16 August 2013

Teman, Berbahagialah Di Syurga Cinta






*3 syawal 1434H*

Tarikh yang menuliskan suatu takdir baru untukmu teman tersayang.

Takdir yang membawanya kepada suatu permulaan kehidupan baru.

Takdir yang akan menentukan hala tuju dunia dan akhiratnya.

Dengan cuma sekali lafaz, akhirnya dirimu telah sah termiliki oleh seorang rijal yang bernama suami.

Hamdan lillahi rabbil alamin!

Terlerai sudah segala penyekat, terlerai sudah segala batasan, kerana kini ia telah halal lagi diberkati Allah dengan sebuah ikatan suci nikah.

Sungguh! Saat itu juga, hatiku merasa terharu, sebak dan sendu menjadi satu. 

Betapa teman yang paling ku sayangi dan cintai, telah sudah berjaya menyempurnakan separuh agamanya…

Alhamdulillah… Allahurabbi ya Aziem, Ya Rahman ya Rahim…

Betapa ku syukuri akan limpahan kasih sayangMu yang mencampakkan rasa kasih dan sayang dalam hati-hati kami, lalu membunga indah diberikan pula rasa itu pada jiwa pasangan yang akan menemaninya selepas ini setiap detik dan ketika, yang akan menjadi teman sehidup semati, yang akan menjadi sahabat yang terbaik buat dirinya selepas ini…

Ya Allah…meskipun seringkali daku yang terkurang memberikan untuknya dalam ukhuwah ini, oleh itu ku berharap, teman hidupnya itulah yang akan menyempurnakan segala kekurangan ukhuwahku ini…

Semalaman ku tidak mampu melelapkan mata, dek kerana rasa haru dan sebak ini terlalu menyelinap halus ke relung hati.

Betapa air mata tidak henti-henti mengalir menemani, dalam ingatan yang silih berganti mengingati semula putaran memoir-memoir rentetan kisah ukhuwah kami…

Subhanallah…terlalu banyak untuk dihitung, terlalu banyak rasa yang kami merasai bersama selama perkenalan ini...

Akhirnya rasa itu menjadi satu… ku pasrahkan semuanya padaMu Tuhan untuk terus menjaga dan memelihara ukhuwah kami ini hingga ke syurga… sehingga ku tersenyum sendiri dalam mimpi indah yang menemani…





Lalu tinggallah ku di sini sendiri.

Hanya mampu terdiam tanpa kata…hati cuma mampu bermonolog denganmu dari jauh…mengutus doa dalam setiap sujudku…

Kerana ku di sini ibarat teman bayang-bayangmu kini, yang tidak bisa dilihat lagi, yang tidak bisa disentuh, yang tidak punyai suara untuk kau dengari suaraku lagi…

Namun,, sentiasa ku ada…dalam setiap nafas dan doamu… dalam setiap degup jantungku tetap kan setia mendoakanmu...

Selautan kemaafan ku pohon darimu temanku,, untuk segala kekurangan ukhuwah dariku…

Yang seringkali tidak mampu memberikan apa yang dirimu mahu…yang tidak mampu berada di sisimu saat-saat  dirimu amat memerlukan…maafkan daku untuk semuanya…

Temanku sayang…semoga dikau bahagia, meraih syurga cintaNya…

Sungguh ku teramat-amat bahagia, melihat senyuman manismu meski di balik sekeping gambar yang tidak berkata-kata…

Tapi ku tahu, ku yakini dan ku percayai, suami akan membahagiakanmu dengan sebenar-benarnya…yang akan memimpin tanganmu menuju syurgaNya…

Insha allah, dia adalah suami soleh, selayaknya jua dengan kekuatan iman dan keindahan solehah yang dikau miliki…

Berbahagialah teman tanpa terlalu memikirkan diriku…insha allah, diriku di sini sentiasa bahagia dalam pelukan Yang Maha Esa…

Berbahagialah teman, kerana bahagia itu wajar menjadi milikmu saat ini… 

Senyuman dariku, yang akan senantiasa merindui dan menyayangi di setiap sudut hati… (^^,)


*nangis sorang-sorang kerana terlalu terharu dengan semua aturan Tuhan*

p.s: Perlukan masa untuk sendirian. Sendirian dengan Tuhan, rasa tenang dan bahagia bila Allah sentiasa pujuk diri. Terima kasih Allah. Betapa Engkau setia mencintai diriku ini...Cukuplah Engkau untukku.!


: hikmatul islam
: 6 syawal 1434H
: 230 am


06 August 2013

Tarbiyah Ramadhan, Salam Lebaran






Berinjak, laju.
Hari berganti hari, terus berjalan bertukar ganti.
Hari ini, sudah genap 30 Ramadhan.
Berteleku seketika.
Meneliti semula amal di awal, pertengahan, dan penghujungnya.


Allah.
Jika hanya dengan amal ini, yang cuma biasa-biasa.
Jika hanya dengan amal ini, yang terlebih pula compang-campingnya.
Tak akan pernah layak untuk meraih syurgaMu Tuhan.
Namun, oleh kerana kemurahan rahmatMu yang berganda-ganda.
Yang Kau janjikan di bulan yang paling mulia ini,
Maka doa itu terus diulang-ulang tanpa jemu, tanpa henti.


“Ya Allah, kami memohon redha dan syurga-Mu, dan kami mohon perlindungan daripada seksaan api neraka.”




Sepurnama kedatangannya,
Terlalu banyak tarbiyah yang diberikan.
‘Didikan’ Allah terus datang walau tanpa diundang.
Terus mengajar untuk meleburkan jiwa sang hamba.
Jiwa ‘hamba’ agar semakin kenal Pencipta.
Kenal dan cinta. Beza.
Sungguh, mencintaiNya sering tidak sempurna.
Dipalit pula dengan dosa-dosa yang menyesakkan dada.


Meskipun,
Ada tarbiyahNya itu seringkali merasa pahit, perit, pedih.
Ada juga didikanNya itu, diberikan rasa gembira dalam kelat.
Sehingga air mata itu, seringkali melebat.
Untuk mencuci ‘mata hati’ agar semakin terang.
Akhirnya, jiwa pasrah dan berserah.
Kerana takut dan harap itu cuma pada Allah.





Halawatul iman.
Betapa halusnya didikan di madrasah Ramadhan.
Syukur dan sabar itu buah dari tempaan ujian.
Ternyata, betapa manisnya rasa sebuah iman,
Apabila jiwa seorang insan sentiasa ingin abid kepada Pemilik Alam.


Tuhanku,
Terima kasih untuk semua kurniaanMu.
Buruk itu baik untukku.
Baik itu, belum tentu lagi buruk untukku.
Namun ingin terus ku pinta takdir yang baik-baik dariMu
Agar jangan sampai ujian itu memalingkanku daripadaMu.
Sungguh!
kerana ku tidak mampu,
Untuk hidup tanpa cintaMu.
Kerana ku tidak akan mampu,
Untuk hidup sendirian tanpa cahaya petunjukMu.


Terima kasih Allah,
Kerana didikan Ramadhan ini hebat.
Sehebat kasih sayangMu padaku.
Moga ada tinta amal yang tercatit di sisiMu,
Membuatkan kembaliku kelak Engkau rindu.





Jiwa, lahirlah sebagai insan baru.
Di Syawal yang menjelma bukan sekadar kegembiraan.
Dan kesyukuran menjadi hamba Tuhan.
Tetapi erti syukur itu lebih dari itu.
Syukur yang dialun untuk melahirkan jiwa yang kental.
Sabar yang ditempa untuk melahirkan jiwa yang ampuh.
Agar iman semakin kukuh.
Dan pegangan padaNya semakin teguh, bukan merapuh.


Allahu ya Azim.
Segala puji dan puja hanya untukMu.
Peganglah hatiku, agar sentiasa menjadi milikMu…


*p/s: untuk semua jiwa yang merasa tidak sempurna di hadapanNya, daku juga sama seperti kalian.
Teruslah bertasbih, bertahmid kepadaNya, moga-moga DIA sudi untuk menerima segala amal kita. Moga ramadhan ini bukan yang terakhir…

*salam aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua teman tersayang di fb, kenalan blog, follower, sahabat-sahabat yang setia di sisi, maka diriku yang hina ini memohon seribu kemaafan.
Sungguh, ‘kemaafan’ kalian sangat mahal, maka ku pinta berikan sedikit padaku agar kita bisa berbagi senyuman.

*Untuk teman teristimewa yang akan bernikah pada hari lebaran ini, ku doakan moga syurga cinta akan termiliki untuk dibawa kepada cintaNya yang hakiki. Sungguh,, ku akan bahagia melihat dikau bahagia…
(Untuk diri sendiri? Allah lebih mengetahui. Semoga ada kelak yang sudi Allah beri. Namun jika bukan di sini, moga-moga di syurga Firdausi...)

Wassalam wbr.





: hikmatul islam
: 30 ramadhan 1434H
: 0730 am


04 August 2013

Awwahun Munib






Betapa dosa-dosa itu,
terasa berat seperti gunung yang menghempap diri.
Betapa dosa-dosa itu,
Terasa seperti langit yang hilang tongkatnya, runtuh menimpa bumi.
Allah Tuhan!
Jika bukan kerana rahmatMu yang melebihi langit dan bumi,
Nescaya daku malu untuk memohon maghfirah padaMu Rabbi…


“Orang mukmin itu melihat dosa mereka seperti sebuah gunung yang akan jatuh menghempapnya, sementara orang munafik itu melihat dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di mukanya, ditepis maka ia lari.” 
(Abdullah ibn Mas’ud  r.a)


Zalim.
Akui, zalim pada diri sendiri.
Zalim pada manusiawi.
Terlebih zalim pada Ilahi.
Mungkin perkataan ‘zalim’ itu yang sesuai untukku saat ini.


“La ilaha illah anta subhanaka inni kuntu minazzalimin.” (Al-Anbiya’:87)
(Tiada Tuhan melainkan Engkau Maha Suci, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim)




Doa itu setia menemani,
Dalam sujud tangis dan getaran hati.
Mahu pecah dada, menyesali apa yang terjadi.
Allah.!
Ampuni...
Maafi…




 “Awwahun Munib"
"….penghiba dan suka kembali kepada Allah…” (Hud:75)


Allah SWT menyebut dan menyifati Nabi Ibrahim a.s sedemikian.
Subhanallah.

Sebahagian ada yang berpendapat, Baginda Ibrahim a.s mengatakan :

 “Merasa hiba dan sakit ke atas dosa-dosaku, merasa hiba dan sakit daripada kesalahan-kesalahanku, merasa hiba dan sakit daripada kemaksiatan-kemaksiatanku dan merasa hiba dan sakit daripada kelalaianku.”



Penghiba.
Terasa istilah itu sinonim untuk jiwaku.
Jerit tangis itu, cuma Dia yang Maha Tahu.
Moga-moga munib itu juga menjadi milikku.

Allahurabbi ya Kareem.
Sudilah untuk Kau menerima diriku lagi?
Hamba sentiasa ingin kembali.
Moga ruang jalanku pulang sentiasa terbuka,
Untukku sang pendosa. . .





Segala kebaikan Allah walau lama
Laksana kerdipan mata yang menangis
Betapa banyak kemudahan datang setelah keputus-asaan
Dan betapa banyak keputus-asaan datang setelah kesungguhan
Maha suci Dzat yang selalu memaafkan walau kita selalu bersalah
Dia selalu sudi memaafkan hambaNya yang bersalah
Dia yang banyak memberi rahmat kepada orang yang bersalah
Dan keagunganNya tidak menghalangNya untuk memberi kurnia kepada orang yang bersalah.



“…hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar:53)





*Untuk malam-malam akhir ramadhan yang berbaki...Kerjaku cuma mengira butir-butir dosa, semakin dikira semakin menitis air mata...

*Juga untaian doa yang akan sentiasa ku panjatkan kepada Ilahi, untuk seorang 'sahabat' yang lagi berhiba kerana diriku...maafiku duhai sahabat...kerana tidak mampu berlaku adil kepadamu...berbahagialah,, walau tanpa bersamaku...


: hikmatul islam
: 25 ramadhan 1434H
: 0330 am


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...