Showing posts with label ketenangan. Show all posts
Showing posts with label ketenangan. Show all posts

17 June 2013

Cukuplah ku punyai DIA...






Seorang sahabat berkata: "Menangislah, kerana itu akan menenangkanmu."

Lalu, saya menangis teresak-esak, sendirian. Melepaskan segala rasa yang ada di jiwa.

Di kiblat itu, di hadapan Tuhan yang Maha Mendengar, bukan di sisi manusia.

Ya. Air mata ini sering sahaja murah di hadapanNya. Air mata ini sering menjadi peneman setia.

Menangis bukan beerti seseorang itu lemah, tetapi menangis itu adalah kunci untuk sebuah kekuatan yang tiada tara.

Menangis bukan beerti tidak redha dengan apa yang diuji, tetapi menangis itu tanda hati sedang meredhai apa yang terjadi.

..................................

Ku ingin punyai hati itu. 

Ingin sekali miliki. Ingin sentiasa miliki.

Hati yang tepu dengan gemerlapan cintaNya.

Hati yang senantiasa tenang, tiada gundah.

Hati yang tulus, yakin tiada ragu.

Bukankah hati seperti itu sangat mahal sekali?

Lantas kenapa harus mengharapkan cinta yang lain?

Sedang cinta-Nya teramat indah dan tidak pula mengecewakan.

Sedang cinta manusia sangat rapuh, hancur dan pudar tiada berkekalan.

Cukuplah sampai di sini. Benar-benar ku serahkan hati ini cuma untuk Ilahi.

Cuma untukMu Ya Rabbul Izzati..!





Jika kamu merasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Ketahuilah, Allah tahu betapa keras kau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Ketahuilah, Allah sudah menghitung semua air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Ketahuilah Allah sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba segalanya
Dan sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Ketahuilah Allah punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau mulai merasa tertekan
Ketahuilah hanya Allah yang akan menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Ketahuilah Allah sedang mengatur sesuatu untukmu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah sebenarnya telah memberikanmu rahmat.

Ketika sesuatu yang indah terjadi
Dan kau dipenuhi dengan ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi
Dan mimpi untuk digenapi
Allah sudah berbisik memanggil-manggil namamu.

Ingatlah bahawa di mana sahaja kamu berada
Atau ke mana sahaja kamu menghadap
Allah SWT Maha Tahu dan Maha Mendengar.

DIA tidak pernah lalai, DIA tidak pernah lengah
Janji-Nya Maha Benar, akan DIA makbulkan
Di saat waktu yang tepat menurut perkiraanNya
Tidak akan dirimu disia-siakan sebegitu sahaja.

Duhai hamba yang beriman,
Tetap teguhlah kamu berpegang pada tali-Nya.
Kerana keimananmu,
Kerana keikhlasanmu,
Kerana keredhaanmu,
Allah Maha Adil.

Yang terindah akan ‘dihadiahkan’ paling istimewa
Buat hamba yang paling kuat kesabaran pada ujian-Nya….

(adaptasi puisi dari novel: Stanza Cinta)





Allahu Rabbi…
Aku datang pada-Mu dengan hati yang tercela
Dengan hati yang sarat beban dan dosa
Dengan jiwa yang lemah longlai
Dengan kekuatan yang pudar
Dengan semangat yang tiada tersisa…

Ampunkan daku ya Allah
Andai aku tidak pandai memujuk diri supaya bersabar
Andai aku tidak pandai mendidik diri supaya redha
Andai aku tidak pandai beradab menerima ujianMu…

Allahurabbi
Engkau jua yang memberi nikmat bahagia padaku
Engkau jua yang memberikan rasa sakit deritaku
Segala ujian dan nikmat itu semuanya dari-Mu
Maka…ku pohonkan penawarnya Ya Allah
Hilangkan segala rasa duka dan sakit hatiku ini
Hilangkan segala rasa sedih dan terluka ini
Kerana Engkau yang memegang hati-hati hamba-Mu…

Ya rabbi
Aku tidak yakin pada diriku sendiri
Tapi daku tidak pernah sesekali meragui janjiMu Ilahi
Oleh itu pada-Mu aku bergantung harap
pada-Mu ku menyerahkan segala pergantungan
kerana ku tahu Engkau tahu memujuk hatiku
Engkau tahu membelai jiwaku
dan meniupkan cinta-Mu dalam jiwaku…

Kini, ku tagih kasih daripada-Mu
Dakaplah daku dalam cinta-Mu
Usirlah kesepian dan duka yang sebati dalam hatiku
Gantikan ia dengan cinta-Mu yang luhur dan suci
Cinta-Mu yang agung tidak bertepi
Amin Ya Rabb...


: hikmatul islam
: 180613
: 0230 am


09 February 2013

'Pengemis Cinta'






(Surat seorang Pengemis Cinta…)

Bismillahirrahmanirrahim...

"Bagiku, Dialah segala-galanya buatku.

Aku tidak malu untuk mengemis cinta darinya.

Aku tidak sesekali berasa segan untuk berbuat demikian.

Meskipun, mungkin akan ada yang berkata kepadaku, ‘Heh, terhegeh-hegeh si pengemis ini meminta.!’

Aku tidak peduli.

Aku tidak hiraukan semua mata manusia yang memandang.

‘Pengemis gila’, ‘Pengemis hina’.

Biarlah mereka mengecop aku seperti apapun.

Kerana aku memang seorang pengemis.

Pengemis yang sentiasa menagih.

Menagih cinta darinya.

Kerana memang aku ingin sekali memiliki cintanya.

Kerana memang aku begitu teruja untuk sentiasa dekat dengannya.

Dialah yang selama ini sering membuatkan aku gembira.

Dialah yang selama ini sering membuatkan aku bahagia.

Tatkala aku sedih, Dia yang pujuk.

Dengan kalamnya yang cukup indah, dengan janjinya yang cukup romantis.

Tatkala aku lemah, Dia sentiasa ada di sisi menguatkan aku.

Tatkala aku sudah berputus asa, Dia memberikanku jalan keluar dan harapan.

Dengan janji-janjinya yang benar, tiada satu pun yang dusta.

Dia tidak pernah menjauh dariku, tatkala semua manusia menjauh dariku.

Dia tidak pernah sesekali menghina aku meskipun aku sang pengemis.

Malah, Dia senang sekali dengan perwatakanku sebagai si pengemis.

Dia malah, semakin sayang padaku tatkala aku terhegeh-hegeh mengemis cinta darinya.

Dia malahan semakin cinta padaku tatkala aku melafazkan kata-kata cinta kepadanya.

Dia juga semakin kasih padaku tatkala aku cuma ingin setia mengemis kasih darinya.

Oh, indahnya hidupku tatkala aku mendapat cinta dan perhatian sepenuhnya dari Dia!

Terasa dunia ini aku yang punya.

Biarpun aku cuma seorang pengemis, sungguh aku bahagia. Damai dan tenang sekali hatiku.

Ada kalian miliki rasa seperti itu?






Tiada cinta yang lebih asyik dan mendalam, selain cinta yang aku puja ini.

Sebab itulah, aku ingin terus mengemis cintanya.

Kerana Dia tidak pernah jemu dan bosan tatkala aku meminta darinya.

Dia tidak pula memarahi aku.

Dia malah menunjukkan kepadaku mahligai kasih yang tersergam indah yang dibina khas buatku.

Oh, kekasih hatiku…

Cintaku tidak sehebat cintamu padaku.

Biarpun aku terus mengemis dan mengemis cintamu, tetap sahaja cintamu terus membunga mekar untukku.

Semakin indah, lebih indah dari apa yang ada di dunia ini.

Tetapi, kenapa tidak semua orang ingin menjadi pengemis sepertiku?

Kenapa tidak semua orang ingin berebut mendapatkan cinta darinya?

Mungkin, kerana mereka belum dapat rasai apa yang aku rasa.

Mungkin mereka masih belum sampai puncak ‘kemanisan iman’.

Ya. Mungkin saja mereka bongkak dan angkuh untuk mengemis cinta darinya.

Ah, alangkah ruginya mereka.!

Rugi besar.

Mereka fikir, dengan adanya harta yang banyak, emas yang menimbun boleh membuatkan mereka bahagia?

Mereka fikir, dengan pangkat dan nama, mereka dapat membeli cinta dengan sewenangnya?

Mereka sudah silap!

Mereka fikir, pengemis seperti aku langsung tidak berguna?

Biarlah.

Biarkan mereka dengan angan-angan palsu mereka.

Aku hanya ingin menyampaikan.

Aku cuma ingin menceritakan betapa indahnya menjadi pengemis cinta.

Aku akan terus mengajak dan menyeru manusia tanpa jemu, untuk turut sama-sama menjadi pengemis sepertiku.

Pengemis cinta yang satu.

Mengemis dengan setia.

Kerana aku sedari, aku insan fakir lagi hina.

Yang aku rasakan title ‘pengemis’ itu lebih sesuai untuk aku di sisinya.

Memang benar sekali, aku tidak punyai apa-apa.

Aku tiada pangkat mahupun harta. Yang aku punya hanya ini.

Sekeping hati yang tidak akan pernah berhenti meminta.

Menagih dan terus menagih cinta darinya.

Semoga kerjaku sebagai ‘pengemis cinta’ ini akan terus ku pinta dalam sujud dan doa.

Dalam setiap saat dan ketika.

Moga hingga hujung nyawa nanti, akan ku benar-benar miliki cintanya yang hakiki dan abadi…

(Dariku: ‘Pengemis Cinta Allah yang setia’)


p/s: Cinta-Nya yang terindah, sesungguhnya tiada yang lebih indah dari memiliki cinta Ilahi. Usah malu untuk mengemis cinta Allah setiap saat kerana kita cuma insan fakir yang akan kembali semula kepada-Nya kelak. Semoga kembali nanti, dalam keadaan Allah cinta, Allah redha..amin =)




: hikmatul islam         
: 08022013
: 1110 pm 

06 February 2013

Saat Allah Berbicara







“Saat Allah berbicara,

Ku jadi terpempan seketika.

Saat Allah sedang berbicara,

Seluruh jiwa rasa tergoncang.

Saat Allah lagi berbicara,

Terasa bisikan-Nya teramat dekat.

Terlalu dekat,

Buat hati-hati yang ingin mendengari bicaraNya..


Ini bukan bicara dongeng

Ini bukan bicara ahli falsafah

Ini bukan bicara sang penyihir

Tetapi ini adalah bicara Sang Maha Agung

Tiada tara.

Mahukah kalian mendengari-Nya?”


Bismillahirrahmanirrahim..

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)






Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Ucapan hamdalah ini ingin sentiasa ku tuturi.

Sentiasa.

Setiap saat dan waktu.

Setiap tika yang bergulir.

Dalam keadaan apapun.

Dalam situasi apapun.

Apapun?

Ya, dalam apapun.

Andai sedih, adakah mungkin untuk dituturkan hamdalah?

Tidak mungkin!

Kenapa tidak?

Adakah cuma tika mendapat nikmat semata-mata baru diri ingin bersyukur?

Tidak.

Jika itu yang dalam hitungan, maka hitungan itu silap.

Perkiraan itu tersasar.

Lumrah manusia, saat diuji mengeluh, kecewa, hampa.

Jarang sekali mahu melafazkan hamdalah.

Mahu bersyukur saat diuji?

Ah, mana bisa!

Itulah ungkapan hati, yang sukar untuk bersabar, apatah lagi untuk mengucapkan syukur saat diuji.

Selagi mana hati dan bibir berkeluh kesah, tidak mungkin kita akan menjadi orang yang bersyukur.


"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir."  (Surah Al-Maarij:19)


Andai begitu, benarlah sekali akan alunan kalam-Nya, kebanyakan dari kita memang sedikit sekali untuk bersyukur.


“Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah Yusuf:38)






Justeru itu, bagaimana untuk menjadi manusia yang bersyukur saat diuji?

Teruslah memuji dan memuja-Nya, teruslah meminta lautan kekuatan dan kesabaran dari Allah tatkala diuji. 

Pintalah semoga dengan ujian itu akan membuatkan kita menjadi manusia yang semakin dekat dengan Allah, semakin dinaikkan 'darjat' dan 'martabat' di sisi-Nya.

Teruslah istiqamah dengan kebaikan, teruslah berbuat amal meskipun musibah melanda. 

Kerana ramai orang berbuat kesilapan yang cukup besar apabila diuji, mereka langsung lemah dan menjauh dari Allah. 

Mereka semakin tidak berbuat amal dan langsung meninggalkannya. Bukankah itu tanda hamba-Nya yang tidak bersyukur? 

Hanya seronok tika mendapat nikmat, tetapi tidak suka dengan ujian yang Allah berikan kepada dirinya.

Aduhai diri.! Jangan begitu...Alunkan zikrullah kepada DIA yang Maha Mendengar, hatimu menjadi tenang damai dan pasti akan diberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda. 

Dengan demikian, insya Allah kita akan memperoleh tambahan nikmat dari-Nya. 


Al-Qur’an menerangkan,"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”(QS.ibrahim [14]: 7)





“Orang yang memandang masalah sebagai masalah, maka dia akan sentiasa hidup bermasalah. 
Akan tetapi, orang yang memandang masalah sebagai ujian hidup, 
maka dia akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.”



Hidup bukan namanya ‘hidup’ andai kehidupan ini tidak dikelilingi oleh masalah.

Semua orang pasti akan berhadapan dengan masalah, sekecil mana dan sebesar apapun.

Kerana sudah menjadi lumrah, kerana sudah menjadi adatnya hidup di dunia.

Kita harus sedar akan hakikat itu, kita bukan hidup di syurga kerana di sini cuma tempat persinggahan yang sementara untuk menuju ke alam abadi kelak.

Kerana di sini namanya dunia, maka ia adalah suatu medan ujian yang menuntut seribu macam pengorbanan, keikhlasan dalam perjalanan panjang menuju Tuhan.


“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)


Dengarilah ini, bicara Yang Maha Esa kepada manusia.

Tidak perlu kepada bicara yang panjang, tetapi cukuplah dengan cuma dua ayat agung-Nya.

Bila Allah lagi berbicara, telitilah dan amatilah sehingga ia terkesan di sanubari.

Sesungguhnya, pada setiap ujian yang ditimpakan sebenarnya Allah ingin melihat pada setiap amalan hambanya berada pada tahap yang mana?

Adakah kita...

Sabar, tetapi masih mengeluh?

Sabar, tetapi sukar untuk bersyukur menerima ujian itu seadanya?

Sabar, tetapi jiwa masih ragu-ragu akan nusrah Allah?

Semuanya terpulang pada kita.

Hanya kita yang mampu menilai tahap ukuran hati kita sendiri, dan Allah Maha tahu apa yang tersirat di balik setiap hati hambaNya.


"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian;
dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum lalu diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah,
dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)






Bila saat diri bersedih, biasanya orang akan pujuk dan kata,

"La tahzan, pasti ada hikmahNya."

Tetapi, ada yang ragu-ragu dan bertanya,

"Mana hikmah-Nya, mana hikmah-Nya?"



Duhai insan...

Hikmah Allah itu tersembunyi.

Tatkala diri diuji, kita memang tidak akan nampak hikmahNya.


Masa itu kita cuma nampak 'kulit luaran' yang keras, yang buruk.


Dan, 'isian dalaman' yang cantik, yang indah di dalamnya itu memang kita tidak akan nampak secara zahir kerana Allah sembunyikan.

"Jadi, macam mana nak nampak hikmah di balik ujianNya?"


Jawapannya, bukan sekarang.

Kelak, selepas kita bersabar dan terus bergantung pada tali Allah, maka nanti akan Allah singkapkan HIKMAH TERINDAH itu.

Ya, sekarang mungkin Allah hanya tunjukkan 1 hikmah dibalik ujian tersebut, tetapi 99 hikmah lagi tersembunyi dalam khazanah rahsia-Nya.

Tersembunyi di sana, di sisi Dia Yang Maha Bijaksana.

Jika tidak disingkapkan hikmah itu di dunia, pasti di syurga.

Tinggal sahaja antara iman ingin menyakininya atau tidak?


“Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu..

 Bila Dia lambat memakbulkan doamu..maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu..

Oleh itu sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah mendahului kemurkaanNya..”







Bilamana diri mengungkapkan cinta kepada Pencipta, benar-benarkah diri mencintaiNya?

Cinta kepadaNya, bukan seperti kita cintakan manusia.

Ia suatu dimensi yang sangat berbeza.

Harus fahami dan mengerti.

Manusia, bila dia sayangkan seseorang, dia akan berusaha memberikan yang terbaik buat kekasih hatinya.

Akan berusaha membuatkan orang tersayang tersenyum, bahagia. Tidak akan sesekali ingin membuatnya sedih mahupun berduka.

Tetapi, cinta Allah berbeza.

Allah tidak mengungkapkan sedemikian pada manusia.

Tatkala seseorang hamba itu sudah menjadi ‘istimewa’ di mata Allah, Allah menyayangi dirinya lalu ingin diangkat darjatnya menjadi tinggi di sisi Ilahi. 

Maka, DIA terkadang memberikan kesusahan, kesakitan dan keperitan.

Kenapa sedemikian rupa?

Kerana cinta Allah terlalu halus, terlalu berseni untuk ditafsirkan dengan kalam dan perkataan.

Allah memberikan sakit, untuk menjadikannya kuat dan tabah.

Allah memberikan duka, untuk hamba itu terus meminta hanya kepada yang Esa.

Allah berikan air mata, untuk hamba itu menangis dan merintih cuma 
kepada Pencinta yang Setia.

Kerana kasih sayang dan cinta Allah itu sangat luas, sangat besar nilaiannya untuk ditukar dengan mahar syurga...



"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)







Tinta kalam ini tidak ingin hamba akhiri di sini, masih ada banyak lagi yang ingin hamba kongsikan bicara-Mu Tuhan kepada semua insan.

Insha-allah, akan ku tinta lagi di masa hadapan.

Harapanku, dengan cebisan bicara ini semoga akan ada jiwa yang Engkau ‘sentuh’ hatinya untuk kembali bermuhasabah dan meneliti semula mutaba’ah amalnya.

Semoga, diri sendiri yang terutama memperingati dan mengamalkannya.

Semoga, kalian dapat mendengari bicara Tuhan yang amat dekat...terlalu dekat...buat sekeping hati ‘hamba’ yang mencintai Tuhannya...


Mendekatlah.

Kerana Allah tidak pernah menjauh darimu.

Andai sedih, dekatilah DIA.

Andai duka, rapatilah DIA.

Andai hiba, beritahulah kepadaNya.

Insha Allah.

Pasti akan datang 'nusrah' Allah.

Cepat atau lambat,

bukan itu persoalannya.

Akan tetapi,

sedaya mana kita merapati dan meminta padaNya...

~Keep close to Him, everyday, everysecond~ :')





: hikmatul islam         
: 06022013
: 1110 pm 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...