Showing posts with label kecewa. Show all posts
Showing posts with label kecewa. Show all posts

20 December 2011

Hampa dengan Natijah Imtihan?








Assalamualaikum wbr…



Salam ketenangan dan kedamaian buat hati-hati yang merasa gundah.


Salam kesabaran buat hati-hati yang merasa kecewa dan berduka.


Salam kesyukuran buat hati-hati yang sentiasa kuat dan tabah.



Alhamdulillah, result sudah terpapar di portal. Mungkin ada yang tersenyum bangga, tidak kurang ramai juga yang berduka. Begitulah adat mengaji, setiap semester pasti akan ada natijahnya setelah berhempas pulas melalui satu-satu semester pengajian.


Natijah Imtihan.


Pastinya, semua orang mengimpikan natijah yang bagus-bagus sahaja. Semua orang sentiasa mengharapkan keputusan yang baik-baik belaka. Tetapi, sedarilah tidak semua impian dan harapan itu dapat dikabulkan oleh yang Maha Esa.


Terasa hampa dengan result imtihan?


Pertamanya, tanyalah secara jujur dengan diri sendiri. Recheck balik dengan sejujurnya, adakah kita sudah berusaha sehabis daya dan bertawakkal dengan sebenar-benarnya? Mungkin kita sudah berusaha study sungguh-sungguh, tetapi kita kurang berdoa, kita lupa untuk bertawakkal kepadaNya.


Jika sudah ternyata sedemikian, tidak perlu terus kecewa dan bersedih. Marilah kita ubah takdir masa depan dengan USAHA yang lebih kuat dan DOA yang lebih banyak kerana itulah janji Tuhan adalah pasti.


Namun, jika kita dah berusaha dan bertawakkal, kemudian kita masih gagal percayalah yang Allah nak sediakan sesuatu yang lebih baik bagi diri kita. Andai kita telah bersungguh-sungguh berusaha dengan terbaik, tetapi masih juga mendapat natijah yang tidak memuaskan hati, masih juga datang bertamu rasa kecewa di hati maka di sinilah kita mesti beriman dengan takdir.



“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan)” (Al-Qamar:49)




Berimanlah dengan takdir, maka kita akan meredhai dan berserah diri untuk segalanya. Akur akan kebijaksanaan ALLAH yang memberikan natijah yang sedemikian rupa kepada kita.


Janganlah mudah melatah dan memberontak, kerana itu tanda tidak bersyukur.


Jangan mudah berputus asa dan terus-terusan tenggelam dalam kekecewaan, kerana itu juga tanda tidak bersyukur.


Saya sendiri akui merasa sedikit kecewa apabila melihat result kali ini. Terasa hampa tidak dapat mempertahankan kejayaan yang lalu. Tetapi, tidak salah jika kita merasa hampa. Tidak salah kita merasa kecewa kerana itulah lumrah perasaan kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina.


Rasa itu ALLAH yang anugerahkan, untuk kita merasainya. Memang pedih, perit dan pahit tetapi di dalamnya itulah terkandung satu kandungan rasa yang cukup ‘manis’, jika kita merasanya dengan rasa ‘hati’.


Rasa hati yang diikat dengan iman dan terarah memikirkan hikmah-hikmahNya. Hati yang sentiasa merenung-renung kekurangan diri lantas ingin terus berusaha memperbaikinya. Hati yang sentiasa ingin bermuhasabah dengan kalam peringatanNya.


Bersabarlah, sesungguhnya kesabaran itu amat baik bagi mereka yang benar-benar dapat bersabar dengan segala ujianNya. Allah sebenarnya ingin memberi kita pahala di atas kesabaran kita yang kecewa dengan keputusan tersebut.



“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan” (az-zumar:10)



Sudah menjadi sunnatullah. Ada ketikanya kita berada di atas, dan ada kalanya kitanya kita akan berada di bawah kerana begitulah adat kehidupan ini. Tidak akan ada insan yang selamanya berada di atas, dan tidak akan ada insan yang selamanya dalam kegagalan.


Gagal bukan beerti kita tewas dan kalah. Gagal juga bukan beerti kita telah menyerah dan semakin melemah. Tetapi gagal adalah satu titik juang kita untuk bangkit semula.







Duhai sahabat-sahabatku sekalian.


Pimpinlah hatimu sendiri. Pujuklah hati dengan ayat-ayat cinta Ilahi. Bersabar dan bersyukurlah. Cekalkan hati. Kita perlu meneruskan hidup ini, walau apapun yang telah terjadi.


Akuilah kuasa dan kudrat kita sebagai hamba yang tersangat lemah kudratNya berbanding yang Esa. Sebagai orang yang beriman, yakin dan percayalah, DIA sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita. Tiada satupun keburukan, kecuali yang baik-baik sahaja.


Akhir tinta, pandanglah ke belakang sebagai iktibar dan pedoman, teruslah melihat ke hadapan untuk membina impian-impian yang indah di sepanjang jalan kehidupan. Kejayaan pasti akan dapat digenggam, andai diri tidak pernah berputus asa dari rahmat Tuhan.


Bersabarlah dengan semua ini maka kalian akan mendapat pahala dan natijah yang cukup baik di sisiNya. Bersyukurlah di atas segalanya, maka itulah sebaik-baik jalinan iman kepada yang Maha Esa!^^, Wallahu’alam..


p/s: “Sesungguhnya, ‘natijah’ di alam sanalah harus sentiasa pastikan mendapat yang TERBAIK. Kerana natijah di dunia ni hanya sementara, tetapi natijah di sana kekal abadi buat selamanya…”

  

“Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang mana ia merupakan penjaga perkaraku. Perbaikilah duniaku yang di dalamnya terdapat kehidupanku. Perbaikilah akhiratku untukku yang di dalamnya terdapat tempat kembaliku. Jadikanlah hidupku sebagai tambahan untukku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah matiku sebagai istirehat untukku dari segala keburukan.” (HR Muslim 4897)


  

~sentiasa mendambakan redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 20122011
: 10.00pm

17 October 2011

‘SalamatusSadri’ (Berlapang Dada) dengan segala cubaanMu…




Bismillahirahmanirrahim…

(Dengan menyebut nama teragungMu Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…)


Alhamdulillah…wa syukurillah….


Di kedinginan dan selitan kehangatan sepertiga malam,,,
bersyukur kerana masih diberi nafas untuk berdiri dan sujud padaMu…


Setelah menyeka air jernih yang menitis, ditarik nafas dalam-dalam.
Seketika hembusan ketenangan menyapa relung hati..


Alhamdulillah, DIA campakkan juga ketenangan dalam kalbu ini meski hati sebenarnya berada dalam kegalauan.


Tidak dapat dinyatakan perasaan sebenar yang dirasai tika ini…
Kecewa, sedih, pilu, duka, rungsing semuanya berkumpul menjadi satu.


Namun, setelah semuanya diluahkan pada yang Maha Mendengar, akhirnya dada yang terasa sempit dilapangkan, jiwa yang resah menjadi tenang.


Alhamdulillah..sekali lagi kalimah tahmid itu ditautkan.


Ternyata sangat benar alunan kalamNya yang bermaksud:


“Dengan mengingati Allah jualah hati akan menjadi damai dan tenteram.”


Termenung seketika.

Memutarkan kembali fikiran pada titik noktah pada semua perkara dan hal yang berlaku.
Mungkin perkataan yang tepat untuk ditafsirkan rasa hati ini adalah kecewa.

Ya, kecewa.
Kecewa pada manusia dan kecewa pada diri sendiri.

Kecewa kerana kasih sayang yang dicurahkan, tidak sedikit pun dihargai…
Kecewa kerana sangat menyayanginya insan-insan ini tetapi mereka malahan membenci...
Kecewa kerana ada yang menyangka buruk dengan diri ini sedangkan diri sentiasa berhusnu zan dengan mereka…
Akhirnya merasa kecewa juga dengan diri sendiri.


Kerana tidak mampu menghadapi cubaan dan tohmahan tersebut dengan lapang hati.
Juga menginsafi, diri teramat kurang dan masih disaluti debu-debu dosa, akui masih banyak perlu dibaiki…juga bukanlah yang terbaik buat mereka…


Benar, ‘salamatussadri’ itu bukan semudah kata yang dituturkan.


Allahu…


Diri cuba bermuhasabah kembali…
Sungguh…

Tidak semua perkara yang kita seru semua orang akan mudah mengikuti.
Tidak semua perkara yang kita lakukan orang memandang mulia, malahan disapa hinaan dan cacian.
Tidak semua juga dapat fahami jalan perjuangan yang dilalui, malahan ada yang cuba menghalang.
Tidak semua pengorbanan kita, orang dapat merasai dan menghargai…


Insaf...
Ingin melihat kebaikan-kebaikan yang tersembunyi di sebalik semua ini.

Akhirnya diri menyedari, semuanya milikMu Tuhan….
Apa yang ku tahu..,, dan Engkau Tuhan sesunguhnya Maha Agung lagi Maha Mengetahui..
Meskipun hati terasa teramat kecewa dengan semua ini…

Namun, hati masih sentiasa sayangkan mereka. Masih merindui mereka. Masih ingin menjaga dan memberikan yang terbaik buat mereka. Bukan kerana mereka, tetapi kerana kusayangi mereka semata-mata KERANA-Mu ya Allah…

Meski tiada penghargaan, meski tiada ucapan terima kasih, meski mereka membenci, meski mereka memberikan yang sebaliknya, tetapi biarlah hati ingin  terus ikhlas memberi dan menyayangi mereka lagi, ingin dididik untuk berlapang dada menghadapi semua cubaan ini...

Cuba menerima segalanya dengan hati terbuka, meskipun kadang-kadang pahit untuk menelannya…. :’(


“Ya Allah…

Meski diri merasa kecewa, namun, hati tidak pernah merasa kecewa denganMu..
Tidak pula ku kecewa dengan aturan dan cubaan yang Engkau berikan ini...
Kerana Engkau sentiasa ada di sisi menemani,
Kerana Engkau yang memahami rasa hati ini,
Kerana Engkau Maha Tahu apa yang tersirat di hati ini,
moga ia kerana tanda Engkau mencintai diri ini…


Ya Rabbi…

Cukuplah jika keikhlasan ini Engkau yang menilainya, bukan manusia..
Cukuplah Engkau yang memberikan kekuatan dan ketabahan di saat hati merasa cukup rapuh dan goyah..
Cukuplah Engkau yang memberikan sebaik-baik balasan dan penghargaan, bukan manusia yang memberinya..
Maafkan hamba andai merasa kecewa…
Namun tidak ingin terus tenggelam dalam kekecewaan ini..
Balutlah hati yang berduka dan merasa kecewa pada manusia…
Berikanku selautan kesabaran…
Bantu daku untuk berlapang dada menerima segala takdiran…
Yakinkan daku dengan hikmahMu...
Yakinkan daku dengan janji-janjiMu…
Hanya padaMu ku berserah…”



~Ku akui dan sedari, jika tiada rasa kecewa ini, tidak mungkin akan timbul rasa salamatussadri tersebut…Allah, maafkanlah, sayangilah, kasihilah….Ku pasrah di atas segalanya ….~ 



p/s: “Cukuplah Allah sebagai wakil, sebaik-baik tempat sandaran dan meminta pertolongan…”


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...