Showing posts with label sujudnya hati. Show all posts
Showing posts with label sujudnya hati. Show all posts

09 August 2014

Bersimpuh Dalam Sujud





"Ku tundukkan kepala
Serapat-rapatnya di ruang sujud
bersama kerendahan hati yang ingin melarut
dalam kedekatan rasa yang terpurut
betapa ingin ku hirup setiap nafas
bersendirian cuma dengan-Mu
Menyentuh lembut setiap cahaya
biar menelusup indah di relung jiwa.

Tuhan,
jatuhkan nur-Mu di hatiku
timbuni daku dengan mutiara iman
pada jalan-Mu ku ingin terus berjalan
ku pohon berikanku segunung kesabaran
dalam menghadapi setiap ujian dan dugaan
Agar nanti bisa ku dakap redha-Mu ya Rahman..."

---------

Bismillah.

Segala puji bagi Pemilik Hati.

Madrasah Ramadhan lalu, sungguh terasa sangat mendamaikan.

Betapa Allah berikan suatu ketenangan yang cukup luar biasa.

Suatu rasa indah, yang tidak terungkapkan oleh kata-kata.

Dengan setiap ruang sujud yang terhampar, subhanallah... tidak ada kata syukur melainkan terasa ingin terus sujud dan sujud lagi.

Allah benar-benar Sangat Penyayang.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, kelukaan demi kelukaan.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, hati inginkan hembusan ketenangan.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, setiap air mata yang tercurah.

Kerana betapa Dia Maha Tahu, butir-butir jernih yang merintih.

Allah Maha Tahu. Segala rasa, segala-galanya.




Duhai temanku.

Kita sama. Kita sama. Pada apa yang sama?

Pada setiap ujian yang diduga.

Mungkin, kita selalu melihat orang lain penuh bahagia. Sedang diri kita penuh sisi duka. Hanya ada sengsara.

Tidak temanku. Tidak begitu. Pandangan zahir selalu menipu.

Bukankah Allah itu Maha Adil?

Benar, bentuk ujian itu berbeza, mengikut tahap iman dan kemampuan seseorang.

Maksudku kita sama, adalah dalam 'kehadiran ujian'.

Hidup di dunia ini, tiada diri yang tidak diuji. Tiada jiwa yang terlepas dari dugaan-Nya.

Semua akan diuji. Baik yang baik akan diuji, baik yang jahat turut diuji. Kita tidak dapat lari dari hakikat tersebut.

Kerana sering kita lupa dunia ini sementara. Sering kita lupa, akhirat itu lebih utama.

Kerana itu, tatkala diri dan jiwa merasa lelah. Duduklah. Bersimpuhlah. 

Renungkan dengan dalam-dalam.

Fahami dengan benar, apa itu ujian? Fahami dengan benar, siapakah Pemberi di sebalik ujian? 

Kalau kita tidak dapat menghadam pengertian ini dengan baik, bagaimana mungkin untuk kita dapat menerima kehadiran ujian itu dengan baik?

Ujian itu, tanda Allah sayang. Berkali-kali hal itu diingatkan. Namun kenapa, kita tidak merasakan kasih sayang Tuhan?

Kerana hati kita sendiri yang menutup ruangan tersebut. Kerana kita yang lebih suka melihat sisi gelap dari sisi rahmat.

Ujian itu, penghapus dosa. Namun kita tidak dapat melihat ia suatu pembersihan dosa-dosa, kerana merasakan ia suatu bala.

Ujian itu, peningkat martabat iman. Namun kita tidak tidak melihat ujian itu platform untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, kerana hati kita terlalu berharap dan bersandarkan kepada keduniaan.

Allahuakbar... Bersujudlah. Bersujudlah. Kerana di situ, kita akan menemui jawapan pada setiap persoalan.

Bersimpuh lama-lama dalam sujud itu indah.

Bersimpuh lama-lama dalam sujud itu nikmat.

Kerana saat itulah kita akan berada paling dekat dengan-Nya. Paling rapat dengan dakapan kasih sayang Allah. Kita akan merasainya.

Sebuah ketenangan yang sukar orang lain fahami. Cuma kita yang dapat merasa. Bukankah ia suatu rasa yang sangat mahal?

Sesungguhnya, ketenangan hanya akan hadir bila mana kita kembalikan semuanya pada Pencipta kita.




Apabila kita diuji, sering kita lupa Allah telah berikan kita solusinya.

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah:153)

Kenapa harus dengan solat? Kenapa Allah sebut dalam ayat di atas dengan dua cara, iaitu sabar dan solat?

Kerana ia adalah gabungan yang paling terbaik untuk kita mendapat jalan penyelesaian pada setiap masalah.

Sabar sahaja tidak cukup, jika tidak diiringi dengan solat.

Solat sahaja tidak cukup, jika tidak disertai dengan hati yang sabar.

Syeikh Sa’id Hawa menjelaskan dalam tafsirnya, 'Asas fit Tafasir'  kenapa sabar dan solat sangat tepat untuk dijadikan saranan meminta pertolongan kepada Allah Taala.

Beliau mengungkapkan bahawa sabar dapat mendatangkan pelbagai kebaikan, sedangkan solat dapat mencegah dari pelbagai perilaku keji dan mungkar. 

Dan hanya dengan solat dapat memberi ketenangan dan kedamaian hati.

Keduanya (sabar dan solat) perlu digandingkan dan tidak dapat dipisahkan, kerana sabar tidak sempurna tanpa solat, demikian juga solat tidak sempurna tanpa diiringi dengan kesabaran.

Kerana, kita tidak akan mampu bersabar walau beribu orang datang memujuk kita dan berkata, 'Sabarlah, sabarlah!'

Kerana kesabaran itu bukan datang dengan sekadar kata-kata. Tetapi kesabaran itu datangnya dari ruh.

Dari sebuah rasa yang ditiupkan oleh Ilahi ke dalam hati kita. Kerana itu, kita perlu mencari DIA terlebih dahulu daripada mencari manusia.

Cari Allah dahulu, baru luahkan kepada manusia. Sebab Allah, Pemberi ujian. Jalan keluarnya ada pada Allah.

Bukankah berkali-kali kita memohon pertolongan pada Allah dalam solat? 17 kali kita memohon, cuma sahaja apakah hati kita benar-benar meminta kepada-Nya atau tidak?

"Hanya kepada Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan." (Al-Fatihah:7)

Solat dan bersujud dahulu maka Allah akan datangkan pertolongan itu dengan dikirimkan kepada makhluk-Nya. Sungguh manusia itu, hanyalah menjadi asbab sahaja.




"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya." (Al-Baqarah:45-46)


Benar, tatkala kita ditimpa ujian, kita akan mudah merasa lemah dan rapuh. Terasa berputus asa dengan segala-galanya.

Namun, jangan sesekali kita merasa malas dalam mengerjakan solat. 

Solat itu memang berat bagi hati-hati yang lalai, namun solat itu sangat besar peranannya bagi orang yang khusyuk.

Khusyuk di sini kerana rasa hati kembali kepada-Nya. Yakin dan percaya kepada-Nya.

Tiada kebahagiaan selain Allah. Tiada kedukaan selain Allah yang berikan.

Maka, bersujudlah. Di situ terselit sebuah kekuatan iman dan kesabaran yang tiada tara akan Allah berikan.

Jika tidak mampu sujud, berzikirlah sebanyaknya. Zikir itu, jika tidak cukup dosnya maka iman kita akan menjadi 'less'. Kering dan lesu.

Hati kita hidup subur kerana zikrullah. Kerana kekuatan zikir kita mengingati Allah.

Cuba tanya jujur-jujur pada diri kita saat ini, apakah kita lebih banyak mengingati manusia daripada mengingati Allah?

Jika benar begitu, bagaimana mungkin kita mampu mendapat ketenangan hati dari Ilahi? 

Sedangkan DIA yang sepatut lebih layak diingati daripada apa jua isi duniawi...


"Allah, bantu kami untuk lebih mengingati-Mu dari segala apa yang ada di sisi kami. Kurniakan kami segunung kesabaran. Berikan kami jalan penyelesaian bagi setiap ujian. Berikan kami jawapan pada setiap persoalan.

Jadikan kami orang-orang yang selalu rindu untuk sujud, selalu suka untuk merintih dan meratap rayu pada-Mu tanpa rasa bosan atau jemu. Hanya Engkau yang Maha memiliki hati-hati kami, tetapkanlah hati kami dalam ketetapan iman kepada-Mu selalu...Amin ya Rabb..."




"Bersimpuhlah
Mungkin kerana lama benar kita berlari
mengejar setiap pelusuk duniawi
sehingga kita lupa untuk bersimpuh
Bersimpuh di antara dua sujud
membuatkan jiwa bisa bertafakkur
Dan juga mentaddabbur
Apa erti sebenar hidup ini?
Apa yang sebenarnya yang kita cari?
Akan kau temui penghujung nanti
jawapannya cuma, ILAHI..."

: hikmatul islam
: 08082014

: 1233 pm


18 October 2013

Sujudnya Hati

Bismillah.

Yang teragung dan termulia, untukMu Tuhanku. Pemilik hatiku selamanya.




“Tika rintik-rintik jernih ini mulai jatuh,

tersendu sepi dalam sujud.

Longlai dan lemah.

Betapa Dia lagi berbisik, memujuk hati untuk kuat.

Hati, tidakkah engkau dengari?

Hati, tidakkah engkau renungi?

Bait-bait kalam-Nya yang terselit.

Membawa seribu erti untuk diteliti.

Justeru hati, kenapa masih ingin berdukacita lagi?”




Bila kesedihan mulai datang mengetuk pintu hati, bila kesepian datang tanpa diundang, maka saya akan duduk lama-lama di laman ini.

Mengamati dan merenungi dalam-dalam.

Untuk setiap baris kalam yang tersusun.

Pada setiap perkataan yang telah dilakarkan.

Tulisan yang saya tinta tika iman tersangat ‘kritikal’ dan semasa iman sedang sihat.

Ternyata, ada banyak bezanya.

Menulis, untuk saya luah setiap isi hati.

Bukan sekadar luahan, tetapi sebagai muhasabah ke arah kebaikan.

Mengetuk diri yang mungkin sedang kelalaian.

Memujuk hati yang lagi sedang keresahan.

Ya, ‘islah’ untuk diri sendiri terutamanya.

Dan ingin menyelitkan manfaat bersama untuk semua orang.

Meski sentiasa sedari, diri banyak kekurangan dan kelemahan.

Banyak…tak terhitung, malahan merasa tidak layak untuk semua pujian yang sering singgah senyap-senyap di inbox fb.

Allah…andai mereka mengetahui betapa rapuhnya diri ini…andai mereka mengetahui betapa lemahnya diri ini, pasti tidak akan ada yang sudi untuk singgah ke laman ini…

*serius mahu nangis*

Namun, di sisi tulisan inilah cuba untuk saya cari kekuatan yang mendalam.

Mencari kekuatan yang kadang-kadang hilang tika diri penasaran.

Mencari kembali kekuatan iman.

Iman, yang sememangnya ia mempunyai sifat turun naik.

Nak kekalkan, harus istiqamah dengan amalan.

Harus sentiasa rapatkan diri dengan Tuhan.

Nak jatuh? Mudah sekali dengan bisikan syaitan.


“Iblis berkata: ‘Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan.’ Allah berfirman: ‘Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat)’. Iblis menjawab: ‘Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka.” (Shâd [38] : 79-83)


*Noted: kecuali hamba yang mukhlis, yang punyai hati yang bersih dan tulus.

Allahurabbi.

Tunduk kepala kerana teramat malu padaMu... Mukhliskah aku?


“Ikhlaskanlah, dengan keyakinan dan kepercayaan pada sudut qalbu yang paling dalam.”





Sujudnya hati.

Andai hati bisa 'bersujud', maka anggota tubuh yang lain juga pasti akan mudah untuk tunduk bersujud pada-Nya.

Sujudnya hati, ibarat sang abid yang terus mendidik hatinya untuk terus akur, pasrah dan redha pada semua takdir Allah.

Di saat hati merasa sunyi, cukuplah menghiburkan diri dengan kalam Allah.

Alunan zikrullah mampu mengubati lelah dan duka.

Di saat hati mulai merapuh, ingin pasakkan kembali keyakinan pada-Nya teguh-teguh.

Allahu allah…akui, bukan semudah kalam yang tertinta.

Hati yang sekecil itu, betapa ajaibnya ia dapat menampung pelbagai rasa.

Rasa yang kadang-kadang penat, lelah, letih pada dunia.

Rasa yang ingin cepat-cepat kembali pulang ke sisiNya.

Namun, layakkah diri pulang dengan ‘tersenyum’ di sana?

Hati, bersujudlah dahulu. 

Sepenuhnya.


“Bila kau letih dan hilang semangat,


Allah tahu betapa kau telah mencuba sedaya upaya. 


Bila tangisanmu berpanjangan, Allah telah mengira titisan air matamu. 


Bila kau rasa ketinggalan dan masa meninggalkan mu, Allah sentiasa disisimu. 


Bila kau telah mencuba segalanya tapi tidak tahu tujuan, Allah ada penyelesaiannya. 


Bila tiada yang bererti buatmu, keliru dan kecewa, Allah adalah jawapannya."






Sungguh-sungguh.

Mahu redha untuk semua ujianNya.

Mahu redha untuk segala dugaanNya.

Redha itu buah dari kesabaran.

Ditempa dengan jalan mujahadah yang cukup perit.

Tetapi isi buah itu tersangat manis kelak.

Ya, suatu hari kelak.

Sentiasa ingin yakin pada janji Ilahi.

Setia menunggu jawapanNya untuk setiap sujud di dinihari.

Terus menanti.

Moga suatu hari nanti Allah sudi.

Menjawabnya dengan huluran penuh cinta.

Pada setiap bait-bait doa.

Allahumma amin....




*Hati tersangat rapuh saat ini, pohon ehsan kalian mendoakan penulis agar dithabatkan iman dalam ketenangan…barakallahulakum aidan*


 : hikmatul islam
: 18102013
: 0800pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...