Showing posts with label belaian kasihMu. Show all posts
Showing posts with label belaian kasihMu. Show all posts

23 January 2014

Kerana Allah Memang 'Sengaja'....





"Kenapa mereka sengaja berbuat demikian? Kenapa?"

"Kenapa mereka sengaja menyakiti hati ini? Menambahkan segala duka di hati ini?" Rintih sang jiwa yang terluka.

"Mungkin...kerana Allah juga 'sengaja' berbuat demikian."

Si hamba tersentak.

"Allah 'sengaja'? Maksudnya?"

Malaikat di sisi kanan pandang dan tersenyum kepada hamba tersebut.

"Kerana mungkin, Allah memang 'sengaja' memberikan ujian sedemikian kepada kita. Untuk Allah tarbiyahkan lagi hati itu. Untuk Allah jadikan hati kita semakin lembut, untuk semakin dekat kepadaNya."

"Allahurabbi...peritnya, sakitnya, lukanya... Tak mampu ya Allah...!"

Malaikat tersenyum lagi. Memandang hamba tersebut yang penuh dengan cahaya rahmat melimpahinya. Cuma sahaja, hamba tersebut tidak menyedari cahaya rahmat Allah sedang mengelilingi dirinya.

"Allah memang 'sengaja' membuatkan kita rasa sakit. Rasa perit. Rasa pedih. Sebab, Allah tidak pernah sekadar suka-suka atau saja-saja nak bagi kita semua rasa duka itu, melainkan DIA mahu kita selami erti sabar."

Hamba itu tunduk. Cuba untuk mengerti. Dalam-dalam.

"Bukankah sudah Baginda SAW menitipkan sebuah kata-kata pujukan untuk umatnya?"

"Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: Bahawasanya dia pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidak ada satu kepedihan pun atau keletihan atau penyakit atau kesedihan sampai perasaan keluh-kesah yang menimpa seorang muslim kecuali akan dihapuskan dengan penderitaannya itu sebahagian dari dosa kesalahannya. (Shahih Muslim No.4670)"

" Ya Allah! anugerahkan daku sifat sabar yang tidak pernah kehabisan. Cantikkan diriku dengan sifat indah Maha Sabar dariMu ya Rabbi..." Air mata merembes laju, kerana terlalu ingin meresapi erti sabar ke dalam jiwa.

Malaikat tersenyum mendengar kalam dua orang hamba itu.

"Sifat sabar, mungkin ramai yang mampu. Tapi, adakah semua manusia mampu bersyukur dalam bersabar?"

Hamba itu terdongak seketika. Cuba menghadam maksud kata-kata tersebut.

"Bersyukur dalam bersabar?"

"Ya. Berapa ramai yang mampu rasa bersyukur untuk segala ujian yang diberikan kepadanya?"
"Bersabar sudah naik satu tingkat, namun bersyukur dalam bersabar satu tingkat yang jauh lebih tinggi martabatnya dari bersabar!"

"Ada orang yang mampu bersabar kehilangan harta benda, mampu bersabar tatkala tak tercapai hajat yang dia ingini, mampu bersabar apabila ditimpa musibah. Tapi, tak semua mampu bersyukur dalam bersabar."

"Cuba perhatikan sepotong ayat cinta ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bersyukurlah kepada Allah jika kalian benar-benar beribadah hanya kepada-Nya.”( al-Baqarah ; 172)"

"Apa tafsirannya?"

"Maksudnya, jika kita benar-benar mengakui kita adalah hambaNya, maka harus sentiasa bersyukur. Bersyukurlah, tidak kira apa jua yang Allah berikan, baik yang baik, atau baik yang buruk! Kerana hanya dengan bersyukur, maka akan terbit rasa ikhlas yang tulus menjalani hidup sebagai hambaNya."

Seorang hamba yang dididik hatinya untuk redha, maka dia akan melihat ujian dan musibah itu dari satu dimensi lain."

Si hamba itu mengerutkan dahinya lalu bertanya lagi. "Dimensi yang bagaimana?"

"Dimensi bersyukurnya Allah 'sengaja' berikan dia ujian tersebut. Bersyukurnya dia tidak mendapat apa yang dia ingini. Bersyukurnya dia kehilangan harta benda itu. Sebab apa? Sebab dia semakin mengerti bahawa Allah lagi sedang mempersiapkan sesuatu ganjaran yang cukup indah buatnya."

"Ganjaran indah?"

"Apa lagi ganjaran yang terindah bagi seorang mukmin andai bukan Jannah-Nya?"

"Allahurabbi!"

Mata sang hamba itu semakin basah tatkala dibacakan ayat firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya." (Al-Furqan : 75)


-----

*Petikan dialog dalam proses pembikinan novel 'Memiliki Cinta' yang sedang saya usahakan sekarang. Tersangat hajat doa kalian agar novel tarbiyah yang akan saya nukilkan ini akan ada penerbit yang sudi untuk 'melamarnya'. Allahumma amin. Teristimewa untuk jiwa-jiwa yang sedang mencari cinta Tuhan! :)





"Allah memang 'sengaja'
memberikan luka demi luka
Kerana DIA terlalu cinta.

Allah memang 'sengaja'
memberi duka demi duka
kerana DIA ingin kita berbahagia di sana.

Tuhanku!
Saksikan air mata ini.
Biar terus berlagu untukMu.

Untuk setiap duka.
Untuk setiap luka.
Bantu hamba untuk terus berjalan mencari makna bahagia..."


*Sollu a'la nabi- sollallahu 'alaihi wassalam.*


: hikmatul islam

: 1230 pm

: 26 rabiulawal 1435H


06 August 2013

Tarbiyah Ramadhan, Salam Lebaran






Berinjak, laju.
Hari berganti hari, terus berjalan bertukar ganti.
Hari ini, sudah genap 30 Ramadhan.
Berteleku seketika.
Meneliti semula amal di awal, pertengahan, dan penghujungnya.


Allah.
Jika hanya dengan amal ini, yang cuma biasa-biasa.
Jika hanya dengan amal ini, yang terlebih pula compang-campingnya.
Tak akan pernah layak untuk meraih syurgaMu Tuhan.
Namun, oleh kerana kemurahan rahmatMu yang berganda-ganda.
Yang Kau janjikan di bulan yang paling mulia ini,
Maka doa itu terus diulang-ulang tanpa jemu, tanpa henti.


“Ya Allah, kami memohon redha dan syurga-Mu, dan kami mohon perlindungan daripada seksaan api neraka.”




Sepurnama kedatangannya,
Terlalu banyak tarbiyah yang diberikan.
‘Didikan’ Allah terus datang walau tanpa diundang.
Terus mengajar untuk meleburkan jiwa sang hamba.
Jiwa ‘hamba’ agar semakin kenal Pencipta.
Kenal dan cinta. Beza.
Sungguh, mencintaiNya sering tidak sempurna.
Dipalit pula dengan dosa-dosa yang menyesakkan dada.


Meskipun,
Ada tarbiyahNya itu seringkali merasa pahit, perit, pedih.
Ada juga didikanNya itu, diberikan rasa gembira dalam kelat.
Sehingga air mata itu, seringkali melebat.
Untuk mencuci ‘mata hati’ agar semakin terang.
Akhirnya, jiwa pasrah dan berserah.
Kerana takut dan harap itu cuma pada Allah.





Halawatul iman.
Betapa halusnya didikan di madrasah Ramadhan.
Syukur dan sabar itu buah dari tempaan ujian.
Ternyata, betapa manisnya rasa sebuah iman,
Apabila jiwa seorang insan sentiasa ingin abid kepada Pemilik Alam.


Tuhanku,
Terima kasih untuk semua kurniaanMu.
Buruk itu baik untukku.
Baik itu, belum tentu lagi buruk untukku.
Namun ingin terus ku pinta takdir yang baik-baik dariMu
Agar jangan sampai ujian itu memalingkanku daripadaMu.
Sungguh!
kerana ku tidak mampu,
Untuk hidup tanpa cintaMu.
Kerana ku tidak akan mampu,
Untuk hidup sendirian tanpa cahaya petunjukMu.


Terima kasih Allah,
Kerana didikan Ramadhan ini hebat.
Sehebat kasih sayangMu padaku.
Moga ada tinta amal yang tercatit di sisiMu,
Membuatkan kembaliku kelak Engkau rindu.





Jiwa, lahirlah sebagai insan baru.
Di Syawal yang menjelma bukan sekadar kegembiraan.
Dan kesyukuran menjadi hamba Tuhan.
Tetapi erti syukur itu lebih dari itu.
Syukur yang dialun untuk melahirkan jiwa yang kental.
Sabar yang ditempa untuk melahirkan jiwa yang ampuh.
Agar iman semakin kukuh.
Dan pegangan padaNya semakin teguh, bukan merapuh.


Allahu ya Azim.
Segala puji dan puja hanya untukMu.
Peganglah hatiku, agar sentiasa menjadi milikMu…


*p/s: untuk semua jiwa yang merasa tidak sempurna di hadapanNya, daku juga sama seperti kalian.
Teruslah bertasbih, bertahmid kepadaNya, moga-moga DIA sudi untuk menerima segala amal kita. Moga ramadhan ini bukan yang terakhir…

*salam aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua teman tersayang di fb, kenalan blog, follower, sahabat-sahabat yang setia di sisi, maka diriku yang hina ini memohon seribu kemaafan.
Sungguh, ‘kemaafan’ kalian sangat mahal, maka ku pinta berikan sedikit padaku agar kita bisa berbagi senyuman.

*Untuk teman teristimewa yang akan bernikah pada hari lebaran ini, ku doakan moga syurga cinta akan termiliki untuk dibawa kepada cintaNya yang hakiki. Sungguh,, ku akan bahagia melihat dikau bahagia…
(Untuk diri sendiri? Allah lebih mengetahui. Semoga ada kelak yang sudi Allah beri. Namun jika bukan di sini, moga-moga di syurga Firdausi...)

Wassalam wbr.





: hikmatul islam
: 30 ramadhan 1434H
: 0730 am


04 August 2013

Iman Sakit





Sakit.
Jasad sakit masih bisa bertahan.
Namun, jika iman yang sakit?
Terasa rapuh segala amalan.
Allah.


“Perbaharuilah imanmu.” Para sahabat bertanya: “Apa yang mesti kami katakan, wahai Rasulullah?”
Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengucapkan ‘La Ilaha Illallah.” 
(Ahmad, no 8493).




Ketika satu saat diri hilang arah dan tujuan,
Ketika satu saat diri harus kehilangan insan yang tersayang,
Allahurabbi...
Jangan ditinggalkan hamba sendirian
Kerana hamba tidak kuat ya Allah…
Pandulah hati ini kembali kepadaMu…

Jika hamba telah tersesat, tunjukkanlah hamba jalan pulang
Jika hamba telah buta, suluhlah bagi hamba cahaya
Kerana dengan rahmatMu yang dapat menyelamatkan hamba
Agar tidak tersasar jauh bila diuji
Agar tidak rapuh iman bila diduga
Agar tidak bergoyang tatkala digoncang...

Sungguh!
Saksikanlah kedoifan diri ini ya rabbi
Lemah dan tersangat lemah
Maka ku pinta cebisan kekuatan dariMu
Untukku terus meniti hari-hari hidupku
Agar tidak tempang menuju kepadaMu…


“Jagalah Allah, maka Allah akan menjagaMu. Kenalilah Allah di waktu senang, nescaya Dia akan mengenalmu di waktu musibah. Ketahuilah apa yang luput darimu, tidaklah akan menimpamu. Dan apa yang telah ditetapkan akan menimpamu, tidak akan luput darimu. Ketahuilah kemenangan itu bersama kesabaran, dan kemudahan itu bersama kesulitan, dan bersama kesulitan itu ada kemudahan.”


: hikmatul islam
: 23 ramadhan 1434H
: 1230 am

17 June 2013

Cukuplah ku punyai DIA...






Seorang sahabat berkata: "Menangislah, kerana itu akan menenangkanmu."

Lalu, saya menangis teresak-esak, sendirian. Melepaskan segala rasa yang ada di jiwa.

Di kiblat itu, di hadapan Tuhan yang Maha Mendengar, bukan di sisi manusia.

Ya. Air mata ini sering sahaja murah di hadapanNya. Air mata ini sering menjadi peneman setia.

Menangis bukan beerti seseorang itu lemah, tetapi menangis itu adalah kunci untuk sebuah kekuatan yang tiada tara.

Menangis bukan beerti tidak redha dengan apa yang diuji, tetapi menangis itu tanda hati sedang meredhai apa yang terjadi.

..................................

Ku ingin punyai hati itu. 

Ingin sekali miliki. Ingin sentiasa miliki.

Hati yang tepu dengan gemerlapan cintaNya.

Hati yang senantiasa tenang, tiada gundah.

Hati yang tulus, yakin tiada ragu.

Bukankah hati seperti itu sangat mahal sekali?

Lantas kenapa harus mengharapkan cinta yang lain?

Sedang cinta-Nya teramat indah dan tidak pula mengecewakan.

Sedang cinta manusia sangat rapuh, hancur dan pudar tiada berkekalan.

Cukuplah sampai di sini. Benar-benar ku serahkan hati ini cuma untuk Ilahi.

Cuma untukMu Ya Rabbul Izzati..!





Jika kamu merasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Ketahuilah, Allah tahu betapa keras kau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Ketahuilah, Allah sudah menghitung semua air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Ketahuilah Allah sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba segalanya
Dan sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Ketahuilah Allah punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau mulai merasa tertekan
Ketahuilah hanya Allah yang akan menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Ketahuilah Allah sedang mengatur sesuatu untukmu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah sebenarnya telah memberikanmu rahmat.

Ketika sesuatu yang indah terjadi
Dan kau dipenuhi dengan ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi
Dan mimpi untuk digenapi
Allah sudah berbisik memanggil-manggil namamu.

Ingatlah bahawa di mana sahaja kamu berada
Atau ke mana sahaja kamu menghadap
Allah SWT Maha Tahu dan Maha Mendengar.

DIA tidak pernah lalai, DIA tidak pernah lengah
Janji-Nya Maha Benar, akan DIA makbulkan
Di saat waktu yang tepat menurut perkiraanNya
Tidak akan dirimu disia-siakan sebegitu sahaja.

Duhai hamba yang beriman,
Tetap teguhlah kamu berpegang pada tali-Nya.
Kerana keimananmu,
Kerana keikhlasanmu,
Kerana keredhaanmu,
Allah Maha Adil.

Yang terindah akan ‘dihadiahkan’ paling istimewa
Buat hamba yang paling kuat kesabaran pada ujian-Nya….

(adaptasi puisi dari novel: Stanza Cinta)





Allahu Rabbi…
Aku datang pada-Mu dengan hati yang tercela
Dengan hati yang sarat beban dan dosa
Dengan jiwa yang lemah longlai
Dengan kekuatan yang pudar
Dengan semangat yang tiada tersisa…

Ampunkan daku ya Allah
Andai aku tidak pandai memujuk diri supaya bersabar
Andai aku tidak pandai mendidik diri supaya redha
Andai aku tidak pandai beradab menerima ujianMu…

Allahurabbi
Engkau jua yang memberi nikmat bahagia padaku
Engkau jua yang memberikan rasa sakit deritaku
Segala ujian dan nikmat itu semuanya dari-Mu
Maka…ku pohonkan penawarnya Ya Allah
Hilangkan segala rasa duka dan sakit hatiku ini
Hilangkan segala rasa sedih dan terluka ini
Kerana Engkau yang memegang hati-hati hamba-Mu…

Ya rabbi
Aku tidak yakin pada diriku sendiri
Tapi daku tidak pernah sesekali meragui janjiMu Ilahi
Oleh itu pada-Mu aku bergantung harap
pada-Mu ku menyerahkan segala pergantungan
kerana ku tahu Engkau tahu memujuk hatiku
Engkau tahu membelai jiwaku
dan meniupkan cinta-Mu dalam jiwaku…

Kini, ku tagih kasih daripada-Mu
Dakaplah daku dalam cinta-Mu
Usirlah kesepian dan duka yang sebati dalam hatiku
Gantikan ia dengan cinta-Mu yang luhur dan suci
Cinta-Mu yang agung tidak bertepi
Amin Ya Rabb...


: hikmatul islam
: 180613
: 0230 am


01 June 2013

Destinasi Cinta Yang Ku Cari




Bismillahirrahmanirrahim.


“Di dalam hati manusia, terdapat kekusutan yang tidak akan terlerai kecuali dengan menghadapkan diri kepada Allah SWT.

Di dalam hati manusia, terdapat kerisauan yang tidak akan hilang kecuali berkasih sayang dengan Allah SWT.

Di dalam hati manusia, terdapat kesedihan yang tidak akan sirna kecuali dengan mengenali Allah SWT dan menjalinkan hubungan denganNya.

Di dalam hati manusia, terdapat kegelisahan yang tidak dapat diredakan kecuali dengan reda segala perintah, larangan dan qada’ Allah serta bersabar ke atas perkara tersebut sehingga berjumpa denganNya.

Di dalam hati manusia, terdapat rongga yang tidak dapat ditutup kecuali dengan cinta kepada Allah SWT dan kembali kepadaNya, terus mengingatiNya serta ikhlas kepadaNya.”

 (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah)


Tempoh uzlah dah tamat. Tempoh saya ‘mengasingkan’ diri seketika. 

Mengasingkan diri daripada hambatan dunia yang menyesakkan dada.

Diri berteleku, bermuhasabah panjang mencari kekuatan yang hilang.

Diri yang lemah dan longlai itu, tidak mahu terus melemah lagi.

Malu. Teramat malu  dengan Allah. Sedikit Cuma ujian yang diberikan, tetapi diri sudah lemah longlai sedemikian rupa?


“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, keduanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah. 

Jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian.’ Akan tetapi hendaklah kau katakan: ‘Ini sudah jadi takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana perkataan kalau (seandainya) dapat membuka pintu syaitan.” (HR. Muslim)


“Allahurabbi…Maafkanlah hambaMu ini…Berikan hamba kekuatan yang tiada tara menghadapi tiap ujianMu…Jadikan hamba mukmin yang kuat ya Rabb…”





Kerana itu, tika iman melemah, di saat itu jugalah kita harus bersegera mencari Allah. Bersegera mendekatkan diri kepada Allah.

Tunduk dan sujudlah berlama-lama. Sehingga hati yang gundah itu beransur pergi digantikan dengan jiwa yang tenang.

Lalu, dibelek dan ditaddabbur dengan sepenuh hati bait-bait kalam-Nya.


“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan (tenang dan sabar), dan ingatlah Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun: 11)


Subhanallah… Baiknya Allah. Teramat baik kepada hambaNya. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Masih sudi memimpin hati orang yang beriman untuk menjadi tenang dan sabar.

Bukankah itu sebesar-besar nikmat iman daripada-Nya?

Diri harus bangkit. Tidak akan sesekali berputus asa pada rahmat-Nya yang Maha Luas.

Belek kembali matlamat hidup. Tatap dalam-dalam apa sebenarnya matlamat hidup yang sekejap ini?

Mahu redha-Nya.

Jika mahu redha-Nya, harus redha terima semua ujian dan dugaan yang Allah berikan.


“Dan redhalah dengan apa yang telah Allah berikan oleh Allah kepadamu, maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Sohih Riwayat Tarmizi)


Harus berlapang dada dan terus kuatkan iman kepadaNya.

Harus berani berhadapan dengan cabaran pada diri sendiri dan cabaran hidup yang tidak pernah terhenti.

Di sini cuma persinggahan.

Status diri yang ‘tetap’ untuk sebelum ini, esok dan selamanya adalah menjadi ‘Hamba Tuhan’.

Hamba yang kuat, tabah dan cekal. Itulah yang dipanggil orang yang beriman.

Dan untuk melangkah tahap takwa pula, harus ditanggung seribu satu mehnah dan tribulasi ujian Tuhan.

Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.

Bukan mudah untuk mendaki tangga takwa.

Kerana tangga itu sangat tajam dan licin.

Kerana tangga itulah yang akan menuju kepada syurga Tuhan.

Andai kata tangga takwa itu punyai 1000 anak tangga untuk sampai ke syurga Allah, agak-agak kita telah sampai mendaki tangga yang ke berapa?

Allah...Renung sendiri pada iman…


Ali Bin Abi Talib berkata:

“Sesungguhnya, akhirat telah ada di hadapan mata sementara dunia sudah ada di belakang. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat, bukan anak-anak dunia. Kerana hari ini adalah waktunya beramal dan tidak ada hisab. Sementara esok (akhirat) adalah waktunya dihisab dan tidak ada lagi tempat untuk beramal.”



(Sebuah buku yang sangat mengispirasikan diri. Termotivasi.)


Jangan berhenti berlari.

Ya, jangan pernah berhenti. Meski lelah, meski rebah, bangun semula dan teruskan larian itu.

Hidup ini terlalu singkat waktunya untuk kita berhenti dari larian itu.

Kerana mereka yang beriman terus sahaja berlari tanpa henti mengejar redhaNya, syurgaNya, terus beramal tanpa jemu, tanpa rasa ragu kerana menyakini akan janji Ilahi yang Maha Benar.

Kenapa harus berhenti?

Sedangkan diri belum sampai ke destinasi. Destinasi cinta yang selama ini diri mencari-cari, rupanya telah makin hampir.

Cuma sahaja, apakah diri mahu terus berlari dan istiqamah untuk sampai ke destinasi cinta Allah atau terhenti?

Tidak, tidak akan sesekali terhenti.

“Ya Allah, tuntuni langkah kaki ini dengan cahayaMu. Pakaikan untukku pakaian ubudiyyah kepadaMu dan teruslah tarbiyahkan diriku dengan tarbiyahMu, sehingga kaki ini kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau redha kepadaku…”


Mahu miliki hati yang lebih lembut dan jiwa yang lebih lunak.

Semuanya harus digapai dengan jalan bermujahadah. Bukan semudah-mudah.

Bermujahadah itu perit, ibarat menelan ubat yang sangat pahit rasanya. 

Akan tetapi, setelah sekian lama, ia akan menyembuhkan segala rasa di jiwa.

Tidakkah kesembuhan dan kemanisan iman itu menjadi perkara yang sangat indah setelah diri gigih bermujahadah?

Melawan segala desakan emosi dan hawa nafsu yang sering menjerit mengajak kepada kebatilan dan kekufuran.

Sedangkan bisikan dan ilham dari Tuhan yang disampaikan oleh malaikat itu lebih ingin diri kita kembali kepada keikhlasan kepadaNya untuk mendapat al-fallah (kejayaan) dunia dan akhirat.


"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." [an-Nisa’ 4:13].


Akhir kalam si pencoret tinta yang amat doif ini, ingin ku seru dirimu dan diriku…


“Kalian, kita tidak sempurna. Dan tidak akan pernah sempurna. Kerana dosa itu akan sentiasa menghambat kita. Kerana berdosa, adalah sifat kita sebagai hamba. Tetapi, teruslah berusaha untuk keluar dari ruang zulumat (kegelapan) itu.

Allah tidak pernah menutup pintu kasih sayangNya. Sentiasa sudi memberi, bagi yang ingin ‘mengetuk’ pintu rahmat-Nya. Allah menilai semua usaha. Tiada yang sia-sia. Malah, DIA teramat kasih bagi mereka yang tidak pernah berputus asa terhadap rahmatNya yang Maha Luas.

Mari, terus membina impian, lakarkan impian hidup yang terindah, kerana kita juga ingin kembali kepadaNya dengan yang terindah.!”




“…Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat kelak dan hindarkanlah kami dari azab api neraka.”(QS. Al-Baqarah: 201)



Untuk semua kesedihan, pergilah.
Untuk semua kegundahan, berusirlah.
Untuk kenangan pahit, tinggallah menjadi kenangan.
Kerana nikmat Allah tidak pernah berhenti menyapa.
Cuma sahaja, diri yang selalu lupa mensyukuriNya.

Iman,
Ku bisikkan doa di hujung malam.
Kuatlah. Ampuhlah.
Kerana denganmu ku terus bertahan.
Bersinarlah seterang bintang,
Agar hidup dalam jiwa yang tenteram.

Allah.
Tetaplah daku di sisiMu selalu.
Dalam sendu dalam rindu.
Ku ingin senantiasa setia padaMu,
Hingga hujung nafasku…




: hikmatul islam
: 010613
: 1230 pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...