07 April 2014

Dua-puluh-lima : Sujud Syukur Kepada-Nya


"Dua-puluh-lima.
Tanpa sempat untukku mengira masa.
Tanpa sempat untukku mengira angka.
Oh, pantasnya ia bergulir.
Inilah ruang untukku bermuhasabah sepenuh hati.
Inilah ruang untukku belek kembali amal-amal diri.
Apakah hamba telah layak melamar redha-Mu Ilahi?"


Teringat kembali memori silam. Teringat kembali ujian-ujian semalam. Terasa nafas yang pernah hampir 'ditarik', masih lagi Allah izinkan ia untuk menghela dalam rahmatNya sehingga ke detik ini.
Subhanallah. Segala puji bagi DIA yang selayakNya. Selamanya.
Saya percaya, setiap dari kita pernah merasai saat-saat yang paling sukar dalam hidup. Dari pelbagai dimensi dugaan.
Apa jua ujian yang diberikan, itulah saatnya diri kita tercampak lemah, terperosok jauh ke dasar paling curam, jatuh terduduk tiada daya, seakan-akan kita hampir berputus asa untuk teruskan hidup.
Oh, kerana apa Allah membuatkan setiap dari kita pasti akan merasai dan 'terkena' ujian getir tersebut?
Pendapat saya, jawapannya cuma satu.
"Tarbiyah darjat keimanan."
Orang mukmin, akan melihat dan merenung dengan kaca mata sedemikian. Pasti akan dia sedari, itulah tarbiyah yang Allah berikan untuk menempa imannya. Untuk Allah berikan iman yang jauh lebih baik. Untuk Allah tingkatkan dia di peringkat iman yang lebih tinggi.
Sebaliknya pula bagi orang kafir. Mereka melihat itulah bala yang sangat dahsyat. Itulah azab yang sangat menggugahkan jiwa. Kerana itu yang selayaknya Allah berikan rasa sedemikian kepada mereka. Sebagai penambah lagi seksaan ke atas kekufuran mereka.
Tetapi tidak kita. Selagi iman masih tersisa di dada, walau hanya ada sebutir zarah namun Allah SWT sangat menyayangi kita, lebih dari kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Lebih dari kasih sayang dari semua kasih sayang makhluk di dunia.
Kerana itulah sifat mutlak DIA, Ar-Rahman, Ar-Rahim.
Tarbiyah itu sungguh, PERIT. Siapa kata mudah-mudah untuk lepasi ujian yang DIA berikan? Beratnya sebuah mujahadah, sakitnya untuk bangun kembali, hanya ALLAH yang Maha Tahu akan keadaan setiap jiwa yang melaluinya.
Oh, hanya kerana rahmat-Nya...
Ya, hanya KERANA RAHMATNYA kita dapat bangun dan bangkit kembali. Kita dapat miliki kembali kekuatan diri. Kerana Allah-lah yang berkasihan belas menganugerahi kesabaran di hati.



------
Terasa baru semalam sahaja saya dan adik-beradik berebut di nota kecil itu. Melakar impian dan menulis hajat sebanyaknya. Saya kira, sarat helaian demi helaian ditinta dengan impian masing-masing.
Saya sahaja sudah mencatat 10 hajat, begitu juga adik-adik yang lain. Sebanyaknya kami kirimkan kerana sedia maklum, doa di Tanah Suci itu sangat mustajab.
Saya juga tidak dapat membayangkan, bagaimana umi mampu untuk membacanya satu persatu di hadapan Baitullah. Setiap kali kesempatan tatkala umi berada di hadapan Ka'bah, buku nota itu akan umi belek dan mengulang kembali doa-doa para anaknya. Subhanallah. Kasih seorang ibu.
Sahabat-sahabat bertanya lagi tentang jodoh saya.
Di angka sini, tidak saya nafikan satu demi satu telah melangkah ke dalam masjid indah itu. Malahan, telah punyai permata-permata aulad yang sangat comel dan mencemburukan jiwa.
Saya renung kembali kisah lama dah pahit untuk ditelan.
Teringatkan kembali impian paling pertama saya lakarkan di nota itu.
"Jika F**** adalah jodoh kakak, maka semoga Allah permudahkan urusan jodoh kak dengannya."
Sekali lagi saya bisikkan permintaan itu ke telinga umi. Benar-benar saya mengharapkan Allah permudahkan urusan jodoh saya dengannya.
Umi mengangguk-angguk mengerti. Umi juga mengharapkan hal yang sama untuk saya.
Namun, begitulah takdir Allah yang Maha Alim. Sekuat apapun kita berusaha dan berdoa, tetapi takdir Allah itu mengatasi segalanya.
Tanp disangka, balik sahaja umi dari Mekah, urusan itu menjadi semakin rumit... Akhirnya, kami putus secara baik. Sebab? Oh, usah ditanya sebabnya. 
Kerana asbab yang utama Allah sudah meletakkan kami TIADA JODOH. Pendek kata, saya bukan tercipta untuknya. Dan dia, bukan tercipta untuk saya...
Saya tahan rasa sebak di dada. Kerana saya juga manusia, yang punyai rasa hampa dan kecewa. Tipulah andai saya kata tiada air mata yang tumpah. 
Bukan kerana sedih kehilangannya, namun kerana sesaknya dada untuk menerima ujian dengan hati yang penuh redha. Saya mencuba untuk redha. Kerana saya cuma mahukan redhaNya...
Ditambah pula, wajah umi yang merasa sangat bersalah. Saya tahu umi turut sedih. Kerana umi adalah orang pertama yang menyokong saya dengan dirinya. Dan saya tahu, umi telah sungguh-sungguh mendoakan yang terbaik buat kami.
"Tak mengapa umi, kakak dah redha. Kakak dah terima semuanya ini. Sudah hilang ingatan kakak untuknya. Hapus lesap sama sekali. Kerana dia bukan untuk kakak..." Oh, merintih lagi...Pecah empangan air mata itu yang entah ke berapa kali...
"Allahurabbi... Ya Allah, tiada yang ku pinta untuk jodohku kecuali ia dalam keredhaan ibubapaku...Tiada yang ku pinta, kecuali melihat mereka tersenyum bahagia dengan pilihan-Mu."
Itulah doa yang saban hari saya panjatkan. Saya mahu aulakan ibubapa saya lebih dari keinginan saya. Saya mahu muliakan wali, saya mahu hormati umi. Teramat ingin...
Sungguh, perancangan Tuhan itu sungguh, sentiasa indah, sentiasa terindah, sentiasa terbaik dan lebih baik dari apa yang kita hendaki.
Benar. Saya memang berangan-angan, untuk cepat-cepat melahirkan ramai ummah. Namun siapa sangka, rupanya Allah nak suruh saya berikan 'sesuatu' dulu untuk ummah.
Untuk saya kongsikan dahulu semua ilmu yang saya pelajari sehingga ke peringkat Sarjana ini.
Ibaratnya, terasa seperti Allah menyuruh saya tunggu giliran saya di luar masjid. Tunggu dan tunggu lagi. 
Sambil menunggu, sambil membaca dan pelajari al-Quran, tafsirnya, hadisnya. Malah disuruh pula untuk saya ajarkan ayatNya pada orang yang berada di luar masjid.
Kadang, sungguh rasa sedih sekali kerana keseorangan di luar itu sehingga tertanya-tanya sendiri, "Ya Allah, bilakah hamba bisa masuk ke dalam masjid-Mu yang Maha Indah ini?"
Seakan-akan terdengar DIA menjawab, "Fasobrun Jameel".


Ya, saya harus sabar, sebab mungkin Allah nak saya temukan dengan Imam masjid yang sangat istimewa. Bukan semua orang boleh jumpa Imam besar di Masjidil Haram kan?
Oh, jauhnya diibaratkan. Tak mengapa. Selagi mana kita boleh meletakkan ibarat dan permisalan itu kepada asas sangka baik kepada-Nya, maka teruslah memilih untuk bersangka baik.
Kerana tidak akan sesekali orang yang bersangka baik kepada Allah itu akan rugi. Malahan, dialah orang yang paling beruntung. Bukankah Allah telah mengatakan mengenai perihal diri-Nya yang Maha Agung dalam sebuah hadis Qudsi?

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. 

Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).

Insha allah, saat itu akan tiba jua. Menantilah dengan penuh debaran kerana pasti akan ada pelbagai 'kejutan' daripada Allah hasil dari kesabaran dan sangka baik kita kepada-Nya.

"Selagi mana kita menjaga hubungan dengan-Nya,
selagi mana kita telah berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba yang terbaik,
selagi mana kita telah berusaha mentaatiNya,
selagi mana kita telah berusaha meninggalkan segala laranganNya.
Maka, apakah Allah akan mensia-siakan kita?"



Tidak, pasti tidak sesekali Allah akan sia-siakan diri kita melainkan akan diberikan anugerah kebaikan yang tiada tara. Keindahan yang sangat istimewa.
Teringat perbualan dengan seorang sahabat yang juga sama, masih belum mendirikan rumahtangga.

"Allah dah jaga hati kita, cinta hanya untuk-Nya. Dari awal kita dah sedaya upaya bermujahadah. Teruslah bermujahadah hingga ke akhirnya. Teruslah menjaga hati hanya untuk Allah. Pasti, akan DIA letakkan kepada PEMILIK YANG TERBAIK."

Sebak. Bergenang air mata. Kerana teramat bersyukur kerana DIA telah menjaga hati ini. Allah dah jaga hati kita agar sentiasa dipenuhi cinta kepadaNya. Lihatlah, betapa ramai orang yang punyai hati tetapi lagha kepada cinta manusia?
"Allah, terima kasih Tuhanku. Kerana sentiasa membuatkanku sentiasa jatuh cinta kepadaMu. Bukan jatuh cinta palsu, pada manusia yang masih tidak halal bagiku..."
*Terus bercinta dengan buku, terus bercinta dengan ilmu, sehingga datang 'dirimu' menjemputku....*
Insha Allah, saya tenang kini. Teramat tenang dalam ketenangan-Nya. Teramat tenang dalam janji-Nya yang Maha Benar.
Tidak akan pernah putus asa untuk berdoa. Sekarang, cuma sedaya upaya bersandar kepada-Nya yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri...


------
Bercerita tentang impian. Menjadi penulis.
Tatkala impian pertama itu Allah tangguhkan, DIA makbulkan hajat yang kedua untuk menjadi penulis.
Bilamana Allah gerakkan kaki, peringankan langkah menuju kepada impian tersebut, maka satu demi satu pengorbanan perlu ditempuh.
Tidak ada orang yang dilahirkan terus-terus berjaya. Tidak ada orang yang terus-terus lahir, akan jadi seperti yang dia impikan.
Semua orang bermula dari kosong, zero. Kerana itu, Allah berikan kita impian untuk kita berusaha ke arah tersebut.
Gagal itulah sebenarnya satu permulaan untuk berjaya.
Sifir mudah, nak berjaya, kena lalui kegagalan dahulu.
*Gagal berkali-kali itu satu ruang untuk lebih besar melangkah kepada kejayaan yang lebih besar dan nikmat. Insha Allah.*


--------
Takut dan harap.
Kenapa dalam Islam, diajarkan dua kalimah ini beriringan?
Kenapa tidak satu sahaja?
Cantiknya Islam. Sebab, Islam sentiasa ajarkan kita agar bersederhana.
Antara berharap pada impian, kita masih punyai rasa takut andai ia tidak dapat digapai. Maka, impian itu disandarkan pada Allah.
Antara kita rasa takut akan kegagalan, namun dalam masa yang sama kita masih tetap berharap untuk memperoleh kejayaan.
Kerana Allah tidak mahu kita terlalu gembira sehingga lupakan DIA. Kerana Allah mahu kita sentiasa bersederhana dan menyandarkan segalanya pada DIA yang selayaknya.

"Dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (TQS.al-A’raf [7]: 56)

Maka impian penulis itu sentiasa saya ingin sandarkan pada dua kalimah tersebut. Takut dan harap.


--------
Layakkah bergelar solehah?
Terasa diri masih berbalah dengan dosa semalam.
Terasa masih rompongnya jiwa dengan segala kelemahan dan keaiban.
Terasa masih sedang berlawanan dengan nafsu yang membelenggu.
Allah Tuhanku, layakkah daku?
Bimbang dosaku membuatkan penaku terhijab.
Risau dosaku, membuatkan tintaku tidak sampai ke hati insan pilihan-Mu.
Oh, andai ingin tunggu diri sempurna, bilakah dapat ku tinta kalamNya?
Lalu dengan segala rasa ku sandarkan kepada DIA. Memohon rahmat yang tiada tara. Memohon kekuatan itu milik mutlak yang Maha Kuasa...



Wanita. Ingin sekali kusampaikan dalam buku pertamaku ini.
Biar setiap hawa yang membaca akan lebih menyedari dirinya teramat istimewa. Sebaik-baik makhluk yang Allah ciptakan. Sebaik-baik hiasan, seindah-indah hiasan dari apa yang ada di dunia.
Agar mereka akan semakin mendalam kepercayaan dan keyakinan padaMu. Agar mereka semakin lebih bersyukur kepadaMu. Agar mereka semakin bersemangat untuk menjadi hambaMu yang paling terbaik. Mukminah Solehah. Insha Allah, Allahu musta'an... Fi amanillah.

"Tuhanku.
Perluaskan cahaya hikmah-Mu kepadaku.
Sepertimana cahaya mentari menembuskan sinarnya hingga ke seluruh bumi.
Sepertimana tertebarnya keindahan warna-warna pelangi pada setiap hati.
Bantu diriku untuk menyusun tiap aksara.
Bantu diriku untuk mengutip satu demi satu ilham-Mu untukku tinta sepenuh rasa.
Agar menjadi asbab untuk KAU berikan hidayah-Mu kepada tiap jiwa yang membacanya...Allahumma amin, moga Engkau izinkan Ya Rabbi..."



* p/s: Sujud syukur untuk nafas ini... Terima kasih Allah, terima kasih Rasulullah saw, terima kasih umi yang melahirkanku dengan sepenuh kasih sayang, terima kasih ayah yang senantiasa menjaga diriku dengan sepenuh penjagaan. Terima kasih semua teman-teman yang solehah, pembaca dan follower yang senantiasa setia mengikuti tulisan insan doif ini... Sungguh! Ku sayangkan kalian kerana-Nya... *



: 08042014
: hikmatul islam

4 comments:

  1. assalamualaikum,kak wanis..
    sanah helwah!!:)
    semoga akak terus thabat mengharungi ujian-NYA dan semoga akak terus diberikan kekuatan untuk terus berjuang dijalan-NYA.Berharap sangat dapat jadi macam akak:)

    saya sentiasa rindu akan tinta akak di blog.meresap ke dalam jiwa.ikhlas dalam bait-bait penulisan.And...semoga harapan akak untuk terbitkan sebuah buku menjadi kenyataan^^
    saya tunggu buku akak...<3

    ReplyDelete
  2. setiap kali hati mula rapuh, tgn menggapai lju ke blog k.wanis..

    ReplyDelete
  3. Serap baik ke hati...terima berkongsi.. Moga trus thabat. Memberi 'sesuatu' kpd ummah...^_^

    ReplyDelete
  4. Semoga berjaya!

    Bukan kerana sedih kehilangannya, namun kerana sesaknya dada untuk menerima ujian dengan hati yang penuh redha. Saya mencuba untuk redha. Kerana saya cuma mahukan redhaNya...

    Moga bertemu jodohnya. Amin..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...