Showing posts with label berkahwin. Show all posts
Showing posts with label berkahwin. Show all posts

23 November 2014

Musim Walimah: 'Tenangkan Dirimu Dengan Janji Allah'


Bismillahirrahmanirrahim.
Mereka hampir berputus asa. Saya juga sama. Namun, Allah masih berikan saya keyakinan demi keyakinan, menyebabkan saya masih ingin terus bertahan dan berjuang.
Maka, entry kali ini ditulis dengan harapan untuk mereka pun jadi kuat kembali. ‘Mereka’ yang sama dengan saya, yang masih bujang, yang masih sedang menunggu janji Tuhan.
Semoga secebis kalam ini dapat memujuk, untuk kalian atau diri saya sendiri. Biiznillah.

Kedatangan musim walimah
Emosi resah, gelisah. Rasa resah itu semakin menyental-yental ruangan dada, menyebabkan jiwa merasa sempit seketika. Stress pun ada tatkala memikirkannya.
Setiap kali datang musim walimah, pasti akan terusik emosi. Sedikit atau banyak, terusik jua. Melihat orang lain membina istana cinta, melihat mereka tersenyum bahagia di singgahsana tipulah kalau tidak terasa.
Kerana cinta itu fitrah Allah bekalkan dalam diri manusia, dan hidup berpasangan itu adalah suatu impian yang suci untuk melamar redha-Nya.
“Tapi, di mana calon kita? Siapakah pasangan kita?”
Persoalan itulah yang sentiasa terbunyi-bunyi, dan orang pun tak jemu untuk bertanya tentang satu ini. 
“Sudah berpunya ke? Bila nak walimahnya?”
Nak bagi jawapan apa? Sebab memang tiada jawapan dari kita, hanya Allah yang mampu menjawab persoalan tersebut.
Bukan tak usaha, dah usaha. Bukan tak berdoa, dah berdoa. Tapi mungkin, usaha tu belum sampai tahap maksimum. Atau doa itu, belum sampai tahap sungguh-sungguh mengikut ‘level pandangan’ Allah.
Kerana itu, kita harus lebih bersabar dan bersabar. Harus terus berusaha lagi tanpa jemu. Harus lebih perhebatkan lagi doa-doa.
Mari selami sekejap kisah benar sahabat-sahabat saya, yang sandaran mereka teguh meminta pada Yang Maha Kuasa. Mungkin, ada sesuatu yang dapat kita pelajari daripada mereka.


Iktibar dari kisah indah menanti jodoh

Saya ingin datangkan dua kisah benar. Seorang sahabat ini, dia bernikah tahun ini pada penghujung umurnya 27 tahun.

3 tahun yang lalu, seorang lelaki yang belajar di Mesir berjanji untuk menikahinya, tetapi janji cuma tinggal janji. Sampai di mesir, dia lupa kepada yang menanti di sini.

Saya masih ingat, dia datang kepada saya masa itu saya berada di tahun akhir pengajian. Dengan wajah yang penuh duka dan hiba, dia menangis di hadapan saya.

“Wanis, bagaimana untuk melupakan si dia?”

Allahu, sungguh saya mati kata pada saat itu. Membiarkan dia menangis menghamburkan segala rasa.

“Ukht, Allah sayangkan ukht. Sebab tu, Allah tak mahu bagi si dia pada ukht. Sebab Allah tahu, dia takkan pandai untuk hargai ukht kelak. Percayalah, Allah akan gantikan seseorang yang sangat baik untuk ukht. Sekarang, kita fokus pada belajar dulu ya.”

Cuma itu saya mampu pujuk dia.

Selepas dari itu, saya sering melihat dia murung. Tiada lagi senyuman yang terlakar pada wajahnya. Sukar sekali untuk dia tersenyum lagi.

Lama, 3 tahun. Bayangkan, 3 tahun dia berdoa meminta untuk jodohnya. Tiada siapa yang datang merisiknya selama tempoh tersebut.

Sahabat ini comel sahaja orangnya. Tetapi disebabkan dia sukar tersenyum, mungkin orang jadi takut untuk bertanyakan dirinya.

Setiap kali sahabat walimah, dia akan mesej saya. “Dah nak kahwin ya kawan kita tu.” Sepatah sahaja. Tapi, saya tahu hujung rasanya, dia hiba. Hampir dia putus asa.

Saya juga sama. Namun, sering saya suka ‘memujuk’ orang dengan pelbagai kata-kata, meski saya sendiri pun penat berlawanan dengan pelbagai emosi yang ada.



Dia teruskan solat. Doa dan doa lagi tanpa jemu.

Selepas 3 tahun, Allah jawab doa-doanya. Didatangkan 2 pilihan. Seorang guru yang berharta, tetapi tiada agama. Seorang lelaki yang baru sahaja habis pengajian, baru bertatih untuk bekerja.
Akhirnya, usai beristikharah Allah datangkan keyakinan, LELAKI BERAGAMA jauh lebih 'kacak', 'hensem', 'awesome' dan bernilai dari segala apa yang ada di dunia.
Kerana laki-laki soleh, adalah pembimbing wanita ke syurga. Bukan dengan hartanya, bukan kerana wajahnya, tetapi kerana ketinggian pegangan agama yang ada padanya.
Tahukah kalian apa yang paling menarik tentang lelaki ini?
Umurnya lebih muda 24 tahun, tetapi sangat cintakan ilmu. Suka tadah kitab dan belajar kitab. Bayangkan, dia adalah student yang satu kampus dengan kami!
Kiranya, semasa kawan tu dah tahun akhir, si lelaki baru sahaja masuk pengajian tahun pertama. Memang mereka tak pernah jumpa walau satu kampus yang sama.
Habis, macam mana boleh berjumpa?
Subhanallah, uniknya Allah aturkan. Si lelaki semasa tahun akhir, merisik bertanyakan kepada kawan saya yang lain, tentang si ukht tadi.
Risik punya risik, mereka bertaaruf ringkas. Terus si lelaki bertemu ibu bapa menyatakan hasrat menyuntingnya, dan dalam tempoh setahun akhirnya mereka bernikah.
Faktor umur, bukan penghalang cinta. Namun, kematangan seseorang dalam berfikir akan membuatkan dia lebih bertanggungjawab untuk sedia memikul beban amanah sebagai imam.
Insha Allah, suaminya itu adalah seorang yang sangat baik dan soleh. Alhamdulillah dia sangat bersyukur kepada Allah. Kini, dia tersenyum bahagia di sisi yang halal.

(gambar sekadar hiasan)

Kisah kedua, seorang ukht yang bernikah pada umur 28 tahun. Dia bertemu jodohnya dengan selepas bersungguh-sungguh bangun solat malam.
Bukan sebelum ini dia tidak pernah Qiam, selalu sahaja tapi kali ini lebih bersungguh-sungguh meminta hajatnya yang satu ini. Untuk bernikah.
Peningkatan umur bagi seorang wanita, memang sangat meresahkan jiwa jika belum disunting oleh mana-mana lelaki.
Pasti akan ada pelbagai sindiran dari mulut orang dan kawan-kawan.
Sahabat ini terus istiqamah berbuat pelbagai kebaikan. Terus kuatkan ibadah.
Terus meminta dan berdoa sungguh-sungguh selama 3 bulan. Bukan selama ini tak berdoa, tapi kali ini lebih serius minta dengan Allah.
Akhirnya, Allah jawab doanya. Didatangkan pak saudara sama pak saudara kedua belah keluarga yang merisik mengira.
Siapa sangka, si lelaki rupanya adalah abang senior dia semasa di kampus dahulu. Sahabat ini hafizah, subhanallah bertemu jua dengan seorang hafiz!
Seorang imam yang soleh dan terbaik, Alhamdulillah, kawan ini tidak habis mengucapkan hamdalah kepada Tuhan.


Keajaiban Itu Ada

Cerita tersebut bukan kisah dongeng. Ini realti keajaiban yang Allah berikan kepada 2 orang sahabat saya. Masih banyak kisah-kisah yang lain, tapi saya kira kisah mereka sangat mengagumkan buat saya.

Apa yang kagum? Kerana mereka ini sangat bersandar kepada Allah, Pencipta setiap jiwa manusia.

Mereka orang-orang yang berusaha mencari keredhaan Allah. Mencari jalan yang halal dengan cara yang baik.

Mereka yang tidak ingin jemu memohon meskipun hembusan angin putus asa sesekali datang menyapa.

Justeru, kenapa harus kita jadi berputus asa dengan rahmat Allah yang Maha Luas?

Bukan Allah tidak mendengar rayuan dan permintaan kita yang sama. Bukan Allah tidak tahu betapa sedihnya hati kita yang masih bersendirian tanpa pasangan.

Bukan Allah tidak mengira semua air mata yang jatuh setiap malam. Allah sudah mengira dan menyaksikan, cuma sahaja Allah mahu kita kembalikan semua rasa itu berhak pada Allah yang utama.

Ya, mencintai Allah dan Rasul SAW dengan segenap jiwa, itulah mahar untuk kita menjemput datangnya jodoh yang baik. Yang paling terbaik untuk Allah berikan.

“Baiki hubungan kita dengan Allah, pasti Allah akan baiki hubungan kita dengan manusia.”




Bukan Siapa Cepat, Dia Dapat

Perkahwinan bukan bermakna siapa cepat, dia dapat.
Bukan pula bermakna, yang kahwin awal dahulu akan lebih bahagia daripada yang terlewat.
Kerana perkahwinan bukan diukur dari segi masa dan jarak, tetapi diukur kebahagiaan itu pada mereka yang benar-benar berusaha mencari jalan keredhaan-Nya.
Berusaha sehabis daya mengikuti segala perintah-Nya, memperbaiki hubungan dengan-Nya yang lebih utama, mencintai Allah dan Rasul untuk mengaplikasikan cinta yang benar-benar dapat dibawa pasangannya hingga ke syurga.
Usah bersedih kepada yang agak terlewat. Ini ruang dan peluang kita untuk bertemu yang jauh lebih baik, dengan kita turut berusaha menjadi hamba yang sehabis baik.
Jika mereka layak mendapat syurga cinta dalam berumahtangga, kenapa tidak kita? Jika mereka layak untuk berbahagia dengan pasangan, kenapa tidak kita?
Mungkin sekarang bukan masa kita lagi. Sabar, Nanti.
Kuatkan lagi doamu pada Tuhanmu.
"Manusia tidak akan dapat menentukan jodohmu, biar sekuat mana mereka berusaha untuk mencari jodoh untukmu.
Tetapi Allah-lah yang akan MENENTUKAN DAN MEMBERIKAN pemilik jiwamu, yang telah dicatatkan dalam takdir-Nya yang terindah."




Akhir bicara: Tiada yang Mustahil Bagi Allah

Kita bukan minta banyak dengan Allah. Kita minta seorang sahaja pasangan hidup. Besar mana permintaan kita, besar lagi kuasa Allah untuk mengabulkan.

Jika manusia Allah dapat jadikan daripada tiada kepada ada, apalah yang mustahil untuk diberikan kepada kita SEORANG sahaja daripada berjuta-juta ramainya orang di dunia ini? 

Namun, kerana yang seorang itulah Allah nak berikan paling terbaik, maka kita harus tahan diuji dan diuji terlebih dahulu.

Allah Maha Kuasa. Bukan janji-Nya tidak benar, sangat benar. Laki-laki yang baik, untuk wanita yang baik. Jika kita sudah pun berpegang dan beriman sepenuhnya kepada DIA, maka kenapa harus lagi diragui semua janji-Nya?

Apabila Allah berkata, “Kun Fayakun”, maka tiada siapa yang akan dapat menghalang atau menyekat jodoh kita.

Mari terus teguh beriman. Teruslah berpegang kepada Tuhan. Meski tiada contoh sebenar dari sisi saya sendiri, tapi saya masih tetap ingin terus menyakini-Nya selalu.

“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.” [QS. Asy Syuro (42):11]

Menjemput jodoh itu sebuah perjuangan. Perjuangan untuk mendapatkan seorang teman hidup yang bukan sekadar-kadar nafsu di dunia, tetapi pembimbing dan penuntun langkah kaki untuk ‘selamat’ berjalan hingga ke syurga-Nya.

Teruskanlah berjuang demi mendapat keredhaan Tuhan.

Sekian, wallahu a’lam.





: hikmatul islam         
: 23112014 
: penghujung tahun musim hujan
: 1000 p.m 

03 February 2014

Maha Pengatur Jodoh




"Ya Allah jika jodohku masih jauh,
maka dekatkanlah.

Jika sudah dekat, maka satukanlah
dalam ikatan suci.

Dan jika ini merupakan ujian buatku
maka damaikanlah hatiku
dengan ketentuan-Mu..."



Bismillahirrahmanirrahim.

Musim cinta datang lagi.

Undangan walimah tidak pernah susut.

Sentiasa bersilih ganti tatkala datang waktunya.

Senyum sorang-sorang tengok gambar kahwin teman-teman di fb.

Subhanallah, sejuta hamdalah untuk Pencipta Cinta.

Cantiknya takdir Allah susun untuk setiap orang.

Ada yang mudah-mudah sahaja jodohnya. Ada pula yang perlu lalui pelbagai ujian demi ujian sebelum bertemu dengan pasangannya.

Ketika ini, saya dihadiahi oleh seorang kenalan di fb sebuah buku dari Seberang (Indonesia) yang bertajuk "Teman dalam Penantian", hasil sentuhan karya Mas Udik Abdullah.

Masya Allah! Betapa baiknya Allah. Betapa Allah mahu menyatakan sesuatu untuk diri saya, lalu ingin pula Allah mahu saya berbagi kepada kalian semua.

Bicara lagi kali ini tentang jodoh.

Masalah jodoh memang unik dan penuh rahsia. Sarat dengan misteri.

Selagi tidak sampai ke akad nikah, selagi itu kita akan tertanya-tanya sendiri.

"Bagaimanakah jodohku? Seperti apakah dia?"

Bagi yang sudah bertunang, ia bukan tiket jaminan bahawa tunang itu pasti akan menjadi jodohnya.

Lihat sahaja, betapa ramai yang putus hubungan di pertengahan?

Siapa sahaja yang akan menjamin semua itu andai bukan aturan dari Tuhan?

Sebab itulah, tidak menjadi pelik bila kita lihat sesetengah teman begitu dipermudahkan urusan jodohnya.

Dan dari satu sisi lagi, betapa sulitnya bagi setengah yang lain diuji dan terus diuji beberapa kali barulah dia bertemu dengan jodohnya.

Andai diberi pilihan, yang mana kita mahukan?

Pastilah, kita pohon dipermudah-mudahkan semua urusan. Mahu pula urusan kahwin disegerakan.

Tetapi hakikatnya tidak seindah seperti itu.

Ibaratnya, orang kaya mudah dan senang sahaja untuk makan sepinggan nasi yang penuh dengan lauk mewah dan mahal.

Terbanding dengan seorang nelayan yang berhempas pulas di lautan untuk mendapatkan nasi sepinggan yang cuma berlaukkan ikan seekor.

Agak-agaknya, yang mana lebih menghargai sebuah 'rasa kelazatan' sepinggan nasi tersebut?


"Diuji berkali-kali itu perit dan pahit.

Namun, andai ia dihadapi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan

pasti akan merasai kelazatan sebuah iman.

Perkara yang sukar untuk didapatkan itu,

nilaiannya jauh lebih mahal dan berharga

berbanding benda yang mudah-mudah sahaja

didapatkannya tanpa ada sebatas usaha."





"Untungnya dia."

"Bertuahnya awak!"

Tengok orang mendirikan bait muslim, secara fitrah akan wujud rasa keinginan itu pada setiap manusia.

Kahwin secara zahir itu nampak indah, nampak nikmat, nampak macam seronok jer?

Opsss!! Cuba tekan 'brek' sekejap.

Renung dalam-dalam pada iman.

Kita nak kahwin, pastinya mahu yang baik-baik sahaja.

Kita nak kahwin, pasti impi yang bahagia-bahagia sahaja.

Siapa yang maha memberi bahagia itu kalau bukan Allah?

Siapa yang maha memberi rasa cinta itu kalau bukan Pencipta Cinta?

Tengok orang kahwin kita pun teruja nak kahwin.

Tanyakan dahulu jujur-jujur pada diri.

Apakah saat ini kita lebih besar mencintai Cinta Insani atau Pemilik Cinta Abadi?

"Statement awak ini macam negatif jer, awak tak nak kahwin ke?"

Senyum.

Manusia normal mana yang tidak mahu menikah? Siapa yang tidak mahu deen (agamanya) dapat segera disempurnakan dengan hadirnya belahan jiwa?

Usia saya sendiri telah berinjak masuk ke-25. Suatu usia yang sudah sesuai untuk menikah.

Tapi, apakah Allah rasa sesuai pada pandanganNya? Mungkin masih belum.

Saya mungkin sering berjaya dalam pelajaran, tetapi Allah berikan 'gagal' berkali-kali dalam urusan jodoh.

Sebab apa? Sebab bukan jodoh saya dan belum sampai masanya lagi...

*Tenang-tenanglah dengan janji Ilahi*

Saya turut berharap orang yang sama bujang dengan saya, yang mungkin sedang resah menanti jodohnya, turut merasai ketenangan selepas membaca entry ini. Insha Allah.




Benar. Tak dinafikan dengan saling cinta kepada manusia juga akan menyampaikan jua cinta kita kepada Allah.

Cuma sahaja, persoalan di sini apakah benar kita ingin menyempurnakan deen itu kerana mencintai Allah atau mencintai manusia semata-mata?

Orang yang mendirikan baitul muslim itu kerana Allah, bukan kerana nafsu semata-mata maka dia pasti akan lebih mengutamakan cinta Allah berbanding cinta manusia.

Semuanya bergantung kepada niat. Orang yang menikah kerana kecantikan pasangan semata-mata, maka itu jugalah yang dia akan dapat. Sementara.

Namun, andai orang yang menikah benar-benar kerana Allah dan kerana dia sedar menjadi sebuah ibadah yang cukup besar di sisiNya, pastinya dia akan selamat sampai ke matlamat akhir untuk terus bersama hingga ke syurga!


"Kerana ku malu

dan kerana cintaku kepada Rabbku,

jauh lebih besar dari kecintaanku kepadamu..."






Jodoh itu takdir.

Bila sebut takdir, ia sangat berkait rapat dengan akidah, keimanan dan keyakinan kita dengan Allah.

Mungkin antara kita, pernah terbit persoalan di hati.

"Kenapa sehingga kini, jodohku yang dinanti belum jua muncul?"

"Kenapa sehingga kini, Allah belum mengabulkan doaku untuk bernikah?"

Bertanyakan persoalan untuk kita cari solusi agar semakin memperbaiki diri tidaklah salah.

Namun hati-hati, jangan sampai tergadai iman di hati. Jangan sampai pudar keyakinan kita kepada Ilahi.

Abu Hurairah r.a menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Doa siapa pun di antara kalian pasti akan terkabul selagi tidak tergesa-gesa sehingga dia berkata, 'Saya telah berdoa tetapi belum terkabul." (HR Bukhari)

Lalu para sahabat bertanya kepada Baginda s.a.w, "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?"

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab; "Selagi dia tidak tidak berkata, Saya telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga terkabul,' kemudian dia berputus asa dan akhirnya tidak lagi berdoa." (HR Muslim)

Dalam hal jodoh ini, hal yang paling besar harus kita renungi adalah soal keyakinan.

Ya, yakin! Allah menguji kita dalam penantian kerana ingin melihat hebat mana keyakinan dan sandaran kita pada Allah?

Disebut dalam Hadis Qudsi, ringkas tapi sangat significan maknanya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku."

"Ana inda zanni abdi bi- Aku menurut sangkaan hambaku."

Sangkaan kita kepada Allah.

Kita banyak bersangka baik atau bersangka buruk? Kita banyak memandang semua ujian jodoh ini sebagai baik atau sebagai bala dari Allah? 

Kita banyak bersangka Allah tidak adil dan zalim kerana tidak memberi jodoh seperti kita mahukan?

Allahurabbi. Andai ada sangkaan-sangkaan seperti itu, segeralah usir dengan memperbanyakkan istighfar kerana syaitan lagi sedang ingin menggoyahkan iman di hati.

Mungkin ada di antara kita merasakan diri tidak laku, rasa rendah diri, rasa sedih sebab tiada orang yang pandang.

Tapi, Allah Maha Memandang kan?

Mana yang lebih kita mahukan, pandangan Allah yang penuh kasih sayang atau panahan cinta buta dari manusia sehingga kita lalai daripada mengingati-Nya?


"Bukan pada tempatnya jika kita mengaku mencintai Allah namun masih saja menganggap buruk tentang apa yang Allah takdirkan pada kita.

Sebab, adakah kekasih sejati yang akan menyia-yiakan orang-orang yang dikasihiNya?

Selagi engkau istiqamah dengan imanmu menapaki jalan Islam, maka saat itu Allah telah menyayangimu selamanya." (Mas Udik Abdullah)





Mungkin yang dimudah-mudahkan saat walimah seseorang itu, belum terjamin lagi dipermudahkan hidup berumahtangga.

Saya amati, sesetengah sahabat yang mana dipermudahkan urusan jodoh pada awalnya, namun pelbagai badai berat yang harus dihadapi setelah berkahwin.

Benar, istikharah dan istisyarah itu perlu. Sebagai permulaan untuk meraih keberkatan.

Tapi perlu diingat! Ia bukan jaminan untuk kekal berbahagia sepanjang zaman.

Kita perlu sentiasa sedarkan diri. Kita hidup di alam realiti, bukan hidup di alam fantasi.

Setiap pasangan akan diuji. Tiada rumahtangga yang tidak teruji.

Persediaan untuk melangkah ke alam itu hendaklah dengan ilmu dan iman yang benar.

Sebesar mana iman dan kecintaan kita pada Allah, insha Allah sebesar itu jugalah dapat kita hadapi ujian yang datang dengan tenang.

Ibarat orang terjun ke laut dengan adanya pelampung dan tahu berenang, berbanding dengan orang yang terjun ke laut tanpa apa-apa persediaan, tidak ke haru??

Begitu juga alam rumahtangga yang akan kita hadapi kelak. Nampak tenang seperti laut, tapi mana kita dapat jangka bila akan tiba ribut dan taufan melanda?

"Persiapan mental dan fizikal untuk bernikah itu penting.

Namun, persediaan rohani jauh lebih penting dan utama dari yang terpenting."




Allah Maha Pengatur jodoh yang terbaik.

Bagi sahabat-sahabat yang awal melangkah ke dalam 'masjid' itu, dan kita yang masih duduk di luar masjid maka bersabarlah menunggu.

Menunggu dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.

Allah Maha Adil lagi Maha Penyayang. Mana mungkin DIA tidak mengendahkan kita yang tetap setia beriman kepadaNya?

Mana mungkin, DIA tidak mempedulikan rintihan jiwa kita, jeritan batin kita sedang Allah lagi sangat Memahami semua rasa itu lebih dari manusia?

Tenang-tenanglah. Semakin hebat amal dan kedekatan seseorang itu kepadaNya, semakin Allah sayang.

Bila Allah semakin sayang, pastinya Allah nak serahkan diri kita kepada hamba yang paling terbaik. Yang akan menyayangi dan menghargai kita sepenuh hati kelak.

Insha Allah, amin.


"Selagi bergelar bujang, kita masih bisa merebut 'cinta ekslusif' dari Tuhan.

Yakinlah, pasti cinta insan yang paling 'ekslusif' juga yang akan Allah berikan!"


*p/s: Barakallah utk mereka yang telah selamat menyempurnakan deen-Nya. Semoga sempurna jua cinta itu untuk dibawa hingga ke syurga ^_^





"Aku berharap
doa-doaku menjelma menjadi kunang-kunang
Terbang dan melesat tertiup angin
Ratusan, ribuan, jutaan
bersatu menjadi bulatan cahaya
Indah berkilau, berhembus
Terbang tinggi menuju langit 'Arsy
Menghadap Tuhannya.

Dan kelak suatu saat
Ia akan mengepakkan sayapnya
menuju kembali padaku
mengabarkan wahyu dari-Nya
menitipkan sebuah takdir untukku.
Doa tak berujung ini
tak akan pernah usai
kerana daku akan selalu menanti jawapan
dengan sepenuh sandaran kepada Tuhanku."


~Puisi Indah dari petikan buku "Teman dalam penantian."~


: hikmatul islam

: 0330 pm

: 2 rabiulakhir 1435H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...