saya bandingkan ‘berat’ atau ‘ringan’ nya amanah tersebut.


Pastinya, kalian juga memikul amanah dan tanggungjawab masing-masing. Walau apapun jawatan atau tugasannya, yang pasti ia tetap menjadi suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan dan ditimbang di hadapanNya kelak.

Amanah adalah tuntutan iman. Dan khianat adalah salah satu ciri kekafiran.

Sabda Rasulullah saw:
“Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji.” (Ahmad dan Ibnu Hibban)





Amanah yang sama dipikul oleh kita semua adalah menjadi khalifah di muka bumi ini. Menjadi pemakmur dan menjalankan segala perintah mengikut syariat-Nya.

Allah menjelaskan misi kehidupan manusia dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu (Allah)”

Sabda Rasulullah s.a.w di dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:
“Wahai hambaku , Aku tidak mnjadikan kamu agar Aku terhibur dengan kamu dari kesepian atau untuk memperbanyakkan bilangan kamu dari kekurangan ataupun untuk meminta pertolongan dari kamu dalam perkara yang Aku merasa lemah , begitu juga bukan dengan tujuan untuk mendapat manfaat atau menolak kemudaratan.Tetapi Aku jadikan kamu ialah semata-mata untuk kamu sentiasa beribadah kepadaku dan sentiasa mengingatiku serta bertasbih kepadaku pagi dan petang.”

Juga amanah untuk menjadi hambaNya yang terbaik.


Bagaimana untuk menjadi hamba yang terbaik? Sudah tentunya dengan melaksanakan dengan yang 'terbaik’ pada amanah yang diberikan. 




Sehabis daya dan bersungguh-sungguh. Melaksanakan tanggungjawab yang ada dengan penuh rasa ikhlas kerana Allah semata-mata.


Ternyata ia bukan senang. Bukan semudah kata untuk buat yang ‘terbaik’. Bukan senang pula untuk menerbitkan rasa ikhlas lillah di hati.


Semuanya perlukan mujahadah. Semuanya perlukan bekalan iman yang ampuh dan kuat. Semuanya perlu istiqamah dan konsisten dalam gerak kerja.


Kita adalah khairul ummah. Yakinilah. Bukan suka-suka Allah menjadikan kita sebagai manusia di dunia ini. Tetapi dilahirkan sebagai ummat yang terbaik, terelok dan terindah untuk mengindahkan agamaNya.


 Erti dari firman Allah Taala: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.”








Tidak dinafikan tatkala amanah dipautkan di bahu, sungguh ia terasa berat sekali. Seperti batu besar yang menghempap tubuh seketika. 

Hati berkira-kira, adakah diri mampu memikul amanah tersebut? Mampukah diri mampu melaksanakan dengan terbaik??


Memikirkan kondisi kesihatan yang agak lemah, tidaklah seaktif teman-teman yang lain. Lama saya merenung. Terus berfikir sambil berdoa. 

Andai Allah tidak menguatkan rasa di hati, andai hati hanya memikirkan kepentingan diri, pastilah saya akan mengundurkan diri. . .


Tetapi saya tidak mahu cepat mengalah sebelum mencuba. Dengan kesihatan yang baik Allah swt berikan kini, saya bersyukur malahan  sedar DIA memberi peluang dan ruang sihat ini untuk diisikan dengan pelbagai amal. 


Untuk disibukkan diri dengan kebajikan. Untuk berkongsi pelbagai kebaikan.


Insya Allah,  disematkan azam jauh di sudut hati akan mencuba untuk berbuat yang terbaik. Bukan untuk diri sendiri, tetapi biarlah terus terpasak niat itu untuk Islam dan ummah seluruhnya. 




Andai ini yang bisa bermanfaat dan boleh disumbangkan untuk agamaNya, akan dicuba sedaya yang mampu…

“Tiada daya kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”






Biarpun ia cuma secebis, moga cebisan amal ini akan menjadi mahar untuk meraih redhaNya. Moga itu yang akan sentiasa menjadi matlamat utama. Berpegang pada janjiNya yang bermaksud:

“(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, dan ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Rabb-nya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” [Al-Baqarah: 112]

Mari saudaraku, terus seiring berjuang di atas sabil-Nya. Meski lelah, meski terkadang akan disapa rasa putus asa dan kecewa, tetapi biarlah DOA menjadi senjata kekuatan untuk terus bertahan hingga akhirnya.


Bersyukurlah kalian andai masa yang dipinjamkan tidak pernah sia-sia. Tidak akan terisi dengan kelalaian dan kealpaan. Biarlah akal terus berfikir dan tubuh bekerja untuk Islam.


Semoga, setiap perkara yang dilakukan menjadi ibadah. Semoga amanah yang digalas menjadi ibadah yang ternilai untuk dihadapkan di hadapanNya kelak. Amin…

Sekian, wallahua’lam.

Doa munajat: “Ya Allah, hamba memohon kekuatan dariMu… sesungguhnya hamba ini lemah dan fakir, hamba yang hina lagi kerdil…tiada daya upaya untuk hamba melakukan sesuatu pekerjaan pun melainkan dengan kemurahan rahmatMu… andai ini taklifan dan amanah yang Kau berikan untukku, maka bantulah dan berilah pertolongan serta kemudahan… semoga hati terus thabat dan istiqamah untuk terus berjuang di atas sabilMu hingga akhir nafas ini…allahumma amin ya rabbi.!”


~Sentiasa mendamba redhaMu~
: hikmatul Islam
: 07072012
: 0700 a.m

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt
    Antara amanah dan jihad. Sebagai khalifah di muka bumi, kita mesti tahu keadaan zaman yang kita hidup samaada didalam daulah atau diluar daulah. Sesungguhnya Allah SWT merahmati bagi mereka yang kenal akan zaman persekitarannya. Hatta Rasulullah saw berada pada dua zaman yang berbeza iaitu Makiyyah dan Madaniyyah dimana amanah yang hendak dipikul adalah mengikut ketetapan didalam AlQuran. Dengan tiadanya kekuatan dan terhadnya kemampuan, maka adalah lebih baik berjihad seperti mengikut didalam Surah AtTaubah:122 وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُ‌وا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ‌ مِن كُلِّ فِرْ‌قَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُ‌وا قَوْمَهُمْ إِذَا رَ‌جَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُ‌ونَ Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
    Jadi setelah kembali ketanah air nanti, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mengubah kearah sistem Islam. Tidakkkah sebaik2 amanah dizaman kerosakan dan manusia sudah lari dari Sunnah Rasulullah saw samaada yang wajib atau sunat, maka jalan yang terbaik adalah mengajar AlQuran. Sbda Rasulullah saw,`Sebaik2 kamu adalah yang mempelajari AlQuran dan mengajar Alquran` riwayat Muslim. Wallahualam.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...