Bismillahirrahmanirrahim.
“Di dalam hati manusia,
terdapat kekusutan yang tidak akan terlerai kecuali dengan menghadapkan diri
kepada Allah SWT.
Di dalam hati manusia, terdapat
kerisauan yang tidak akan hilang kecuali berkasih sayang dengan Allah SWT.
Di dalam hati manusia, terdapat
kesedihan yang tidak akan sirna kecuali dengan mengenali Allah SWT dan
menjalinkan hubungan denganNya.
Di dalam hati manusia, terdapat
kegelisahan yang tidak dapat diredakan kecuali dengan reda segala perintah,
larangan dan qada’ Allah serta bersabar ke atas perkara tersebut sehingga
berjumpa denganNya.
Di dalam hati manusia, terdapat
rongga yang tidak dapat ditutup kecuali dengan cinta kepada Allah SWT dan
kembali kepadaNya, terus mengingatiNya serta ikhlas kepadaNya.”
(Ibnu Qayyim Al-Jauziyah)
Tempoh uzlah dah
tamat. Tempoh saya ‘mengasingkan’ diri seketika.
Mengasingkan diri daripada hambatan dunia yang menyesakkan dada.
Diri berteleku,
bermuhasabah panjang mencari kekuatan yang hilang.
Diri yang lemah dan
longlai itu, tidak mahu terus melemah lagi.
Malu.
Teramat malu dengan Allah. Sedikit Cuma
ujian yang diberikan, tetapi diri sudah lemah longlai sedemikian rupa?
“Mukmin yang
kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.
Namun, keduanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang
bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah.
Jika engkau
tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan
demikian dan demikian.’ Akan tetapi hendaklah kau katakan: ‘Ini sudah jadi
takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana
perkataan kalau (seandainya) dapat membuka pintu syaitan.” (HR. Muslim)
“Allahurabbi…Maafkanlah
hambaMu ini…Berikan hamba kekuatan yang tiada tara menghadapi tiap ujianMu…Jadikan
hamba mukmin yang kuat ya Rabb…”
Kerana itu, tika
iman melemah, di saat itu jugalah kita harus bersegera mencari Allah. Bersegera
mendekatkan diri kepada Allah.
Tunduk dan sujudlah
berlama-lama. Sehingga hati yang gundah itu beransur pergi digantikan dengan
jiwa yang tenang.
Lalu, dibelek dan
ditaddabbur dengan sepenuh hati bait-bait kalam-Nya.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang)
melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan
memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan (tenang dan
sabar), dan ingatlah Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun:
11)
Subhanallah… Baiknya Allah. Teramat baik kepada hambaNya. Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Masih sudi memimpin hati orang yang beriman untuk menjadi tenang
dan sabar.
Bukankah
itu sebesar-besar nikmat iman daripada-Nya?
Diri harus bangkit.
Tidak akan sesekali berputus asa pada rahmat-Nya yang Maha Luas.
Belek kembali
matlamat hidup. Tatap dalam-dalam apa sebenarnya matlamat hidup yang sekejap
ini?
Mahu
redha-Nya.
Jika mahu redha-Nya,
harus redha terima semua ujian dan dugaan yang Allah berikan.
“Dan redhalah dengan apa yang telah Allah berikan oleh Allah kepadamu,
maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Sohih Riwayat Tarmizi)
Harus berlapang dada dan terus kuatkan iman kepadaNya.
Harus berani
berhadapan dengan cabaran pada diri sendiri dan cabaran hidup yang tidak
pernah terhenti.
Di sini cuma
persinggahan.
Status
diri yang ‘tetap’ untuk sebelum ini, esok dan selamanya adalah menjadi ‘Hamba
Tuhan’.
Hamba yang kuat,
tabah dan cekal. Itulah yang dipanggil orang yang beriman.
Dan untuk melangkah
tahap takwa pula, harus ditanggung seribu satu mehnah dan tribulasi
ujian Tuhan.
Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.
Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.
Bukan mudah untuk
mendaki tangga takwa.
Kerana tangga itu
sangat tajam dan licin.
Kerana tangga
itulah yang akan menuju kepada syurga Tuhan.
Andai
kata tangga takwa itu punyai 1000 anak tangga untuk sampai ke syurga Allah,
agak-agak kita telah sampai mendaki tangga yang ke berapa?
Allah...Renung
sendiri pada iman…
Ali Bin Abi Talib berkata:
“Sesungguhnya, akhirat telah ada di hadapan mata sementara dunia sudah
ada di belakang. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat, bukan anak-anak dunia.
Kerana hari ini adalah waktunya beramal dan tidak ada hisab. Sementara esok
(akhirat) adalah waktunya dihisab dan tidak ada lagi tempat untuk beramal.”
(Sebuah buku yang sangat mengispirasikan diri. Termotivasi.)
Jangan berhenti
berlari.
Ya, jangan pernah
berhenti. Meski lelah, meski rebah, bangun semula dan teruskan larian itu.
Hidup ini terlalu
singkat waktunya untuk kita berhenti dari larian itu.
Kerana
mereka yang beriman terus sahaja berlari tanpa henti mengejar redhaNya,
syurgaNya, terus beramal tanpa jemu, tanpa rasa ragu kerana menyakini akan
janji Ilahi yang Maha Benar.
Kenapa harus
berhenti?
Sedangkan diri
belum sampai ke destinasi. Destinasi cinta yang selama ini diri mencari-cari,
rupanya telah makin hampir.
Cuma
sahaja, apakah diri mahu terus berlari dan istiqamah untuk sampai ke destinasi
cinta Allah atau terhenti?
Tidak, tidak akan
sesekali terhenti.
“Ya Allah, tuntuni langkah kaki ini dengan cahayaMu. Pakaikan untukku
pakaian ubudiyyah kepadaMu dan teruslah tarbiyahkan diriku dengan tarbiyahMu,
sehingga kaki ini kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau redha kepadaku…”
Mahu miliki hati
yang lebih lembut dan jiwa yang lebih lunak.
Semuanya harus
digapai dengan jalan bermujahadah. Bukan semudah-mudah.
Bermujahadah itu perit, ibarat menelan ubat
yang sangat pahit rasanya.
Akan tetapi, setelah sekian lama, ia akan
menyembuhkan segala rasa di jiwa.
Tidakkah kesembuhan
dan kemanisan iman itu menjadi perkara yang sangat indah setelah diri gigih
bermujahadah?
Melawan segala
desakan emosi dan hawa nafsu yang sering menjerit mengajak kepada kebatilan dan
kekufuran.
Sedangkan bisikan
dan ilham dari Tuhan yang disampaikan oleh malaikat itu lebih ingin diri kita kembali
kepada keikhlasan kepadaNya untuk mendapat al-fallah (kejayaan) dunia
dan akhirat.
"Dan sesiapa yang taat
kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang
mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah
kejayaan yang amat besar." [an-Nisa’ 4:13].
Akhir kalam si
pencoret tinta yang amat doif ini, ingin ku seru dirimu dan diriku…
“Kalian, kita tidak sempurna. Dan tidak akan pernah sempurna. Kerana
dosa itu akan sentiasa menghambat kita. Kerana berdosa, adalah sifat kita
sebagai hamba. Tetapi, teruslah berusaha untuk keluar dari ruang zulumat
(kegelapan) itu.
Allah tidak pernah menutup pintu kasih sayangNya. Sentiasa sudi memberi,
bagi yang ingin ‘mengetuk’ pintu rahmat-Nya. Allah menilai semua usaha. Tiada
yang sia-sia. Malah, DIA teramat kasih bagi mereka yang tidak pernah berputus
asa terhadap rahmatNya yang Maha Luas.
Mari, terus membina impian, lakarkan impian hidup yang terindah, kerana
kita juga ingin kembali kepadaNya dengan yang terindah.!”
“…Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat kelak
dan hindarkanlah kami dari azab api neraka.”(QS. Al-Baqarah: 201)
Untuk semua kesedihan, pergilah.
Untuk semua kegundahan, berusirlah.
Untuk kenangan pahit, tinggallah menjadi
kenangan.
Kerana nikmat Allah tidak pernah berhenti
menyapa.
Cuma sahaja, diri yang selalu lupa
mensyukuriNya.
Iman,
Ku bisikkan doa di hujung malam.
Kuatlah. Ampuhlah.
Kerana denganmu ku terus bertahan.
Bersinarlah seterang bintang,
Agar hidup dalam jiwa yang tenteram.
Allah.
Tetaplah daku di sisiMu selalu.
Dalam sendu dalam rindu.
Ku ingin senantiasa setia padaMu,
Hingga hujung nafasku…
: hikmatul islam
: 010613
: 1230 pm
Assalamualaikum..
ReplyDeleteSubhanallah, terkesan dgn coretanmu..teruskn bertinta.
Moga dirimu sentiasa dlm ksh sygNya.
wssalam wbr...
Deletesyukran kathir ya ukhti...smoga dirimu juga dilimpahkan keberkatan yang melimpah ruah dariNya..smoga Allah sentiasa kasih...^^
Sangat bagus bila memilih untuk beruzlah. Beruzlah ni kadang-kadang dapat menenangkan diri. InshaAllah
ReplyDelete