05 July 2014

Sentuhan Kelembutan Ramadhan



Bismillah.
Assalamualaikum. Didoakan untuk pembaca yang singgah, semoga sentiasa dalam naungan rahmat Allah.
Laman ini terabai lagi. Kali ini hampir dua bulan. Allahurabbi.
Serius, menyesal membiarkannya usang sebegini. Geleng kepala sendiri.
Sedangkan ada insan-insan yang sedang dahagakan sesuatu dari laman ini. Sedangkan ada insan-insan sedang menantikan santapan rohani di sini. 
Insha Allah, selepas ini mungkin saya harus menulis lebih kerap walaupun pendek dan ringkas namun mesti pastikan ada pengisian. 
Sesungguhnya saya ini sukar sekali untuk menulis jika ia bukan terbit dari hati. Jika bukan ia lahir dari satu sudut jiwa yang dirasa, maka pena akan sukar untuk mencoret kata.
Dalam tempoh ini saya berkejaran dengan rangka proposal tesis master tentang "Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat." Sosok tubuh seorang ulamak di Kelantan yang disegani dan dihormati ramai.
Sungguh, terasa beratnya 'amanah ilmu' agama yang terpikul di pundak. Masih lagi sedang terkial-kial saya mencari petunjuk arah yang tepat untuk kajian tersebut.
Dan, dalam masa yang sama menyepi seketika kerana lebih ingin memfokuskan sepenuh 'rasa' untuk menyiapkan penulisan buku saya, LBS "Layakkah Bergelar Solehah".
Diiringi dengan pelbagai ujian yang menyinggah, akhirnya dalam tempoh 3 bulan Allah berikan jua kekuatan untuk saya menyiapkannya. Sekarang tinggal sahaja untuk proses 'editing' oleh para editor.
Subhanallah. Saya akui, bukan semudah-mudah untuk menulis seperti di laman blog yang biasa saya tulis di sini. Dalam proses menulis buku itu, sering sekali tumpah air mata. Bukan kerana lemahnya jiwa, namun kerana terasa 'beratnya' dosa-dosa yang ada.
Kerana itu, saya mengambil keputusan untuk bersendirian dengan Tuhan. Merayu-rayu kepada Sang Pemberi ilham yang mutlak agar permudahkan.
Menghasilkan sebuah buku yang bagi saya, saya tidak menganggapnya sekadar sebuah 'buku', malah lebih dari itu.
Sebuah buku yang ada ilmu bermanfaat yang memberi 'kesan' kepada pembaca. Yang tembus ke hati orang yang membacanya, bukan suatu kerja yang mudah.
Benar, itu kerja Allah, hidayah itu milik Allah yang ingin dicampakkan kepada para hati yang DIA kehendaki. Namun, sisi si penulis itu juga harus dinilai lebih utama.
Bermula dengan niatnya yang bagaimana. Jika duit yang dikejar, maka dia akan mendapatkan hasil tersebut. Jika populariti yang dikejar, maka dia akan mendapat nama tersebut.
Jika itulah yang didamba maka dari sudut nilaian di sisi Allah, buku itu hanya akan menjadi buku yang 'kering'. Seperti daun-daun yang mengering, lalu jatuh ke tanah dan berterbangan hilang apabila ditiup angin.
Nauzubillah! Saya teramat bimbang ia menjadi seperti itu. Buku yang diusahakan untuk dijadikan saham akhirat, terlalu takuti andai Allah 'lemparkan' ia kembali ke muka si penulis kelak. Allahu. Minta dijauhkan...
"Tuhanku, hamba ini doif. Mana mungkin hamba meninta tanpa ada selitan dosa-dosa di hati. Mana mungkin hamba menulis dengan berlepas diri dari segala keaiban diri.
Moga  Engkau sudi untuk mengampuni, jadikan ia asbab untuk ku peroleh maghfirahMu ya Rabbi. Ku akui segala kekurangan dan kelemahanku, dosa-dosaku, cacat celaku, jika bukan kerana rahmatMu sudah tentu ku tidak dapat melakar kalam walau satu patah perkataan.
Taqabbal minni ya kareem. Terimalah cebisan dariku ini, biarpun masih banyak amalku lompong sana sini. Bantuku ya Rabbi untuk menjaga niatku. Bantuku ya Allah agar dipermudahkan ia disebar luaskan sebanyak mungkin pada ummah, agar menjadi asbab untuk Kau berikan hikmah dan hidayah kepada mereka. Allahumma amin."
Sungguh, saya sentiasa berhajatkan doa dari kalian sang pembaca budiman. Yang saya sentiasa menganggap doa kalian sangat 'mahal'. 

Doa diam-diam kalian doakan untuk saya, mungkin Allah lebih mudah kabulkan berbanding dengan diri yang doif ini.
Doakan ya, moga buku tersebut dipermudahkan segala proses penerbitannya. Biiznillah. Dengan izin Allah yang Maha Penyayang. Semoga kalian setia menunggu. :)


Sentuhan Ramadhan
Alhamdulillah, rauplah berbanyak kesyukuran kerana masih Allah sudi memberi peluang kepada kita bertemu dengan Ramadhan 1435H kali ini.
Bukan semua orang terpilih untuk melangkah masuk ke madrasah Ramadhan. Ada ramai orang yang Allah ambil nyawanya sehari sebelum masuknya bulan Ramadhan.
Oleh itu, bersyukurlah. Dapat merasai suatu kenikmatan yang cukup besar dari sentuhan cahaya Ramadhan.
Sentuhan suatu bulan yang cukup agung, mulia, istimewa yang Allah berikan kepada manusia tidak seperti di bulan yang lainnya.
Di mana bulan inilah diganda-gandakan pahala bagi kebaikan. Dibukakan pintu syurga seluas-luasnya, ditutup pintu neraka serapat-rapatnya.
Dibukakan rahmat Allah dengan selebar-lebarnya di setiap sudut, terlebih lebar dari keluasan yang ada di langit dan bumi. Tidak dapat diukur, kerana Allah sedang 'menyentuh' kita saat ini dengan penuh rahmat dan kasih sayang-Nya. Penuh kelembutan. Penuh keindahan.
Allah sedang menantikan kita untuk datang kepada-Nya dengan amal kebaikan, untuk diberikan berbanyak keampunan dan syurga. Subhanallah!
"Tatkala sentuhan-Nya dirasa, diri seakan terpana.
Bercucuranlah air mata, kerana terlalu ingin mendakap segala rahmat-Nya."


Taqqarrub Ilallah fil Ibadah
Namun demikian, tidak semua orang dapat merasai 'sentuhan' tersebut. Kenapa? Ada seorang adik yang meluahkan rasa.
"Kak, terasa futur."
Saya bertanya kembali, "Futur dalam apa dik? Dalam rasa untuk beribadah atau rasa cinta kepada-Nya?"
Jawabnya, "Mungkin hilang rasa dalam beribadah."
Duhai teman-temanku.
Bulan Ramadhan ini kenapa ia dipenuhi dengan pelbagai ibadah? Kenapa Nabi SAW tatkala datang bulan Ramadhan maka Nabi SAW semakin memperhebatkan amal ibadahnya, dengan qiamnya, dengan sedekahnya, dengan bacaan al-Qurannya, dengan solat sunat terawihnya, dengan beriktikaf di masjidNya?
Padahal Baginda SAW di bulan-bulan biasa sahaja sudah kuat amal ibadahnya sehingga pecah tumit Baginda SAW dalam bangun malam untuk solat tahajud. Padahal, Baginda SAW sudah dijanjikan syurga, sosok tubuh yang paling mulia, maksum dari berbuat dosa, yang Allah pelihara.
Namun kerana lebih besar syukur Baginda SAW kepada Rabbnya, maka Nabi SAW telah membawakan contoh yang paling terbaik untuk kita semua. Rasulullah SAW memperhebatkan ibadah di bulan Ramadhan kerana ingin mengajarkan pada umatnya untuk merebut segala peluang dan tawaran hebat yang Allah bukakan.
Sesungguhnya, tiada tawaran yang paling hebat Allah berikan kecuali keampunan dan ganjaran syurga. Firman Allah taala yang bermaksud:
"Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang lebarnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa." (Ali Imran:1)

Allahuakbar, jika kita menyedari dua hal yang utama ini maka kita tidak akan mampu untuk duduk diam walau sejenak malah akan berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dan beribadah sebanyak mungkin untuk mengejar dua hal tersebut.
Kerana itu, kita yang harus lebih 'pushkan' diri untuk mendekatkan diri kepada Allah sedekat mungkin, serapat mungkin duduk dalam ibadah kepada-Nya.
Taqarrublah. Dekat, sedekat-dekatnya. Rapat, serapat-rapatnya. Lebih dari seorang kekasih yang duduk bersama kekasihnya, maka merapatlah dengan Sang Kekasih Agung yang jauh lebih utama, Allahu Rabbuna.


Dataran Hati Yang lembut
Hidayah dan rahmat Allah turun pada dataran hati yang lembut.
Untuk melembutkan sebuah jiwa yang keras, perlu dilembutkan dengan ibadah. Untuk melembutkan sebuah hati yang gersang dan kering, perlu kembali kepada ibadah.
Kerana itu, duduk dan muhasabah jujur-jujur pada diri kita sendiri. Nilaikan kembali setiap ibadah yang kita lakukan selama ini.
Apakah benar-benar kerana Ilahi atau cuma kerana kepentingan diri?
Aoakah benar-benar berkualiti atau sekadar untuk melepaskan dari kewajipan Ilahi?
Benar, pengertian ibadah itu sangat luas. Berkata Ibn Taimiyyah:
"Ibadah adalah seluruh perkara yang dicintai dan diredhai oleh Allah baik perkataan mahupun perbuatan, yang zahir mahupun yang batin."
Meskipun begitu, saya kira kita perlu nilaikan kembali ibadah-ibadah yang utama. Yang menjadi kewajipan kita yang utama adalah solat.
Solat itu dianggap sebagai tiang agama. Jika elok solat, teguhlah pegangan kita pada agama.
Ibaratnya, kita yang ingin membina tiang rumah. Apakah kita ingin menggunakan bahan-bahan yang tidak berkualiti, yang mudah rapuh dan runtuh tiang tersebut apabila duduk bersandar padanya?
Pastilah kita akan menggunakan bahan yang mahal dan berkualiti kerana tidak mungkin kita ingin rumah kita bergoyang dek kerana rapuhnya tiang sandaran tersebut.
Nah! Begitu juga dengan soal hati dan iman. Hati akan mudah bergoyang dan rapuh apabila tiang sandaran solat tidak diperteguhkan. Iman akan mudah lemah apabila ibadah utama kita dengan Allah tidak kukuh.
Sedangkan solat itu adalah komunikasi kita yang utama dengan Allah. Bisikan, rintihan, rayuan, permohonan, semuanya mengandungi di dalam solat.
Kerana itulah, tatkala datang bulan Ramadhan, kita akan lebih banyak menyungkur sujud, dengan solat terawih 8 rakaat, 11 rakaat, 23 rakaat. Ditambah dengan solat-solat sunat, qiamullailnya, solat tahajud, taubat, hajat, witir.
Sebab kita mahu lebih banyak berkomunikasi dengan Allah. Kita mahu 'bercakap lebih panjang' dengan Allah di bulan mulia ini. Dr. Hasan bin Ahmad bin Hasan al Fakki berkata:
"Adapun sebuah solat yang permulaannya adalah pengagungan dan pemuliaan terhadap Allah SWT. Dan solat ini mengandungi firman-Nya, pujian dan pengagungan kepada-Nya, rasa tunduk yang sempurna si pelakunya kepada Rabbnya.
Maka tidak ragu lagi, solat seperti inilah yang mampu menjadi perantara seorang hamba dalam berkomunikasi dengan Rabb-nya. Solatnya ini bermanfaat baginya untuk memohon kepada Rabb agar Allah membebaskannya dari segala kesulitan. 
Di samping itu, dia pun akan mendapatkan manfaat dan pahala yang besar di akhirat, serta kemenangan dengan mendapatkan redha ar-Rahman."

Dan hadirnya puasa dalam tempoh sebulan ini, membuatkan diri menjadi 'ringan' untuk melakukan ibadah solat tersebut.
Tetapi, perlu diingat. Ringannya hanya pada orang yang khusyuk. Tidak pada hati yang lalai. Tidak pada hati yang tidak bersungguh ingin mendekati-Nya. Tidak pada jiwa yang tidak mengingini rahmat keampunanNya.
"Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 45)


Mendakap Al-Quran Seeratnya
Bulan Ramadhan adalah bulan yang Allah turunkan al-Quranul Kareem.
Dapat membaca al-Quran, adalah suatu nikmat yang cukup besar.
Bukan semua orang mampu untuk membaca al-Quran dengan tartil dan benar tajwidnya.
Bukan semua orang 'ringan' lidahnya untuk membaca Al-Quran.
Bukan semua orang 'ringan' tangannya untuk memegang Al-Quran membuka dan membacanya.
Bukan semua orang mampu mentaddabburkan al-Quran, iaitu ingin merenungi dan memahami maksud di sebalik setiap patah kalam yang Allah ingin sampaikan kepada manusia.
Dan, bukan semua orang mampu mengamalkan pula petunjuk al-Quran dalam keseluruhan kehidupannya.
Subhanallah. Agungnya mukjizat Al-Quran yang Allah berikan kepada Nabi kita, Muhammad SAW.
Suatu nikmat yang cukup besar yang tiada pada umat yang lain.
Kerana itu, istimewanya Allah turunkan al-Quran pada bulan Ramadhan. Suatu kemuliaan yang bukan Allah hendak berikan kerana bulan Ramadhan tersebut, tetapi kerana Allah nak memuliakan kita duhai teman-teman.
Firman-Nya:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang batil).” (Surah al-Baqarah, 2:18)

Kerana itu, pohonlah kekuatan dengan Allah untuk membaca al-Quran. 
Agar Allah berikan kita suatu 'sense', rasa jatuh cinta sungguh-sungguh dengan al-Quran.
Kerana,
Kita akan mulia dengan mengikuti segala petunjuk al-Quran.
Kita akan lurus dengan mengikuti jalan al-Quran.
Kita akan tenang dengan pujukan al-Quran.
Kita akan kuat dengan berpegang teguh pada al-Quran.
Kita akan terkesan dan berakhlak dengan peribadi indah al-Quran.
Semoga Allah sinari cahaya nur yang tiada tara untuk hamba-hamba yang tidak jemu memburu cintaNya dengan al-Quran.

*Target 1 Juzuk, 1 hari= 30 Juzuk 30 Hari=Beserta hayati maknanya.*



Penutup: Rebutlah takwa!

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

"Agar kamu bertakwa."
Huraian saya mengenai solat dan al-Quran, bukanlah menafikan ibadah-ibadah yang lain. Namun, keutamaannya lebih di situ.
Puasa bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu. Mengekang hawa nafsu yang melulu, mengekang segala rasa emosi yang tidak menentu dan perasaan jahat yang timbul dalam diri.
Kerana itu, perlu diiringi dengan puasa yang benar. Puasa yang diikat dengan pelbagai ibadah untuk lebih taqarrub dengan-Nya.
Berzikirlah, bertahmidlah, bersedekahlah, bekerjalah, semuanya ibadah yang dinilai di sisi Allah andai benar-benar kita bulatkan hati kerana-Nya semata.
Kelazatan ibadah itu pasti akan dapat dirasai, oleh hati-hati yang sentiasa memburu redha Ilahi. Dapat mengecapi kemanisan iman yang tiada tara andai benar-benar mencari redha Rabbi.
Semoga, takwa itu menjadi milik kita di sepanjang perjalanan Ramadhan kali ini dengan dipenuhi segala 'rasa' cinta, penuh-penuh kepada-Nya. Allahumma amin.
~Taqabbal minna ya kareem~


: hikmatul islam
:8 Ramadhan 1435H

~Rintihanku dalam sendu~

"Ya allah, aku malu
aku malu ya allah
teramat malu kepadaMu...
Amal yang selalu carik
langkah yang selalu tempang
iman yang selalu pudar
hati yang selalu bermaksiat
diri yang penuh noda dosa
sering terkalah dengan emosi dan perasaan
sering terduduk lemah dan lelah

Tuhanku,
apa maharku untuk dihadapkan padaMu?
Kebaikanmu sering turun kepadaku
tetapi dosa jelekku sering naik untukMu
Allahurabbi...
Semoga madrasah Ramadhan ini
Menjadi pencuci segala dosaku
Peluntur maksiatku, pembersih celaku
Dengan keagungan kasih sayangMu
Masukkanlah daku ke dalam rahmatMu.
Allahumma amin."




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...