29 May 2012

Ingin Terus Berjiran Hingga Ke SyurgaNya…




Bersaksi dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
                                                                                                                                                 
Cuti semesterku seperti biasa banyak dihabiskan masa bersama famili tercinta. Tidak ada lagi sibuk berkejaran ke mana-mana program, usrah atau kuliyyah seperti di kampus.

Masa yang ada memang diperuntukkan untuk famili sepenuhnya. Peluang yang jarang-jarang ada bagiku sebagai seorang pelajar, sememangnya terpaksa berpisah jauh dari keluarga lantaran berhijrah ke utara mencari ilmu agama.

Sungguh, dapat duduk-duduk bersama dan bermesra dengan keluarga merupakan suatu rasa nikmat yang sangat bahagia. Dapat menatap wajah ayah dan ummi, kakak, abang dan adik-adik sudah cukup membuatkan hati terasa lapang dan tenang. Apatah lagi ku punyai sebuah famili yang  besar berjumlah 13 orang semuanya. Memang bingit dan meriah.

Namun pulang ke rumah kali ini, barulah ku sedari dan dapat amati keadaan famili sedalamnya. Rupanya bermacam-macam hal yang datang menduga. Andai berada di kampus, tidak dapat ku ikuti semua perkara yang berlaku dalam keluarga lantaran sibuknya tugas sebagai mahasiswi di kampus.

Bukan tidak ku tanyakan khabar mereka, tetapi betapa familiku tidak mahu menceritakan semua perkara tersebut kerana takut fikiranku jadi terganggu dengan masalah yang berlaku. Ku jadi insaf sendiri. Mungkin ku perlu lebih prihatin dan lebih mengambil berat akan hal ehwal usratiku meskipun berhambatan dengan desakan waktu. Tidak boleh menjadikan sibuk sebagai alasan, bukan?






Hati masih lagi rasa terkesan dengan peristiwa petang tadi.  Ini merupakan kali yang ke-4 mereka datang dan memberi amaran yang sama. Kali ini benar-benar abi dan umi terasa hati dengan sikap jiran kami.

Mungkin kerana famili kami berdiam diri setelah 3 kali perkara yang sama berulang, jadi mereka rasakan kami tidak punya hati agaknya.? Yang paling ku kesali, jiranku yang tidak berpuas hati dengan kami tidak datang secara langsung kepada kami, malahan ‘menghantar’ orang lain memberi amaran kepada kami.

Persoalan yang membuatku bingung sekali,, kenapa dia tidak datang sendiri berhadapan dengan kami? Meluahkan sendiri rasa tidak puas hati itu?? Bukan dengan cara begini.

Ku sebenarnya kaget dan sedikit terkejut. Tidak disangka mereka bertindak sampai begini sekali. Bukankah apa-apa perkara yang tidak berpuas hati boleh dibawa berbincang? Tetapi sayang, mereka langsung tidak memberi kami ruang dan peluang. Menutup pintu serapat-rapatnya. Beginikah sikap kita sebagai seorang muslim yang beriman? Ku jadi kebingungan sendirian.

Selama kami diami di sini, hubungan kami baik-baik sahaja. Tiada perbalahan mahupun sengketa. Sedikit pun tiada. Namun tiba-tiba sahaja mereka bertindak seperti ini, membuatkan kami sekeluarga merasa sangat terkilan.

Saat ini cuma rasa terpanggil untukku berkongsi ilmu tentang hal kejiranan. Hak-hak tetangga. Ini bukan luahan untuk mengata kepada sesiapa, tetapi tulisan ini ditulis dengan harapan semoga sampai tulisan ini kepada mereka dan terbuka ‘rasa’ dalam hati mereka. Juga kepada pembaca agar mengambil ihtiman akan tanggungjawab terhadap hak tetangga masing-masing.


 Firman Allah Taala di dalam Surah An-Nisa' ayat 36 yg bermaksud:

"Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mensyirikkanNya dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yg mempunyai hubungan kerabat dan jiran tetangga yg bukan kerabat."






Ku petik pula hadis Baginda saw tentang hak-hak kejiranan:


“Demi Allah tidak beriman, Demi Allah tidak beriman, Demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: ‘Siapakah orang yang tidak beriman itu ya Rasulullah? Rasululah saw menjawab: Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Bukhari dan Muslim)


Sabda Nabi saw lagi:


“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepad Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (HR Muslim)


"Sesiapa yg menyakiti jirannya, maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yg menyakiti aku, maka sesunggunya dia telah menyakiti Allah Taala. Dan sesiapa yg memerangi jirannya, maka sesunggunya dia telah memerangi aku, dan sesiapa yg memerangi aku maka dia telah memerangi Allah." (Hadith Anas, Riwayat Abu As-Syeikh Ibnu Hibban)



Banyak lagi hadis-hadis yang lain tetapi ku kira yang ini sudah cukup untuk membuatkan kita merenungi dan mengamati setiap satu maksud yang ingin Baginda saw sampaikan. Besarnya pesanan Nabi saw jelas menunjukkan kehidupan seorang mukmin tidak akan sempurna pada mata kaca Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik pasti akan menganggu ketenteraman serta keharmonian rukun tetangga.

Kerana apa Nabi saw berpesan sedemikian rupa.? Kerana besarnya hak-hak jiran tetangga ini juga akan menentukan seorang mukmin itu menuju ke syurga mahupun neraka. Kita tidak mungkin dan bisa hidup sendirian dan keseorangan, tidak dapat tidak pasti akan bergaul dengan jiran tetangga dan masyarakat sekelilingnya.

Tetapi begitulah yang terjadi zaman kini. Lebih-lebih lagi tinggal di Bandar. Hilang adat kejiranan dan kebanyakan bersikap materealistik. Bagiku, sikap mementingkan diri sendiri ini mungkin masih bisa kita lenturkan sikap tersebut tetapi andai hadir sifat 'HASAD' dalam hati, maka rosak dan punahlah masyarakat. Kenapa harus hadir rasa cemburu dan dengki kepada kesenangan orang lain? sehinggakan berusaha mencari jalan menjatuhkan sesama saudara tetangga.


Memang ada manusia yang seperti itu. Tidak senang melihat orang senang. Sentiasa mencari jalan untuk menyusahkan dan menyakiti. Dalam diam rupanya ada rancangan yang diaturkan untuk menjatuhkan. Ya Allah! Tolong jangan kita semua ada sikap seperti itu andai kita benar-benar beriman dengan hari akhirat! Takutlah kepada azab yang menanti pedih dariNya kelak.


Sungguh sukar sekali untuk menemui jiran yang soleh. Jiran yang dapat membantu dan menolong kita di akhirat sana. Malahan jiran yang fasik akan semakin memayahkan lagi  penghisaban di hari hisab kelak dengan terabainya hak-hak yang sepatutnya. Nauzubillah…’Tuhan lindungi kami daripada bersifat zalim kepada diri mahupun orang lain…’





Teringat pepatah yang mengatakan:

"Andai orang melempar dengan batu, maka balaslah dengan buah"



Buah apa yang sesuai untuk diberikan sebagai balasan? Lalu menjawablah seorang hamba Allah. Berilah buah yang manis agar dia akan berasa senang bila memakannya, dan berilah buah yang masam agar dia akan mengingati dan perit untuk memakannya lagi. Unik dan menarik jawapannya tetapi mempunyai maksud yang cukup tersirat.

Begitulah ibaratnya. Orang yang memberi kepada kita keburukan, lebih mulia andai dibalasi perbuatannya dengan diberikan kebaikan dan kebaikan serta doa yang berterusan. Allah... bukan semudah yang dilafaz,, tetapi biarlah tetap mencuba untuk bertahan dengan kesabaran iman. 

Masalah apa yang sebenarnya berlaku biarlah ia menjadi rahsia, tidak akan ku cerita jauh pula untuk membuka aib sesiapa. Yang pasti, kami tidak akan rugi apa-apa kerana yakin pihak kami tidak bersalah. Biar Allah yang Maha Kuasa menguruskan semuanya.

Kami ingin terus berlapang dada dan memilih untuk bersabar serta memaafkan. UjianNya datang dalam pelbagai bentuk dugaan. Kami akan terus berdoa dan berdoa semoga Allah membuatkan hati yang keras menjadi lembut, membuatkan hati yang kasar menjadi tunduk, membuatkan hubungan kami pulih kembali. Semoga dengan senjata doa dan solat hajat berterusan maka akan datang pertolongan dari Tuhan. Semoga terus diberi petunjuk dan hidayahNya...Amin….sekian*


* pls: “Jiranku, ingin lagi terus berjiran dengan kalian hingga ke syurgaNya..!”





~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul Islam
: 1000pm
: 29052012

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...