Showing posts with label penulis. Show all posts
Showing posts with label penulis. Show all posts

16 March 2015

Musibah Itu Rahmat




"Tika kau rasakan cahaya itu hilang, 
Ia ada, tersembunyi dari pandangan.
Bukan cahaya itu yang menghilang,
Cuma mungkin kau yang tidak mampu memegang.
Ia ada, carilah ia di sisi Tuhan.
Akan kau rasai indahnya cahaya ketenangan."


----------

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah, tahun baru 2015 dah lama membuka tirainya. Tapi, isian blog ini telah tertangguh begitu lama. 3 bulan tanpa dicoret kata-kata.

Asbabnya banyak. Pertama, laptop lama saya rosak motherboard. Kedua, kerana dilanda banjir besar di Kelantan. Ketiga, saya telah membeli laptop yang baru tapi bila dah siap menaip hilang pula. Keempat, berkejaran untuk menyiapkan tesis yang harus ditunjukkan hasilnya 2x sebulan kepada penyelia. Tahun ini adalah tahun kedua, tahun last master saya. Moga-moga ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Amin ya Rabbana.

Berulang alik dari Kelantan ke UM, sangat lelah rasanya. Allahu.. sungguh saya ingin istiqamah menulis. Sebenarnya semua asbab itu tidak boleh dijadikan alasan untuk saya tidak mengisi di sini kan? 

*Penulis yang bagus akan lebih berdisiplin menjaga penulisannya. Malu. Saya belum sampai tahap itu. Fastaqim ya Hikmatul Islam!*

---------

Cerita banjir besar yang berlaku di Kelantan. Paling teruk dalam sejarah. Saya tak terkecuali merasai ujian-Nya. Rumah dinaiki air separas kepala. Saat itu, bagai terasa nafas di hujung nyawa. Tidak tahu bagaimana untuk saya bercerita, insha Allah akan ditinta satu demi satu tragedi tersebut dalam gabungan kisah yang akan dibukukan bersama dua penulis yang lain. 

Di sini, cukuplah secara ringkas gambar-gambar berbicara. Hampir 3 bulan inilah masa diambil untuk memulihkan kembali keadaan rumah selepas dilanda banjir.











Penat, lelah tidak terkira untuk membasuh dan mengemas rumah yang disaluti lumpur yang tebal. Saat saya ingin mengeluh, segera beristighfar kerana masih ramai rakyat Kelantan yang lain kehilangan rumah tiada tempat untuk berteduh. Allahu, betapa saya masih punyai atap dan bumbung untuk duduki. Bersyukurlah duhai diri!

Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan, Allah akan memberinya musibah.” (HR Ahmad dan Al Bukhari dari Abu Hurairah).
Cubaan pasti akan menerpa kehidupan mukmin, kerana itu janji Allah:
“Sungguh, Kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.” (QS Al Baqarah: 155).

---------


“Musibah itu rahmat. Musibah itu rahmat. Musibah itu rahmat.”

Tatkala Ustaz Ebit Lew mengulang-ulang sepatah ayat keramat ini, hati sungguh terasa lapang dan tenang. Bila dikembalikan semuanya kepada Allah, benar kita hanya milik-Nya.

Segala yang kita punya hanyalah pinjaman semata. Harta benda yang hilang dan musnah, akan Allah gantikan dengan yang jauh lebih baik bila mana kita redha dan sabar menerima ujian tersebut. Saya belajar satu perkara yang sangat besar daripada musibah banjir ini, betapa mahalnya harga sebuah nyawa.

Jika Allah mahu ambil nyawa saya, sekelip mata sahaja saya akan meninggal dalam tidur. Kerana air yang naik pada malam itu, pada jam 2.30 pagi tika saya sedang nyenyak diulit mimpi. Mungkin sahaja saya sudah mati lemas tidak sempat selamatkan diri. Tapi Allah Maha Baik, masih dipanjangkan lagi usia saya hingga ke hari ini.

AllahuAkbar! Inilah nafas yang paling mahal, bernilai dan tidak dapat dibanding dengan nilaian apa pun yang ada di dunia. Harta yang hilang masih boleh dicari, diusahakan tetapi nyawa bila sudah ditarik maka tiada lagi kesempatan ibadah yang dapat dilakukan. Tiada lagi amal kebaikan yang dapat dipersembahkan kepada Tuhan. Itulah suatu kerugian yang amat besar pada seorang hamba.

“Orang yang tidak pandai menghargai nafasnya, tidak akan mampu untuk menjadi hamba yang bersyukur.”


-----------

“Di saat Allah turunkan musibah
Jangan mengeluh, jangan dimarah
Mungkin ada seribu hikmah
Untuk kita bermuhasabah
Fikirkan ibrah daripada sakitnya musibah
Kerana terkandung bersamanya jutaan rahmat Allah.”

Hujan yang turun akan berhenti. Mendung yang datang lama-lama akan berarak pergi. Mentari akan muncul kembali menyinari. Pelangi akan keluar dengan berseri. Begitulah putaran alam, dan begitu jualah putaran ujian.

Allah tidak pernah zalim. Allah tidak pernah biarkan kita dalam kesusahan dan kedukaan selamanya. Rahmat Allah itu akan muncul, bila kita pegang dua kunci utama. Redha dan ikhlas untuk segala ujian-Nya.

Rahmat yang besar setelah ditimpa musibah. Allah kabulkan impian saya untuk bergelar penulis. Setelah hampir setahun menunggu, Allah baluti buku ini secantiknya. Seindah yang saya sendiri tak pernah jangka. Subhanallah, Alhamdulillah, segala rasa syukur untukMu ya Rabbi sungguh tak terucap dengan kalam hamdalah.

Saat pertama saya memegang buku ini, merembes air mata terharu. Terasa tidak layaknya untuk saya meninta, dan terasa tidak layaknya untuk menerima ‘hadiah’ sebegini rupa dari-Nya. :’(






Saya manusia pendosa. Yang ada dosanya antara saya dan DIA. Dosa yang kadang bila saya muhasabah, terasa sempitnya dada kerana malu kepada-Nya. Allahu Allah… Jika bukan kerana rahmat-Mu yang jauh lebih besar dari dosaku, pasti ku tak mampu untuk mengangkat muka, ingin terus sujud memohon ampunan-Mu…

Keaiban yang ada, Allah sembunyikan dari pandangan manusia. Sedang manusia melihat saya mulia pada penglihatan mereka, sebenarnya sayalah manusia yang paling aib dan kotor daripada mereka. Kerana itu saya meninta, mengharapkan tulisan ini sebagai kaffarah semua dosa, semoga amal kebaikan akan menghapuskan segala keburukan yang ada. Tuhanku, ampunilah daku selalu… :’(

Rasulullah SAW bersabda:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan-keburukan yang kamu lakukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan yang kamu lakukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” Hadith Riwayat Tirmidzi.
----------
Saat menulis entry ini, saya menangis lagi. Tidak tahu kenapa betapa rasa nikmatnya jika dapat menangis sendirian. Sebab saya tahu, Allah selalu ada menjadi peneman setia di sisi. Tak jemu mendengar rintihan hati.
Bukan mudah untuk bergelar penulis. Dibadai ujian yang bermacam rencam. Kini bila bergelar penulis, semakin hebat ujian yang diduga Tuhan. Allahurabbi…sungguh, saya tidak kuat. Kerana itu, tiada daya kekuatan melainkan disandarkan kepada Allah yang Maha Gagah.
Tuhanku, kuatkan daku selalu. Berikanlah kekuatan, kesabaran dan keikhlasan. Teguhkan kakiku di atas jalan keimanan. Jangan palingkan hatiku dengan pautan hawa nafsu yang menyesatkan. Jadikan daku ingin merindui dan mencintai-Mu selalu... 

"Tika diri mencari cinta, 
DIA menguji dengan cinta dunia. 
Tika diri cuba menyentuh cahaya cinta, 
lalu diusir dunia hilang dari genggaman nyata. 
Akhirnya hati berpasrah,
Menyerahkan cinta sepenuh jiwa kepada-NYA
itulah hakikat cinta yang kekal abadi selamanya."



: Hikmatul Islam
: 17032015

07 April 2014

Dua-puluh-lima : Sujud Syukur Kepada-Nya


"Dua-puluh-lima.
Tanpa sempat untukku mengira masa.
Tanpa sempat untukku mengira angka.
Oh, pantasnya ia bergulir.
Inilah ruang untukku bermuhasabah sepenuh hati.
Inilah ruang untukku belek kembali amal-amal diri.
Apakah hamba telah layak melamar redha-Mu Ilahi?"


Teringat kembali memori silam. Teringat kembali ujian-ujian semalam. Terasa nafas yang pernah hampir 'ditarik', masih lagi Allah izinkan ia untuk menghela dalam rahmatNya sehingga ke detik ini.
Subhanallah. Segala puji bagi DIA yang selayakNya. Selamanya.
Saya percaya, setiap dari kita pernah merasai saat-saat yang paling sukar dalam hidup. Dari pelbagai dimensi dugaan.
Apa jua ujian yang diberikan, itulah saatnya diri kita tercampak lemah, terperosok jauh ke dasar paling curam, jatuh terduduk tiada daya, seakan-akan kita hampir berputus asa untuk teruskan hidup.
Oh, kerana apa Allah membuatkan setiap dari kita pasti akan merasai dan 'terkena' ujian getir tersebut?
Pendapat saya, jawapannya cuma satu.
"Tarbiyah darjat keimanan."
Orang mukmin, akan melihat dan merenung dengan kaca mata sedemikian. Pasti akan dia sedari, itulah tarbiyah yang Allah berikan untuk menempa imannya. Untuk Allah berikan iman yang jauh lebih baik. Untuk Allah tingkatkan dia di peringkat iman yang lebih tinggi.
Sebaliknya pula bagi orang kafir. Mereka melihat itulah bala yang sangat dahsyat. Itulah azab yang sangat menggugahkan jiwa. Kerana itu yang selayaknya Allah berikan rasa sedemikian kepada mereka. Sebagai penambah lagi seksaan ke atas kekufuran mereka.
Tetapi tidak kita. Selagi iman masih tersisa di dada, walau hanya ada sebutir zarah namun Allah SWT sangat menyayangi kita, lebih dari kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Lebih dari kasih sayang dari semua kasih sayang makhluk di dunia.
Kerana itulah sifat mutlak DIA, Ar-Rahman, Ar-Rahim.
Tarbiyah itu sungguh, PERIT. Siapa kata mudah-mudah untuk lepasi ujian yang DIA berikan? Beratnya sebuah mujahadah, sakitnya untuk bangun kembali, hanya ALLAH yang Maha Tahu akan keadaan setiap jiwa yang melaluinya.
Oh, hanya kerana rahmat-Nya...
Ya, hanya KERANA RAHMATNYA kita dapat bangun dan bangkit kembali. Kita dapat miliki kembali kekuatan diri. Kerana Allah-lah yang berkasihan belas menganugerahi kesabaran di hati.



------
Terasa baru semalam sahaja saya dan adik-beradik berebut di nota kecil itu. Melakar impian dan menulis hajat sebanyaknya. Saya kira, sarat helaian demi helaian ditinta dengan impian masing-masing.
Saya sahaja sudah mencatat 10 hajat, begitu juga adik-adik yang lain. Sebanyaknya kami kirimkan kerana sedia maklum, doa di Tanah Suci itu sangat mustajab.
Saya juga tidak dapat membayangkan, bagaimana umi mampu untuk membacanya satu persatu di hadapan Baitullah. Setiap kali kesempatan tatkala umi berada di hadapan Ka'bah, buku nota itu akan umi belek dan mengulang kembali doa-doa para anaknya. Subhanallah. Kasih seorang ibu.
Sahabat-sahabat bertanya lagi tentang jodoh saya.
Di angka sini, tidak saya nafikan satu demi satu telah melangkah ke dalam masjid indah itu. Malahan, telah punyai permata-permata aulad yang sangat comel dan mencemburukan jiwa.
Saya renung kembali kisah lama dah pahit untuk ditelan.
Teringatkan kembali impian paling pertama saya lakarkan di nota itu.
"Jika F**** adalah jodoh kakak, maka semoga Allah permudahkan urusan jodoh kak dengannya."
Sekali lagi saya bisikkan permintaan itu ke telinga umi. Benar-benar saya mengharapkan Allah permudahkan urusan jodoh saya dengannya.
Umi mengangguk-angguk mengerti. Umi juga mengharapkan hal yang sama untuk saya.
Namun, begitulah takdir Allah yang Maha Alim. Sekuat apapun kita berusaha dan berdoa, tetapi takdir Allah itu mengatasi segalanya.
Tanp disangka, balik sahaja umi dari Mekah, urusan itu menjadi semakin rumit... Akhirnya, kami putus secara baik. Sebab? Oh, usah ditanya sebabnya. 
Kerana asbab yang utama Allah sudah meletakkan kami TIADA JODOH. Pendek kata, saya bukan tercipta untuknya. Dan dia, bukan tercipta untuk saya...
Saya tahan rasa sebak di dada. Kerana saya juga manusia, yang punyai rasa hampa dan kecewa. Tipulah andai saya kata tiada air mata yang tumpah. 
Bukan kerana sedih kehilangannya, namun kerana sesaknya dada untuk menerima ujian dengan hati yang penuh redha. Saya mencuba untuk redha. Kerana saya cuma mahukan redhaNya...
Ditambah pula, wajah umi yang merasa sangat bersalah. Saya tahu umi turut sedih. Kerana umi adalah orang pertama yang menyokong saya dengan dirinya. Dan saya tahu, umi telah sungguh-sungguh mendoakan yang terbaik buat kami.
"Tak mengapa umi, kakak dah redha. Kakak dah terima semuanya ini. Sudah hilang ingatan kakak untuknya. Hapus lesap sama sekali. Kerana dia bukan untuk kakak..." Oh, merintih lagi...Pecah empangan air mata itu yang entah ke berapa kali...
"Allahurabbi... Ya Allah, tiada yang ku pinta untuk jodohku kecuali ia dalam keredhaan ibubapaku...Tiada yang ku pinta, kecuali melihat mereka tersenyum bahagia dengan pilihan-Mu."
Itulah doa yang saban hari saya panjatkan. Saya mahu aulakan ibubapa saya lebih dari keinginan saya. Saya mahu muliakan wali, saya mahu hormati umi. Teramat ingin...
Sungguh, perancangan Tuhan itu sungguh, sentiasa indah, sentiasa terindah, sentiasa terbaik dan lebih baik dari apa yang kita hendaki.
Benar. Saya memang berangan-angan, untuk cepat-cepat melahirkan ramai ummah. Namun siapa sangka, rupanya Allah nak suruh saya berikan 'sesuatu' dulu untuk ummah.
Untuk saya kongsikan dahulu semua ilmu yang saya pelajari sehingga ke peringkat Sarjana ini.
Ibaratnya, terasa seperti Allah menyuruh saya tunggu giliran saya di luar masjid. Tunggu dan tunggu lagi. 
Sambil menunggu, sambil membaca dan pelajari al-Quran, tafsirnya, hadisnya. Malah disuruh pula untuk saya ajarkan ayatNya pada orang yang berada di luar masjid.
Kadang, sungguh rasa sedih sekali kerana keseorangan di luar itu sehingga tertanya-tanya sendiri, "Ya Allah, bilakah hamba bisa masuk ke dalam masjid-Mu yang Maha Indah ini?"
Seakan-akan terdengar DIA menjawab, "Fasobrun Jameel".


Ya, saya harus sabar, sebab mungkin Allah nak saya temukan dengan Imam masjid yang sangat istimewa. Bukan semua orang boleh jumpa Imam besar di Masjidil Haram kan?
Oh, jauhnya diibaratkan. Tak mengapa. Selagi mana kita boleh meletakkan ibarat dan permisalan itu kepada asas sangka baik kepada-Nya, maka teruslah memilih untuk bersangka baik.
Kerana tidak akan sesekali orang yang bersangka baik kepada Allah itu akan rugi. Malahan, dialah orang yang paling beruntung. Bukankah Allah telah mengatakan mengenai perihal diri-Nya yang Maha Agung dalam sebuah hadis Qudsi?

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. 

Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).

Insha allah, saat itu akan tiba jua. Menantilah dengan penuh debaran kerana pasti akan ada pelbagai 'kejutan' daripada Allah hasil dari kesabaran dan sangka baik kita kepada-Nya.

"Selagi mana kita menjaga hubungan dengan-Nya,
selagi mana kita telah berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba yang terbaik,
selagi mana kita telah berusaha mentaatiNya,
selagi mana kita telah berusaha meninggalkan segala laranganNya.
Maka, apakah Allah akan mensia-siakan kita?"



Tidak, pasti tidak sesekali Allah akan sia-siakan diri kita melainkan akan diberikan anugerah kebaikan yang tiada tara. Keindahan yang sangat istimewa.
Teringat perbualan dengan seorang sahabat yang juga sama, masih belum mendirikan rumahtangga.

"Allah dah jaga hati kita, cinta hanya untuk-Nya. Dari awal kita dah sedaya upaya bermujahadah. Teruslah bermujahadah hingga ke akhirnya. Teruslah menjaga hati hanya untuk Allah. Pasti, akan DIA letakkan kepada PEMILIK YANG TERBAIK."

Sebak. Bergenang air mata. Kerana teramat bersyukur kerana DIA telah menjaga hati ini. Allah dah jaga hati kita agar sentiasa dipenuhi cinta kepadaNya. Lihatlah, betapa ramai orang yang punyai hati tetapi lagha kepada cinta manusia?
"Allah, terima kasih Tuhanku. Kerana sentiasa membuatkanku sentiasa jatuh cinta kepadaMu. Bukan jatuh cinta palsu, pada manusia yang masih tidak halal bagiku..."
*Terus bercinta dengan buku, terus bercinta dengan ilmu, sehingga datang 'dirimu' menjemputku....*
Insha Allah, saya tenang kini. Teramat tenang dalam ketenangan-Nya. Teramat tenang dalam janji-Nya yang Maha Benar.
Tidak akan pernah putus asa untuk berdoa. Sekarang, cuma sedaya upaya bersandar kepada-Nya yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri...


------
Bercerita tentang impian. Menjadi penulis.
Tatkala impian pertama itu Allah tangguhkan, DIA makbulkan hajat yang kedua untuk menjadi penulis.
Bilamana Allah gerakkan kaki, peringankan langkah menuju kepada impian tersebut, maka satu demi satu pengorbanan perlu ditempuh.
Tidak ada orang yang dilahirkan terus-terus berjaya. Tidak ada orang yang terus-terus lahir, akan jadi seperti yang dia impikan.
Semua orang bermula dari kosong, zero. Kerana itu, Allah berikan kita impian untuk kita berusaha ke arah tersebut.
Gagal itulah sebenarnya satu permulaan untuk berjaya.
Sifir mudah, nak berjaya, kena lalui kegagalan dahulu.
*Gagal berkali-kali itu satu ruang untuk lebih besar melangkah kepada kejayaan yang lebih besar dan nikmat. Insha Allah.*


--------
Takut dan harap.
Kenapa dalam Islam, diajarkan dua kalimah ini beriringan?
Kenapa tidak satu sahaja?
Cantiknya Islam. Sebab, Islam sentiasa ajarkan kita agar bersederhana.
Antara berharap pada impian, kita masih punyai rasa takut andai ia tidak dapat digapai. Maka, impian itu disandarkan pada Allah.
Antara kita rasa takut akan kegagalan, namun dalam masa yang sama kita masih tetap berharap untuk memperoleh kejayaan.
Kerana Allah tidak mahu kita terlalu gembira sehingga lupakan DIA. Kerana Allah mahu kita sentiasa bersederhana dan menyandarkan segalanya pada DIA yang selayaknya.

"Dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (TQS.al-A’raf [7]: 56)

Maka impian penulis itu sentiasa saya ingin sandarkan pada dua kalimah tersebut. Takut dan harap.


--------
Layakkah bergelar solehah?
Terasa diri masih berbalah dengan dosa semalam.
Terasa masih rompongnya jiwa dengan segala kelemahan dan keaiban.
Terasa masih sedang berlawanan dengan nafsu yang membelenggu.
Allah Tuhanku, layakkah daku?
Bimbang dosaku membuatkan penaku terhijab.
Risau dosaku, membuatkan tintaku tidak sampai ke hati insan pilihan-Mu.
Oh, andai ingin tunggu diri sempurna, bilakah dapat ku tinta kalamNya?
Lalu dengan segala rasa ku sandarkan kepada DIA. Memohon rahmat yang tiada tara. Memohon kekuatan itu milik mutlak yang Maha Kuasa...



Wanita. Ingin sekali kusampaikan dalam buku pertamaku ini.
Biar setiap hawa yang membaca akan lebih menyedari dirinya teramat istimewa. Sebaik-baik makhluk yang Allah ciptakan. Sebaik-baik hiasan, seindah-indah hiasan dari apa yang ada di dunia.
Agar mereka akan semakin mendalam kepercayaan dan keyakinan padaMu. Agar mereka semakin lebih bersyukur kepadaMu. Agar mereka semakin bersemangat untuk menjadi hambaMu yang paling terbaik. Mukminah Solehah. Insha Allah, Allahu musta'an... Fi amanillah.

"Tuhanku.
Perluaskan cahaya hikmah-Mu kepadaku.
Sepertimana cahaya mentari menembuskan sinarnya hingga ke seluruh bumi.
Sepertimana tertebarnya keindahan warna-warna pelangi pada setiap hati.
Bantu diriku untuk menyusun tiap aksara.
Bantu diriku untuk mengutip satu demi satu ilham-Mu untukku tinta sepenuh rasa.
Agar menjadi asbab untuk KAU berikan hidayah-Mu kepada tiap jiwa yang membacanya...Allahumma amin, moga Engkau izinkan Ya Rabbi..."



* p/s: Sujud syukur untuk nafas ini... Terima kasih Allah, terima kasih Rasulullah saw, terima kasih umi yang melahirkanku dengan sepenuh kasih sayang, terima kasih ayah yang senantiasa menjaga diriku dengan sepenuh penjagaan. Terima kasih semua teman-teman yang solehah, pembaca dan follower yang senantiasa setia mengikuti tulisan insan doif ini... Sungguh! Ku sayangkan kalian kerana-Nya... *



: 08042014
: hikmatul islam

09 July 2013

*Mata Pena Ummah*





*1 Julai 2013*

Dengan menyebut nama-Mu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbr.

Sudah hampir sepurnama rasanya blog ini tak ‘diupdate’. Astaghfirullahalazim… Istighfar sendirian dengan kelemahan diri.

Cita-cita tinggi melangit nak jadi penulis, mahu jadi daie dengan mata pena tapi diri sendiri tak dapat nak disiplin untuk menjaga satu blog nie. Aduhai, malu dengan diri sendiri…

Mukmin yang professional itu harus berdisiplin. Harus. Nak jadi mukmin yang qawie, mukmin yang terbaik harus segala gerak kerja juga kemas dan hebat.

Disiplin dan istiqamah. Itu yang saya harus lebih pegang kukuh-kukuh selepas ini. 




Post kali ini untuk mengimbau sekejap rentetan peristiwa dah Allah lakarkan untuk saya. 

Flasback sekejap untuk saya tulis mencari hikmah dan ibrah.

Benarlah, manusia hanya mampu menyusun, merancang dan berusaha sebaik yang mungkin tetapi Allah Maha Kuasa mengatur segalanya.

2 minggu lepas, saya bermusafir hampir seminggu. Dari Shah Alam, kemudian turun ke Kedah.

Jumpa semula sahabat-sahabat seperjuangan di Kedah, pantas ramai yang menyoal dengan soalan yang serupa, “Kak Wanis balik bila Mesir?” “Kak Wanis tak pergi Mesir ke?”

Ya Rabb...Rupanya, ada lagi adik-adik yang tak tahu saya tidak jadi ke bumi kinanah itu. 

Mungkin salah saya juga tak sempat nak beritahu keadaan saya kepada mereka.

“Program untuk akak nak pergi umrah itu dibatalkan, dan akak juga tidak jadi ke Mesir untuk belajar bahasa Arab kerana kekurangan kewangan, satu lagi sebab akak akan menyambung Master bulan 7 nanti di KUIN, takut tak sempat nak masuk kelas pula.”

Mereka mengangguk-angguk, mengerti.

Majlis perpisahan yang mungkin last dengan adik-adik di Insaniah itu, cukup membuatkan hati terasa sebak dan terharu.

Melihatkan senyuman mereka, merenung pada setiap wajah mulus dan tulus sahabat-sahabat seperjuangan, subhanallah… dapat saya rasai manisnya iman.

Tersangat manis. Ukhuwah yang dibina atas nama Allah, yang sama-sama  ingin istiqamah dalam perjuangan di atas jalan Tuhan.

Duduk bersama dengan orang-orang yang soleh, suatu hal yang membahagiakan. Berjalan bersama sahabat yang mempunyai fikrah yang sama, yang dalam fikiran hanya difikirkan tentang ummah.

Ya. Sentiasa memikirkan tentang ummah, ummah, ummah. Tidak difikirkan tentang hal peribadi diri semata-mata.

Fikiran yang terpadu jelas hanya untuk Islam, semoga Allah menetapkan langkah kaki kami ini terus berjuang di atas jalan-Nya.

Tidak kira di mana dicampakkan, semoga jadi buah yang menyubur memberi manfaat kepada manusia yang lain. Insha allah…




Tak pernah terlintas di benak fikiran, untuk saya sertai Bengkel Penulisan itu.

Usai habis bengkel bersama Hilal Asyraf di Pendang pada bulan Mac yang lalu, beliau terus mempromosikan satu bengkel penulisan reality yang lebih besar akan diadakan di Hotel Shah Alam pada bulan 6 nanti.

Lebih mantap dan hebat bila mana ia bergabung bersama barisan penulis yang berpengalaman serta barisan para editor syarikat buku Galeri Ilmu Sdn.Bhd.

Dalam hati masa tu cuma mampu berbisik, “Alangkah bertuahnya jika dapat menyertai bersama-sama. Tapi, aku akan ke Mekah bulan 6 tu.”

Ternyata, Allah Maha Mendengar dan Maha Mengatur yang terbaik. Akhirnya, saya tidak jadi ke Mekah kerana program itu terpaksa dibatalkan saat akhir dan Allah angkat kaki saya melangkah ke Shah Alam.

Padahal, saya rasakan mustahil untuk sampai ke sana memandangkan lokasi itu terasa terlalu jauh dengan saya yang tinggal di Kelantan.

Allah izin, ummi berikan keizinan untuk menyertai bengkel tersebut bersama doanya yang tulus. 

Semasa ummi menunaikan umrah pada cuti sekolah yang lalu lagi, sungguh-sungguh saya pinta ummi doakan impian saya yang satu ini.

Ingin menjadi penulis.

Tulus ummi doakan dan menyokong sepenuhnya impian saya itu. Terharu.

Doa seorang ibu, tiada sempadan. Tiada hijab, tembus hingga ke langit. Saya sentiasa yakini itu, dan sentiasa ingin ibubapa saya meredhai apa jua yang saya lakukan.

Alhamdulillah, Allah permudahkan lagi urusan ke Bengkel tersebut dengan pertolongan ikhlas dari seorang sahabat yang kebetulan ingin ke rumah kakak sulongnya di Shah Alam.

Sahabat itu terlalu baik, sehingga saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan kebaikan hatinya. Ibarat hati pasir. Halus dan lembut.

Segala pertolongan dan budinya, saya pohon Allah jua yang mampu membalas ganjaran yang sebaik mungkin.

Bersusah payah dia menghantar dan mengambil saya dari Bengkel itu. Besar sungguh jasa dan pengorbanan yang dia lakukan, tidak mampu saya tulis dengan patah perkataan.

Katanya sambil tersenyum, membawa bakal pena mata ummah.

Ya Rabbi…Jika saya berjaya bergelar penulis suatu hari nanti, insan inilah yang menjadi orang pertama saya ingin ucapkan terima kasih yang tiada tara.

Sekadar coretan penghargaan kepada dirinya, juga kepada semua teman-teman rapat dan ribuan sahabat di facebook, mereka juga senantiasa menyokong memberikan kata-kata semangat dan dorongan tanpa jemu buat saya.

Adik-adik yang sentiasa sudi memberikan komentar senyap-senyap di inbox FB, kawan yang memahami dan menghadiahkan kata-kata positif untuk saya terus melebarkan sayap dalam bidang penulisan ini.

Sungguh saya bersyukur pada-Nya kerana DIA menitipkan ramai yang begitu prihatin, ambil berat dan menyayangi saya setulusnya.

Begitu terasa ikatan ukhuwah sesama kami teramat indah, yang Allah ‘ikatkan’ hati kami ini cuma dengan tinta kalam saya yang sedikit itu.

Sahabat di alam maya yang tak pernah bertemu, tak pernah bertatap mata, tetapi sangat ajaib bisa terasa sangat dekat di jiwa.

Semuanya dengan penulisan. Betapa hebatnya kuasa sebuah tulisan meskipun ia cuma sepatah kalam tetapi Allah sudah menyentuh hati-hati mereka untuk semakin dekat kepada-
Nya.

Oleh itu, saya semakin bersemangat untuk terus menulis!




Berada selama 2 hari 1 malam bersama 15 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.

Di sini kami bertaaruf, bersua kenal dengan para penulis dan barisan editor. Hilal Asyraf, Ustaz Hasrizal, Ummu Hani, Cikgu Hassan Morad, Cikgu Zayuhisyam.

Subhanallah. Benar-benar mereka penulis yang berjiwa hamba.

Tutur kata mereka, kalam tulisan mereka, lahir dari sebuah hati yang berjiwakan hamba. 

Yang ingin membawa semua manusia kepada Pencipta.

Saya pada mulanya agak malu, takut, gerun, dan gugup untuk duduk di dalam bengkel ini. 

Rasa tidak layak, rasa segan, dan macam-macam lagi rasa yang ada.

Namun, semua perasaan yang negatif itu beransur hilang apabila bersama dengan mereka  ternyata sangat-sangat mesra dan baik semuanya!

Duduk di kelompok orang-orang yang mempunyai minat yang sama, mempunyai impian yang sama, dan mempunyai matlamat yang sama. Sungguh, rasa gembira tak terkata.

Terasa semakin bersemangat, terasa semakin melayang diri untuk terus terbang tinggi merealisasikan sebuah mimpi.

Mimpi yang sudah lama saya bermimpi. Mimpi yang sentiasa tersulam kemas di hati.

Sesungguhnya, sangat besar ilmu dan pengalaman yang saya peroleh dalam bengkel ini. 

Tidak terbanding dengan pelaburan wang yang dikeluarkan.

Kerana ilmu, harus sentiasa dicari barulah dapat digarap dengan sempurna setelah mempelajarinya.

Ilmu penulisan yang tak ternilai saya kutip di sini, juga tautan hati yang sangat indah Allah titipkan, terasa kami semua sudah berada di dalam suatu keluarga yang besar.

“Family’s writer” =)

Senyum sendiri tatkala mengenang kembali wajah ceria mereka, bakal penulis. Insha allah, amin semoga Allah kabulkan hajat kami semua bergelar ‘penulis’.

Sekian sahaja di sini, doakan saya duhai pembaca budiman agar bisa memetik bintang.

Wassalam wbr.

*artikel yang sudah lama nak dipostkan, tetapi asyik tertangguh….




: hikmatul islam
: 010713
: 0130 am



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...